Friday, November 26, 2010

Panduan Supaya DOA diterima Allah


1. Memahami dan mengerti akan maksud serta makna doa yang diminta. Kita boleh menggunakan apa-apa juga bahasa sewaktu berdoa asalkan kita memahami dan mengerti akan maksud yang diminta itu. Namun sebaik-baik bahasa yang harus digunakan adalah Bahasa Arab kerana ia adalah Bahasa Al-Quran yang diturunkan oleh Malaikat melalui wahyu yang datang terus dari Allah s.w.t. Selain itu semua doa-doa yang diajarkan oleh Rasulullah juga adalah dalam Bahasa Arab.

2. Berdoa dengan penuh keikhlasan hati serta merendahkan diri semata-mata hanya kerana Allah.

3. Berdoa dan meminta kepada Allah dengan sebenar-benar permintaan dan dilakukan dengan bersungguh-sungguh.

4. Tidak berdoa dan meminta kepada sesuatu perkara yang mustahil, sesuatu perkara yang buruk atau pada perkara-perkara yang boleh mendatangkan dosa.

5. Berdoa dengan penuh khusyuk dan keyakinan diri bahawa doa yang di pohonnya itu akan diperkenankan oleh Allah.

6. Berdoa, bertaqwa dan bertawakal kepada Allah iaitu dengan memelihara dan menjaga setiap suruhan dan larangan-Nya.

7. Tidak pernah berputus asa didalam doanya sekalipun permintaannya itu lambat dimakbulkan oleh Allah malah sentiasa beristiqomah, sabar dan menyerah diri kepada Allah.

Bersabar Dalam Berdoa
Hadith :

Dari Abu Hurairah r.a bahawa nabi SAW telah bersabda:”Allah sentiasa memperkenankan doa seorang hamba selama doa itu tidak mengandungi (perkara) dosa, (perkara yang) memutuskan silaturrahim dan selama tidak meminta supaya cepat-cepat diperkenankan.” Lalu baginda ditanya oleh seseorang:”Apa maksudnya meminta dicepatkan?”Jawab baginda:”Umpamanya seseorang itu berkata dalam doanya:”Aku telah berdoa, aku telah berdoa tetapi aku belum melihat doaku diperkenankan. Lalu aku putus asa dan berhenti berdoa.”

(Muslim)



Huraian

Betulkah setiap doa akan dikabulkan oleh Allah ? Mungkin ada antara kita yang telah berdoa sesuatu namun tidak merasakan keberhasilannya. Selaku hamba, kita harus menyedari bahawa kita tidak berhak memaksa Allah kerana kitalah yang berhajatkan sesuatu bukan sebaliknya. Sesungguhnya Allah lebih tahu apa yang terbaik untuk kita atau mungkin Allah mempunyai ketentuan lain yang tidak kita ketahui. Mungkin juga doa kita bukan tidak dikabulkan tetapi ditunda waktunya atau diganti dengan yang lebih baik. Nabi Zakaria a.s adalah contoh manusia yang sangat kuat nilai kesabarannya. Baginda telah puluhan tahun berdoa agar dikurniakan zuriat namun belum dikabulkan Allah. Antara isi doa baginda ialah: “Ya Tuhanku, sesungguhnya tulangku telah lemah dan kepalaku telah ditumbuhi uban, dan aku belum pernah kecewa dalam berdoa kepada Engkau, ya Tuhanku. (Maryam:4) sehingga pada akhirnya Allah SWT memakbulkan permintaan baginda dengan mengurniakan seorang anak lelaki bernama Yahya. Begitulah sikap yang seharusnya kita contohi iaitu jangan sekali-kali kecewa dalam berdoa.




No comments: