Sunday, December 5, 2010

SBDJ Siri 11 - Menunggang Harimau di Tengah Malam

Datuk terus membaca sesuatu. Datuk mengambil seketul batu dari perut perahu. Batu itu dibalingkan pada lembaga yang terpacak dalam sungai. Bila batu itu terkena badan lelaki yang besar dan gagah. Dia segera menjerit dengan sekuat hatinya. Kemudian dia menghilangkan diri. Air sungai yang melempah terus surut. Suasana yang cerah bertukar menjadi gelap. Saya merenung ke langit. Bintang bertaburan. Mr.Brown tidak berkata walau sepatah pun. Dia terjelepuk dalam perut sampan.

"Dia sudah pergi," kata datuk dan terus mengalah sampan ke hilir. Lebih kurang pukul sepuluh malam kami sampai ke Jambatan Pengkalan Bharu. Dari situ datuk menumpang lori ikan menuju ke Pekan Pantai Remis. Datuk membuat laporan ke balai polis. Sarjan Ramli menyuruh seorang pemandu kereta polis membawa datuk ke Jambatan Pengkalan Bharu kembali.

Dengan kereta polis kami menghantar Mr.Brown ke bunglownya. Kerana jam sudah pukul dua belas. Mr.Brown menyuruh saya dan datuk tidur di bunglownya. Kira-kira pukul dua pagi Mr.Brown menjerit tidak tentu arah. Dia berlari ke seluruh kawasan bunglownya sambil menjerit. Semua pekerja ladangnya menjadi gempar. Datuk dengan bantuan pekerja ladang getah berjaya menangkap Mr.Brown. Mr.Brown terpaksa diikat di pangkal pokok getah di depan bunglownya dengan rotan seni. Dan datuk terpaksa menjaganya hingga ke pagi. Seorang kerani besar di ladang tersebut. Mr.Anadurai terus menghubungi Hospital Lumut. Lebih kurang pukul sepuluh pagi sebuah ambulan dari Hospital Lumut tiba. Mr.Brown yang masih menjerit dan mengoyak pakaiannya dimasuk ke dalam kereta tersebut. Dari Hospital Lumut dia dibawa ke Hospital Besar Ipoh. Seminggu Mr.Brown duduk dalam jeriji besi di Hospital Besar Ipoh.

Lepas itu Mr.Brown dibawa ke rumah sakit otak di Tanjung Rambutan. Tiga bulan Mr.Brown ditempatkan di situ. Datuk tidak pernah sekali pun melawatnya. Penyakit Mr.Brown tidak juga mahu sembuh.

"Orang putih tu tak jujur," datuk mengadu pada saya.

"Kenapa tok kata macam tu ?"

"Aku yakin dia tak jujur," suara datuk merendah. Saya bertambah binggung kerana datuk tidak menerangkan apakah maksudnya dengan perkataan tidak jujur itu. Dan saya tidak mahu menyoal lebih lanjut tentang perkara tersebut. Datuk nampak resah saja sepanjang hari itu. Semua kerja yang dibuatnya terganggu. Dia asyik mahu marah saja, kalau saya membunyikan radio agak kuat.

"Aku mahu ke rumah orang putih bangsat tu, memanglah orang-orang dari England ni, satu bangsa yang tak boleh dipercayai, di depan kita bukan main baik, belakang kita jadi pengkhianat pada diri kita sendiri," datuk merunggut panjang. Dia pun mengenakan seluar hitam dan baju merah ke badannya.

"Buat apa datuk ke rumah dia ?" Dia bukan ada."

"Kau mana tau, ini urusan aku." Datuk memijak anak tangga turun dan mengambil basikal di bawah rumah. Dengan basikal dia pergi rumah besar Mr.Brown. Lebih kurang pukul lima petang datuk pun pulang. Saya melihat dia membawa satu bungkusan kecil di pelantar basikalnya. Sebaik saja datuk menongkat basikal saya terus menghampirinya.

"Jangan pegang bungkusan tu."

"Apa bendanya tok ?"

"Tanah yang diambil Mat Sallih bangsat tu, di tempat puaka disembunyikan dalam beg."

"Tok nak buat apa dengan tanah itu."

"Aku nak pulangkan balik, kalau tak dipulangkan kita kena petakanya.

Mendengar cakap datuk itu, fahamlah saya kenapa dia menuduh Mr.Brown tidak jujur. Dan malam itu saya menemani datuk menghanyutkan tanah di sungai. Datuk meletakkan tanah segumpal itu di atas upih pinang, kemudian dihanyutkan. Masa datuk melakukan semuanya itu, dia tidak bercakap atau bersuara cuma lulutnya saja yang kelihatan kumat-kamit membaca sesuatu.

Seminggu selepas datuk menghanyutkan tanah puaka itu. Datuk mendapat berita dari kerani besar ladang getah yang Mr.Brown telah meninggal dunia. Mayatnya telah pun dihantar ke England. Tempat Mr.Brown segera diganti oleh J.Mackintos dari Singapura, tetapi yang anehnya pengurus baru itu tidak berani duduk di bunglow. Setiap kali dia tidur di bunglow tersebut. Dia selalu saja diganggu oleh satu lembaga yang menyerupai Mr.Brown. Kadang-kadang pengurus baru tiu diangkat dari bilik tidur ke ruang dapur. Ada kalanya dicampakkan ke tengah halaman bunglow. Jadi, bunglow besar yang serba lengkap terbiar. Dalam tahun 1960 bunglow besar itu dibakar oleh seorang pekarja ladang getah yang naik darah kerana setiap malam dia terdengar bunyi orang menangis dalam bunglow tersebut. Sebaik saja bunglow itu hangus di makan api. Pekerja itu mati ditimpa oleh salah satu tiang dari dalam bunglow itu hingga kini masih wujud. Penuh dengan pokok-pokok hutan.

Semua peristiwa itu dijadikan datuk sebagai pengajaran. Dia selalu mengingatkan saya begini : Lakukan semua pekerjaan atau apa saja dengan rasa tanggung jawab dan jujur. Kerana kejujuran adalah harga diri manusia yang tidak ternilai. Telalu sedikit manusia yang tidak jujur pada diri sendiri, pada janji dan sebagainya, bila kau menjadikan kejujuran itu panduan hidup, engkau akan merasa kebahagiannya.

Saya cuma anggukkan kepala sahaja bila mendengar dia berkata begitu. Beberapa bulan berselang, datuk menyatakan hasratnya untuk pergi ke Kampung Sadang untuk memikat burung waktu malam. Saya tidak tahu bagaimana datuk teringatkan hal itu. Pada fikiran saya dia sudah tentu melupakannya. Sebenarnya, saya sudah memutuskan dalam hati, bahawa saya tidak akan menurut bersama datuk pergi ke tempat tersebut.

"Minggu depan, petang Jumaat aku nak pergi," datuk mengingatkan saya.

"Baguslah tu tok, barang-barang yang dulu semuanya ada di dalam bilik."

"Kau bagaimana ? Tak mahu ikut sama ?" tanya datuk.

"Saya malaslah datuk." Datuk puas hati dengan jawapan saya itu. Sementara menanti petang Jumaat, datuk hanya duduk di rumah saja. Kadang-kadang dia menjenguk bini mudanya di kampung bunian. Pada suatu petang. Selepas datuk menemui isteri mudanya, dia memanggil saya. Cepat-cepat saya menghampirinya. Datuk duduk terjuntai kaki di kepala tangga.

"Ada apa datuk ?"

"Dua tiga hari ni, aku selalu teringatkan adik bongsu aku yang duduk di Hulu Kuang, agaknya dia sakit."

"Habis datuk nak pergi ke sana ?"

"Hajat tu memanglah begitu."

"Kata datuk, datuk nak pergi ke Kampung Sadang."

"Itu tak mustahak yang penting adik beradik." Saya terdiam mendengar cakap datuk itu. Saya segera teringat, kali terakhir saya bertemu dengan adik bongsu datuk yang saya panggil ayah Ngah itu, dalam tahun 1947. Lepas itu saya tak pernah bertemu dengannya lagi, terlalu sukar untuk pergi ke Hulu Kuang. Tidak ada kenderaan yang boleh sampai ke sana. Lagipun kawasan itu termasuk dalam kawasan hitam, (sekarang sudah ada jalanraya dan kenderaan yang berulang-alik dari Chemor ke Hulu Kuang) kerana hal-hal itu saya dan datuk terpisah dengan keluarga.

Petang itu juga kami bertolak dari rumah datuk ke Ipoh dengan naiki bas. Dari Ipoh kami menyewa teksi pergi ke Chemor. Sampai ke Chemor sudah pukul enam petang. Kami tidak dibenarkan masuk ke Hulu Kuang, kerana kawasan itu terlibat dengan perintah berkurung dari jam enam petang hingga enam pagi.

Suara Harimau

Datuk terus melaporkan dirinya ke Balai Polis Chemor kerana kami membuat keputusan untuk tidur di masjid Chemor. Sesudah memberikan butir-butir mengenai diri kami kepada pihak polis, kami dibenarkan tidur di masjid tersebut. Sesudah menunaikan sembahyang Isyak, saya terus baring di bucu masjid. Datuk baring dekat tiang. Akhirnya saya terlena. Lebih kurang pukul dua malam, datuk mengejutkan saya.

"Bangun kita pergi ke Hulu Kuang."

"Macam mana nak pergi, nanti kita kena tangkap atau ditembak askar."

"Kau ni banyak cakap pula, bangun sajalah," suara datuk keras.

Dia menarik tangan saya hingga terduduk. Saya terus kesat mata dengan belakang tangan. Datuk menyuruh saya berdiri di muka pintu masjid. Perintahnya saya ikuti.

"Sebentar lagi dia datang," Datuk beritahu saya.

"Apa yang datang tok ?" tanya saya ingin tahu.

"Kau jangan banyak cakap," Datuk menyergah saya.

Mukanya kelihatan bengis. Masa itu datuk sudahpun mengenakan baju hitam, seluar hitam di badan. Kepalanya juga dililit dengan kain hitam. Dalam hati kecil saya timbul keraguan tentang diri datuk. Saya mengira dia ada hubungan dengan pengganas komunis. Kalau tidak masakan dia berani berjalan malam waktu zaman dharurat.

"Ke tepi," datuk menolak badan saya yang tercegat di muka pintu masjid. Saya tersungkur atas lantai. Datuk menampar tangan kanannya ke pangkal paha kanannya dengan sekuat hati. Dia melemparkan tujuh biji batu bertih ke tengah laman masjid. Kemudian datuk menekan ibu jari kanannya ke tapak tangan kiri tujuh kali berturut-turut. Tiba-tiba saya terdengar bunyi suara harimau mengaum. Cukup kuat. Kepala lutut saya mengeletar. Dengan tiba-tiba sahaja saya rebah atas lantai masjid dan tidak berdaya bangun. Seekor harimau belang yang cukup besar muncul di depan halaman masjid sambil menguit-guitkan ekornya.

"Makanlah kau lapar," suara datuk keras. Saya lihat harimau itu terus memakan tujuh biji bertih. Bila harimau itu selesai makan. Datuk segera merapatinya. Datuk menggosok-gosok kepala harimau itu dengan tangannya. Dan lidah harimau yang panjang itu menjilat pipi dan hidung datuk. Harimau itu berguling-guling atas tanah sambil kakinya menampar seluruh badan datuk. Datuk mengosok perut harimau itu. Datuk mengira kuku di jari harimau. Datuk bermain-main dengan harimau macam bermain dengan anak kucing. Akhirnya datuk menepuk dahi harimau tujuh kali dengan tangan kiri. Harimau pula menjilat telinga kanan datuk tujuh kali.

"Bangun, kau dah kenyang." Mendengar cakap datuk itu , harimau besar segera bangun sambil menguap. Saya bertambah ngeri melihat giginya yang tajam dan putih. Harimau itu menggaum lagi. Datuk memanggil saya. Saya cuba bangun tapi saya tidak berdaya. Tempurung lutut saya terasa longgar. Datuk terus menarik tangan saya. Saya diheret hingga ke depan harimau besar.

"Ini cucu aku," datuk memberitahu harimau besar. Saya lihat sepasang mata harimau itu merenung ganas ke wajah datuk. Datuk berdehem tiga kali berturut-turut. Harimau itu melunjukan kaki depannya. Badannya direndahkan. Datuk mengangkat badan saya lalu diletakannya di pangkal tengkuk harimau berbadan besar serta berbelang tebal. Saya rasa nyawa saya sudah melayang dari badan. Badan saya jadi lembik. Saya tidak boleh duduk tegak. Dada dan muka saya terhempap atas batang leher harimau.

Bulu harimau yang kasar dan keras itu mencucuk batang hidung dan pipi saya. Bila harimau itu mengerak-gerak badannya saya juga ikut bergerak.

"Peluk tengkuknya kuat-kuat," datuk mengigatkan saya.

Antara sedar dengan tidak saya lihat datuk terus naik atas belakang harimau. Harimau besar itu segera menegakkan badannya. Datuk terus menepuk-nepuk punggung harimau, macam gembala lembu menepuk punggung lembu.

"Ke Hulu Kuang," saya terdengar suara datuk. Serentak dengan itu harimau pun melangkah. Saya rasa harimau itu berjalan bagaikan tidak jejak ke bumi. Melayang-layang di udara membelah pekan Chemor melintasi jambatan keretapi. Terus menghala ke kampung Cik Zainal serta melintasi kawasan Kampung Baru Tanah Hitam. Saya nampak tentera berjaga dengan senjata di tangan. Semuanya tidak memandang ke arah kami. Kerana terlalu laju harimau itu bergerak. Badan saya terasa sejuk. Belum selesai saya menghitung dari satu sampai ke sepuluh. Harimau itu sudahpun tiba di kaki tangga rumah adik bongsu datuk. Hari masih gelap lagi. Kokok ayam masih kedengaran. Datuk menurunkan saya dari belakang harimau.

Toyol

Sebelum harimau meninggalkan kami, datuk memberi harimau itu makan tujuh biji bertih. Saya tidak tahu dari mana bertih itu diperolehi oleh datuk. Selesai saja harimau itu memakan bertih. Lagi sekali datuk menepuk-nepuk dahi harimau. Datuk membisikkan sesuatu ke telinga harimau. Dan harimau itu bagaikan mengerti dengan apa yang diucapkan oleh datuk kerana telinganya bergerak-gerak.

"Balik ke rumah kita jaga kampung serta tanah ladang kita," suara datuk meninggi. Harimau itu mengguap panjang. Dengan sekelip mata saja harimau besar hilang dari pandangan saya. Datuk tidak segera mengejutkan adik bongsunya. Menurut datuk pantang besar kalau kita menunggang harimau mengejutkan tuan rumah yang kita pergi sebelum tuan rumah itu terjaga. Adik bongsu datuk terkejut , bila dia membuka pintu rumah pagi itu didapatinya kami duduk di kaki tangga. Dia mengucap panjang dan merasa takjub bagaimana kami boleh sampai pagi ke tempatnya sedangkan perintah berkurung berakhir pada jam enam pagi. Dia terus menyoal datuk bagaimana kami boleh sampai terlalu awal. Pertanyaan atau soalan itu tidak dijawab oleh datuk. Datuk mengubah tajuk perbualan pada perkara lain.

Sambil minum kopi pagi, adik bongsu datuk menceritakan keadaan kampung Hulu Kuang sambil bertanya khabar hal nenek serta anak cucu datuk. Perbualan datuk dengan adik bongsunya sungguh rancak pagi itu. Saya tidak banyak campur dalam perbualan mereka. Saya lebih senang berdiri di muka tingkap melihat daun-daun pokok yang menghijau serta puncak gunung yang diselimuti kabus nipis.

"Kau sakit, aku nampak kau kurus sangat ni," saya terdengar suara datuk. Saya segera menoleh ke belakang. Saya lihat datuk sedang memerhati tubuh adik bongsunya yang cengkung dan kurus.

"Saya baru baik dari demam, dan tu kena berjaga malam pula," jawab adik bongsu datuk.

"Hai, musim dharurat pun kena berjaga malam ?"

"Berjaga dalam rumah ?" sahut isteri adik bongsu datu dari dapur. Saya tertarik hati dengan perbualan itu. Memaksa saya duduk di sebelah datuk. Datuk saya lihat mengkerutkan keningnya.

"Kenapa pula tu. Ada pencuri ke ?" Pertanyaan itu tidak dijawab oleh adik bongsu datuk dan isterinya. Mereka kelihatan resah dan tidak menentu.

"Apa halnya cakap. Kalau boleh aku tolong, aku berusaha menolong kalau tak boleh kita cari orang lain untuk menolongnya," datuk memberi sebuah harapan. Isteri adik bongsu datuk tersenyum. Adik bongsu datuk termenung panjang.

"Susah orang nak menolongnya," begitu hampa nada suara adik bongsu datuk.

"Susah macam mana ?" tanya datuk.

"Kerja iblis."

"Kita lawan cara iblis."

"Begini, di kampung ni ada toyol jadi-jadian , sekejap menjelma jadi kucing, sekejap jadi tikus." Adik bongsu datuk menerangkan sambil merenung ke kiri kanan. Datuk terdiam. Lama juga datuk termenung. Datuk bangun berdiri di muka pintu. Tangan kanannya memaut jenang pintu. Datuk duduk kembali. "biasanya toyol jadi-jadian ni, ada orang yang membelanya. Dia mesti sepasang ada jantan betinanya. Rumah kau ada dia masuk ?"

"Ada, dia menyerupai kucing hitam, bila terserempak dengan kami dia menghilangkan diri." Dengan penerangan adik bongsunya itu datuk dapat menduga bahawa toyol jadi-jadian itu masih belum mempunyai pasangan lagi.

Dan orang yang membela akan berusaha mencari pasangannya. Datuk memberitahu adik bongsunya, perkara itu boleh diatasi atau dilenyapkan terus dengan syarat dia harus tinggal di Hulu Kuang agak lama sedikit. Untuk mencari tuan punya toyol jadi-jadian itu memakan masa. Memerlukan beberapa syarat yang tertentu.

"Kerjanya sulit, tapi harapan masih ada kerana tuan punya masih mencari pasangannya lagi," jelas datuk dengan tenang.

"Macam mana caranya ?" soal isteri adik bongsu datuk. Mendengarkan pertanyaan itu datuk tersenyum panjang sambil memicit pangkal dagu.

"Kita tunggu kalau ada perempuan mati beranak sulung, baru senang menangkap tuannya. " Cakap datuk itu membuat adik bongsu datuk dan isterinya berpandangan.

Dalam kepala isteri adik bongsu datuk mula terbayang tentang perempuan-perempuan di Kampung Hulu Kuang yang mengandung anak sulung. Ada lima orang semuanya. Atas persetujuan orang-orang Kampung Hulu Kuang datuk diminta duduk di kampung tersebut selama dua bulan untuk menghalau toyol jadi-jadian yang menganggu kampung mereka. Nasib datuk dan saya agak baik, baru tiga minggu di Hulu Kuang, terdengar salah seorang daripada penduduk kampung itu meninggal dunia ketika melahirkan anak sulung. Anak dan ibu mati serentak. Datuk pergi ke rumah keluarga yang malang itu, datuk turut sama menghantar jenazah ibu dan anak itu ke tanah kubur.

Tetapi, sebaik sahaja datuk pulang dari tanah kubur. Datuk tidak dapat tidur sepanjang malam. Dia didatangi dengan berbagai-bagai mimpi yang ngeri dan menakutkan. Datuk membuka kertas firasat yang dibawanya. Waktu dia membaca firasat itulah datuk terdengar suara perempuan memujuk anak yang menangis di bawah rumah. Datuk membuka pintu, datuk melihat satu cahaya berekor panjang naik ke udara dari tanah perkuburan.

Datuk pun mengejutkan saya.

No comments: