KISAH ini berlaku lapan tahun lalu(KISAH INI DICERITAKAN PADA TAHUN 2022). Cerita yang membongkar sejarah dan dendam kesumat dalam keluarga Syahirah. Semuanya bermula ketika Syahirah menyambung pengajian di sebuah institusi pengajian tinggi di utara tanah air. Ketika itu, dia menyewa sebuah rumah bersama empat rakannya.
Suatu suatu petang semasa musim peperiksaan bakal menjelang, mereka makan malam di sebuah restoran berdekatan rumah sewa mereka. Syahirah tidak memesan apa-apa, sekadar mencicip hidangan rakan-rakannya. Ketika menyudu makanan ke mulut, dia terdengar bunyi bisikan dari meja sebelah. Bila menoleh, dia melihat seorang wanita separuh abad yang mulutnya kumat-kamit membaca sesuatu setiap kali menyudu makanan ke mulut. Aneh!
Selesai makan, mereka bergerak pulang. Waktu ketika itu sudah hampir Maghrib. Entah mengapa, Syahirah berasa tidak sedap hati. Bagai ada sesuatu yang tidak kena. Sampai di rumah, Syahirah terus masuk dan terduduk. Tiba-tiba dia menjerit bagai orang histeria. Jeritan Syahirah lantang memecah kesunyian Maghrib.
Rakan-rakannya terkejut. Mereka menghubungi rakan lain meminta bantuan. Tidak lama kemudian, tiba rakan mereka bersama seorang ustaz. Terpekik-pekik Syahirah kesakitan ketika dirawat ustaz tersebut. Menurut ustaz itu, dia terkena santau angin. Ada kaitan dengan wanita yang dilihatnya di kedai makan petang tadi. Menurut ustaz itu, wanita tersebut cuba menyantau kedai tersebut, namun tempiasnya turut terkena pada Syahirah.
Ustaz itu cuba merawat Syahirah sekadar yang termampu. Selebihnya, ustaz itu minta ibu bapa Syahirah datang. Katanya, ada sejarah lama yang tersimpul dalam tubuh Syahirah perlu dirungkaikan.
Sebenarnya, santau itu menjadi asbab yang membuka rahsia lebih besar. Dua hari sebelum kedua orang tuanya datang, tidur rakan-rakan Syahirah tidak lena. Menjelang Maghrib, Syahirah akan gelisah sebelum mula meraung-raung.
Sewaktu ibu dan ayahnya tiba di rumah sewa mereka, Syahirah terus bangkit dan menjerit, “Aku benci kau! Kau bukan ayah aku!” ujarnya sambil menunjuk ke arah ayahnya.
Ustaz yang merawat menjelaskan, ada saka dalam tubuh Syahirah. Bukan itu saja, ada banyak lagi ‘benda’ lain yang turut menumpang di tubuhnya. Dari situ, satu demi satu perkara mula terungkai, termasuklah sejarah keluarga mereka bermula dari saat perkahwinan ayah dan ibu Syahirah.
Ayah dan ibunya merupakan sepupu. Rupa-rupanya ada pihak lain yang kurang senang dengan perkahwinan mereka dahulu lalu menggunakan cara halus untuk melunaskan dendam mereka. Dan tempiasnya kena pada Syahirah yang ketika itu masih bayi. Tambah parah, saka keturunan keluarga mereka juga sedang mencari pewaris. Sebab itu sewaktu kanak-kanak, Syahirah selalu diserang histeria.
Kini, ia bagaikan kemuncak. Syahirah sakit teruk. Walau ustaz itu cuba merawat, sakit misterinya tidak sembuh. Akibatnya, Syahirah terpaksa menangguhkan pengajiannya selama setahun. Selama tempoh itu juga dia berikhtiar di serata tempat.
Ketika itu, Syahirah lebih banyak berkurung dan menangis mengenangkan masa hadapannya yang dirasakan gelap. Bagi Syahirah, setahun bukan sekejap. Kawan-kawan sudah menginjak ke tahun akhir pengajian, sedangkan dia tersangkut di pertengahan jalan. Kerana tertekan, Syahirah tidak mahu makan atau berbual. Ayahnya kemudian memanggil seorang pengamal perubatan Islam ke rumah mereka. Ustaz Kamil namanya.
Bila datang ke rumah, Ustaz Kamil ‘geledah’ seluruh kawasan rumah mereka. Ia membawa penemuan sebuah cermin lama. Ia cermin buatan tangan dan terukir halus. Bingkainya diperbuat dari kayu jati. Letaknya di ruang tamu kedua rumah mereka.
Bila Ustaz Kamil ‘perlihatkan’ isi dalam cermin itu, mereka semua terkejut. Ada sesuatu dalam cermin itu yang sudah beranak-pinak, menjadikan cermin itu bagaikan ‘rumah’ mereka. Ayah Syahirah cuba memecahkan cermin itu dengan besi. Berkali-kali diketuk, cermin langsung tidak pecah. Calar pun tidak. Hentakan seorang lelaki dewasa, masakan tidak memberi kesan kepada cermin lama itu.
Dengan bantuan Ustaz Kamil, barulah cermin itu berjaya dipecahkan. Bergema raungan seisi rumah. Pekikan demi pekikan yang kedengaran membuatkan bulu roma mereka meremang Namun, pekikan dan lolongan itu hanya didengari mereka sahaja. Tidak seorang pun jiran-jiran berdekatan mendengar bunyi tersebut.
Setelah dipecahkan, cermin itu dibakar. Berkepul-kepul asap hitam naik dari ruang rumah mereka. Namun, ia masih belum selesai. Malam itu, Ustaz Kamil meruqyahkan Syahirah. Kemudian, Ustaz Kamil keluar bersama ayah Syahirah ke halaman rumah.
Mereka menggali tanah di halaman dan menemui pelbagai barang aneh seperti patung, balutan kain kuning dan tulang-temulang. Ada yang sudah mereput seakan sudah begitu lama ditanam di situ. Ada pula yang kelihatan masih baru.
Ayah Syahirah kemudian menebang sebatang pokok di halaman, mengalir cecair berwarna merah. Bukan sebatang itu sahaja rupanya. Pokok-pokok lain di halaman rumah mereka juga mengeluarkan cecair merah seperti darah.
Malam itu terbongkar perbuatan Nasir yang dahulu menggilai ibu Syahirah hingga sanggup menyakiti mereka. Terlerai juga perbuatan khianat Din yang memusuhi datuknya lalu menyerang mereka. Dan semua tempias perbuatan mereka kena pada Syahirah.
Gebnap setahun, Syahirah pulang semula ke pusat pengajiannya. Hasratnya mahu menyambung semula pengajian. Namun, tubuhnya masih belum kuat. Meskipun sejarah yang membelenggu keluarganya sudah terungkai, tubuh Syahirah belum mampu bertahan. Dia sering jatuh sakit. Disebabkan itu, Syahirah memilih untuk berhenti belajar. Dia enggan menyusahkan orang tuanya. Memang berat hatinya.
Selepas empat tahun kejadian itu, Syahirah mula melihat hikmah kejadian tersebut. Hubungannya dengan keluarga bertambah erat. Malah, dia menerima panggilan pendaftaran ke pusat pengajian yang lebih cemerlang dan ternama. Syukur, alhamdulillah. Syahirah kian pulih dan impiannya untuk menyambung pengajian tercapai kembali.
Sumber : <<<Utusan_Misteri>>>
No comments:
Post a Comment