Sunday, March 29, 2015

Kubur tersergam di tengah jalan


BAYANGKAN ketika sedang memandu seorang diri pada waktu malam yang sunyi, di luar pula hujan renyai, tiba-tiba terserempak pula kubur di tengah-tengah jalan.

Anda boleh pucat lesi atau sekurang-kurangnya jantung berdegup kencang.


Mungkin itulah yang dialami oleh penduduk atau mereka yang baru kali pertama memandu di sebatang jalan berhampiran sebuah pekan kecil di Indiana, Amerika Syarikat.

Memang kelihatan pelik apabila anda sedang memandu di sebatang jalan berhampiran pekan kecil Amity, Indiana, tiba-tiba menjumpai sebuah kubur tersergam tengah jalan raya.

Itulah kebenarannya yang dikaitkan dengan kewujudan kubur milik Nancy Kerlin Barnett yang dilaporkan meninggal dunia pada tahun 1831 dan dianggap kawasan pernah mencetuskan kontroversi serta berhantu di sini.


Wasiat kepada suami

Sebenarnya, kisah kewujudan kubur di tengah jalan raya County Road 400 dikaitkan dengan kematian Nancy yang ketika itu berusia 39 tahun dan dikebumikan di situ.

Ibu kepada 11 anak yang berkahwin dengan William Barnett mewasiatkan kepada suami supaya mayatnya dikebumikan di bukit kecil berlatar belakang perkampungan kecil Sugar Creek dan pernah menjadi tempat permainannya ketika kecil.

Kontroversi bermula apabila sebuah syarikat pembinaan milik John Country berhasrat membangunkan sebuah jalan raya di atas kubur Nancy mendapat tentangan daripada cucunya iaitu Daniel G Doty.


Kemudian, timbul pula masalah apabila pihak berkuasa di kawasan terbabit campur tangan dan melakukan perkara sama untuk memindahkan kubur Nancy ke tempat lain.

Usaha kedua-dua pihak mendapat tentangan daripada Daniel yang berkeras mempertahankan tapak kubur neneknya.

Beliau pernah menggugut menggunakan senapang terhadap sesiapa yang didapati menceroboh kubur neneknya itu.

Nasib menyebelahi Daniel, apabila pihak berkuasa tempatan dan syarikat pembinaan akur dengan keputusan cucu Nancy itu.

Lencongkan jalan

Kontraktor berkenaan kemudian melencongkan jalan dan tidak membina di atas kubur ini.

Biarpun begitu, bagi menghormati kubur milik Nancy sebagai jasad pertama disemadikan di atas bukit kecil, sebuah batu tanda konkrit sebagai penanda terdapatnya sebuah kubur dibina di jalan ini selain memberi amaran kepada pemandu bagi mengelakkan kemalangan.



Pada tahun 1912, waris keluarga Nancy menerima perkhabaran gembira apabila pihak berkuasa mewartakan tapak kubur moyang mereka sebagai tempat bersejarah di Amity, Indiana.

Pada hari ini, beberapa penulis cerita misteri menobatkan kubur di tengah jalan ini antara paling berhantu di sekitar Indiana.

Pernah pemandu yang melalui kawasan ini pada waktu malam menjumpai kelibat wanita berhampiran batu konkrit yang dikatakan mirip Nancy yang meninggal dunia beratus tahun dahulu.







No comments: