Percakapan datuk dengan jin semakin hangat, secara perlahan-lahan percakapan itu bertukar kepada pertarungan kebatinan. Kemampuan dan kekuatan datuk benar-benar teruji. Mata datuk bercahaya garang dengan urat-urat timbul di dahi dan lengannya. Peluhnya jangan dikira terus menerus membasahi seluruh badan.
Datuk tahu kalau dia kalah. Dia akan rebah ke bumi. Seluruh badannya akan lebam. Jadi datuk bertekad untuk melawan dengan apa cara sekali pun. Masa berlawan itulah datuk terasa cuping telinga sebelah kirinya lembik. Datuk senyum, satu tanda baik. Kemenangan akan berada di pihaknya. Datuk terus mengucapkan begini :
Jong keli jong, tali cemati tebang buluh bunting pagi
melemang………
Belum pun tamat datuk mengucapkan mentera itu. Dia terasa pangkal belikatnya keras macam batu. Datuk tidak boleh bergerak ke kiri dan ke kanan. Datuk terus bertempik dengan menyeru nama guru ilmu batinnya, serentak dengan itu datuk mengambil senapang seraya berkata : "Kalau aku kalah, aku rebah, kalau aku menang, aku berdiri dan kau pulang ke tempat asalmu."
Datuk pun melepaskan satu tembakan kepada rusa. Tepat tembakan datuk kena pada kening rusa. Rusa yang berjumlah tujuh ekor itu hilang entah ke mana. Kawasan itu jadi sepi. Pemandangan datuk kembali normal yang ujud di depannya sekarang iailah sebatang pokok besar dengan akar-akar bergayutan yang mencecah muka bumi.
Datuk menang dalam pertarungan itu. Sebelum meninggalkan tempat itu, datuk segera mencari anak-anak kayu yang bercabang tujuh yang mengarah ke matahari jatuh. Anak kayu bercabang tujuh itu datuk tikam ke bumi. Cabang yang tujuh ke bawah. Lepas itu datuk memotong cabang tujuh lalu berkata : "Ini kawasan manusia, dan kau telah pulang ke tempat asalmu."
Datuk pun mencari arah, dia mula masuk tadi. Dia duduk di situ lebih kurang setengah jam. Kemudian baru kawan-kawannya pulang. Semua binatang buruan di masukkan ke dalam bonet kereta Ford Anglia kepunyaan datuk. Dalam perjalanan pulang datuk dan kawan-kawannya singgah di pekan Pengkalan Bharu. Mereka makan dan minum kopi disebuah warung dekat surau. Cara kebetulan pula tuan punya warung itu adalah kenalan datuk yang sama-sama satu datang dari Aceh. Datuk pun menceritakan tentang peristiwa yang dialaminya. Menurut tuan punya warung itu, setiap pemburu yang berjumpa dengan rusa yang berjumlah tujuh, selalunya cukup sulit untuk keluar dari kawasan hutan, kalau keluar pun dia tidak akan sihat atau separuh gila.
"Biasanya bila meraka sampai ke rumah, mereka terus sakit dan meninggal, masa sakit itulah mereka tidak tentu arah, kalau silap dilayan atau tidak berjumpa dengan dukun yang handal penyakit itu akan berjangkit pada si anak, biasanya sakit suka pada anak bongsu." Terang tuan punya warung itu pada datuk. Datuk terdiam kemudian datuk mengajak tuan punya warung itu ke tepi sungai. Datuk minta tuan punya warung itu memandikannya dengan air yang bercampur dengan daun tujuh jenis, untuk mengelakkan badi rusa itu mengikut datuk balik ke rumah.
Walau bagaimanapun, datuk terhindar dari serangan sebarang penyakit. Malah, kegemarannya untuk memburu bertambah giat dan hebat. Asal terdengar saja padanya ada kawasan terdapat landak, kancil atau kijang, datuk tidak akan melepaskan peluang untuk memburu. Kalau tidak dapat waktu siang, dia akan pergi waktu malam. Memburu adalah suatu kerja yang amat dicintai oleh datuk.
Kalau sudah tiba masanya datuk untuk berburu. Jangan siapa cuba menghalang. Dia tidak peduli. Kalau dilarang juga datuk naik darah. Selalu jadi korban kemarahan datuk ialah nenek saya yang tidak bergitu senang dengan sikap datuk itu. Selain dari berburu datuk cukup rajin berlajar ilmu-ilmu kebatinan. Datuk pernah bertapa di Gua Ulu Licin tujuh hari tujuh malam tanpa makan sebiji nasi, tapi tubuh datuk tidak susut.
Kalau ada dukun ilmu batin mengubat orang cara kebatinan, datuk tidak segan-segan berkawan dan mencuri ilmu dari dukun itu. Anehnya, datuk tidak berhajat untuk menjadi seorang dukun. "Semua yang dicari hanya sekadar untuk pelindung diri," kata datuk.
Pada suatu pagi ahad, datuk telah menerima kunjungan seorang temannya dari Port Weld, dekat Taiping iaitu Lee Kong Hua, seorang pengusaha kilang kopi. Setelah berbincang agak lama dengan kawannya itu. Datuk pun mengambil keputusan untuk pergi memburu babi yang selalu merosakkan tanamannya di Paya Besar. Kawannya itu bersetuju, mereka terus pergi ke balai polis Bruas memberi tahu tentang hajat mereka untuk memburu babi.
Hasrat datuk dan kawannya itu tidak dihalangi oleh pihak polis, kerana kawasan Paya Besar masih lagi belum telibat dengan kawasan hitam. Dengan kereta Ford Anglia mereka masuk ke dalam kawasan Paya Besar ikut jalan enam kaki. Sampai ke kawasan kebun getah lebih kurang pukul sepuluh pagi.
Kemudian datuk dan kawanya itu menyusul jejak tapak kaki babi menghala ke utara. Lebih kurang dua jam berjalan, babi yang dicari masih tidak ditemui. Mereka masih tidak putus asa. Lee Kong Hua sudah merancangkan bila dapat babi hutan nanti, dia akan membawa babi itu pulang dengan lori kepunyaan seorang kawannya yang sudah bersetuju datang ke kebun getah datuk lebih kurang pukul tiga petang. Dia mengira paling kurang lima ekor babi akan diperolehinya, kerana dia tahu datuk memang cekap menembak.
Jalan punya jalan akhirnya datuk dengan kawannya tersua dengan seekor babi hutan yang besar. Datuk melepas tembakan tapi, babi segera melompat masuk ke dalam belukar kecil yang penuh dengan pokok serunai laut, senduduk, datuk dan kawannya mengelilingi belukar kecil itu, tiba-tiba babi itu keluar dari belukar dan berlari ke arah Ulu Dendang. Mereka terus memburunya. Masa memburu datuk dan kawannya terserempak dengan satu kumpulan babi. Dan babi yang mereka kejar itu berada tidak jauh dari kumpulan tersebut.
"Dia sudah luka," Datuk memberi tahu kawannya.
"Hati-hati babi hutan luka selalunya ganas."
"Aku tahu, tunggu di sini, dia mesti ditembak, kalau tidak kita akan diserangnya," tambah datuk lagi. Kawannya akur pada cakap datuk.
Datuk memintas babi itu dari belakang. Babi itu berpusing mengadap ke datuk. Alangkah gembiranya hati datuk. Dia sudah mengambil tempat yang baik. Dia terus menghalakan muncung senapang ke arah kepala babi hutan itu. Macam selalu sasaran yang dipilih oleh datuk ialah pada kening setiap binatang buruannya. Bila pemetik senapang mahu ditarik babi itu memusingkan tubuhnya lalu masuk ke hutan sebelah kiri. Datuk terus mengikutinya dengan tenang.
Suatu ketika binatang itu berhenti. Datuk sudah pun mencari tempat yang baik untuk melepaskan tembakan. Entah macam mana bagaikan ada suatu kuasa yang menarik tangan datuk menarik pemetik senapang. Dan satu ledakan bergema. Babi terkejut dan terus lari. Gatuk terus juga memburu hingga sampai ke Ulu Sungai Dendang. Di seberang sungai datuk melihat babi hutan itu menyondol-nyondol tanah dengan tenang. Datuk berjalan menyusul tebing sungai ke hulu. Dia menyeberang melalui sebatang pokok merbau tumbang yang merintangi Sungai Dendang.
Jadi berada di kawasan itu, seperti berada di kawasan sendiri fikir datuk. Datuk pun sampai ke seberang. Ternyata datuk tidak boleh mendekati babi itu, kerana di pisahkan oleh satu kolam kecil yang airnya keroh. Kalau datuk melepaskan tembakan dari situ pun boleh, tapi datuk tidak mahu. Dia mahu menembak babi jarak yang dekat sekali. Datuk pun melompat kolam kecil yang seluas kira-kira lima kaki itu. Datuk merangkak dan mencari tempat yang baik.
Babi hutan itu itu terus juga nyondol tanah. Datuk berdiri di seballik pokok ara. Tiba-tiba datuk terasa telinganya berdesing, pandangannya berubah dan jadi berpinar-pinar. Datuk bagaikan berada di satu dunia lain yang sunyi tapi amat menyeramkannya. Dengan pokok-pokok yang beranika ragam dengan akar yang berjuntaian. Datuk mengira semuanya terjadi kerana dia terlalu letih, banyak membuang tenaga kerana belari. Dia mahu merebahkan babi hutan itu dengan segera, kalau babi itu tidak mati, nanti dia mengamuk, semua penoreh getah di Paya Besar akan diserangnya.
Datuk tahu, kalau babi hutan mengamuk cukup buruk padahnya. Datuk melihat babi hutan itu menyondol tanah di pangkal pokok besar. Datu meletakkan buntut senapang di bahu. Dengan hati-hati dia pun menarik pemetik senapang. Datuk jadi gawat sekali. Senapang itu tidak berbunyi dan babi hutan terus menyelinap ke balik pokok besar.
Dari celah pokok besar itu muncul seorang wanita yang sungguh cantik. Dia mahu mendekati datuk dan mengatakan bahawa babi itu berada tidak jauh daripada pohon itu. Dia suruh datuk memburunya dan datuk sudah tahu, dia terperangkap lagi. Wanita di hadapan datuk terus bercakap dengan manjanya. Bau harum yang sangat asing menyusuk lubang hidung datuk. Datuk merasa dirinya seakan-akan melayang-layang.
Datuk segera bertafakur menyatukan mata batin dan seluruh kekuatan pancainderanya. Dia terasa ada sesuatu kuasa yang menyuruh dia kembali ke seberang sungai. Datuk menentang kuasa itu dengan penuh keyakinan. Kali ini datuk terasa dia mula tewas. Dia terdengar suara perempuan cantik itu ketawa. Datuk membuka mata. Perempuan cantik itu sudah tiada lagi di hadapannya. Datuk berpatah balik.
Bila datuk sampai ke seberang. Suara desing di telinganya sudah hilang. Pandangnya tidak berkunang. Pokok-pokok besar yang dilihat bergayut dengan akar tadi, ternyata hanya pokok-pokok kecil yang tidak ada akar bergayut. Datuk duduk di situ, beberapa saat, kemudian kawannya Lee Kong Hua pun sampai ke tempatnya.
"Kenapa ?" tanya kawan datuk
"Kita balik."
Mereka pun segera pulang ke kebun getah. Sampai di situ sudah ada lori yang dijanjikan oleh Lee Kong Hua menunggu. Datuk terkejut disamping pemandu dua orang anggota polis seorang berpangkat sarjan dan seorang lagi polis biasa.
Datuk kenal yang berpangkat sarjan itu namanya Ali, lebih dikenali dengan nama Sarjan Ali, orang Paya Ara dan membeli tanah berhampiran dengan rumah datuk.
"Kenapa Tuk," tanya datuk dengan tenang kepada sarjan itu.
"Kalau saya tahu tadi, awak nak memburu saya tahan, saya tahu awak akan sampai ke Ulu Bendang," kata Sarjan Ali.
Datuk diam. Kemudian Sarjan Ali terus menyoal datuk, kalau datuk mengalami perkara ganjil semasa berburu. Datuk bercerita apa yang dialaminya tadi.
"Saya dah duga kawasan itu keras ada penunggunya, banyak orang yang berburu ke situ tidak pulang, sebulan dulu Cina dari Setiawan hilang ghaib entah ke mana berburu di situ, bila dikesan cuma jumpa kain dan rangka sahaja yang tinggal," sambung Sarjan Ali. Mengeremang bulu datuk mendengarnya.
Kemudian datuk dan kawannya ke jalan besar. Terus pulang ke rumah. Penerangan yang diberikan oleh Sarjan Ali itu membuat datuk ingin lagi sekali pergi berburu di daerah itu. Walau bagaimana pun hasrat itu dibatalkan oleh datuk sesudah dia menemui seorang tua di Kampung Cangkat Berangan. Orang itu berkata pada datuk begini : "Jangan pergi, kalau kau menerima cakap perempuan itu yang menyuruh kau mencari babi itu, kau akan hilang entah ke mana."
"Saya nak jumpa juga."
"Tambahkan lagi ilmu pendinding diri untuk kau." Kata orang tua itu. Namanya Tok Aki Simbang, waktu mudanya dia seorang pendekar malah pernah terlibat dalam peperangan Larut. Dia adalah orang kuat Long Jaafar.
Datuk pun belajar lagi beberapa ilmu kebatinan dengan Tok Aki Simbang. Orang tua itu pun mencurahkan ilmunya pada datuk. Dan datuk memang pun berazam untuk menemui perempuan cantik itu.
No comments:
Post a Comment