Thursday, December 11, 2014

HANG NADIM, KECIL-KECIL CILI API DAN SINGAPURA DILANGGAR TODAK


Ada satu figura dalam sejarah Melayu yang sebenarnya menemplak semua manusia yang mendabik dada hanya kerana mereka lebih tua daripada seorang budak mentah. Ya, Hang Nadim masih mentah dalam meniti perjalanan hidup, tetapi itu bukan alasan untuk mana-mana si tua untuk menidakkan kebolehan si muda.

Hang Nadim, lambang kepada keseimbangan dalam budaya Melayu itu. Kalau golongan yang berusia dalam bangsa Melayu boleh berbangga dengan ketokohan seorang manusia bernama Tun Perak yang terbukti berjasa menyelamatkan Melaka daripada segala bencana.



Orang muda apa kurangnya, kita ada Hang Nadim yang menjadi kayu pengukur, jangan sesekali bongkak dengan apa yang kita ada. Jangan sesekali kita merasakan kita tua, bila nasihat si muda itu kita tidak telan, malah balas dengan ludah durjana. Ya, mungkin si muda itu tidak berpengalaman seperti si tua, tetapi kekadang ada ilmu dan pendapat yang harus diraih andai kalian mahu mendapat apa yang dipanggil sebagai penghormatan.

Ilmu si muda, dan pengalaman si tua, andai digabungkan, maka percayalah satu kombinasi yang sangat menarik akan muncul. Justeru, amatlah simpati kepada mereka yang dengki dan mengherdik si Nadim kerana mudanya. Singapura selamat kerana buah pandangan si budak kecil yang umurnya dalam lingkungan tujuh tahun.

TUN JANA KHATIB

Kisah bermula dengan seorang manusia bernama Tun Jana Khatib. Ketika dia berada di hadapan sebatang pokok pisang sambil diperhatikan permaisuri kepada raja Temasik ketika itu, secara tiba-tiba dengan sekali sentuhan sahaja pokok pisang terbelah dua.

Lantas dibawa berita itu kepada raja Temasik ketika itu. Lalu murkalah ia dan dicarinya Tun Jana Khatib ini lalu di hukum bunuh di Kampung Gelam. Kata-kata Tun Jhana Khatib itu masih tersemat pada sesiapa yang mengenali sejarah.

“Hai kamu semua! ketahuilah kamu semua. Aku relakan kematian ini! Tetapi raja yang zalim itu tidak akan terlepas begitu sahaja. Dia hanya membayar harga keatas kezaliman itu… Dan percayalah Singapura ini akan huru hara! akan ditimpa malapetaka yang dahsyat!”

Ketika mahu dibawa jenazah Tun Jana Khatib, jenazahnya tiba-tiba hilang lalu bumi Temasik ketika itu dihujani oleh halilintar dan guruh serta angin ribut yang bukan kepalang. Lantas, jenazah manusia keramat itu ghaib lalu muncul di Langkawi di tepi pantai. Penduduk Langkawi mendakwa bahawa jenazah itu adalah milik manusia yang dibunuh di Temasik. Sebab itu muncul pantun yang berbunyi:

Telur Itik di Singgora,
Pandan terletak dilangkahi
Darah titik di Singapura
Badannya terlantar di Langkawi.

SINGAPURA DILANGGAR TODAK

Siapa tahu, pagi yang aman dan damai di Temasik bertukar menjadi mimpi ngeri. Nelayan yang mahu turun ke laut mencari ikan. Mereka yang mahu mencari rezeki pun mula bertempiaran cabut membawa diri. Lantas, si raja Singapura ini pun berfikir andai sumber rezeki utama Temasik iaitu laut tidak dapat disentuh, bagaimana Temasik mahu berjalan?

Lantas diarahnya orang-orang serta hulubalang istana agar berdiri di hadapan pantai untuk berbentengkan betis. Buah akal raja Singapura ketika itu akhirnya mengundang padah. Pantai temasik bergelimpangan jasad tidak bernyawa dan darah sudah tentu membasahkan pantai yang putih.

Tiba-tiba muncul seorang penyelamat. Siapa tahu Hang Nadim, seorang kanak-kanak kecil yang mempunyai akal fikiran mencadangkan agar dibentengkan dengan batang pisang.

“Apakah halnya kita sekalian ini berbenteng dengan betis? Bukankah baik kita dirikan sahaja benteng batang pisang?”

Maka idea dari si kecil ini disambut riang. Todak yang menyerang akhirnya kalah pada buah akal seorang kanak-kanak naif bernama Hang Nadim. Lalu diangkatnya seluruh penduduk kampung sebagai seorang wira.

Siapa tahu, kebijaksanaan Hang Nadim ini menimbul cemburu kepada penasihat istana. Mana mungkin budak muda yang masih mentah ini punya akal mengatasi mereka. Dek kerana kesombongan dengan apa yang dimiliki, maka tamatlah riwayat budak kecil ini.

Kesimpulannya, kita saling lengkap melengkapi. Ya, Hang Nadim itu hanya budak kecil dan ramai daripada kita yang sombong akan umur yang dimiliki, tetapi memandang rendah serta enteng pada usia itu sehingga menyangka diri sahaja yang gah adalah sikap sama pembesar Melayu yang menamatkan riwayat si genius yang kalau dilentur dan dibentuk bakal menggegar dunia.

Kadang-kadang kita perlu keseimbangan. Yang tua ada pengalaman dan yang muda punya ilmu, bukankah lebih baik digabungkan kedua-duanya menjadi sesuatu yang lebih hebat?

Belajar menerima teguran, dan jangan memandang sesuatu perkara sampah hanya kerana kita berfikiran kita gah berdasarkan kelebihan kita. Kalau diperhatikan, salah seorang daripada penasihat ketenteraan pada zaman 3 Kerajaan untuk Kerajaan Cao hanyalah budak berumur 15 tahun sahaja. Pembina sebuah empayar hebat Macedonia hanya berumur 18 tahun sahaja iaitu Alexander The Great. Begitu juga dengan Al-Fateh yang menakluk Konstantinople pada usia 21 tahun dan naik takhta pada umur 19 tahun.

Pandang seseorang itu melalui ilmu dan pengalaman. Usia hanya sekadar angka, bukan pengukur kepada kredibiliti. Kalau mahu dihormati, biarlah dengan ilmu dan pengalaman. Bukan merendahkan mereka yang kerana kita punya kelebihan dalam satu aspek. Wallahualam.

-HE-


No comments: