Tuesday, February 4, 2025

Rupanya Dicampur Air Jampi

 


Wanita tumpah darah, gugur bayi sulung lepas jamah masakan biras... Rupanya dicampur air jampi, iri hati hamil awal!


DEK kerana perasaan iri hati, segelintir individu sanggup melakukan apa sahaja demi melihat pesaingnya jatuh tersungkur.

Demikian juga dengan kisah dialami Saerah (bukan nama sebenar) yang menjadi mangsa perbuatan khianat kakak ipar sendiri.

Meskipun sudah 10 tahun berlalu, Saerah masih tidak dapat melupakan peristiwa hitam di mana dia keguguran sehingga hampir meragut nyawanya sendiri.

Mengimbas kembali tragedi berkenaan, Saerah berkata segala-galanya bermula selepas dia dan suami, Taufiq (juga bukan nama sebenar), berkongsi berita gembira bakal menimang cahaya mata sulung dengan keluarga mentuanya.


"Saya disahkan hamil selepas dua bulan berumah tangga. Ketika usia kandungan sekitar 10 minggu, saya dan suami kongsi berita kehamilan dengan keluarga mentua waktu balik kampung.

"Memang ibu dan bapa mentua teruja sangat. Iyalah, bakal timang cucu sulung.

"Abang ipar saya dah kahwin tujuh tahun tapi belum ada rezeki timang zuriat. Waktu share berita tu, abang ipar dan biras yang saya panggil Kak Murni pun happy sangat," kongsi wanita berusia 36 tahun ini.

Menurut Saerah yang bekerja sebagai peniaga online, semuanya indah pada awalnya malah dia dilayan bak puteri oleh suami dan ibu mentua.


"Saya dah tiada ibu dan satu-satunya anak perempuan dalam keluarga. Bersyukur sangat sebab dapat ibu mentua dan biras yang jaga saya macam ahli keluarga sendiri.

"Mereka tahu saya alami alahan teruk, setiap minggu mesti datang rumah bawakan makanan, tolong urut dan macam-macam lagi," ujarnya.

Namun kata Saerah, tanpa disedarinya, timbul perasaan cemburu dan iri hati dalam diri kakak iparnya.

Tidak hanya disebabkan dia hamil, tetapi juga kerana semua perhatian keluarga kini seolah-olah berpusat kepadanya.

"Dipendekkan cerita, suami kena pergi outstation selama seminggu ke Perlis. Ketika itu kandungan saya baru 16 minggu.

"Disebabkan risau saya tinggal seorang, suami cadangkan saya tumpang rumah mentua di Kuala Kangsar. Jaraknya hanya sejam saja dari rumah kami. Mentua pun setuju malah sangat mengalu-alukan saya duduk dengannya.

"Abang ipar dan Kak Murni memang duduk dengan mereka sebab tolong bapa mentua usahakan ladang sawit.

"Hari ketiga di sana, saya perasan Kak Murni macam berubah. Tak seceria atau banyak cakap macam sebelum ni. Saya anggap mungkin dia penat jadi saya pun tak bertanya... buat macam biasa," ujarnya.

Keesokannya menurut Saerah, dia dan Kak Murni tinggal berdua sahaja di rumah memandangkan ibu mentuanya sibuk membantu di majlis kenduri kahwin jirannya.


"Macam biasa, Kak Murni tak bagi saya tolong dia di dapur sebab saya masih alami alahan. Dah siap masak makanan tengah hari, dia panggil suruh saya makan.

"Lepas solat Zohor, perut saya rasa macam pedih sangat. Makin lama, sakit mencucuk-cucuk. Makin panik bila rasa ada cecair di celah paha... rupanya darah!

"Saya jerit panggil Kak Murni tapi tak dijawab. Sambil menangis tahan sakit, saya cuba bangun ambil handphone tapi rebah dan tak sedarkan diri. Rupanya, sejam juga saya terbaring dengan darah bersimbah di lantai bilik sebelum ibu mentua pulang.

"Saya cuma sedar ketika dah ada atas katil hospital. Waktu tengok wajah suami dan ibu mentua yang berlinang air mata, saya boleh agak kandungan saya tak dapat diselamatkan," cerita Saerah.

Empat hari ditahan di wad, Saerah akhirnya dibenarkan keluar hospital dan dia berpantang di rumah mentua.

"Mungkin Allah nak tunjuk, satu hari tu, suami nak ambil dulang makanan tengah hari saya di dapur. Dia ternampak Kak Murni letak sesuatu dalam sup sayur saya.

"Peliklah sebab dia cepat-cepat sorok botol kecil dalam gulungan kain batik. Suami desak punya desak, akhirnya dia mengaku benda tu air jampi. Dia juga mengaku dialah angkara saya keguguran.

"Terkejut semua dengar. Menangis-nangis dia minta maaf pada saya dan suami. Suami ajak saya balik rumah hari tu juga sebab tak boleh hadap muka kakak iparnya.

"Disebabkan perbuatannya, abang ipar ceraikan Kak Murni. Saya tak tahu apa ceritanya selepas dia balik kampung di Terengganu. Saya dah maafkan, tapi takkan melupakan," akhiri Saerah yang kini merupakan ibu kepada sepasang cahaya mata berusia enam dan tiga tahun.

Sumber : <<<mStar-Mistik>>>

No comments: