Monday, December 22, 2014

TAMADUN MELAYU-POLINESIA YANG HILANG DI PULAU EASTER


Sebaik menjejakkan kaki di Pulau Easter, sebuah pulau terpencil di kawasan Lautan Pasifik Selatan, pasti timbul persoalan mengenai kewujudan dan fungsi 887 buah patung gergasi digelar Moai yang berdiri tegak di sekeliling pulau seluas kira-kira 170 kilometer persegi itu.





Malah, lebih menghairankan tatkala dimaklumkan bahawa hampir semua penduduk asal di pulau tersebut sudah ‘menghilangkan diri’ selepas mendirikan ratusan patung berkenaan. Sehinggalah kira-kira 300 tahun lalu, kumpulan pelaut Belanda yang menemui kembali pulau berkenaan tergamam apabila mendapati apa yang tinggal di kawasan itu hanyalah ratusan patung gergasi yang kekal berdiri megah melewati masa.

Sejak itu, Pulau Easter mula dibanjiri penyelidik dan pihak yang ingin menyaksikan sendiri keanehan berkenaan. Seterusnya, kajian demi kajian dilakukan bagi mencari jawapan kepada teka-teki yang terselindung di sebalik pulau itu.

Patung batu gergasi yang banyak terdapat di pulau itu hampir menyerupai wajah manusia. Ia diukir dengan begitu unik dan berseni sekali gus membuktikan bahawa penduduk pulau itu amat mahir dalam seni ukiran.

Akan tetapi, misteri yang memeningkan penyelidik adalah siapakah mereka sebenarnya dan ke mana mereka akhirnya menghilangkan diri ?

Tatkala melihat saiz patung batu itu pula, timbul satu lagi persoalan lain iaitu bagaimana batu seberat sehingga 180 tan dan setinggi 20 meter dipindahkan dari kawasan gunung berapi Rano Raraku ke pelbagai kawasan sekitar pulau yang jauhnya lebih 20 kilometer ?

Sehingga kini, tidak banyak fakta yang ditemui sekali gus meninggalkan Pulau Easter menjadi satu daripada lokasi arkeologi paling misteri di dunia.

Lokasi Pulau Easter di Lautan Pasifik Selatan


Sejarah Dan Teori

Antara mitos berhubung kewujudan patung batu gergasi Moai di Pulau Easter, menyamai kisah rakyat Si Tanggang dalam budaya kita. Mitos itu menyatakan bahawa penduduk pulau iaitu puak Rapa Nui bertukar menjadi batu.

Teori lain pula menyatakan bahawa patung itu adalah batu nisan bagi kubur penduduk pulau berkenaan. Teori yang lebih pelik ala fiksyen pula menyatakan bahawa Moai dihasilkan makhluk asing menyebabkan batu berat itu dapat dipindahkan dari kawasan gunung berapi Rano Raraku ke pelbagai kawasan sekitar pulau yang jauhnya lebih 20 kilometer.

Bagaimanapun, kajian penyelidik mendapati bahawa terdapat satu lagi teori menarik yang meliputi semua misteri di pulau itu termasuk tujuan patung itu diukir, kaedah digunakan untuk memindahkan batu serta jawapan kepada kehilangan penduduk asli di pulau tersebut.

Pulau Easter dikatakan wujud jutaan tahun lalu akibat beberapa letusan gunung berapi bawah laut. Ia kemudian menjadi pulau indah yang kaya dengan alam semulajadi terutamanya pohon palma yang hidup subur sehingga membentuk hutan yang didiami fauna dan unggas.

Kemudiannya, orang-orang Melayu Polinesia yang berlayar menemui pulau berkenaan dan mula menghuninya selaku penduduk asli di kawasan tersebut. Rumah-rumah didirikan dan haiwan-haiwan mula diternak. Bagaimanapun, penduduk asli Pulau Easter tidak hidup di bawah satu komuniti sebaliknya beberapa puak berasingan terbentuk di pulau itu.

Seterusnya, penduduk terbabit mula mengukir ratusan patung gergasi di seluruh pelosok Pulau Easter. Ada pendapat mengatakan patung itu diukir dan didirikan sebagai kepercayaan agama penduduk terbabit selain untuk memuja pemimpin puak masing-masing.

Batu-batu berat yang dijumpai di kawasan gunung berapi Rano Raruku dipindahkan ke lokasi jauh dengan cara menggolekkannya menggunakan batang pokok yang disusun bersebelahan. Bagi mencapai tujuan tersebut, maka banyak pohon di pulau itu terpaksa di tebang. Semakin banyak patung batu diukir, maka semakin banyak jugalah pokok-pokok yang ditebang sehingga akhirnya hutan dan pokok-pokok di Pulau Easter semakin pupus.

Ketiadaan hutan di Pulau Easter sehingga seluruh kawasannya menjadi seumpama padang jarak padang tekukur menyebabkan tanaman yang diusahakan penduduk mula tidak menjadi. Tanpa tanaman yang menjadi sumber makanan, penduduk Rapa Nui mula kelaparan dan akhirnya kekacauan antara puak mula tercetus. Mereka mula berperang sesama sendiri malah keganasan menjadi semakin sadis.

Kelaparan menyebabkan penduduk di Pulau Easter berubah menjadi kanibal apabila sanggup memakan jasad puak yang kalah dalam peperangan. Hakikat itu dibuktikan oleh penyelidik apabila mereka menemui beberapa tulang di pulau berkenaan yang dipercayai terhasil akibat aktiviti kanibalisme. Malah, di suatu kawasan di Pulau Easter, wujud sebuah gua yang dinamakan Ana Kai Tangata membawa maksud gua di mana manusia di makan.

Keganasan dan peperangan sesama puak akhirnya menyebabkan kewujudan Rapa Nui yang bertapak di Pulau Easter sejak lebih 300 tahun musnah dan satu-satunya kesan tinggalan yang berjaya ditemui hanyalah ratusan patung batu besar Moai yang menjadi saksi peristiwa sebenar yang pernah berlaku di pulau terbabit.

-Sumber Artikel -

No comments: