Monday, April 13, 2015

SEJARAH KERAJAAN BRUNEI TUA


Bila disebut Kerajaan Kesultanan Brunei Darussalam sudah semesti ramai yang mengetahuinya lebih-lebih lagi Negara Brunei Darussalam sekarang adalah negara yang kaya raya baik dari segi ekonominya serta sejarah kewujudannya yang unik sehingga mampu bertahan sehingga ke hari ini.



Untuk kali ini Borneo Oracle akan berkongsi informasi tentang satu sejarah kuno Negara Brunei Darussalam itu sendiri. Ianya adalah merujuk kepada satu sejarah kerajaan kuno, asas kepada Kerajaan Kesultanan Brunei Darussalam yang kita kenali sekarang. Yang pasti sejarah kerajaan kuno ini dikenali dengan Kerajaan Brunei Tua yang mana ketika itu ianya adalah bukan sebuah kerajaan Islam tetapi sebaliknya adalah sebuah kerajaan berpengaruh hindu.

Terlebih dahulu sebagai pembuka bicara adalah lebih molek sekiranya kita membuka pencerahan kepada asal usul namanya Brunei kerana ini bersangkutan secara langsung dengan apa yang akan diperjelaskan di dalam artikel ini.

Bagaimana Brunei Mendapat Namanya

Sebenarnya ramai para sejarahwan masih lagi berteka-teki di dalam memperjelaskan bagaimana Brunei mendapat nama. Ada yang mengatakan bahawa ianya terbit daripada bahasa China iaitu “Wen Lai”. Ada juga satu pendapat lagi berkata bahawa nama Brunei itu sebenarnya terbit daripada bahasa Sanskrit kuno iaitu “Varunai” yang membawa maksud sesuatu yang berhubung dengan laut.

Dan di dalam satu syair purba yang berjudul Syair Awang Semaun pula menyebut bahawa nama Brunei itu berasal daripada perkataan Barunah yang merujuk kepada rombongan yang dipimpin oleh Pateh Barbai yang singgah ke Sungai Brunei mencari tempat untuk membina sebuah kerajaan baru. Apabila sudah mendapat lokasi yang sesuai dengan diapit oleh bukit, bekalan air juga senang diperolehi serta mudah dihubungi dengan jalan air serta kaya dengan sumber laut seperti ikan akhirnya mereka mengucapkan perkataan “Baru Nah” yang bererti tempat itu sangat baik dalam serba serbi.

Apa yang menarik adalah suatu waktu dahulu Brunei itu tidak disebut sebagai Brunei tetapi di dalam jurnal-jurnal sejarah kuno baik dari Greek, Arab, China dan banyak lagi, Brunei itu disebut dengan pelbagai nama seperti Poni, Pome, Poli, Boni, Burni, Burney, Borneo dan banyak lagi. Inilah yang menjadi satu tanda tanya adakah yang dimaksudkan di dalam jurnal-jurnal sejarah lama ini merujuk kepada satu lagi kerajaan purba yang pernah berdiri megah di Negara Brunei suatu waktu dahulu.

Kewujudan Kerajaan Brunei Tua Melalui Sumber-sumber Sejarah Dunia

Sebenarnya amat sedikit ruang informasi di dalam kita cuba mengenal sejarah Kerajaan Brunei Tua ini kerana tiadanya pertemuan arkeologi di dalam mengesahkan kewujudannya ditambah lagi di Negara Brunei Darussalam sendiri tidak begitu menyatakan pensejarahan secara khusus mengenai keberadaan Kerajaan Brunei Tua. Namun begitu menurut pengkaji sejarah mempercayai bahawa terdapatnya sebuah kerajaan lain sebelum tertubuhnya Kerajaan Kesultanan Brunei yang digelar Po-ni mengikut catatan dari Negara Tembok Besar China. Menurut catatan dari China serta Arab juga menunjukkan bahawa kerajaan kuno ini wujud dengan lokasinya adalah di muara Sungai Brunei dan kewujudannya adalah seawal abad ke-6 atau ke-7 masihi.

Di dalam jurnal sejarah ini juga ada menyatakan bahawa Kerajaan Brunei Tua ini pernah ditakluk oleh empayar Srivijaya dan seterusnya menguasai Borneo dan juga gugusan Pulau Filipina. Ianya juga pernah dijajah oleh Empayar Majapahit yang kemudiannya mampu membebaskan dirinya ketika empayar Majapahit mencapai zaman kegelapannya. Dan kenyataan ini bolehlah diambil daripada satu manuskrip lama bertulisan jawi yang berberjudul Alamat Zaman Ketahtaan Nagari Baruni iaitu ada menyatakan.

“Alkisah peri mengatakan zaman dahulukala di nagari Barunai berugama kafir. Pada zaman itu nagari Barunai mengantar upti ka Majapahit satahun satampayan air pinang muda. Maka apakala Awang Alak Batatar menjadi raja tiadalah baginda manghantar upti lagi ka Majapahit. Ratu Majapahit pun sudah mati dan Patih Gajah Mada pun mati. Nagari Majapahit pun tiada daya … damikian riwayatnya.

Berdasarkan kepada bait-bait manuskrip Alamat Zaman Ketahtaan Nagari Baruni ini sememangnya merujuk kepada sebuah kerajaan kuno dahulu yang diceritakan sebagai sebuah negara yang bukannya mempunyai pengaruh Islam di dalam kerajaannya.

Dan jika kita merujuk kepada Batu Tarsilah Brunei yang merupakan antara prasasti agung di dalam memperkatakan salsilah Kesultanan Brunei Darussalam bermula daripadanya Sultannya yang pertama dan ianya adalah tertulis seperti berikut:

“Inilah salasilah Raja-raja kerajaan di negeri Brunei dinyatakan oleh Datu Imam Yaakub. Ia mendengar daripada Marhum Bongsu yang bernama Sultan Muhyiddin dan Paduka Maulana Sultan Kamaluddin. Kedua-dua raja itu menyuruh menyuratkan datuk nenek moyangnya supaya diketahui oleh segala anak cucunya sampai sekarang ini. Wallahu’alam.

Maka paduka Seri Sultan Muhammad Tajuddin menitahkan kepada Khatib Haji Abdul latif menyuruh menyuratkan salasilah ini diketahui oleh segala anak cucunya raja yang mempunyai Takhta Mahkota Kerajaan dalam kandang Daerah Negeri Brunei Darussalam yang turun-temurun yang mengambil pusaka Nobat, Nakara dan Genta Alamat dari negeri Johor Kamalul Makam dan mengambil lagi pusaka Nobat dan Nakara dan Genta Alamat dari Minangkau iaitu Negeri Andalas.

Maka adalah yang pertama kerajaan di negeri dan membawa ugama Islam dan mengikut syariat Nabi kita Muhammad Sallahu ‘Alaihi wa Sallam iaitu Paduka Seri Sultan Muhammad dan saudaranya Sultan Ahmad. Maka beranak seorang perempuan dengan isterisnya saudara Raja China yang diambil oleh Sharif Ali yang turun dari Negeri Taif.

Maka Sharif Ali itulah kerajaan kerajaan dinamakan ia Paduka Seri Sultan Berkat yang megeraskan syariat Rasullullah Sallallahu ‘Alaihi wa Sallam dan berbuat masjid dan segala rakyat Cina berbuat Kota Batu. Tuan Sharif Ali itu pancir salasilah daripada Amirul Mu’minin Sayiddna Hasan cucu Rasullullah. Maka Paduka Seri Sultan Berkat ini beranakkan Sultan Sulaiman, Sultan Sulaiman beranakkan Paduka Seri Sultan Bolkiah iaitu Rajanya Datu Gamban dan lagi Sultan Bolkiah beranakkan Paduka Seri Sultan Abdul Kahar yang dinamai Marhum Keramat. Marhum Keramat beranakkan Paduka Seri Sultan Saiful Rijal.

Sultan Saiful Rijal beranakkan paduka Seri Sultan Shah Brunei. Kemudian saudaranya pula kerajaan Paduka Seri Sultan Hasan ialah Marhum Di-Tanjung. Maka anak cucu baginda itulah yang mengambil kerajaan dalam Negeri Brunei itu mana yang baik bicaranya.

Sultan Hasan itulah yang keras di atas takhta kerajaan mengikut perintah Sultan Mahkota Alam yang di Negeri Acheh dan Sultan Hasan yang beranakkan Sultan Abdul Jalilul Akbar yang dinamai Marhum Tua yang beranakkan Sultan Abdul Jalilul Jabbar. Sultan Abdul Jalilul Jabbar beranakkan Pengiran Bendahara Untong.

Pengiran Bendahara Untong beranakkan Pengiran Temenggong Mo’min Amirul Faza di dalam Negeri Brunei juga. Kemudian saudaranya Marhum tua dinaikkan Kerajaan bernama Paduka Seri Sultan Muhammad Ali ialah nenda Paduka Seri Sultan Muhammad ‘Alauddin yang kerajaan sekarang ini di Negeri Brunei. Maka wafatlah baginda itu.

Maka kemudian kerajaan pula anak saudaranya bernama Paduka Seri Sultan Muhyidin. Kemudian anak saudaranya Paduka Seri Sultan Nasruddin. Kemudian anak Sultan Muhammad Ali bernama paduka Seri Sultan Kamaluddin ialah memberikan kerajaannya kepada cucu saudaranya ialah kerajaan pada masa ini bernama Paduka Seri Sultan Muhammad ‘Alauddin. Kemudian dirajakan pula anaknya Paduka Seri Sultan Omar Ali Saifuddin. Kemudian diberikan pula kerajaannya itu kepada anaknya Paduka Seri Sultan Muhammad Tajuddin.

Kemudian diberikan pula kerajaannya itu kepada anaknya Paduka Seri Sultan Muhammad Jamalul Alam. Maka telah wafatlah baginda itu. Maka kembali pula kerajaannya itu kepada ayahanda baginda iaitu paduka Seri Sultan Muhammad Tajuddin, wallahu ‘alam. Kemudian dari itu tiadalah hamba mengetahui akan hal anak cucunya yang akan menjadi raja pada hijrat Nabi Sallallahu ‘Alaihi wa Salla. Seribu dua ratus dua puluh setahun pada tahun Dal pada dua haribulan Dzulhijjah pada hari Arba’a Sannah 1221. “

Berdasarkan kepada apa yang tertulis di dalam Tarsilah Brunei ini yang ditulis pada abad ke-13 Masihi ianya lebih merupakan salsilah kesultanan Brunei yang berada di zaman pemerintahannya dipengaruhi sebagai sebuah kerajaan islam.

Yang lebih menarik di dalam memperhalusi keberadaan Kerajaan Brunei Tua ini mungkin boleh disingkap dari beberapa jurnal sejarah Negara Tembok Besar China. Umum mengetahui bahawa sejak dahulu lagi saudagar-saudagar dari Negara China telah memainkan peranan yang penting di dalam memperkembangkan hasil perdagangan mereka sehingga ke bumi Nusantara.

Di dalam satu sejarah yang ditulis ketika Dinasti Sung memerintah ini dikatakan bahawa lokasi Kerajaan Brunei Tua yang dikenali dengan nama Kerajaan Poni disingkap menerusi tiupan angin iaitu perjalanan dari Kerajaan Poni ke Jawa akan memakan masa selama 45 hari, Ke Palembang 40 hari dan ke Champa 50 hari. Jika adanya pengetahuan tentang jarak perjalanan ini maka bolehlah dikatakan bahawa Kerajaan Poni ini sebenarnya agak terkenal di kalangan saudagar-saudagar dari Negara China suatu waktu dahulu.

Di dalam satu riwayat yang ditulis ketika Dinasti Sung (976M – 997M), diriwayatkan bahawa Raja Poni telah menghantar utusan ke Negara China dengan rombongan Kerajaan Poni diketuai oleh Po-Ya-Li (Buyali atau Abu Ali). Di ketika itu, rombongan Kerajaan Poni telah membuat persembahan yang berbentuk 100 kulit kura-kura, kapur barus, 5 keping kayu gaharu, 3 dulang cendana, kayu raksamala dan 6 batang gading gajah. Rombongan Kerajaan Poni ini juga membawa bersama sepucuk surat bermohor diraja Kerajaan Poni yang antara isi kandungannya adalah mendoakan lanjut usia Maharaja China serta memohon perlindungan China bagi Kerajaan Poni daripada diserang oleh mana-mana kerajaan lain di dunia. Dari sini dapat disimpulkan bahawa Kerajaan Poni juga adalah antara kerajaan yang telah menghantar ufti kepada Maharaja China. Dan di dalam statistik yang dikeluarkan sewaktu era Dinasti Ming (1368-1643) ada menyatakan bahawa Kerajaan Poni telah menghantar ufti sebanyak 8 kali pada waktu itu.

Selain daripada itu bagi membenarkan adanya satu kerajaan kuno pernah wujud di Brunei suatu waktu dahulu adalah apabila di dalam jurnal sejarah Negara China juga mencatatkan bahawa pemerintah bagi Kerajaan Poni yang pertama adalah bernama Pinka Kaundinya yang memerintah pada Tahun 518 Masihi. Dan di dalam tulisan dari Dinasti Sui (589M-618M) dan Dinasti Tang (618M-906M) pula mencatatkan bahawa Kerajaan Poni seterusnya diperintah oleh Hu-la-na-po Chariyaka. Sekitar tahun 977 Masihi pula Kerajaan Poni diperintah oleh Xiangda atau Sri Anakda. Pada tahun 1082 pula Kerajaan Poni diperintah oleh Sa-li Mah-lui (Seri Ma-je) dan sekitar tahun 1370, utusan China yang datang ke Poni telah mencatatkan bahawa Kerajaan Poni pada masa itu adalah dibawah kekuasaan Ma-ho-mo-sha (Maha Mokhsa) dan Maha Mokhsa inilah yang menghantar utusan balas ke China pada bulan Ogos 1371.

Kemudian ditulis juga bahawa pemerintah Kerajaan Poni adalah Ma-na-je-sha-na-wang-sha (Maharaja Sarawangsa) yang telah berkahwin dengan Tz’i-shih-pa-ti (Sripati). Hasil perkahwinan mereka dikurniakan dengan 4 orang putera bernama Ma-hsieh-je-chia-na-nai (Maha Suriya Jayakaranaya), Shih-li-nan-na-na-je (Sri Linananaraja), Shih-wei-je-na-sha (Sri Vijayarasa), Na-na-wan-je-hsieh (Narawang Jayasuriya) dan putera yang bongsu bernama Ma-na-je chia-na (Maharajakarna). Dicatitkan juga bahawa Majarajakana inilah yang mangkat di Negara China sewaktu membuat lawatan ke Negara China dan dimakamkan di Nanking. Dan selepas Kerajaan Poni pula diperintah oleh Hsia-wang (Suriwang) yang merupakan pemerintah Kerajaan Poni yang terakhir dicatatkan.

Mungkin Suriwang ini merupakan pemerintah Kerajaan Poni yang terakhir dan selepas itu barulah munculnya sebuah Kerajaan Kesultanan Brunei Darussalam bermula yang diperintah oleh Awang Alah Batatar atau Sultan Muhammad Shah (1368 – 1402).

Dari konteks rujukan dari bangsa Eropah pula seperti apa yang dicatatkan oleh seorang pakar geografi berbangsa Greek yang yang bernama Ptolemy, Atlas Dunia judul bukunya yang mencatatkan peta-peta beberapa buah pelabuhan merujuk kepada satu tempat yang dinamakan Pulau Barli di Borneo dan dicatatkan juga ada satu peradaban berlaku di tempat itu dan berkemungkinan besar ianya merujuk kepada kewujudan Kerajaan Poni iaitu Kerajaan Brunei Tua ini.

Di dalam sebuah kitap karangan Sheikh Shamsuddin Abu Ubaidillah Muhammad bin Talib Al-Damshik yang berjudul Nukhbatud Dahri fi “Ajaibil Barri wal Bahri yang ditulis dalam pada tahun 1865 pula melalui keterangan yang dicatatkan oleh 2 orang ahli pelayaran Arab bernama Sulaiman bin Ahmad Al-Mari dan Ibnu Majid yang berlayar ke bumi Nusantara sekitar 15-16 masihi pula mencatitkan mereka merentasi satu lautan yang luas yang dinamakan Laut Berunai. Mungkin apa yang dicatitkan oleh pelayar Arab ini lebih merujuk kepada Kerajaan Kesultanan Brunei sekarang berdasarkan kepada garis waktunya.

Inilah sekelumit ruang informasi di dalam kita cuba mengungkai satu lagi sejarah sebuah kerajaan kuno di bumi Borneo yang digelar Kerajaan Brunei Tua atau Kerajaan Poni mengikut yang dicatatkan oleh jurnal sejarah Negara Tembok Besar China. Setakat ini belum ada lagi penemuan arkeologi bagi merujuk kepada Kerajaan Brunei Tua ini dan yang hanya ada merupakan catitan-catitan jurnal lama yang membenarkan bahawa Kerajaan Brunei Tua ini pernah wujud suatu waktu dahulu sebelum Kerajaan Kesultanan Brunei Darussalam ada.


sumber

No comments: