Amat menarik apabila pakar arkeologi serantau dari Universiti Sains Malaysia, Prof Mokhtar Saidin telah mengemukakan penemuan nama 'Kadah' dalam rekod India purba membawa makna 'gudang besi'.
Suka saya ingatkan kepada semua bahawa industri besi yang pertama sekali muncul di Asia Tenggara adalah pada penemuan arkeologi di tapak Sungai Batu, Kedah yang wujud 2500 tahun lampau seawal 487 BCE. Dari sini kita dapat menjangka bahawa tapak-tapak Zaman Besi Asia Tenggara (500BCE - 500 AD) yang lain sudah pasti berkait kewujudannya dengan Kedah secara langsung atau tidak langsung.
Contoh yang saya nak sebut malam ni adalah tapak Zaman Besi 'The Field of Jars' di Ponsavan, Laos. Tapak ini terbahagi kepada beberapa kelompok dan bertarikh sekitar 500BCE hingga 200AD. Di sana wujud beratus-ratus tempayan gergasi megalitik(struktur batu besar) seperti yang turut tersebar di seluruh kepulauan Asia Tenggara dan merupakan ciri kebudayaan dan kemahiran ras Austronesia. Salah seorang pengkaji struktur di dataran tidak berpohon ini berpendapat bahawa tempayan gergasi ini berkemungkinan digunakan sebagai relau industri besi atau bekas menyimpan besi.
Pertama kita dapati dataran ini merupakan kawasan yang padat dengan galian mineral termasuklah besi, namun kedua kita akan dapati pengkaji-pengkaji lain menafikan kaitan antara tempayan dengan aktiviti pemprosesan besi kerana tiada jumpaan walau secebis bahan metalurgi tersebut di kawasan itu apatah lagi pada tempayan. Namun, penyokong teori ini berhujah bahawa struktur megalitik tempayan tersebut mungkin adalah relau yang bahagian dalamnya dilapisi struktur mudahhapus seperti tanah liat, mirip dengan material relau yang kita boleh jumpa di tapak Sungai Batu. Lapisan yang di dalam menghalang sebarang tinggalan logam daripada meninggalkan sisa lekatan.
Kemudian, hubungan tapak tersebut dengan tamadun awal Sungai Batu/ Kedah Tua perlu diberikan perhatian yang besar kerana ia dapat membuktikan kesahihan migrasi komuniti atau sekurang-kurangnya pengaruh Kedah Tua sebagai perintis kebudayaan Zaman Besi ke Tanah Besar Benua Siam (Indochina) seperti yang dinukilkan di dalam Hikayat Merong Mahawangsa.
Menurut pemerhatian saya pada Hikayat Merong Mahawangsa kita dapat menafsirkan pergerakan kebudayaan megalitik ini melalui beberapa nukilan penting.
Pertama, satu komuniti gergasi negeri Kalinggi di hilir Burma telah membikin satu tempayan gergasi setinggi 20 anak tangga untuk dihadiahkan kepada Raja Merong Mahawangsa di Kedah. Ia kemudiannya disandarkan pada sebatang pohon kulim gergasi untuk tatapan anak cucu di akhir zaman dan tempayan ini juga menariknya telah menjadi inspirasi pada penamaan negeri tersebut sebagai 'Kedah Zamin Tauran' . Nama 'Kedah' itu selari dengan rekod India purba bahawa ia bermaksud 'ruang simpanan' atau 'gudang' dan saya lihat ia sama juga bermaksud 'bekas', 'mangkuk' atau 'guri' dalam bahasa Farsi.
Kedua, raja setelah itu yakni Raja Ong Mahapudisat telah mengirim anaknya untuk dirajakan di Benua Siam Lanchang diiringi oleh komuniti gergasi yang sama yang menjadi tulang belakang pentadbiran kerajaan Langkasuka. Ramai yang cuba mengaitkan bahawa lokasi yang disebut "ke Utara Barat Laut.. lanjut tanahnya ka hulu.. dua ratus hari perjalanan" itu mungkin menunjuk kepada daerah sekitar Laos yang pernah muncul sebuah kerajaan yang bernama Lan Xang di situ dan pelbagai lagi aspek kebudayaan dan sosiopolitik di situ yang berbau Melayu Semenanjung. Meskipun kerajaan Lan Xang dikira amat muda dan muncul lewat untuk dikaitkan dengan Kedah Tua namun kita mempunyai pelbagai informasi yang menjelaskan bahawa kerajaan tersebut telah dibina di atas sebuah sisa-sisa kerajaan Melayu yang lebih purba tatkala Indochina didominasi kuasa Champa, kemudian Funan, kemudian Srivijaya dan Tambralingga sebelum berpindah tangan kepada dinasti-dinasti bangsa Lao dan Khmer .
Ketiga, bahawa kaum gergasi itu disebut sebagai 'Melayu juga' . Perlu ditekankan di sini bahawa gergasi yang kita temui dalam hikayat-hikayat sebenarnya adalah manusia biasa dengan ciri yang berbeza. Kaum Gergasi ini dapat dikaitkan dengan migrasi bangsa Indo-Aryan (contoh: Iran) ke Timur sejak zaman Vedik dimana kelompok manusia seperti Circassian (Gergasi) dari utara Pergunungan Caucasus, bangsa Scythian ( Sis/ Sacae/ Saka ) dari Asia Tengah beserta bangsa Kambuja dari Asia Tengah dan Afghanistan bergerak menyebarkan kebudayaan vedik di Asia Tenggara. Jika kita kaji kedudukan manusia hibrid didalam sastera Hindu, kita akan dapati ia merupakan simbolik 'totem' kepada suku-bangsa tertentu. Manusia monyet atau Hanuman selari dengan karakter rumpun Negrito di Selatan India, Kepulauan Handaman dan Kepulauan Melayu. Begitu juga dengan Gergasi-Rakshasa seperti Maharavana yang disebut berketurunan daripada bangsa Naga yang berketurunan pula daripada bangsa Gajah-Ikan (Airavatar)
Kajian menunjukkan bangsa Naga itu banyak disebut di dalam penulisan purba dan kajian arkeologi mirip dengan ciri Melayu Champa, Melayu Semenanjung dan Borneo yang menjadi induk kepada penyebaran kebudayaan neolitik Asia Tenggara seperti agrikultur, kultus Naga, kultus tantrik praHindu-Buddha, di samping menyebarkan teknologi megalitik dan kemahiran perlautan ke China dan Selatan India. Bakinya yang asli hari ini masih ada di Pergunungan Naga di sempadan India-Burma dan suku-suku Cham Gunung di Vietnam. Agak logik bahawa kaum Gergasi itulah juga bangsa Naga kerana ciri-ciri mereka identik termasuk langkah mereka menamakan raja baru mereka sebagai 'Merong' yang bermaksud 'naga' atau 'ular besar'. Boleh dikatakan persemendaan darah atau budaya antara manusia Austronesia dengan manusia Austroasiatik, Indo-Aryan dan lain-lainnya membentuk Melayu yang wujud pada hari ini berbeza sedikit dengan model asli mereka seperti di Hawai'i dan New Zealand.
Terakhirnya, ada sedikit persoalan tentang apakah fungsi tempayan megalitik Laos itu benar-benar mewakili kebudayaan Kedah Tua atau masih ada kebudayaan orang tengah yang masih perlu dikaji? Proses carigali masih berterusan di Kedah dan kita sangat-sangat memerlukan bukti primier kerana buat masa ini kebanyakan kajian adalah bersifat spekulatif. Allahua'lam
No comments:
Post a Comment