HARI-HARI TERAKHIR SEBUAH KERAJAAN MELAYU BERNAMA CHAMPA




Lebih kurang 200 tahun sebelum orang Melayu menangisi kehilangan Pulau Singapura,nenek moyang kita sudah lama menangisi kehilangan sebuah wilayah yang sangat luas di pantai timur Indo China.Wilayah yang luas itu pernah menyimpan seribu satu rahsia dan menjadi bukti bahawa kekuasaan nenek moyang Melayu itu satu ketika dahulu pernah menjangkau sehingga ke tanah besar Asia Tenggara.


Wilayah ini juga pernah menyaksikan kenangan pahit manis nenek moyang kita satu ketika dahulu dalam membina dan mengekalkan tamadun di sana untuk dijadikan iktibar oleh kita.Dahulu wilayah ini pernah menjadi saksi sebuah tamadun yang sungguh menakjubkan namun kini,wilayah ini sudahpun terlepas dari tangan nenek moyang kita,dan akhirnya menjadi milik bangsa lain.
Ya,tidak lain dan tidak bukan,wilayah luas di Indo China yang dimaksudkan itu ialah merujuk pada Champa.Champa bolehlah dikatakan antara kerajaan purba Melayu yang semakin dilupakan dan semakin luput dari ingatan generasi moden Melayu,selain daripada Sri Dharmaraja dan Funan.
Champa diasaskan oleh orang Cham,dan mereka ini mempunyai ikatan bahasa dan budaya yang sama dengan orang Melayu serta hubungan sejarah di antara kedua-dua bangsa ini yang sangat kukuh.Ramai keturunan Cham pada hari ini,terutama di sekitar Kampuchea dan Malaysia merujuk diri mereka sebagai “orang Melayu Champa”(walaupun mereka lebih dikenali sebagai “orang Kemboja” di kalangan orang Melayu di Malaysia sendiri).

Sejarah Champa kurang dititikberatkan dan dipelajari oleh generasi muda kini di sekolah.Buku teks Sejarah yang diajar di sekolah menengah Malaysia kini hanya menceritakan mengenainya dalam satu muka surat sahaja.Inilah yang menyebabkan nama “Champa” dan sejarahnya yang panjang itu semakin jauh dari pengetahuan generasi muda Melayu kini.

Tidak ramai melainkan sekerat sahajalah yang mengetahui mengenai sejarah Champa ini,terutama sekali sejarah perjuangan rakyatnya mempertahankan kedaulatan Champa itu sendiri dari kerakusan bansga asing yang merampas tanah mereka.

Dalam artikel ini,akan diceritakan secara ringkas namun terperinci mengenai perjuangan rakyat Champa mempertahankan kedaulatan kerajaan mereka sebelum akhirnya musnah dan jatuh ke tangan pihak asing.

JIRAN BARU DI UTARA YANG MEMBAWA MASALAH




Keamanan dan kemakmuran Champa selama lebih 800 tahun itu mula terganggu apabila etnik Dai-Viet,mula membebaskan diri dari penguasaan China dan mengasaskan kerajaan mereka sendiri yang digelar sebagai Kerajaan Vietnam.

Semenjak penubuhan Kerajaan Vietnam oleh orang Dai-Viet pada tahun 939 Masihi,Vietnam mula menunjukkan belangnya dan menjadi jiran baru yang bermasalah buat Champa.Serangan pertama yang dibuat oleh Vietnam ke atas kota Indrapura,ibu negara Champa pada tahun 982 Masihi telah membawa kemusnahan besar dan kematian rajanya.Pengganti baginda kemudiannya mengambil keputusan pada tahun 1000 Masihi untuk meninggalkan kota Indrapura kerana kota itu terlalu dekat dengan wilayah Vietnam,dan berpindah ke kota Vijaya (kini di wilayah Binh Dinh) jauh di selatan.
Perluasan kuasa Dai-Viet yang semakin agresif ke selatan menyebabkan kota Vijaya dijarah pada tahun 1044 atas alasan Champa cuba menyerbu pantai milik mereka.Pada tahun 1068 pula,Raja Rudravarman III cuba menyerang Vietnam untuk membalas dendam atas serangan orang Vietnam sebelum itu,namun baginda dan tentera Champa dikalahkan serta merta oleh raja Vietnam,Ly Thanh Tong lalu ditawan.Untuk melepaskan dirinya,raja tersebut akhirnya menyerahkan wilayah dari kawasan Gate Of Annam hingga ke genting Lao Bao kepada kerajaan Dai-Viet.

Sejak itu,Champa semakin lama semakin hilang wilayah di utara dan Vietnam pula semakin lama semakin agresif meluaskan kuasanya jauh mara ke selatan.Champa mula melemah setelah berlaku konflik politik dalaman dan kemaraan kuasa orang Dai-Viet ke selatan,yang juga menuntut Champa supaya menyerahkan ufti kepada mereka.Champa juga pernah dikuasai oleh kerajaan Khmer pada tahun 1203 hingga tahun 1220 dan pernah juga dikuasai sebentar oleh kuasa Mongol pada tahun 1283.

Pada tahun 1306,wilayah Champa iatu dari genting Lao Bao sehingga ke wilayah Genting Awan diserahkan kepada Vietnam oleh raja Champa,Jaya Simhavarman III (Raja Che Man).Selepas kematian raja tersebut,orang Champa cuba merampas kembali wilayah-wilayah tersebut namun gagal.

Namun sinar harapan baru buat Champa untuk menentang asakan Vietnam mula terbit selepas naiknya seorang raja baru bernama Raja Che Bong Nga (Po Binasuor).
Raja Che Bong Nga yang mempunyai ilmu ketenteraan yang baik,pandai menyusun strategi perang yang licik dan ahli politik yang cekap,bukan sahaja berjaya merampas wilayah-wilayah yang pernah dirampas oleh Vietnam malahan juga dua kali baginda berjaya menjarah kota Thanh Long (Hanoi),ibu negara Vietnam ketika itu.

Namun kejayaan tersebut adalah sangat singkat dan kemunculan Che Bong Nga dalam sejarah Champa ibarat…..

“terbitnya sinar matahari yang terakhir sebelum tenggelam selamanya”.
Raja Che Bong Nga akhirnya dibunuh di atas kapalnya oleh tentera Vietnam di Sungai Merah pada tahun 1390,akibat rahsia lokasi kapal kenaikan baginda dibocorkan oleh salah seorang laksamana baginda yang berbuat khianat.Laksamana tersebut merampas takhta dan menjadi raja Champa dengan gelaran Jaya Simhavarman Sri Harijatti (Raja La Khai).Beliau menyerahkan kembali wilayah-wilayah Genting Awan yang ditakluk oleh raja Che Bong Nga kepada kerajaan Vietnam.Pemerintahan Raja La Khai yang lemah menyebabkan ketidakpuasan hati rakyat Champa dan akhirnya menghapuskan beliau pada tahun 1400.

KEJATUHAN KOTA VIJAYA 1471

Keadaan politik di Indo China pada awal abad kelimabelas mula memihak sedikit kepada Champa apabila Vietnam ditakluk oleh China.Pada masa itulah,Champa akhirnya berjaya mendapatkan kembali wilayah Amaravati yang dirampas beberapa tahun sebelum itu.Namun langit tidak semestinya cerah apabila orang Dai-Viet berjaya menuntut kemerdekaan dari China pada tahun 1445.Konflik antara dua kerajaan itu makin kronik dan menjadi jadi dengan Vietnam melancarkan beberapa siri serangan bertalu talu ke Champa,yang akhirnya melemahkan pertahanannya.Raja Vietnam,Le Thanh Tong membalas serangan Champa dengan menyerangnya melalui jalan darat dan laut menyebabkan tentera Champa melarikan diri.

Pada tahun 1471,tentera Vietnam seramai 250 000 orang kemudiannya menakluk kota Vijaya,ibu negara Champa.Kota tersebut diratakan dan tentera Vietnam memancung empat puluh ribu rakyatnya manakala tiga puluh ribu rakyatnya pula diusir.

Kejatuhan kota Vijaya dan berlakunya pembunuhan beramai-ramai (genocide) dan pengusiran yang dibuat ke atas rakyat Champa pada tahun 1471 itu pada awalnya ditafsirkan oleh sesetengah sejarahwan sebagai “tarikh kejatuhan kerajaan Champa” namun selepas peristiwa tersebut,kerajaan Champa masih wujud cuma wilayahnya semakin jauh ke selatan.

Tahun kejatuhan muktamad kerajaan Champa bukannya pada tahun 1471 tetapi sebaliknya dikirakan pada tahun 1832.

BERMULANYA SATU ERA PERJUANGAN UNTUK MENGEKALKAN KEDAULATAN CHAMPA


Selepas kejatuhan kota Vijaya pada tahun 1471,kerajaan Champa hanya menguasai dua buah negeri sahaja iatu Kauthara dan Pandurangga di selatan berbanding lima buah sebelum perluasan kuasa Dai-Viet.Walau bagaimanapun,kedaulatan Champa masih lagi diakui oleh kerajaan-kerajaan luar,terutamanya China yang mengiktiraf kedaulatan Raja Bo Tri Tri yang menjadi raja Champa pada tahun 1478.

Jika selama ini,kerajaan Champa berpegang kuat dengan nilai-nilai Hindu-Buddha,namun pada zaman pemerintahan Raja Bo Tri Tri,nilai-nilai Islam dan konsep kebudayaan dari Alam Melayu Islam menjadi pegangan kuat dalam kerajaan setelah agama Islam dibawa masuk ke Champa pada kurun ke 10.Champa juga mula menjalinkan hubungan yang baik dan rapat dengan kerajaan-kerajaan Melayu-Islam yang wujud di selatannya.Ini disahkan apabila Sultan Ali Jalla Abdul Jalil Shah,pemerintah Kesultanan Johor mendapat bantuan tentera laut yang dihantar oleh raja Champa,Raja Po Klau Halu (1579~1603) dalam menentang tentera Portugis yang menguasai Melaka pada masa itu.

Walau bagaimanapun,permusuhan Champa dan Vietnam masih lagi berterusan memandangkan Vietnam masih lagi meneruskan kemaraannya ke selatan menerusi kempen Nam-Tien.Setiap serangan Champa yang dilakukan ke atas wilayah Vietnam yang pernah dikuasai oleh Champa dianggap sebagai pencerobohan ke atas Vietnam dan dikenakan tindakan pantas oleh raja Vietnam.

Dalam satu peristiwa,Raja Po Nit (1603~1613) yang cuba menyerang wilayah Quang Nam yang dikawal oleh Vietnam (yang pada masa itu diperintah oleh dinasti Nguyen),telah mendapat balasannya apabila raja Vietnam mengarahkan penaklukan wilayah utara Kauthara pada tahun 1611,dan kemudian mengarahkan lebih kurang tiga puluh ribu penduduk etnik Dai-Viet untuk mendudukinya.Wilayah Champa sekali lagi dikecilkan akibat asakan kuasa Vietnam.

Raja Po Nraup yang cuba merancang untuk menakluk kembali wilayah utara Kauthara,akhirnya diketahui rancangannya oleh kerajaan Vietnam lalu menyerang Champa pada tahun 1611 dan menangkap raja tersebut.Raja Po Nraup akhirnya mati membunuh diri di dalam sangkar besi di mana di situlah baginda dikurung oleh tentera Vietnam.Tidak berpuas hati dengan kejayaan mereka menangkap raja Champa,kerajaan Vietnam kemudiannya menakluk keseluruhan negeri Kauthara.Menjelang akhir tahun 1653,kekuasaan Champa hanya terbatas di negeri Pandurangga sahaja.

CHAMPA MENJADI WILAYAH NAUNGAN VIETNAM

Nasib kerajaan Champa pada awal abad ketujuh belas ibarat hidup segan,mati tak mahu apabila kerajaan tersebut hanya berkuasa di sekitar Pandurangga sahaja dan sempadannya dikelilingi sepenuhnya oleh jajahan Vietnam samada di utara dan selatan (apabila raja Vietnam menakluk daerah orang Khmer di selatan Champa).Ini menyebabkan Champa sedikit sebanyak ditekan oleh Vietnam dan Vietnam hanya menunggu masa sahaja untuk menakluk Pandurangga dan seterusnya menghapuskan terus kerajaan Champa.

Apabila raja Champa,Raja Po Saut (1659~1692) cuba menuntut semula negeri Kauthara,kerajaan Vietnam mengambil tindakan dengan menghantar tiga ketumbukan pasukan tentera untuk menentang Po Saut,merampas dan menakluk kota Pandurangga.Maharaja Vietnam kemudiannya menukarkan nama Chiem Thanh (Champa) kepada Thuan Thanh dan meletakkan tiga mandarin (pembesar) Vietnam untuk mentadbir daerah tersebut.Kedudukan negeri Pandurangga yang menjad wilayah naungan Vietnam semakin tenat dan hanya menunggu masa untuk menerima nasib seperti Kauthara.
Setahun kemudian selepas Po Saut meninggal dunia yakni pada tahun 1693,orang Cham di Pandurangga memberontak dan kebangkitan rakyat tersebut tidak dapat dipadamkan oleh tentera Vietnam.Pemerintahan Vietnam memutuskan untuk melepaskan Pandurangga menjadi wilayah autonomi dan melantik Po Saktiraydaputih (1696~1727) sebagai raja Champa.Raja Po Saktiraydaputih berjanji akan menghantar ufti tahunan kepada istana Raja Nguyen di Hue,ibu kota Vietnam di utara.

TERPERANGKAP DI ANTARA DUA PIHAK

Pada tahun 1771,berlakunya konflik politik dalaman di Vietnam apabila berlakunya kebangkitan Tay Son bersaudara menentang pemerintahan dinasti Nguyen yang dianggap menganianya rakyat Vietnam.Keluarga dinasti Nguyen tidak dapat menahan pemberontakan Tay Son bersaudara itu lalu meninggalkan istana di kota Hue ke lembah Sungai Mekong.

Sementara itu di selatan,kerajaan Champa ibarat gajah sama gajah berlawan,pelanduk mati di tengah-tengah akibat peperangan yang berlaku di antara tentera dinasti Nguyen dan pihak pemberontak.Masing-masing ingin menguasai Pandurangga yang dianggap strategik untuk melemahkan kedudukan musuh masing-masing di kawasan tersebut.Wilayah Pandurangga dan kawasan sekitarnya menjadi medan pertempuran bertubi-tubi di antara dua pihak tersebut,dan ini amat merugikan kerajaan Champa.

Tidak tahan dengan keadaan tersebut,raja Po Crei Brei terpaksa meninggalkan tanah airnya bersama ribuan pengikutnya untuk mencari perlindungan daripada kerajaan jirannya,Kampuchea yang mempunyai hubungan baik dengan Champa.Baginda bersemayam di Rong Damrei,sebuah daerah kerajaan Kampuchea namun mempunyai majoriti penduduk etnik Dai-Viet.

Ditakdirkan perang saudara yang berlaku di Vietnam pada masa itu dimenangi oleh keluarga diraja Nguyen yang berjaya menumpaskan pemberontakan Tay Son bersaudara.
Selepas berjaya menyatukan Vietnam semula di bawah pemerintahan dinasti Nguyen,Gia Long mengisytiharkan diri baginda sebagai Maharaja seluruh Vietnam dan melantik seorang pembesar Champa,Po Sau Nu Can sebagai raja Champa di Pandurangga dan kawasan sekitarnya.
Maharaja Gia Long membenarkan raja Champa yang baru itu mengadakan pasukan tentera kecil sendiri,mengutip cukai namun hanya memerintah etnik-etnik bukan Vietnam di sekitar Pandurangga sahaja.

Champa pada masa itu memperolehi status wilayah autonomi yang baik dan mendapat perlindungan dari seorang pembesar Vietnam bernama Le Van Duyet,yang mentadbir daerah Gia Dinh Thanh dan merupakan rakan seperjuangan Maharaja Gia Long semasa menentang pemberontakan Tay Son sebelum itu. 1832 :

 MINH MENH MENGHAPUSKAN NAMA CHAMPA DARI PETA DUNIA

Namun keadaan Champa mula berubah secara drastik selepas kematian Maharaja Gia Long pada tahun 1820.Beliau digantikan oleh Maharaja Minh Menh yang cuba bersaing dengan pembesar Le Van Duyet untuk menguasai hal ehwal dalaman wilayah Pandurangga.

Selepas kematian Raja Po Sau Nu Can pada tahun 1822,Maharaja cuba melantik seorang pembesar yang disukainya sebagai pengganti namun tindakan ini dihalang oleh Le Van Duyet.
Ini mencetuskan kebangkitan bersenjata di daerah Gia Dinh Thanh yang dikuasai oleh Le Van Duyet.Maharaja Ming Menh akhirnya memutuskan untuk melantik sahaja calon pembesar yang sepatutnya berhak menggantikan Po Sau Nu Can sebagai raja Champa.

Peluang sekali lagi terbuka kepada Maharaja Ming Menh untuk menguasai Champa apabila raja tersebut mangkat pada tahun 1828.Maharaja tersebut melantik seorang pembesar Cham yang disukainya sebagai pengganti namun Le Van Duyet telahpun melantik anak lelaki Po Sau Nu Can yang setia kepada beliau sebagai raja Champa.

Ini mencetuskan ketidakpuasan hati Maharaja Minh Menh.Tambah menyakitkan hati maharaja tersebut,semua kutipan cukai yang dibuat oleh Champa akan dihantar ke Gia Dinh Thanh dan bukannya terus ke ibu kotanya di Hue.Maharaja tidak boleh menerima kenyataan bahawa Pandurangga menjadi naungan Le Van Duyet dan bukannya kepada dirinya dan kerajaan pusat,namun beliau tidak dapat berbuat apa-apa kerana Le Van Duyet merupakan seorang pembesar yang sangat berpengaruh dan mempunyai bala tentera yang besar dan gagah perkasa pula.

Champa akhirnya menerima nasib mereka pada tahun 1832 selepas kematian Le Van Duyet.Maharaja Minh Menh tanpa membuang masa lagi meletakkan wilayah Pandurangga secara langsung ke dalam kawalan kerajaan pusat Vietnam.Rakyat jelata yang terdiri daripada orang Cham dikenakan tahanan penjara dan sawah-sawah mereka dirampas.Dari situlah,kerajaan Champa yang wujud selama lebih 1700 tahun dalam sejarah Indo China akhirnya jatuh dengan rasminya dan nama Champa akhirnya dihapuskan dari peta dunia.

KESIMPULAN DAN IKTIBAR

Sejarah Champa yang ditekan oleh perluasan kuasa Dai-Viet hingga menyebabkan kejatuhan muktamadnya pada tahun 1832,memberi iktibar bahawa sudah menjadi lumrah dunia bahawasannya bangsa yang kuat akan dapat menekan dan menindas yang lemah.

Rentetan konflik antara Champa-Vietnam pada zaman dahulu adalah lebih kurang sama dengan konflik antara Israel-Palestin pada zaman moden,dengan wilayah Palestin dikecilkan dan rakyat Palestin terpaksa meninggalkan kampung halaman mereka sementelah Israel pula semakin menekan Palestin dengan agresif dan setiap wilayah yang asalnya didiami oleh orang Palestin,akan didirikan penempatan haram untuk orang Yahudi.Ini sama seperti tindakan kerajaan Vietnam pada masa dahulu,yang memindahkan penduduk dan rakyat mereka untuk menduduki wilayah baru yang dirampas dari Champa.

Kebanjiran penduduk Vietnam yang baru berpindah ke wilayah-wilayah yang asalnya dipegang Champa tidaklah dapat dihalang kerana menurut sumber China pada abad ke 11,bilangan rakyat Vietnam pada masa itu adalah sepuluh kali ganda lebih ramai dari bilangan rakyat Champa.Hasilnya Champa dan rakyatnya menderita teruk akibat perluasan kuasa dan pertambahan rakyat Vietnam ke selatan melalui gerakan Nam-Tien,yang diibaratkan sebagai “air di dalam sebuah cawan yang penuh dan mengalir keluar”.

Selepas kejatuhan Pandurangga pada tahun 1832,ramai etnik Cham yang terpaksa berhijrah meninggalkan tanah air tercinta dan menetap di negara Kampuchea dan Malaysia,terutama sekali di negeri Kelantan.Pengganti Maharaja Minh Menh,iatu orang yang bertanggungjawab menghapuskan kerajaan Champa telah mengintegrasikan orang Cham ke dalam sosio-budaya Vietnam,sebelum kedatangan penjajah Perancis.

**sepertimana tenggelamnya matahari di pekarangan candi peninggalan Champa di Myson,seperti itulah tenggelamnya terus kegemilangan Champa dari mata dunia.**
Bibliografi :

Mohammad Zain Musa.2009.“KERAJAAN CAMPA–Hubungannya Dengan Vietnam”

Urania Antypa,”Cham Nationals Overseas”

Mohamad Zain Bin Musa. 1992. “Campa: Runtuhnya sebuah kerajaan Melayu”

-RAD-


-sumber-

Comments

Popular posts from this blog

MAKHLUK DAN RASAKSA MITOS

M.Zain Labu Labi