Friday, January 2, 2015
APLIKASI FIZIK DALAM LAGU ROCK “WE WILL ROCK YOU”
Pasti kita semua mengenali atau pernah mendengar lagu We will rock you’ bukan?
Lagu dari kumpulan Queen ini pasti akan kedengaran setiap kali berlangsungnya temasya sukan suatu ketika dahulu. Lagu ini juga merupakan pasangan kepada lagu ‘We are the champion’ hasil ciptaan Freddie Mercury dan sering dimainkan secara berpasangan oleh stesyen radio.
Disebalik populariti lagu ini, tersimpan satu fakta menarik untuk dikongsikan, iaitu pembikinan lagu ini turut menggunapakai pengetahuan dalam ilmu fizik.
Lagu ini dicipta pada tahun 1977 oleh pemain gitar utama bagi kumpulan Queen, Dr. Brian May. Beliau memiliki ijazah dengan kepujian dalam bidang fizik dari Imperial College London, salah sebuah universiti terkemuka di UK.
Identiti utama bagi lagu ini sudah tentunya pada rentak ‘stomp-stomp-clap’ yang menggunakan kombinasi hentakan kaki dan tepukan tangan. Menurut Dr. Brian May, rentak ini dicipta dengan tujuan untuk mewujudkan kesatuan dan interaksi antara penonton dan kumpulan Queen setiap kali lagu ini dipersembahkan secara live.
Sewaktu sesi rakaman bagi lagu ini, Brian May ingin mewujudkan satu kesan audio dimana bunyi rentak ‘stomp-stomp-clap’ ini seolah-olah dihasilkan oleh seribu orang. Namun pada waktu itu belum ada lagi mesin audio yang boleh menghasilkan kesan sebegitu.
Di sinilah Brian May menggunakan pengetahuan fiziknya dalam bab hubungan antara gelombang bunyi dan jarak. Menurut Brian May, kesan audio ini dihasilkan dengan merakamkan bunyi rentak tersebut berulang kali pada jarak yang berbeza dari mikrofon. Jarak antara mikrofon dan sumber bunyi ini pula ditetapkan mengikut nisbah nombor perdana.
Rakaman audio bagi rentak ini kemudiannya dilapiskan satu sama lain dan dijarakkan sedikit bagi menghasilkan kesan seakan sebaran bunyi dari pelbagai arah. Akhirnya kesan audio ini berjaya dihasilkan dengan hanya menggunakan empat orang ahli kumpulan Queen sahaja.
Pada konsert Lives Aid tahun 1985, kesan audio yang sama telah berjaya dihasilkan oleh 75,000 orang yang membanjiri stadium Wembley. Objektif penciptaan rentak ini oleh Dr. Brian May juga turut berjaya dicapai. Persembahan ini diiktiraf oleh pemuzik profesional dan pengkritik sebagai antara ‘Persembahan live terbaik sepanjang zaman’.
Kali terakhir lagu ini dipersembahkan di temasya sukan secara besar-besaran adalah sewaktu acara penutup Sukan Olympics London 2012
-Sumber-
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment