Sunday, September 21, 2014
Aksi Di Sebalik Akta Hasutan
AKTA Hasutan telah wujud sejak 66 tahun lalu dan kini, ketika ia melalui detik-detik senjanya, suara yang mendesak ia dilenyapkan semakin lantang didengari.
Tak juga diam, terdapat juga suara dari “pihak sebelah lagi” yang tidak mahu perdana menteri mansuhkan akta tersebut, sebagaimana beliau melupuskan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
Yang menarik perhatian penulis, di tengah-tengah perdebatan yang belum ada penghujungnya itu, kita dapat melihat pertukaran peranan di antara aktivis politik dan ahli politik dalam mempengaruhi arah tuju negara.
Suatu masa dulu, aktivis-aktivis politik ini – ramai di antaranya dari badan bukan kerajaan, kesatuan sekerja dan kumpulan pendesak – tidak begitu ketara kerana tokoh politik dianggap lebih berpelajaran dan mempunyai kedudukan yang lebih disanjungi di kalangan masyarakat.
Lain kisahnya sekarang. Hari ini, kasut beralih dipakai di kaki sebelah. Pihak aktivis kini sudah seolah-olah menjadi selebriti media, dengan diberi ruang berita yang lebih luas dan penting berbanding para politikus dan menteri.
Malah, para politikus pula mulai bergantung kepada populariti sang aktivis. Maka, penulis memohon maaf kepada mereka yang berkenaan kerana menganggap para aktivis politik – yang kini termasuk peguam, ahli akademik, pengamal media dan pelajar - sebagai “taiko” baru di kalangan masyarakat, sementara politikus dan pak menteri terkesampingan.
TIDAK BOLEH DILAKUKAN
Berbalik kepada Akta Hasutan, Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengumumkan dua tahun lalu bahawa ia akan dimansuhkan dan laporan-laporan kebelakangan ini membayangkan yang Rang Undang-Undang Keharmonian Negara yang bakal menjadi penggantinya akan dibentangkan di Dewan Rakyat.
Perundangan baru ini dikatakan memberi penekanan kepada pemupukan semangat kekitaan dan saling menghormati dalam masyarakat yang berbilang bangsa, kaum dan agama di negara ini.
Akta yang sedia ada tidak jauh berbeza dan, pada dasarnya, mengingatkan kita kepada apa yang sepatutnya tidak boleh dilakukan.
Misalnya, ia menangani perbuatan yang mendatangani kebencian dan penghinaan atau membangkitkan perasaan tidak menghormati agama Islam dan lain-lain agama.
Ia juga meliputi perbuatan menimbulkan permusuhan antara kaum dan menyoal apa-apa hak, kedudukan, keistimewaan, kedaulatan atau prerogatif yang dilindungi dalam perlembagaan negara, termasuk kedudukan Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu.
Namun, kebelakangan ini, dengan sederetan orang dibawa ke mahkamah kerana dituduh menimbulkan keresahan, di antaranya, terhadap sistem beraja, pelbagai pihak meminta agar Akta Hasutan 1948 ini dilenyapkan lebih awal.
Anehnya, walaupun Akta ini sudah wujud lebih daripada enam dekad, ada pengkritik yang menyifatkannya sebagai ISA “baru” dan mendakwa ia menyekat dan merencatkan suara demokrasi.
SOKONG DAN BANTAH
Mereka yang membantah Akta Hasutan ingin mencapai beberapa matlamat, di antaranya pengelakan dari berlakunya suatu lagi operasi cantasan seperti tindakan di bulan Oktober 1987 yang menyaksikan lebih 100 orang dicekup.
Ops Lalang merupakan suatu operasi besar-besaran di seluruh negara yang dikuatkuasakan untuk mencegah huru-hara akibat permainan politik perkauman.
ISA, yang digunakan sewaktu itu untuk menangkap mereka yang mungkin menimbulkan kejadian memecah-belahkan perpaduan nasional, kini dianggap lapuk dan tidak sealiran dengan keadaan semasa di abad baru ini.
Menyerah kepada permintaan popular, penghapusan ISA menjadi di antara agenda utama Najib apabila beliau mengambil alih kerusi perdana menteri pada tahun 2009.
Namun, dengan timbulnya pelbagai isu kebelakangan ini yang dianggap serius dan berupaya mencetuskan ketegangan di kalangan rakyat serta hubungan luar negara, didengari pula suara yang mahu Akta Hasutan dikekalkan.
Bagi kumpulan ini, jika kerajaan menidakkan keluhan mereka dan hanya melayani pandangan-pandangan “yang sumbang” atas nama pembebasan bersuara, ia akan menjejaskan keselamatan negara.
“Pihak pemerintah harus ingat ia punyai dua tanggungjawab dan jaminan – iaitu, menjaga ketenteraman awam dan menghukum mereka yang mencetuskan kekacauan.
“Jika kerajaan memansuhkan Akta Hasutan, sepertimana ia melakukannya kepada ISA, ini bermakna ia melepaskan tanggungjawab untuk melindungi perpaduan dan integriti negara dengan membiarkan huru-hara berlaku,” seorang rakan yang arif memberitahu penulis.
DI SEBALIK PENDIRIAN
Terserah kepada pembaca untuk membuat rumusan dan pendirian mengenai isu hasutan ini tapi penulis melihat beberapa pihak sudah mula menggunakannya sebagai alat menabur fitnah dan muslihat.
Di sebalik pendirian yang dipamerkan kepada awam, masing-masing berjuang hanya untuk kepentingan diri dan bukan untuk agenda masyarakat umum.
Yang ketara, lebih-lebih lagi di pihak pendesak, sikap mereka seperti dipengaruhi watak-watak yang diwawancara saluran-saluran berita luar negara yang cenderung kepada pandangan serta perilaku yang radikal dan liberal.
Penulis sudah baca pandangan dan hujah yang mereka siarkan melalui rencana, blog, kenyataan dan sebagainya dan berpendapat maklumat yang disediakan mudah diperolehi di Wikipedia.
Penulis berpendapat, politik masa kini sudah jadi permainan dan bukan lagi perjuangan.
==SUMBER==
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment