Tuesday, April 1, 2014

ADRUJA WIJAYAMALA SINGA - PUTERI WIRAWATI MELAYU YANG DILUPAKAN - Bhgn 3


Adruja dilahirkan pada zaman di mana Grahi sedang menghadapi ancaman perang dari kerajaan Siam Sukhothai yang diperintah oleh Raja Rama Khamhaeng (1237/47-1317). Raja yang berketurunan Siam (atau Thai) ini merupakan seorang yang sangat zalim.




Kehidupan Awal

Kedudukan Grahi (atau juga dikenali sebagai Jawaka)
terletak di kawasan utara Semenanjung Tanah Melayu.

Raja Rama Khamhaeng dikatakan mahu meluaskan tanah jajahannya ke arah selatan (Semenanjung Tanah Melayu) tetapi telah dihalang oleh nenda Adruja yang bernama Raja Sakranta atau Raja Aminuddin (1253-1267). Setelah Raja Sakranta mangkat, takhta kerajaan Grahi telah diserahkan kepada ayahanda Adruja yang bernama Raja Sang Tawal (Sultan Muhammad).

Sebagai Maharaja Grahi yang baharu, Raja Sang Tawal telah mengarahkan supaya dibina sebuah kota yang teguh demi menghalang tentera Siam Sukhothai dari menceroboh masuk ke Semenanjung Tanah Melayu. Setelah siap, kota tersebut diberi nama Kota Grahi.

Sejak dari usia kanak-kanak lagi, Adruja dikatakan pandai menunggang kuda dan bermain senjata seperti kelewang. Meskipun perilaku baginda menyerupai lelaki, namun Adruja dikatakan amat menyukai wangian kayu cendana yang telah dicampurkan ke dalam minyak wangi yang diperbuat daripada bunga melur. Ia adalah satu kesukaan khas yang menunjukkan bahawa Adruja masih ada sifat kewanitaan.

PEMBAWA BENDERA GRAHI

Setelah umurnya mencecah belasan tahun, Adruja sentiasa menjadi pembantu ayahandanya di medan perang. Puteri tersebut biasanya dibenarkan membawa bendera kerajaan Grahi ketika Raja Sang Tawal pergi berperang dengan tentera Siam Sukhothai. Pengalaman berada di medan perang telah membantu Adruja membiasakan diri dengan melihat keganasan perang dalam segala aspek.

Setelah perang berakhir, Adruja akan membantu membalutkan luka dan memberi minuman kepada mana-mana tentera ayahandanya yang cedera. Melihatkan keadaan tentera Grahi yang kurang semangat juang serta rakyatnya yang sentiasa berundur, maka tergeraklah di hati puteri tersebut untuk membentuk satu pasukan khas yang terdiri dari kaum wanita.

Selain untuk membantu kaum lelaki di medan perang, tujuan pasukan khas wanita tersebut ditubuhkan adalah untuk membela nasib kaum wanita Melayu di Grahi yang sering diperkosa oleh tentera Siam Sukhothai tatkala mereka menyerang kampung-kampung yang jauh dari Kota Grahi. Selain itu, Adruja juga mahu membuktikan bahawa kaum wanita juga setanding dengan kaum lelaki walaupun di medan perang.






No comments: