Monday, January 5, 2015

MARI MENGENAL AWAN



Pada pandangan mata kasar,ia kelihatan cantik dan tidak berbahaya. Tiada siapa menyangka awan yang terhasil daripada gumpalan wap air yang terapung di atmosfera sebenarnya adalah penyumbang utama penghasilan kilat dan ribut yang mengakibatkan pelbagai tragedi di udara dan darat.



Kebanyakan kejadian kemalangan di udara yang berlaku pada tahun lalu berkait dengan faktor awan yang membawa kepada cuaca tidak menentu sehingga menyebabkan pelbagai fenomena luar biasa di dalam dan luar negara.

Menurut laporan,sebanyak 18 kes kemalangan udara membabitkan pelanggaran awan berlaku sejak tahun 1929 hingga tahun 2002.Bagaimanapun,kemalangan yang menimpa pesawat QZ8501 AirAsia Indonesia,baru-baru ini dianggap antara kejadian luar biasa . kerana juruterbang dipercayai memasuki gumpalan awan paling berbahaya, kumulonimbus di kawasan 'kilang ribut petir'
di Laut Jawa itu sehingga menyebabkan enjin pesawat mati.

Kumulonimbus adalah sejenis awan paling besar dan bahaya yang sering menjadi punca kemalangan udara kerana saiznya yang cukup besar dan keamatan hujan yang lebat boleh membawa kepada pelbagai kebarangkalian berlaku,termasuk ribut petir dan gegaran udara terhadap pesawat apabila melalui ruang udara sedemikian.

KESAN CAS POSITIF,NEGATIF

Proses ribut petir itu berlaku apabila cas positif dan negatif yang terkumpul dalam awan kumulonimbus menghasilkan upaya medan elektrik yang tinggi,yang mana semakin tinggi atau tebal awan itu,semakin tinggi atau tebal awan itu,semakin banyak kedua-dua cas akan terkumpul.

Medan elektrik yang terhasil itu seterusnya membekalkan tenaga mencukupi untuk cas ini bergerak dan mengalir nyahcas yang membuatkan sifat udara yang pada asalnya penebat berubah menjadi pengalir.

Pengaliran cas ke bumi pula menghasilkan kilat awan ke awan yang boleh mengganggu sistem penghantaran dat komunikasi dan merosakkan komponen elektronik yang digunakan di dalam pesawat kerana radiasi frekuensi tinggi yang dihasilkan oleh kilat.

Awan jenis ini juga menjadi penyumbang bencana di darat seperti tragedi banjir luar biasa di tujuh negeri di Semenanjung baru-baru ini yang menyaksikan banjir terburuk di negara ini sejak tahun 1981.

Selain faktor peralihan monsun,awan kumulonimbus juga menjadi punca kejadian itu kerana kandungan kuantiti air yang banyak dan keupayaan awan itu berangkai dengan awan kulumonimbus yang lain membentuk hujan yang lebih lama.

KUMULONIMBUS - AWAN MENEGAK
-Tinggi dan berwarna putih dan gelap.
-Tapaknya terletak pada ketinggian 1000 kaki
-Puncaknya boleh mencapai 50,000 kaki
-Ketebalan dan ketinggian awan ini bergantung kepada kandungan kelembapan dan kestabilan atmosfera.
-Saiz awan kumulonimbus yang cukup besar dan intensiti hujan yang lebat menunjukkan pelbagai
kebarangkalian boleh berlaku termasuk ribut petir dan gegaran udara kepada pesawat apabila
melalui ruang udara sebegini.

ALTOSTRATUS - AWAN PERTENGAHAN
-Awan kelabu meliputi hampir keseluruhan langit
-Menyebabkan hujan gerimis
-Biasanya terbentuk pada waktu petang yang menandakan akan hujan pada waktu malam.

SIRUS - AWAN TINGGI
-Terbentuk pada ketinggian yang jauh dari darat
-Memantulkan sebarang cahaya yang menyuluh ke atas dari permukaan bumi
-Menandakan keadaan cuaca yang baik.

STRATOKUMULUS
-Berwarna kelabu dan putih
-Hanya terjadi pada lewat petang dan senja apabila atmosfera stabil
-Hujan dalam jumlah yang sedikit

STRATUS - AWAN RENDAH
-Berwarna putih atau kelabu dan terbentuk oleh udara yang stabil
-Awan yang paling dekat dengan permukaan bumi
-Membawa hujan gerimis atau kabus.

ALTOKUMULUS
-Berbentuk seperti gumpalan kecil atau besar
-Berwarna putih atau kelabu
-Awan jenis ini tidak menyebabkan hujan tetatpi awan altokumulus yang tebal boleh menyebabkan hujan

SIROSTRATUS
-Membentuk kepingan awan nipis yang menyelubungi langit
-Menyebabkan pembentukan Halo iaitu lingkaran bulat yang mengelilingi matahari dan bulan
-Terbentuk pada musim kemarau.

SIROKUMULUS
-Tinggi,tebal,outih,berpecah-pecah dan menyerupai sisik ikan.
-Berwarna putih tanpa bayangan
-Lazimnya dilihat pada musim sejuk dan menandakan cuaca yang baik.

NIMBOSTRATUS
-Berwarna gelap yang menutupi sebahagian atau seluruh langit
-Berbentuk seperti bukit dan berpisah-pisah
-Membawa hujan berhari-hari tanpa kilat dan petir.

SUMBER: BH 4 Jan 2015

No comments: