Monday, February 2, 2015

Guna ‘Seluruh’ dan ‘Seloroh’ Dengan Betul



Ya, kedua-dua patah kata tersebut pun hampir sama bentuk dan sebutannya.

Namun  maknanya  tidak sama. Kata seloroh bererti "senda  gurau, lelucon, atau  kelakar".  Jadi,  berseloroh bererti "bergurau" atau "berolok-olok".


Penggunaannya dalam ayat adalah seperti yang berikut ini:

1. Selorohnya kadang-kadang menyakitkan  hati.

2. Mereka berseloroh sahaja, bukan benar-benar mengatakan kamu malas.

3. Secara berseloroh Cikgu Ali mengatakan bahawa semua muridnya pandai belaka.

Kata seluruh pula bererti "semua, segenap". 

Daripada kata tersebut terbit kata menyeluruhi yang bererti "meliputi" dan  terbit juga kata keseluruhan yang bererti sama dengan kata seluruh.

Contoh penggunaannya adalah seperti yang berikut ini:

1. Seluruh anggotanya  melecur  terkena air panas.

2. Berita baik itu sudah tersebar ke seluruh kampung.

3. Kasih ibu menyeluruhi hati dan perasaan.

4. Keseluruhan yang dimilikinya sudah tiada lagi.

Sekarang, perhatikanlah penggunaan kedua-dua patah kata itu dalam ayat yang berikut ini:

1. Menteri  itu sudah berkunjung ke seluruh pelosok negara.

2. Seluruh ruang di pejabatnya kelihatan  kemas.

3. Selorohnya sentiasa  menggelikan hati.

4. Tidak baik berseloroh dalam keadaan yang cemas.

5. Seluruh kakinya lumpuh.

No comments: