Saturday, March 22, 2014

Hikmah Di Setiap Simpang Misteri




As-Salam buat seluruh umat yang membaca,

1. Rahmat yang terselubung sentiasa muncul di sekeliling kita samada kita sedar, tidak sedar atau mungkin juga pura-pura tidak menyedarinya. Kita lebih fokus kepada perkara-perkara yang hanya mengikut selera kita untuk mendengar, melihat dan membaca. Peristiwa kehilangan pesawat MH370 yang sudah mencecah 2 minggu tetap hadir dengan “rahmat yang terselubung”. Mana tidaknya, berbagai perkara yang sebelumnya misteri buat yang jahil menjadi fasih dan petah hingga ke kelompok yang merayap di mukabumi. Terminologi cockpit, transponder, altitude, blackbox serta tempat-tempat yang dulunya asing kini meniti dibibir-bibir pendebat misteri seperti Diego Garcia hinggalah negara-negara yang berakhir dihujungnya ‘Tan’ seperti Turkmenistan, Uzbekistan, Tajikistan dan lain-lain. Dari tukang cuci hinggalah para menteri semuanya ketagihan bicara soal MH370. Kedai kopi dan kedai makan tidak perlukan lagi astro dan muzik apabila isu ini bermaharajalela. Namun, dari sudut ekonomi mungkin bagus buat peniaga yang sebelumnya kedai sunyi sepi.

2. Banyak pelajaran yang dapat ditimba dengan kehilangan MH370. Jika sebelum ini ramai yang tidak mengetahui prosedur sebenar menaiki kapalterbang dapat belajar walaupun tuanpunya pesawat dan pihak terlibat enggan belajar. Juruterbang yang pada awalnya dijulang bagai wira kini namanya agak kusam dengan berita-berita yang amat tidak wajar selagi beliau tidak dibuktikan bersalah. Hikmah yang dapat dipelajari adalah setinggi mana sekalipun bakti dan jasa kamu, apabila sudah tidak disukai, maka bertimpa-timpa tong najis dijatuhkan atas kepala sesiapa saja menjadi ‘insan terpilih’ pemangsa. Perasaan dan maruah juruterbang, keluarga tidak lagi menjadi bahan perhitungan.






3. Kita juga dibuka mata, telinga dan minda tentang betapa longgarnya jika tidak mahu disebut sebagai lemah tentang dakwaan 2 warga Iran yang kononnya menggunakan paspot palsu menaiki pesawat malang ini. Alasan tidak mudah mengesan paspot yang disalahgunakan oleh orang lain hanyalah kewajaran buat pencari alasan mudah. Jika itu corak jawapan maka tidak mustahil sebelum ini dan selepas ini akan terus berlaku perkara sama yang kini timbul setelah insiden ini berlaku. Namun kini, apa jadi dengan kisah penyalahgunaan paspot oleh warga Iran? Itu belum lagi ditambah dengan lawak jenaka dan ‘parodi’ bomoh tikar terbang dan buah kelapa, penampar ‘kokedai’ dan gelagat bomoh sepanjang tempoh 2 minggu ini sehingga menjadi bahan berita tuding-menuding antara menteri dan bomoh. Laporan polis oleh mereka-mereka yang kononnya melihat kelibat MH370 terbang dan bangkai pesawat juga tidak kalah menceriakan suasana yang sepatutnya hiba menjadi gelanggang lawak.

4. Kehebatan, keterampilan dan kepetahan komunikasi yang menjadi simbol kepimpinan seseorang juga terpantul dengan sendirinya hasil hikmah yang diperolehi dari misteri kehilangan MH370. Pemimpin mana yang gagap, yang terkencing dalam seluar, yang jawab sekadar jawab, yang ditanya lain dijawab lain semuanya menjadi tontonan rakyat yang sebelum ini kagum dengan mereka dan kini hilang bersama MH370.

5. Kini kisah bertan-tan buah manggis yang diletakkan di dalam kargo ke Beijing menjadi bahan berita terkini dan yang paling menakutkan adalah berita yang tertumpu kepada kargo yang dibawa oleh pesawat MH370 yang hilang selepas pihak berkuasa hari ini mengesahkan ia membawa bateri lithium-ion yang boleh mudah terbakar. Menurut Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) yang berpangkalan di AS, sejumlah 141 insiden udara melibatkan bateri yang dibawa sebagai kargo atau bagasi dicatatkan antara 20 Mac 1991 hingga 17 Feb tahun ini. Jika sejak awal berita mengenai bateri lithium-ion ini dimaklumkan, rasanya skrip kisah kehilangan MH370 pastinya tidak serupa walaupun natijahnya tetap sama. Sudah berapa ramai orang yang sakit jantung dan diserang angin ahmar akibat berita-berita yang tidak konsisten sebegini. Pastinya jika kisah bateri lithium-ion ini sejak awal diketahui dan dimaklumkan, puncanya pasti difokuskan kepada kebakaran walaupun ia belum dapat disahkan. Spekulasi juga dapat dikurangkan dan ini tentunya dapat memberi peluang kepada pihak terbabit lebih fokus terhadap sisi pandang penyiasatan.

6. Kita bukan pakar dan jauh dari ingin campurtangan dalam penyiasatan misteri kehilangan MH370. Namun, sebagai manusia yang diberi akal, tidak salah rasanya berfikir secara logik dan kritis untuk melihat samada anugerah Allah swt kepada manusia itu dimanfaatkan sesuai dengan taraf khalifah dan manusia dan tidak hanya meneguk dan melanggah segala yang ditumpahkan dari atas tanpa berfikir. Jika ada yang berpandangan jika bukan pakar dan ahli dalam bidang aviasi, kejuruteraan atau risikan maka mereka hanya perlu mengangguk atau diam maka ianya adalah penghinaan dan merendahkan darjat kemanusiaan untuk diheret menjadi haiwan peliharaan yang menunggu masa untuk disembelih. Pandangan dan buah fikiran rakyat sepatutnya dihargai kecuali yang jelas menghina, menghukum membabi buta ataupun mengganggu penyiasatan. Jika semua hal perlu dibekukan, dikurung dan dibenam, apalah erti kebebasan berekspresi, berfikir dan bersuara yang sering dinobatkan sebagai amalan seluruh rakyat? Yanglebih penting, marilah kita sama-sama doakan agar MH370 dapat ditemui dengan selamat bersama seluruh penumpang dan anak kapal dan tidak lupa juga ia harus menjadi iktibar dari semua cabang fikir dan kelemahan yang diperolehi itu menjadikan kita lebih bersedia pada masa depan.

Wallahualam

Perkongsian dari Sahabat : HNADIM BENTARA KANAN

No comments: