Wednesday, December 10, 2014

ADRUJA WIJAYAMALA SINGA - PUTERI WIRAWATI MELAYU YANG DILUPAKAN - Bhgn 8



LELAKI TUA BERTONGKAT DAN TASBIH



LELAKI TUA BERTONGKAT DAN TASBIH


Pencerobohan itu akhirnya berjaya dihindari dan Kota Grahi terselamat. Namun begitu, itulah pertama kali hati Adruja berasa amat hiba dan remuk-redam kerana perbuatan pihak musuh yang amat zalim terhadap orang-orang yang lemah.

Pasukan Seri Wijayamala menangis teresak-esak, sambil mendakap para wanita dan kanak-kanak yang meraung. Air mata Adruja jatuh berlinangan. Adruja mengetapkan bibirnya. Tiba-tiba, datang seorang lelaki tua bertongkat menuju ke arah puteri tersebut lalu berkata dengan sebaknya:

“Tuan Puteri, hamba sudah tua… Tiada tenaga lagi memerangi musuh kita.
Bawalah tasbih hamba ini. Semoga Tuan Puteri mencapai kemenangan
yang luar biasa… Insyallah…. Ucaplah, ‘Ya Jabbar Ya Qahhar’…”.

Lelaki tua bertongkat itu mengucup tangan Adruja lalu pergi dari situ. Belum sempat sang puteri mengucapkan terima kasih, para anggota Seri Wijayamala sudah mengerumuninya dan bersiap-sedia. Adruja memberi arahan kepada pasukan Seri Wijayamala:

“Wahai pasukanku, Seri Wijayamala… Lilitlah rambutmu dengan kain hijau
seperti serban yang dipakai ayahmu, suamimu atau saudaramu yang pergi berjuang
demi agama dan tanah air. Aku tahu, tentera ayahanda sedang terpukul teruk.
Aku juga tahu, hari ini Rama Khamhaeng turut memimpin tenteranya.
Hari ini hari penentuan! Puspa, lilitkan serban kuning ini ke kepalaku.”

Tiba-tiba, kedengaran laungan azan berkumandang di atas kota. Suara seorang tua - dipercayai lelaki tua bertongkat yang memberi tasbih kepada Adruja sebentar tadi. Adruja segera memakai tasbih tersebut di lehernya dan terus menunggang kuda putihnya yang bernama Halilintar.


Selesai sahaja azan, Adruja melaungkan ungkapan “Allahuakbar” yang kemudiannya disambut oleh semua yang hadir. Semua wirawati Seri Wijayamala terus memecut kuda yang menderu keluar dari kota bagai angin taufan. Tanpa menoleh ke belakang lagi, pasukan khas tersebut terus memacu kuda di belakang ketua mereka - Adruja Wijayamala Singa

TUMBANGNYA RAMA KHAMHAENG

Benarlah jangkaan Adruja. Di medan perang, segala pasukan bergajah Siam Sukhothai sedang meredah dan merempuh apa sahaja di hadapan mereka. Orang dan kuda habis dibelit dengan belalai, dipijak dengan kaki atau dirodok oleh gading gajah.

Lima anggota Seri Wijayamala telah bersiap-sedia dengan tombak bercangkuk. Mereka turut dibantu oleh pasukan berpanah dan pasukan yang memakai kusa - sejenis alat yang ditakuti gajah


Sementara itu, Puspa pula diarahkan untuk memegang bendera khas Adruja Wijayamala Singa, iaitu corak helang merah berlatarkan kuning. Tiba-tiba, mata Puspa terpandang ke arah pasukan bergajah Siam Sukhothai yang juga mengibarkan bendera pihak musuh.

“Tuan Puteri! Itu dia, Rama Khamhaeng!”

Adruja terus memecut kuda putihnya ke arah gajah hitam khas milik Rama Khamhaeng tanpa menghiraukan segala hiruk-pikuk di sekitarnya. Api kemarahan dari lubuk hati Adruja telah mengalir ke tangannya yang menggenggam erat Kilatan yang berkilauan disambar matahari petang.

Adruja mengarahkan pasukan berpanahnya supaya memanah semua askar di sekeliling Rama Khamhaeng. Setelah kesemuanya mati terbunuh, baginda lantas mengarahkan pengikutnya supaya membaling tombak ke arah Rama Khamhaeng. Beberapa tombak telah terkena pada tubuh raja tersebut lalu meragut nyawanya. Jasadnya terkeluar dari rengga gajah lalu jatuh rebah ke bumi.


Adruja dengan pantas terus merodok pusat Rama Khamhaeng dengan Kilatan, lalu ditusuknya ke atas hingga ke tenggorok. Pecahlah jantung dan terburailah segala tali perut dengan semburan darah membuak-buak. Kelewang dicabut, lalu leher raja tersebut ditebas hingga terpisahlah kepalanya dari tubuh. Kemudian, Puspa mengambil kepala Rama Khamhaeng dan menancapnya pada hujung tombak lalu diberikan kepada Adruja.

“Heret bedebah ini ke laut! Cincang sesiapa yang cuba menghalang!”

Jerit Adruja kepada pasukan Seri Wijayamala. Dua orang wirawati segera mengangkat kedua-dua belah kaki Raja Siam Sukhothai itu lalu mengheretnya dengan kuda menuju ke pantai.

Perbuatan tersebut telah menyebabkan tentera Siam Sukhothai bersikap seperti orang gila. Mereka cuba untuk mendapatkan kembali kepala Rama Khamhaeng. Adruja dengan segera mencantas dan menebas mereka. Para tentera Siam Sukhothai yang cuba mendapatkan badannya pula terus dipanah oleh pasukan berpanah Seri Wijayamala.

“Seroja, bawa balik kepala ini. Biar beta selesaikan saki-baki anjing-anjing ini.”

Para tentera Siam Sukhothai mula hilang semangat setelah menyaksikan kematian raja mereka. Tiada apa yang boleh mereka lakukan selain berlutut meratap menyembah bumi. Itulah hari bencana besar bagi bangsa Siam (Thai) dari negara Sukhothai kerana tidak menjangka yang mereka akan mati dibunuh oleh seorang puteri raja dengan pasukan khas wanitanya yang bengis.





No comments: