Kalaulah, bukan datuk yang mengejutkan saya di tengah malam buta itu sudah pasti kena penendang sulung saya. Kerana datuk, saya tidak dapat berbuat apa-apa. Terpaksa saya terima dengan manis muka, mestipun hati meradang dengan perbuatannya.
"Kenapa tok?" tanya saya sambil mengesel-gesel kelopak mata. Datuk tersenyum sambil meraba-raba misai bengkoknya yang macam tanduk seladang jantan. Sekali-kali misainya turut bergerak.
"Kita sudah hampir pada matlamatnya."
"Matlamat apa tuk?"
"Mencari orang yang jadi tuan toyol."
"Kalau kau faham baguslah."
Datuk merebahkan badannya di sisi saya. Memang saya tidak sedar waktu mana datuk bangun. Bila saya buka kelopak mata, datuk sudah sudahpun selesai sembahyang subuh. Dia memaksa saya pergi ke perigi sendirian untuk mengambil air sembahyang. Saya patuh dengan cakapnya itu.
Datuk tidak dapat dapat melupakan kebiasaannya berjalan berbatu-batu sambil membasuh muka dan badannya dengan air embun waktu pagi. Datuk pula tidak mengambil semua air embun di daun kayu untuk membasuh muka dan badannya. Dia memilih jenis daun yang tidak miang atau gatal. Cara dia menyapu air ke muka juga agak ganjil. Dia memulakan dari pangkal dagu membawa ke atas hingga sampai ke gigi rambut. Kemudian baru dia membasuh kedua belah keningnya. Paling akhir sekali dilakukannya ialah memasukkan air ke dalam lubang hidung hingga bersin.
Kemudian datuk akan memijak rumput hijau tujuh kali ke arah matahari naik dan enam langkah ke arah matahari jatuh. Kebiasaannya itu, dibuatnya juga semasa dia berada di Ulu Kuang dekat Chemor, apa yang datuk lakukan saya terpaksa membuatnya dan datuk berjanji, pada suatu hari kelak, bila umur saya genap dua puluh satu tahun dia akan memberi beberapa mentera yang perlu dibaca bila mandiair embun.
Pagi itu, berjalanlah saya bersama datuk di pinggir Kampung Ulu Kuang sambil mandi air embun. Saya terasa seronok melihat matahari pagi dengan sinar yang kilau-kilauan di celah-celah pokok besar. Bila sinar matahari itu menikam air embun di hujung daun, kelihatan bermanik-manik dan sungguh menarik sekali.
Damai dan terhibur hati saya mendengan bunyi kicau beburung hutan yang bermacam ragam dan bermacam rupa yang terbang dan melompat dari dahan ke dahan. Sambil berjalan datuk memberitahu nama-nama burung yang saya nampak. Bilan matahari mula meninggi satu galah, saya dan datuk sudah jauh meninggalkan pinggir Kampung Ulu Kuang. Kami memasuki satu lorong kecil menuju ke arah sebuah anak bukit. Di kaki bukit itu ternampak sebuah pokok berdinding tepas dan beratapkan daun rumbia. Tiangnya dari kayu hutan jenis bulat. Dalam jarak lima puluh langkah mahu sampai ke halaman pondok itu datuk berhenti berjalan.
"Kenapa datuk?" tanya saya ragu-ragu. Datuk diam, kedua belah tangannya dilekapkan atas dada. Kedua belah kelopak matanya dirapatkan. Datuk melangkah tujuh tapak ke depandan berdiri atas kedua belah tumit kakinya beberapa detik. Bila mata dibuka dan kedua belah tangan diluruskan serta tapak kaki memijak bumi, datuk kelihatan tersenyum.
"Memang tidak salah penglihatan aku malam tadi, cahaya dari tanah kubur itu menuju ke sini, "dengan tenang datuk bersuara. Saya jadi termanggu-manggu.
"Kita balik, kalu kita maju, kita bahaya," datuk pun menarik tangan saya. Kami berpatah balik menuju ke rumah adik datuk.
Sepanjang jalan pulang itu datuk tidak banyak bercakap. Dia lebih banyak memerhatikan gerak geri rumput dan dedaun. Saya faham benar, bila datuk berbuat demikian ertinya dia menumpukan seluruh perhatinnya pada sesuatu benda yang tidak dapat dijangka oleh akal fikiran manusia biasa. Saya kira, fikiran dan perasaannya tertumpu ke satu alam yang lain.
Saya tidak berani bertanya padanya tentang hal itu. Saya takut dia naik angin. Kalau datuk naik angin, saya kena maki dengan percuma. Kalau datuk tidak maki, dia akan menjegilkan biji matanya sebesar telur ayam hutan.
"Jauh berjalan pagi ni," soal adik datuk sebaik saja kami tiba di kaki tangga. Dia baru saja melepaskan ayam di reban. Saya tidak menjawab kecuali tersenyum panjang.
"Macam biasa," balas datuk. Kami terus membasuh kaki dan memijak tangga naik ke rumah.
MAKAN UBI REBUS
Di rumah tengah rumah sudah tersedia sarapan. Air kopi pekat dan rebus ubi kayu serta kelapa parut.
"Rumah siapa dekat belukar tu," datuk mengkemukakan soalan. Adikdatuk terdiam mengingati sesuatu.
"Rumah Kidon."
"Orang sini jati?"
"Tidak, macam kita juga berasal tanah seberang."
"Orang padan ke orang Jambi."
Pertanyaan datuk itu segera dijawab oleh adiknya. Saya sudahpun berhenti makan ubi rebus, Isteri adik datuk sudah turun ke tanah pergi ke ladang. Bila pertanyaan itu tidak mendapat jawapan, datuk tidak lagi mahu mengemukakan pertanyaan. Dia terus menghirup air kopi dengan tenang.
"Dari sumatera katany dari keturunan Batak," tiba-tiba saja adik datuk bersuara.
"Ada bini tak?" cara tidak sengaja saya bertanya. Datuk menjeling tajam pada saya.
"Dah mati, bininya orang Kedah, emak bapanya bininya menetap di Kuala Kangsar" terang adik datuk dengan jujur.
"Ada anak?' cepat-cepat datuk meningkah.
"Tak ada, bininya tu mati bersalin anak sulung,"
"Hummmm…," suara datuk perlahan. Dia menekan pipi kirinya dengan tangan kanan. Terus-terang datuk menyatakan pada adiknya, bahawa dia perlu duduk di Ulu Kuang paling kurang enam bulan. Datuk juga meminta adiknya membuat sebuah pondok untuk diri dengan alasan senang untuk beramal ibadat serta berusaha menghancurkan tuanpunya toyol jadi-jadian. Permintaan datuk itu tidak keberatan untuk dipenuhi oleh adiknya.
Seminggu kemudian, terpacaklah sebuah pondok baru di Ulu Kuang Chemor yang didirikan secara gotong-royong oleh penduduk-penduduk di situ. Saya dan datuk pun pindahlah ke pondok baru.
Perkara yang tidak menyenangkan hati saya, bila duduk di pondok baru, ialah bila bulan menggambang penuh. Ketika itu kelihatanlah beberapa ekor harimau besar di depan pondok. Dari atas pondok datuk melompat ke tanah lalu bersilat dengan harimau-harimau itu.
Sekiranya, datuk malas ke tanah kerana badannya terlalu letih. Harimau-harimau itu akan menjulurkan ekornya dari celah lantai buluh. Datuk akan mencium atau mengurut-urut ekor harimau itu sambil membelitkan ke batang lehernya. Bila terdengar bunyi suara burung jampok atau burung hantu, barulah datuk memerintahkan harimau-harimau perliharaannya pulang.
"Ambilkan aku kain putih, mangkok putih, taruh air dalam mangkok putih separuh, kain putih letakkan ke dinding," datuk mengeluarkan perintah pada saya malam itu. Kalau tidak silap, malam itu malam Rabu kira-kira pukul sepuluh. Apa yang diperintahkan datuk saya lakukan dengan senang hati.
Datuk duduk bersila di tengan pondok, Asap kemenyan dari dupa melintuk-liuk memenuhi ruang pondok. Baunya semerbak. Datuk mengatur tujuh piring di depan. Piring tepi sebelah kanan ditaruh batang lengkuas, sementara di sebelah kiri ditaruh sebatang serai. Piring tengah ditaruh darah ayam yang disembelihnya petang tadi.
Tiba-tiba seekor kucing hitam melompat masuk ke tengah pondok melalui pintu yang terdedah. Kucing itu merenung muka datuk dengan tajam. Datuk menghalaunya, kucing itu tidak mahu bergerak. Saya lihat datuk mengeluarkan secekak tualng-tulang ikan dari karung yang terletak sebelah kanannya. Datuk melemparkan tulang-tulang ikan kering itu pada kucing hitam. Dengan tiba-tiba batang lilin yang menyala padam. Saya menyalakan lilin tersebut. Saya lihat kucing hitam sudah hilang dan tempatnya diganti oleh sebungkus kain hitam. Saya kenal, kain hitam itu kepunyaan datuk.
Datuk menyuruh saya memadamkan lampu minyak tanah. Sebatang lilin yang bercahaya dipadamkannya. Keadaan dalam rumah jadi agak samar-samar dan sepi sekali. Bunyi katak dan cengkerik jelas kedengaran. Sayup-sayup terdengar suara burung hantu ganas di ranting. Atap pondok bagaikan bergerak-gerak ditempoh angin. Serentak dengan itu terdengar bunyi air menimpa atap pondok. Bulu roma saya tegak berdiri bila terdengar bunyi suara orang perempuan ketawa dan menangis tersedu-sedu, dekat pokok tembusu di belakang pondok.
"Suara langsuri, bertenang cucuku, bertenang kitan mencari jalan kebaikan dan bukan jalan jahat," bidik datuk ke telinga saya.
Datuk tidak bergerak bila seketul batu besar meluru masuk ke dalam pondok. Batu itu tepat mengenai pangkal bahu kiri datuk. Bila batu jatuh atas lantai, pondok kecil bergegar datuk tidak peduli. Dengan pertolongan cahaya lilin saya merenung ke muka pintu. Satu lembaga besar tanpa tangan, tanpa kaki dan kepala berdiri di situ.
Datuk menarik muka saya. Dia suruh saya melihat air dalam mangkok putih. Di luar guruh bersahut-sahutan sedangkan cuaca malam itu cukup baik.
"Pedulikan semuanya itu, sekarang kau tengok kain putih tu, apa yang kau lihat, jangan kau ceritakan pada sesiapa, kalau kau buat juga padahnya kau tanggung sendiri," kata datuk, dia terus menabur kemenyan atas bara dalam dupa.
Saya terpaku, saya hampir tidak percaya dengan apa yang saya lihat pada kain putih. Saya raba ibu jari kaki saya, saya raba telinga kanan saya, semuanya ada dan saya tahu, bahawa apa yang saya lihat itu bukan mimpi. Saya melihatnya dalam keadaan sedar dan siuman.
Saya melihat pada kain putih itu, batang tubuh seorang lelaki sedang menggali kubur. Lelaki itu melakukannya waktu malam, Bdannya kelihatan berpeluh.
"Itulah Kidon mengorek kubur anaknya," datuk memberi tahu saya.
Saya lihat mata cangkul Kidon menyentuh papan keranda. Kidon meletakkan cangkul ke tepi lalu menyapu peluh di dahi sebentar.
Kidon mengambil sebatang besi lalu mencungkil papan keranda. Bau busuk membuat dia hampir-hampir muntah. Kidon tidak peduli semuanya itu. Dia turun ke dalam lubang kubur. Dia menatang mayat anaknya keluar dari dalam kubur. Diletakkan dekat pokok.
Kidon masukkan papan keranda kembali, kemudian menimbus lubang kubur seperti sedia kala. Kidon masukkan mayat anaknya ke dalam guni plastik berwarna hijau. Dia memikul cangkul dan besi di bahu kiri. Tangan kanannya menjinjing mayat anaknya, macam menjinjing ikan dari pasar.
Sampai di rumah Kidon membuka kain kapan anaknya. Mayat anaknya diletakkan atas para yang sudah disiapkannya terlebih dahulu. Dia membasuh mayat anaknya dalam baldi besar.
"Air basuh mayat itu, diambil dri tujuh kuala anak sungai," beritahu datuk pada saya. Saya angguk kepala. Mata tidak berkelip melihat kain putih, macam menonton wayang gambar, cuma tidak ada iringan muzik saja. Datuk hanya menerangkan sesekali saja pada saya. Anehnya datuk tidak melihat apa yang terjadi pada kian putih. Kedua matanya pemjam rapat seperti orang tidur, dengkor nafasnya macam orang yang sedang tidur lena.
Ketika itu, saya seperti tidak berada di dalam pondok. Saya berada di satu tempat asing sungguh sunyi sepi sekali.
"Air itu diambil ketika remang-remang senja, bersama bunyi gagak," ujur datuk.
Saya lihat Kidon membuka semua pakaian di badan. Dia sudah bogel. Tujuh bunga yang berlainan warna dimasukkan ke dalam baldi. Selesai memandikan mayat anaknya, Kidon merenjiskan pula dengan air sebanyak tujuh kali, mulutnya membaca susuatu Kidon basuh muka dan minum air yang telah digunakan membasuh mayat anaknya tadi.
Saya perhatikan,. Kidon melakukan semuanya itu dengan teliti. Setitik air pun tidak jatuh ke atas lantai. Mayat anak itu diletakkan atas para. Kidon ambil air mandi mayat anaknya. Disiramkannya ke atas kepalanya hingga ke hujung kaki.
Selesai dengan tugas itu, Kidon melumurkan mayat anaknya dengan abu dapur dan minyak kelapa. Mayat anaknya tiu dibawa masuk ke dalam satu bilik. Disitu sudah tersedia sebuah salai tergantung. Mayat anaknya diletakkan atas salai tersebut dan ditutup dengan kulit kambing.
Kidon keluar dari kamar itu. Masuk semula dengan membawa zing buruk. Zing itu diletakkan di bawah salai. Atas zing itu ditaruh kayu arang dan habuk-habuk papan. Kidon menghidupkan api. Bila kayu arang sudah menjadi bara, barulah dia beredar.
"Mayat itu disalaikan selama empat puluh empat hari, dan Kidon terpaksa berpuasa selama tujuh hari tujuh malam, amalan itu dikenali dengan nama puasa pati Geni," datuk membisikkan ke telinga saya. Di kain putih saya lihat Kidon duduk dengan meletakkan kedua belah tangannya atas lutut kiri dan kanan. Dia membilang biji tasbih. Menurut datuk pekerjaan itu dilakukan tanpa diketahui oleh orang lain, selepas menjalani puasa tujuh hari barulah Kidon keluar rumah membuat pekerjaan biasanya iaitu menoreh getah di kebun Haji Ahmad Alam Shah. Bila mayat bayi sudah cukup disalai selama empat puluh empat hari, Kidon pun mencari dan menyediakan manisan lebah, pisang emas dan pisang embun. Kidon juga menyediakan sebuah katil lengkap dengan cadar dan bantal untuk seorang bayi.
Waktu tengah malam mayat itu pun diturunkan dari tempat salai, panjangnya cuma sejengkal dan besar lebih kurang sama besar dengan anak yang berusia dua tahun, sambil memangku bayinya di tangan kiri, Kidon membasahkan tubuhnya dengan air dengan tangan kanan. Dia terus berbisik dengan tenang ke telinga anaknya begini :
"Dengarlah anakku,
Perasaan dan hatimu
Bersatu dengan aku
Dua tubuh Satu harapanku
Kaulah yang mengerjakannya
Tujuh lapis bumi,
Tujuh lapis langit,
Bersatu di bukit Kaf
Bersemadi dalam diri kita.
Selesai Kidon membisikkan pada telinga anaknya, dia menarik nafas panjang-panjang, kemudian bibir bayi yang kering itu ditiupnya. Dia melakukan ini selama tujuh pagi dan tujuh malam. Mayat bayi kering itu diletakkan di tempat tidur dengan berteman lampu yang terus menyala selama dua puluh empat jam. Kidon yang berbadan kurus itu, bertambah kurus kerana kurang tidur. Taou dia merasa pusa. Dalam tempoh beberapa hari lagi mayat anaknya akan dapat digunakan untuk mencari harta orang kampung. Dia terus membayangkan tentang kemewahan dan kesenangkan dirinya sendiri.
Masa yang ditunggu pun tiba. Kidon masuk ke dalam bilik bayi keringnya. Dia mencium ubun-ubun bayi kering itu. Tiba-tiba ubun-ubun bayi kering itu mengeluarkan asap setelah Kidon menggunakan jampi serapah. Bayi kering itu menjelma menjadi kucing jantan hitam. Menjilat-jilat tapak tangan Kidon. Kidon pun menepuk-nepuk kepala kucing hitam. Kidon menjilat kaki kucing dengan lidahnya. Kemudian Kidon memberikan belut kering pada kucing itu. Dalam masa beberapa saat saja, belut kering itu habis dimakan oleh kucing itu.
"Kau pergi ke rumah orang kaya, kau ambil wangnya separuh dan bawa kemari," Kidon memerintah kucing hitam.
Kucing itu menggaru-garu paapn lantai akhirnya terjun ikut tingkap. Tugas Kidon setiap malam ialah menumpukan perhatian pada pelita minyak tanah di depannya. Jika api pelitanya bergoyang tanpa angin ertinya toyol jelmaannya dalam bahaya, bagi mengatasinya dia harus memadamkan api pelita itu dengan secepat mungkin. Toyol jelmaannya akan ghaib dari pandangan orang. Saya terkejut bila melihat Kidon tersungkur di kain putih.
"Ilmunya sudah aku tawarkan," suara datuk keras.
Dia membuka mata. Air dalam mangkok putih tertumpah dengan sendirinya. Lilin yang padam menyala sendiri begitu juga dengan pelita minyak tanah. Saya lihat dari kain hitam keluar asap berkepul-kepil. Tulang-tulang ikan yang berserakan atas lantai berkumpul dengan sendiri dan bergerak masuk ke dalam karung di samping datuk. Bila asap dari kain hitam hilang. Datuk pun mengangkat kain hitam itu.
"Kau lihat," ujar datuk pada saya. Saya menggigit bibir. Saya lihat mayat kering terdampar atas lantai pondok. Baunya cukup busuk. Tekak saya jadi loya dan mahu muntah dibuatnya. Datuk membiarkan mayat kering itu di situ.
"Kau pulangkan pada yang berhak," datuk bersuara lagi sambil menyiramkan darah ayam pada mayat kering. Saya perhatikan mayat kering itu bagaikan bergerak-gerak. Bila datuk melangkah mahu duduk di tempat asalnya. Seorang lelaki muncul di muka pintu membawa parang panjang. Badannya kurus. Di luar bunyi suara burung hantu kembali menguasai malam yang sepi. Di bawah pondok terdengar bunyi suara perempuan menangis.
"Kau datang Kidon," lantang suara datuk.
"Jangan buat aku begini, aku mahu hidup, jawab Kidon.
"Kerjamu salah di sisi agama. Kau menyiksa mayat anakmu. Kau jadi tuan pada toyol jelmaan ini. Aku tahu dalam minggu ini kau mahu mencari pasangannya, bukan begitu Kidon."
"Memang benar, bergitulah rancangan aku, tapi aku terpaksa membatalkannya, kerana menurut firasatku ada oang yang tahu rancangan aku tu, orang itu adalah kau."
"Sekarang, apa yang kau mahu dari aku Kidon?"
"Pulangkan toyol jelmaan itu pada aku, aku sembah kau, aku sujud pada kau, janganlah perkara ini dihebuhkan."
"Aku tidak mahu menghebahkan pada sesiapa tapi toyolmu akan aku pulangkan ke tempatnya malam ini juga." Datuk memberi keputusan muktamad.
Kidon terdiam seketika. Dia melompat turun dan menghilangkan diri dalam kegelapan malam. Suara langsuir ketawa kedengaran dengan jelas. Bila suara itu hilang, saya terdengan suara orang menjerit meminta tolong. Saya renung muka datuk. Dia kelihatan muram. Niat saya mahu bertanya padanya suara siapa yng menjerit itu jadi terbantut melihat wajahnya dalam keadaan begitu. Suara siapa itu? Saya bertanya dalam hati. Datuk bagaikan tahu apa yang bergolak dalam dada saya. Dia pun rapat pada saya.
No comments:
Post a Comment