Tuesday, September 2, 2014

M.Zain Labu Labi




M. Zain atau nama sebenarnya Mohd. Zain bin Shariff dilahirkan di Jalan Perak, Pulau Pinang pada tahun 1921, ialah seorang pelakon Malaysia. Bapa beliau merupakan seorang penjual mi yang dikenal sebagai Shariss Tomato Mi. M. Zain meminati bidang lawak semenjak zaman kanak-kanak. Oleh sebab itu, beliau kurang memberikan perhatian pada persekolahan. Malah, beliau sanggup ponteng sekolah semata-mata untuk menonton bangsawan ataupun apa-apa bentuk pentas.





M. Zain memilih pekerjaan di pentas bangsawan bergerak. Beliau memasang dan mengecat pentas, memasang set, dan sebagainya dengan mendapat upah harian. Kadangkala, beliau menjadi penghibur gantian, bernyanyi dan berlawak. Pada mulanya, M. Zain bekerja dengan Dean Opera. Kemudian, beliau bekerja pula dengan Seri Noran Opera. Tiga tahun kemudian, M. Zain benar-benar menjadi anak wayang. Kerja beliau hanyalah menari, menyanyi dan berlakon, terutama cerita lucu.

Normadiah merupakan salah seorang kawan rapat beliau ketika mereka sama-sama menyertai rombongan bangsawan pada pertengahan tahun 1940-an. Mereka berpisah apabila Normadiah memasuki dunia perfileman di Singapura, sedangkan M. Zain masih bekerja di pentas bangsawan. Pada tahun 1962, M. Zain memperoleh peluang berlakon filem melalui bantuan Normadiah. Filem tersebut dilakonkan juga oleh Datuk Ahmad Mahmud, Saadiah dan Ibrahim Pendek.

M. Zain semakin menonjol apabila P. Ramlee megambil beliau berlakon dalam filem Labu Labi pada tahun 1962. Dalam filem tersebut, M. Zain membawa watak Labu, manakala P. Ramlee membawa watak Labi. Labu Labi yang diarahkan oleh P. Ramlee adalah untuk menghilangkan sangkaan banyak orang bahawa P. Ramlee hanya bergantung pada kebolehan berlawak Datuk Aziz Sattar dan S. Shamsudin. Terbukti, sangkaan dan tuduhan tersebut tidak berasas. P. Ramlee berjaya membentuk satu pasangan lawak baharu itu, beliau dan M. Zain, yang amat berkesan seperti pasangan Datuk Aziz Sattar dan S. Shamsudin

Dari Labu Labi, lahir pula Nasib Si Labu Labi pada tahun 1963, sebuah filem komedi yang hangat di pasaran. M. Zain dan P. Ramlee menjadi pasangan pelawak yang sungguh serasi dan diminati. Kesemua lakonan M. Zain selama menjadi pelakon filem berbentuk lucu atau komedi kecuali lakonan beliau dalam filem Ibu Mertuaku pada tahun 1962.

Dalam filem bercorak drama berat arahan P. Ramlee itu, M. Zain memegang watak yang agak serius. Beliau berlakon sebagai pemilik rumah yang bernama Bang Ali. Bang Ali berdepan dengan Kassim Selamat, pemain muzik buta yang tidak mampu membayar sewa rumah. Bang Ali terpaksa bertindak dengan cara yang paling lembut meminta Kassim Selamat mengosongkan bilik sewanya. "Inilah lakonan yang paling sulit buat saya", ujar M. Zain ketika mengulas lakonan serius yang pertama kali dilakonkan oleh beliau.

M. Zain senasib dengan kakitangan MFP yang lain menjadi penganggur selepas syarikat filem itu ditutup pada tahun 1967. Beliau jatuh sakit tidak lama selepas itu. Akhirnya, pada 31 Januari 1967, beliau menghembuskan nafas terakhir di Singapura pada usia 46 tahun. Kawan-kawan yang pernah bertugas dengan beliau di MFP, menyifatkan M. Zain sebagai seorang pelakon yang dedikasi dan kawan yang jujur serta ikhlas.

Antara filem lakonan beliau :

1959 : Filem Nujum Pak Belalang - (pelakon tambahan)
1961 : Filem Seniman Bujang Lapok - (pelakon tambahan)
1961 : Filem Ali Baba Bujang Lapok - (pelakon tambahan)
1962 : Filem Ibu Mertuaku - (pelakon pembantu)
1962 : Filem Siti Muslihat - (pelakon pembantu)
1963 : Filem Labu dan Labi - (pelakon utama)
1963 : Filem Nasib Si Labu Labi - (pelakon utama)
1964 : Filem Mambang Moden - (pelakon pembantu)
1965 : Filem Sayang Si Buta - (pelakon pembantu)
1966 : Filem Aksi Kuching - (pelakon pembantu)

Sumber

1 comment:

Unknown said...

Terima kasih tuan. Arwah M. Zain ni ada anak dan isteri ke?