Wednesday, April 16, 2014

ADRUJA WIJAYAMALA SINGA - PUTERI WIRAWATI MELAYU YANG DILUPAKAN - Bhgn 4


Syarat Perkahwinan






Cadangan Adruja untuk membentuk satu pasukan khas wanita telah diusulkan kepada ayahandanya, Raja Sang Tawal. Pada mulanya, Raja Sang Tawal enggan memperkenankan cadangan puterinya itu kerana tugas kaum wanita pada zaman tersebut hanya terhad kepada kerja memasak dan membantu merawat kecederaan tentera di medan perang sahaja.

Namun begitu, Raja Sang Tawal berubah fikiran dengan serta-merta setelah mengenangkan tindakan puteri kesayangannya itu yang pernah beberapa kali mempertahankan bendera kerajaan Grahi ketika di medan perang. Raja Sang Tawal akur lalu memperkenankan cadangan Adruja itu.

Pada masa yang sama, baginda cuba untuk menyelamatkan Adruja dengan mengahwinkan puteri tersebut. Walau bagaimanapun, Adruja terus menolak rancangan ayahandanya itu dengan berkata:

"Ayahanda mahu kahwinkan anakanda? Tidak! Sesiapa yang mahukan
anakanda, sila bertarung senjata satu lawan satu. Jika menang, boleh".

Melihatkan ketegasan dan kedegilan puteri tersebut, akhirnya Raja Sang Tawal terpaksa mengalah dan mengikut sahaja kehendak puterinya itu.

LAHIRNYA PASUKAN SERI WIJAYAMALA

Setelah cadangan tersebut diperkenankan oleh Raja Sang Tawal, maka Adruja pun berusaha untuk membentuk sebuah pasukan khas yang dianggotai kaum wanita. Baginda mula mencari mana-mana perempuan yang mahu menyertainya.

Oleh kerana golongan perawan telah menolak ajakannya, maka dicari pula segala janda muda yang kematian suami di medan perang. Ada di kalangan kumpulan janda muda tersebut yang membantah atas alasan - berperang bukanlah kerja kaum wanita. Jawapan tersebut telah membuatkan Adruja murka, lalu menengking mereka dengan berkata:

“Cis! Semua kamu nak serahkan kepada lelaki. Sekarang, apa dah jadi kepada kamu?
Hidup tercungap-cungap, merempat, harapkan belas kasihan orang. Bagaikan pengemis!
Lebih baik kalian ku latih agar dapat berperang. Bahkan lebih berani daripada bapa-bapa
dan abang-abang kamu yang takut menghadapi gajah Sukhothai hingga kecut pelir mereka.
Inilah masanya kalian menuntut bela agar tenteram roh mereka yang sudah pergi.
Beta tak dapat memberikan harta kepada kalian. Tetapi ingat! Ketika kalian mati,
kalian akan mati syahid kerana mempertahankan agama dan negara kalian.
Itulah janji bagi orang Islam, agama yang baru kamu anuti sekarang.
Insyallah, kalian akan dikenang sebagai bunga-bunga suci
di medan perang di dalam sejarah Grahi.”

Setelah mendengar kata-kata puteri tersebut, maka kumpulan janda muda tersebut akhirnya bersetuju untuk menyertai pasukan khas yang dipimpin dan dilatih sendiri oleh Adruja. Pasukan khas tersebut diberi nama Seri Wijayamala. 

Adruja telah berusaha mendapatkan segala bekalan senjata untuk pasukan khasnya. Baginda telah menempah senjata ringan dengan mengarahkan agar dibentuk busur panah yang kecil tetapi lebih cekap. Selain itu, puteri tersebut juga telah membeli puluhan ekor kuda, kain serta keperluan wanita dari para saudagar Arab dan Turki di pelabuhan yang berhampiran dengan Kota Grahi. Dari mereka jugalah, Adruja mempelajari bahasa Arab dan Turki.

Selain itu, Adruja juga telah membeli seekor kuda putih untuk dirinya sendiri. Kuda tersebut diberi nama Halilintar dan ianya sentiasa mendahului sesiapa sahaja, termasuklah pelatih Adruja yang berbangsa Turki bernama Inologlu.




No comments: