Saturday, March 8, 2014

ZENG GOU FAN PENYELAMAT DINASTI QING


ZENG GOU FAN PENYELAMAT DINASTI QING 

Zeng Guofan dilahirkan pada tahun 1811. Setelah lulus dalam peperiksaan untuk menjadi pegawai kerajaan, perkembangan kejayaannya dalam kerajaan pusat agak lancar hinggalah beliau menjadi timbalan menteri.

Zeng Guofan ialah tokoh penting dalam tempoh pemerintahan Dinasti Qing yang beralih dari kemuncaknya ke arah keruntuhan. Beliau mempunyai pengaruh yang besar dalam bidang politik, ketenteraan, kebudayaan dan ekonomi dan memainkan peranan penting dalam " pembangkitan semula zaman Marahaja Tongzhi ". Sebagai seorang cendekiawan, beliau dikatakan telah menyumbangkan seluruh tenaganya untuk memelihara pemerintahan Dinasti Qing.


Apabila tercetus pemberontakan Kerajaan Syurga Taiping (Pemberontakan Taiping), iaitu pemberontakan kaum tani yang paling besar dalam sejarah China, Zeng Guofan menubuhkan pasukan yang terdiri daripada 17 ribu askar di Hunan untuk menghapuskan pemberontakan tersebut. Setelah mengalami beberapa kali perang yang dahsyat, pasukan yang dipimpin oleh Zeng Guofan berjaya menduduki kota " Tianjing " (bandar Nanjing sekarang), ibu negara Kerajaan Syurga Taiping pada tahun 1864. Dengan sumbangan yang luar biasa itu, Zeng Guofan sebagai pemimpin yang bijak berjaya memegang kuasa politik dan ketenteraan dalam kerajaan pusat.

Kenaikan pangkat Zeng Guofan itu memecah tradisi Dinasti Qing yang sebelum itu, iaitu hanya memberikan jawatan penting kepada orang etnik Manchu sahaja dan mengetepikan orang etnik Han. Ini membawa pengaruh yang besar kepada pembahagian kuasa dan pembangunan politik dan ketenteraan pada penghujung pemerintahan Dinasti Qing.

Zeng Guofan juga merupakan salah seorang pemula dalam gerakan mempelajari teknologi moden dari negara Barat. Dalam pertempuran dengan pemberontak itu, beliau mengutamakan penggunaan senapang, meriam dan kapal perang yang diimport dari negara Barat. Di samping itu, beliau juga menubuhkan beberapa jabatan yang berfungsi membuat pelbagai jenis senjata moden itu. Meskipun usaha Zeng Guofan itu tidak berjaya mempertahankan kedudukan Dinasti Qing daripada runtuh, tetapi ia telah mendorong pembangunan moden di China.


Sumber Asal : - Hangpcdua Malaya -

No comments: