Thursday, August 14, 2014
JOM KENAL DINASTI-DINASTI MELAYU DALAM TAMADUN MELAYU
Menurut Kamus Dewan edisi keempat,dinasti bermaksud jurai raja-raja pemerintah sesebuah kerajaan yang berasal daripada satu keturunan.Kebanyakan negara negara di dunia ini mempunyai sejarah di mana mereka diperintah oleh sekurang kurangnya satu dinasti diraja.Sejarah politik kebanyakan negara di Eropah didominasi oleh pelbagai dinasti diraja.
Negara Great Britain telah diperintah oleh pelbagai dinasti diraja seperti Dinasti Stuart,Dinasti Hanover,Dinasti Tudor dan kini Dinasti Windsor.
Begitu juga Russia yang pada masa itu menjadi kuasa besar yang gah di Eropah semasa pemerintahan Dinasti Romanov.
Negara-negara seperti Belgium,Perancis,Austria,Sepanyol,Jerman dan Sweden juga mempunyai dinasti diraja mereka sendiri seperti Dinasti Habsburg,Dinasti Saxony,Dinasti Bourbon,Dinasti Bernadotte dan lain lain lagi.
Sejarah pemerintahan maharaja maharaja di China juga diwarnai dengan pemerintahan dinasti diraja yang agung seperti Dinasti Qin,Dinasti Han,Dinasti Jin,Dinasti Sui,Dinasti Tang,Dinasti Ming dan berakhir dengan Dinasti Qing.Begitu juga di India,Afghanistan,Pakistan,Iran,Arab Saudi,Turki dan lain lain negara di Asia.
Kebanyakan bangsa-bangsa di dunia ini kesemuanya mempunyai dinasti diraja mereka sendiri.Namun,pernah kita terfikir adakah rumpun Melayu yang menduduki Nusantara ini mempunyai dinasti dinasti sendiri?
Sudah tentulah ada….
Sejak berabad abad lamanya,rumpun Melayu termasuk sekali dengan orang Jawa dan Cham telah membina kerajaan-kerajaan yang masyhur di wilayah sekitar Asia Tenggara,terutama sekali di Kepulauan Melayu atau lebih masyhur dikenali dengan nama Nusantara.
Mustahil Nusantara tiada dinasti pemerintahan mereka sendiri kan?
Antara dinasti Melayu paling terkenal dalam lipatan sejarah ketamadunan Melayu pada zaman pra Islam ialah;
1. DINASTI SAILENDRA
Dinasti ini memegang kuat kepercayaan Buddha Mahayanism dan pernah memerintah Empayar Sriwijaya pada sekitar abad ke 8.
Asal usul dinasti ini masih diperdebatkan sehingga kini.Slametmuljana dan Poerbatjaraka menyimpulkan asal usul dinasti ini asli dari Kepulauan Melayu sendiri.Ada juga sejarahwan yang menganggap dinasti ini berasal dari India manakala sejarahwan Perancis,G.Coedes menganggap dinasti ini berasal dari Funan berdasarkan maksud Sailendra itu sendiri.
Sailendra membawa maksud Tuan Gunung (Lord of The Mountains)
Dinasti Sailendra pernah mengalahkan Chenla dan menguasai Kemboja sekitar tahun 790.Kepada sesiapa yang mengetahui kisah Maharaja Zabag yang diceritakan oleh seorang pedagang Arab,Abu Zayd Hassan,mesti tahu.Kisahnya bermula apabila Raja Khmer yang mahu melihat kepala Maharaja Zabag di atas pinggan makannya,akhirnya telah diserang oleh tentera maharaja Zabag hingga jatuh kerajaannya.
Kemungkinan besar Maharaja Zabag yang diceritakan ini merujuk kepada Maharaja Indra,iatu maharaja Sailendra yang berjaya menguasai Sriwijaya pada masa itu.Di bawah Maharaja Indra,Sailendra berjaya menguasai kerajaan Champa pada tahun 787 M dan seterusnya Kemboja pada tahun 802.
Cucu baginda,Maharaja Samaratungga berjaya menyiapkan salah satu monumen keagamaan terbesar di dunia.Monumen itu berbentuk piramid,dihiasi 2,672 panel ukiran dan 504 ukiran Buddha,sekaligus menjadikan ia antara candi Buddha terbesar di dunia sehingga kini.Tahukah semua apakah nama monumen itu?
Ya,itulah CANDI BOROBODUR!!
Candi Borobodur yang merupakan salah satu dari hasil kerja agung ketamadunan Melayu pra Islam telah disiapkan di bawah pemerintahan Maharaja Samaratungga pada tahun 825 M.Candi ini kemudiannya dirasmikan pembinaanya oleh puterinya,Pramodhawardhani yang memerintah Jawa Timur pada tahun 833.Sementara itu,abangnya iatu Balaputradewa menjadi maharaja Sriwijaya di Palembang.
Nama Sailendra juga terdapat di prasasti di India,apabila Maharaja Balaputradewa mengarahkan pembinaan biara di Univerisiti Nalanda yang pada masa itu adalh antara pusat pengajian agama Buddha terkenal hingga menerima pelajar-pelajar dari China,Jepun,Kepulauan Melayu dan India.Dalam prasasti Nalanda,Balaputra digelar sebagai Raja Suwarnabhumi,nama lama bagi pulau Sumatera.
2.DINASTI MAULI
Selepas Sriwijaya diserang oleh tentera Chola dari selatan India,orang Melayu mula bangkit menentang mereka di bawah Suryanarayana,dan diteruskan oleh anaknya,Srimat Trailokyaraja.Setelah saki baki tentera Chola berjaya diusir,Trailokyaraja mendirikan sebuah kerajaan baru di Sungai Batanghari di Jambi pada tahun 1183.
Kerajaan itu dinamakan sebagai Kerajaan Malayu Dharmasraya dan berpusat di wilayah Jambi kini.Kerajaan ini berjaya mengambil peranan Sriwijaya dan seterusnya menguasai jalan perdagangan maritim utama di Selat Melaka.Pada masa itu,wilayah kerajaan Malayu mencakupi wilayah sebahagian Kemboja,Chaiya di selatan Thailand,semenanjung Tanah Melayu,Sumatera hingga ke Sunda.
Penggantinya,Srimat Tribhuwanaraja Mauli berjaya menjadikan kerajaan Malayu sebagai kuasa besar di Kepulauan Melayu dan mengemballikan peranan orang Melayu untuk menguasai Selat Melaka,sehinggalah pengiriman ekspedisi Pamalayu oleh kerajaan Singhasari di Jawa pada tahun 1286.
Perkahwinan dua orang puteri Tribhuwhanaraja dengan bangsawan Jawa dari Majapahit seterusnya melahirkan raja-raja agung di Nusantara selepasnya.
Selepas kemerosotan Sriwijaya akibat serangan Chola,orang Melayu bangkit kembali menguasai Selat Melaka selama satu abad,sehingga kemudian bertukar tangan kepada dinasti lain di Jawa iatu…….
3.DINASTI RAJASA
Dinasti Rajasa merupkan dinasti keluarga diraja Jawa yang menguasai sosio-politik di Pulau Jawa dari abad ke 13 hingga abad ke 15.Sejarahwan bersepakat bahawa pengasas Dinasti Rajasa ialah Ken Arok atau lebih dikenali sebagai Sri Ranggah Rajasa,yang juga merupakan pengasas kerajaan Singhasari di Jawa Timur.
Perkahwinan Ken Arok dengan Ken Dedes akhirnya melahirkan zuriat yang akhirnya menjadi pemerintah kerajaan Singhasari dan Majapahit selepas itu.Zuriat-zuriatnya itu kemudiannya berkembang dan digelar sebagai wangsa Rajasa,sempena nama gelaran Ken Arok sendiri,iatu Sri Ranggah Rajasa.
Salah seorang maharaja Singhasari iatu Kertanegara yang juga ahli keluarga Dinasti Rajasa,menjadikan kerajaan Singhasari sebagai kuasa besar di Asia Tenggara pada abad ke 13,selepas menakluk kerajaan Malayu.Namun,kerajaan ini musnah akibat dilanggar tentera Mongol pada tahun 1292.
Namun,tentera Mongol berjaya dihalau keluar dari Pulau Jawa oleh salah seorang ahli keluarga Rajasa iatu,Raden Wijaya yang juga merupakan anak saudara kepada Kertanegara.
Raden Wijaya meneruskan kekuasaan politik Dinasti Rajasa dengan menubuhkan kerajaan Majapahit pada tahun 1293,sebagai kesinambungan kerajaan Singhasari di Pulau Jawa.Majapahit selepas itu berjaya menjadi sebuah empayar paling masyhur di Nusantara dan bertahan kira kira 300 tahun lamanya.
Majapahit mencapai zaman kegemilangannya pada era pemerintahan raja Hayam Wuruk,cucu kepada Raden Wijaya.Pada masa kegemilangannya,Majapahit mempunyai sebanyak 98 negeri bawahan dan menguasai Semenanjung Melayu,Singapura,Borneo,Kepulauan Sulu,seluruh kepulauan Indonesia kini dan Kepulauan Nusa Tenggara.
Majapahit sehingga kini menjadi antara empayar terbesar dan teragung dalam sejarah Kepulauan Melayu,selain Sriwijaya.
Majapahit mula merosot apabila masuknya pengaruh Islam di Nusantara dan terpaksa bersaing dengan Kesultanan Melayu Melaka yang pada masa itu menguasai Selat Melaka.Setelah Majapahit jatuh akibat kemaraan Kesultanan Demak,ramai ahli keluarga Dinasti Rajasa melarikan diri ke Pulau Bali.
Hingga kini,masyarakat Bali masih menganggap mereka adalah pewaris mutlak Majapahit.Keturunan raja raja Bali dapat menyusuri susur galur keturunan mereka dari Dinasti Rajasa.Selepas kejatuhan Majapahit,Pulau Jawa dikuasai oleh kerajaan Islam di bawah Kesultanan Demak.
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Selepas kewafatan Nabi Muhammad s.a.w di Madinah pada tahun 632 M,agama Islam mula berkembang ke luar Semenanjung Arab seterusnya hingga ke segenap pelusuk dunia.Agama Islam tiba di Nusantara sejak abad ke 8 lagi,menerusi pedagang dan mubaligh Arab dan Parsi.Pada abad ke 11,muncullah penempatan-penempatan Islam di Sumatera,namun ketika itu,Majapahit masih lagi berkuasa penuh.
Namun,apabila muncul banyak kerajaan Islam di Nusantara,kerajaan Majapahit yang memegang kuat kepercayaan Hindu mula terancam.Ini diikutkan dengan munculnya Kesultanan Melaka di Semenanjung Melayu yang menjadi saingan yang sangat kuat bagi Majapahit.Selepas Majapahit jatuh keseluruhannya pada tahun 1527 M,sosio-politik tamadun Melayu kini dicorakkan oleh kerajaan Islam,dan keseluruhan masyarakat di Nusantara ini memeluk agama Islam.
Puluhan lagi dinasti-dinasti Islam lahir dalam lipatan sejarah ketamadunan bangsa Melayu.Kebanyakan dinasti ini mempunyai pertalian darah dengan keturunan Nabi Muhammad s.a.w yang datang ke sini.Ada juga dinasti Islam yang berasal dari keturunan diraja purba,namun memeluk Islam dan mengekalkan dinasti mereka sehingga kini,seperti keturunan Kesultanan Kedah.
4.DINASTI MERONG MAHAWANGSA KEDAH
Kesultanan Kedah merupakan antara kesultanan Melayu tertua di dunia,dan antara kerajaan Melayu paling awal di Semenanjung Melayu yang masih bertahan sehingga kini.
Kerajaan Kedah diasaskan oleh Raja Merong Mahawangsa sekitar abad ke 6,berpusat di Lembah Bujang kini.Selang lima abad kemudian,seorang ulama dari Yaman bernama Sheikh Abdullah bin Ja’afar Qumairi datang membawa ajaran Islam ke negeri Kedah.Raja Kedah pada masa itu,Raja Phra Ong Mahawangsa memeluk Islam.Kesultanan Kedah menjadi sebuah kerajaan Islam pada tahun 1136.
Sejak dari itu,Kedah diperintah oleh sultan-sultan.Pada masa kegemilangannya sekitar abad ke 17,Kedah menjadi pusat perdagangan tumpuan pedagang dunia pada masa itu.Pada masa itu,Kota Kuala Muda menjadi pelabuhan entrepot yang memperdagangkan bijih timah dan rempah ratus menarik minat pedagang dari China, India, Portugal, Belanda dan England datang ke sini.
Kemajuan Kedah kemudiannya menyebabkan kecemburuan oleh pihak luar.Ini menyebabkan Kedah silih berganti dijajah dan ditakluk oleh kuasa kuasa luar seperti,Acheh,Siam,Belanda,Ayuthia,Dinasti Chakri,Jepun dan British,namun insitusi kesultanannya masih bertahan.Rakyat Kedah berjuang menentang segala anasir luar yang cuba merompak kedaulatan negeri mereka.Perang Kedah menentang pakatan Siam dan British pada tahun 1821 cukup memberi gambaran besar betapa patriotiknya rakyat Kedah yang sanggup berkorban mempertahankan ibu pertiwi dan sultan sebagai lambang kedaulatan mereka.
Hari ini,Kedah menjadi sebahagian dalam persekutuan Malaysia dan keluarga kesultanan Kedah masih lagi memerintah dengan daulatnya.Pemerintah Kedah dari dinasti Merong Mahawangsa kini ialah Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah.
5.DINASTI MELAKA
Selepas kemerosotan Sriwijaya,etnik Melayu hilang peranannya sebagai penguasa selat Melaka.Palembang kemudiannya ditakluk oleh kerajaan Majapahit pada tahun 1390.Keturunan raja Sriwijaya yang terakhir kemudian berundur ke Temasik dan mendirikan kerajaan di sana.
Kerajaan Singapura yang ditubuhkan oleh putera Sang Nila Utama juga tidak bertahan lama apabila ia diasak oleh kerajaan Majapahit juga kerajaan NagaraSridharmaraja(sebuah kerajaan Melayu keSiaman di Segenting Kra.
Parameswara(lebih dikenali dengan nama Iskandar Syah dalam Sulalatus Salatin) telah berundur ke Muar hingga mudik hingga ke Bertam seterusnya mendirikan kerajaan di sana.
Dalam masa singkat,kerajaan baru yang dinamakan sebagai Melaka itu bertukar menjadi pelabuhan entrepot terkenal di Asia Tenggara.Sekitar pertengahan abad ke 15,Melaka mencapai zaman kegemilangannya di bawah pemerintahan Sultan Mansur Shah (1459~1477) dan diteruskan oleh anakandanya,Sultan Alauddin Riayat Shah I (1477~1488).
Pada masa kegemilangannya,bandaraya Melaka menjadi tumpuan pedagang pedagang dari timur dan barat,menjadikannya antara pelabuhan entrepot yang agung pada zaman itu.Kesultanan Melaka juga menjadi empayar besar dengan menguasai keseluruhan Semenanjung Melayu dan pantai timur Sumatera.Orang Melayu berjaya menguasai semula jaluran perdagangan maritim di Selat Melaka.
Namun,pada tahun 24 Ogos 1511,kesultanan Melaka musnah diserang oleh Portugis setelah banyak percubaan dilakukan termasuk merasuah pegawai istana,dan mengambil kesempatan atas kemerosotan Melaka.
S
ultan Mahmud Shah dan keturunan dinasti Melaka yang lain berundur sehingga ke Kampar,dan mangkat di sana.Baginda meninggalkan dua orang putera,iatu Raja Alauddin dan Raja Muzaffar.Raja Muzaffar dijemput sebagai sultan di negeri Perak,manakala Raja Alauddin ditabalkan sebagai Sultan Johor.
Warisan dinasti Kesultanan Melaka terus ditegakkan di Johor dan Perak.
Kesultanan Johor menggantikan Melaka sebagai sebuah empayar penguasa Selat Melaka sekitar abad ke 16 dan 17,manakala adat istiadat pertabalan Sultan Perak menyerupai adat pertabalan Sultan Melaka pada zaman dahulu.
Selain itu,kekuasaan dinasti Melaka juga tertegak di Pahang dan Siak Sri Inderapura.Namun,kekuasaan dinasti Melaka di Pahang berakhir pada tahun 1615,dan kini diperintah oleh keluarga Bendahara.
Manakala penguasaaan dinasti Melaka di Johor berakhir apabila Sultan Mahmud II atau Marhum Mangkat Dijulang dibunuh pada tahun 1699.Pemerintahan Empayar Johor diserahkan kepada Bendahara Tun Abdul Jalil dan keluarganya.
Mengikut pendapat admin,rasanya waris dinasti Melaka yang tinggal sekarang hanyalah keluarga Kesultanan Perak dan Kesultanan Siak Seri Inderapura.Walaupun ada pendapat mengatakan pemerintahan dinasti Melaka di Perak berakhir selepas kemangkatan Sultan Sallehuddin Shah (1630–1635),namun pemerintah selepasnya ialah berasal dari keturunan kerajaan Siak.Ini tidak menjadi masalah kerana Melaka dan Siak sama sama berasal dari satu keturunan diraja.
Hari ini,masyarakat Melayu di Malaysia dan Sumatera,Indonesia menyanjung empayar Melaka sebagai empayar Melayu agung sepanjang zaman.Empayar Melaka diiktiraf sebagai penyambung legasi Empayar Sriwijaya,dan di Malaysia,kesultanan Perak masih dianggap sebagai waris langsung dari Kesultanan Melaka yang masih tinggal.
Bolehlah dikatakan dinasti Melaka ini adalah dinasti paling berpengaruh sekali dalam aspek perkembangan sosio-politik di Alam Melayu.
6.DINASTI KESULTANAN ACHEH
Selepas kejatuhan Melaka,muncul sebuah entiti politik baru yang muncul di utara Pulau Sumatera.Kerajaan baru ini berjaya mengambil peranan Melaka sebagai pusat penyebaran agama Islam dan sebagai penguasa perdagangan maritim di Selat Melaka ketika itu.
Kerajaan ini juga muncul sebagai kuasa besar di Kepulauan Melayu pada pertengahan abad ke 16 dan 17 dan pernah menjalinkan hubungan diplomatik dengan Khilafah Turki Uthmaniyah.Kerajaan ini menjadi musuh ketat kepada penjajah Portugis yang menjajah Melaka ketika itu dalam memonopoli perdagangan bahan mentah di Kepulauan Melayu.
Ya,kerajaan yang saya maksudkan itu ialah Kesultanan Acheh Darussalam.
Kesultanan Acheh telah memerintah selama lebih 500 tahun,dan telah diperintah oleh pelbagai dinasti-dinasti yang saling berkait antara satu sama lain.Kerajaan diasaskan oleh seorang putera diraja Champa,iatu Ali Mughayat Syah pada tahun 1496.
Pemerintahan kesultanan Acheh dipegang oleh Dinasti Mahkota Alam sehingga dipegang oleh sebuah dinasti lagi bernama Dinasti Darul Kamal yang dimulakan pada zaman pemerintahan Sultan Alauddin Riayat Syah al Qahhar(1596~1604).
Sultan seterusnya ialah Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam yang mempunyai darah campuran dari kedua dua dinasti tersebut.Baginda berketurunan Dinasti Mahkota Alam dari belah bapa,manakala Dinasti Darul Kamal belah ibunya.
Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam (1607~1636) berjaya membawa Kesultanan Acheh menuju zaman kegemilangannya.Acheh muncul sebagai pusat perdagangan entrepot dan pusat penyebaran Islam terkenal,menggantikan Melaka,yang sudah jatuh ke tangan Portugis.Pada masa itu juga,Empayar Acheh menguasai Semenanjung Melayu,pantai timur Sumatera,pesisir pantai Acheh dan di barat Sumatera.
Acheh juga pernah diperintah seketika oleh dinasti Melaka apabila menantunya,Raja Mughal menjadi sultan Acheh selepas kemangkatannya pada tahun 1636,dengan gelaran Sultan Iskandar Thani.
Selepas kemangkatan Iskandar Thani,Acheh diperintah oleh empat sultanah wanita dari Dinasti Mahkota Alam,bermula dari Sultanah Tajul Alam (1641-1675).Pemerintahan sultanah sultanah di Acheh berlarutan selama 50 tahun.
Pemerintahan Acheh diserahkan kepada dinasti Sharif,iatu keturnan Nabi s.a.w dari Saidina Hassan r.a.Walaubagaimanapun,pemerintahan dinasti Sharif adalah sangat singkat sekali iatu hanya selama 28 tahun sahaja.
Acheh seterusnya diperintah oleh raja raja berketurunan Bugis.Dinasti Bugis memerintah selama lebih 100 tahun,sehingga akhirnya Acheh jatuh ke tangan penjajah Belanda pada 10 Januari 1903.
7.DINASTI SRI WANGSA PATANI
Patani merupakan satu lagi kerajaan Melayu yang teragung dalam lipatan sejarah ketamadunan Melayu itu sendiri.Patani yang kini terletak di Selatan Thailand merupakan sebuah kerajaan yang mencipta pencapaian ketamadunan yang menakjubkan di alam Melayu.Ramai ulama Nusantara terkenal berasal dari Patani,dan mencapai zaman kegemilangannya pada pertengahan abad ke 16 dan abad ke 17.
Sejarah Kesultanan patani bermula apabila Raja Phaya Tu Nakpa memeluk Islam pada abad ke 16,dan menukar nama kepada Sultan Ismail Syah.Sejak itu,Patani berkembang menjadi sebuah kerajaan yang masyhur di Semenanjung Melayu,di bawah dinasti Sri Wangsa.
Patani mencapai zaman kegemilangannya pada era zaman Ratu Pelangi (1584~1698),ketika Patani diperintah oleh empat orang ratu.Di bawah pemerintahan Ratu Hijau(1584–1616),patani menjadi pelabuhan bertaraf dunia yang sentiasa menjadi tempat persinggahan pedagang China, Belanda, Inggeris, Jepun, Kepulauan Melayu, Portugis, Siam dan lain lain lagi.
Kekayaan dan kemakmuran Patani dicemburui jirannya,yang sudah pasti ialah Kerajaan Ayuthia.Pada masa pemerintahan Ratu Biru (1616-1624),Patani menghadapi cubaan ancaman dari tentera Ayuthia.Namun,serangan Patani gagal kerana Patani mempunyai meriam-meriam yang diiktiraf antara meriam terbesar di Asia Tenggara,iatu Sri Patani, Sri Nagara dan Mahalela.
Kehebatan meriam meriam ini,beserta semangat jihad tentera Patani,berjaya menghadang ancaman Ayuthia pada 1603, 1632, 1634 dan 1638.
Dinasti Sri Wangsa Patani juga menjalinkan hubungan dengan kerabat diraja Kesultanan Pahang di bawah dinasti Melaka,apabila Ratu Ungu (1624-1635) berkahwin dengan Sultan Pahang,Sultan Abdul Ghafur Mahyuddin Shah.
Dinasti Sriwangsa Patani tidak lagi menguasai Patani setelah Ratu Kuning (1635-1649) mangkat tanpa meninggalkan pewaris.Ini menyebabkan tercetusnya huru hara di Patani.Seorang kerabat diraja Kelantan yang mempunyai hubungan darah dengan keturunan Patani iatu Raja Sakti berjaya menyelamatkan keadaan.
Patani dan Kelantan bersatu di bawah satu persekutuan Patani Besar pada tahun 1649.Selepas itu,takhta Patani diserahkan kepada anakandanya,Raja Bakal.
Pemerintahan Patani berpindah tangan dari Dinasti Sri Wangsa kepada dinasti Jembal dari Kelantan.
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Dalam satu artikel ini sahaja,ianya telah memuatkan dan menghuraikan 9 buah dinasti Melayu yang terkenal dalam lipatan sejarah.Dari zaman pra Islam hingga kedatangan Islam(pasca-Islam),pemerintahan dinasti monarki Melayu silih berganti.
Mungkin agak panjang artikel ini dan agak menyusahkan pembaca,namun tak rugi jika dalam artikel ini sarat dengan trivia pengetahuan am yang baru bagi anda.
Sekian sahaja penjelasan saya,selepas ini mungkin akan disediakan bahagian 2 sebagai penyambung artikel ini.Bahagian 2 akan memuatkan lebih lagi mengenai dinasti Melayu terkenal,dan ada antaranya merupakan keturunan langsung dari Nabi Muhammad s.a.w,dan mempunyai darah Ahlul Bait.
Sebarang kesilapan admin mohon diperbetulkan.Jika ada penambahaikan,mohon penjelasan.
Sumber : RAD
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment