Friday, January 9, 2015

ADRUJA WIJAYAMALA SINGA - PUTERI WIRAWATI MELAYU YANG DILUPAKAN - Bhgn 9


KATA-KATA KERAMAT ADRUJA

Adruja mengarahkan semua wirawati supaya mencantas belalai gajah-gajah milik tentera Siam Sukhothai. Pada mulanya, mereka tidak sampai hati hendak membunuh haiwan-haiwan tersebut. Setelah melihat Adruja sendiri mencantas belalai gajah hitam milik Rama Khamhaeng, akhirnya mereka turut berbuat demikian.



Habis semua gajah jatuh merempuh pihak musuh. Barisan hadapan tentera Siam Sukhothai yang berlutut meratapi kehilangan raja mereka turut diranap oleh gajah mereka sendiri. Saki-baki tentera Siam Sukhothai yang lainnya habis dibunuh oleh Adruja dan pasukan khas Seri Wijayamala.

Sementara itu, badan Raja Rama Khamhaeng yang sedang diheret ke pantai pula terus ditombak dan dicincang sepanjang jalan sehingga hanya tinggal rangka dan cebisan daging sahaja. Setelah tiba di tepi pantai, badannya dicampak lalu dihanyutkan ke Laut China Selatan.

Perbuatan tersebut dilakukan di hadapan tentera Siam Sukhothai yang mengiringi mayat raja mereka. Akibat terlalu takut, maka larilah saki-baki tentera musuh untuk menyelamatkan nyawa mereka. Inilah kata-kata keramat Adruja Wijayamala Singa:

“Dengan tertebasnya kepala si bedebah ini (Raja Rama Khamhaeng),
maka ku harap bangsa ini (Siam atau Thai) akan tersekat dan tidak
melanda tanah bangsa Melayu (Semenanjung Tanah Melayu) seterusnya,
agar kekallah bangsaku (Melayu) dan agamaku (Islam) zaman-berzaman”.

Setelah berakhirnya perang, pasukan khas Seri Wijayamala membantu rakan-rakan mereka yang tercedera dan membawa mereka pulang ke Grahi. Adruja adalah orang terakhir yang meninggalkan medan perang, ketika merah senja mewarnai langit di sebelah barat. Menurut catatan sejarah, peristiwa Adruja memenggal kepala Raja Rama Khamhaeng ini berlaku pada tahun 1317 Masihi.


ROMBONGAN SAMI BUDDHA

Beberapa bulan kemudian, datanglah rombongan dari negara Siam Sukhothai untuk menebus kembali kepala raja mereka. Rombongan tersebut terdiri daripada puluhan sami berjubah kuning pinang masak, berkepala botak, berkaki ayam sambil membawa 10 pedati berisi emas dan perak. Mereka memohon kepada Raja Sang Tawal untuk bertemu dengan Adruja


Setelah Raja Sang Tawal tiba di halaman istana bersama Adruja, semua sami berkenaan berlutut lalu menyembah kedua-dua raja dan puteri tersebut. Ketua sami terus menyampaikan hasrat mereka. Setelah kepala Raja Rama Khamhaeng diberikan, mereka terus pulang ke negara Siam Sukhothai sambil meratap.


RUNTUHNYA GRAHI DAN KOTA GRAHI

Ketika saat kemangkatan Raja Rama Khamhaeng, puteranya yang bernama Loethai sedang berada di tanah besar China untuk menghadap Maharaja China. Alangkah terkejutnya Loethai setelah mengetahui ayahandanya mangkat dibunuh oleh seorang puteri Melayu. Setelah pulang ke tanah air, Loethai telah ditabalkan sebagai pemerintah yang baharu dengan gelaran Raja Loethai.

Meskipun mengalami kekalahan teruk, namun pihak Siam Sukhothai tidak pernah belajar dari kesilapan. Sebaliknya, Raja Loethai dan bangsa Siam (Thai) telah bersumpah akan menghapuskan seluruh bangsa Melayu di Semenanjung Tanah Melayu. Mereka nekad mahu menjajah Grahi serta bumi Semenanjung demi menuntut bela di atas kematian Raja Rama Khamhaeng.

Setiap kali pasukan tentera dari kedua-dua belah pihak bertembung di medan perang, tentera Siam Sukhothai sentiasa mencabar pahlawan Melayu untuk beradu ketangkasan satu lawan satu di hadapan kedua-dua angkatan perang.

Adruja adalah individu yang sering dicabar keluar kerana pihak musuh sememangnya berniat mahu membunuh puteri tersebut demi menuntut bela di atas kematian bekas raja kesayangan mereka. Setelah pertarungan hebat satu lawan satu berakhir, hanya Adruja seorang sahaja yang tinggal dengan Kilatan berlumuran darah.

Setelah sekian lama bertahan dari serangan tentera Siam Sukhothai, akhirnya kerajaan Grahi dan Kota Grahi jatuh juga pada tahun 1325. Kekalahan tersebut menandakan bermulanya zaman pencerobohan bangsa Siam (Thai) di bumi Semenanjung Tanah Melayu


-SUMBER-

No comments: