Tuesday, September 2, 2014

ADRUJA WIJAYAMALA SINGA - PUTERI WIRAWATI MELAYU YANG DILUPAKAN - Bhgn 7



DENDAM RAMA KHAMHAENG

Semua pihak di negeri Siam Sukhothai telah mula berasa gentar setelah angkatan perang mereka tidak pulang ke markas. Namun begitu, tidak sedikit pun terguris di hati Raja Rama Khamhaeng walaupun telah kehilangan ratusan tenteranya.

Sebaliknya, raja zalim itu telah mengambil keputusan untuk menyerang Grahi dan Kota Grahi sekali lagi. Pada kali ini, baginda sendiri yang akan mengetuai bala tenteranya.



Patung Rama Khamhaeng, Raja Siam Sukhothai
yang dibina di wilayah Sukhothai, Thailand.

Sementara di Kota Grahi pula, Raja Sang Tawal telah mendapat maklumat mengenai bala tentera Siam Sukhothai yang sudah menghampiri sempadan Grahi. Baginda segera mengarahkan semua menteri dan panglima perang (kecuali Adruja Wijayamala Singa) datang berunding.

Selesai mesyuarat, Raja Sang Tawal telah menitahkan supaya Adruja tinggal di dalam Kota Grahi sementara baginda dan para tentera Grahi keluar menentang musuh. Arahan ayahandanya itu telah membuatkan Adruja berasa begitu geram kerana tidak dibenarkan untuk turut serta berperang.

Selepas Raja Sang Tawal dan para tenteranya keluar dari Kota Grahi untuk menentang tentera Siam Sukhothai, seorang perempuan penduduk kota yang mengenali Adruja datang bertanya:

“Wahai Dewi Durga, kenapa tidak turut serta?”

“Raja fikir aku perempuan biasa. Layak menunggu di dalam kota sahaja”.

Kata Adruja kepada perempuan tersebut. Lantas perempuan tersebut berkata:

“Tapi… kami dengar cerita dari orang Tuan Puteri sendiri,
banyak kampung di utara Grahi telah Tuan Puteri selamatkan”.

Setelah mendengar kata-kata perempuan tersebut, maka tersenyumlah sang puteri seorang diri. Adruja mula menyedari bahawa perihal itu tidak pernah dilaporkan kepada Raja Sang Tawal dan sememangnya ingin dirahsiakan.

KOTA GRAHI DISERANG LAGI

Sepanjang pagi tersebut, Adruja berasa gelisah. Tatkala tengah hari pula, nalurinya mengatakan ada sesuatu yang tidak kena. Lalu diarahnya Puspa supaya pergi selidik di luar Kota Grahi.

Alangkah terkejutnya Puspa apabila melihat tentera Siam Sukhothai telah berjaya mencerobohi kota. Mereka membunuh dan bertindak ganas terhadap orang-orang tua, kanak-kanak dan wanita di dalam Kota Grahi.

Ternyata Rama Khamhaeng seorang yang licik. Raja tersebut telah membahagikan angkatan tenteranya kepada dua ketumbukan - satu untuk berperang dengan angkatan tentera Raja Sang Tawal di medan perang manakala yang satu lagi pula untuk menyerang Kota Grahi secara senyap dan mengejut.

Contoh pakaian tentera Siam (Thai) ketika zaman kerajaan Sukhothai.

Puspa segera memaklumkan kepada puterinya. Adruja lantas mengarahkan semua anggota Seri Wijayamala bertindak. Kehadiran mereka telah mengejutkan pihak musuh.

“Jahanamkan mereka! Bunuh semuanya! Anak haram jadah! Binatang! Cincang habis!”

Jerit Adruja seraya menghayunkan kelewang panjangnya (Kilatan) sambil memecahkan kepala serta memutuskan tubuh-tubuh musuh. Kemudian, arahan diberikan kepada dua orang rakan seperjuangannya yang bernama Seroja dan Sundari:

“Kau Seroja, panah dari atas kota sana. Kau Sundari, suruh para abdi siapkan kuda kita”.



1 comment:

Scripters said...

Terima kasih...Lagenda Siam yang menarik... ada masa nanti akan ku terjah lagi untuk membaca dari episod pertama