dan mohon kerjasama pembaca blog dan tokoh-tokoh sejarawan sekiranya ada pencanggahan fakta dan rujukan harap dapat memperbetulkan.Hamba pun dapat dari sumber-sumber yang boleh dipercayai di Wikipidia , mungkin sudah ada individu yang telah membuat kajian mengenai sejarah Negeri Kelantan harap dapat membantu.
Negeri Kelantan yang mempunyai seni budaya tradisional yang unik ini juga mempunyai sejarah persinggahsanaan yang menarik. Diriwayatkan dalam tahun 1411M (814H) di Kelantan, terdapat seorang Raja yang beragama Islam bernama Raja Kumar. Tetapi sehingga kini ahli-ahli sejarah masih belum dapat mengesani daripada manakah asalnya Raja Kumar ini. Walau bagaimanapun baginda Raja Kumar telah menjalinkan hubungan muhibbah dengan Maharaja China, dan sebaliknya dalam tahun 1412M, baginda Raja Kumar telah menerima persembahan balas berupa kain-kain sutera dan surat kepujian daripada Maharaja China itu
Selepas pemerintahan Raja Kumar lahir pula pemerintahan Sultan Iskandar sehingga 1465M. Kemudian Kelantan diperintah pula oleh Putera Baginda Sultan Mansur. Dalam zaman pemerintahan Sultan Mansur, nama Kelantan telah menjadi masyhur sehingga ke negeri Melaka di bawah pemerintahan Sultan Mahmud Shah. Pada 1477M, Sultan Melaka ini telah menghantar bala tenteranya untuk menyerang Kelantan. Walau bagaimanapun ia berakhir dengan satu simpulan peristiwa yang menarik, iaitu baginda Sultan Mahmud Shah telah berkahwin dengan Puteri Sultan Mansur yang bernama Onang Kening, yang kemudian menjadi bonda kepada Raja Perak yang pertama, iaitu Sultan Muzaffar Shah (1528M).
Apabila Sultan Mansur Shah mangkat 1526M (928H), maka putera baginda, Raja Gombak ditabalkan menjadi Sultan dengan gelaran "Sultan Gombak". Setelah baginda Raja Gombak mangkat, maka cucunda baginda yang telah dijadikan putera angkat, iaitu Raja Ahmad, ditabal menjadi Sultan Kelantan pada 1584M (992H). Dengan gelaran Sultan Ahmad, Baginda telah berkahwin dengan Cik Banun Puteri Seri Nara DiRaja, iaitu sepupu kepada Raja Hussein di sebelah isteri Lela Wangsa Pahang. Baginda berdua telah dikurniakan seorang puteri dinamakan Cik Siti Wan Kembang
Baginda Sultan Ahmad mangkat pada 1589M, sewaktu puteri baginda Cik Siti Wan Kembang berusia 4 tahun, dan oleh sebab itu Raja Hussein dari Johor telah dilantik menjadi Pemangku Raja Pemerintah Kelantan. Bila Raja Hussein mangkat pada 1610M (1018H), maka Cik Wan Kembang ditabalkam menjadi Permaisuri Kelantan. Baginda bersemayam di Gunung Chinta Wangsa, Ulu Kelantan, kira-kira 40 kilometer ke arah tenggara Kuala Krai
Pemerintahan Cik Siti Wan Kembang di Gunung Chinta Wangsa menjadi terkenal menyebabkan banyak dikunjungi oleh pedagang-pedagang dari dalam dan luar negeri termasuk juga orang-orang Arab yang menggelarkan Cik Wan Kembang dengan panggilan "Paduka Cik Siti". Baginda mempunyai seekor kijang yang kemudiannya menjadi lambang kebesaran negeri Kelantan.
Semasa dalam pemerintahan Cik Siti Wan Kembang, telah timbul sebuah lagi kerajaan berpusat di Jembal, di bawah pemerintahan Raja Sakti 1638M (1046H). Setelah baginda mangkat, maka putera baginda, Raja Loyor telah ditabal menjadi Sultan pada 1649M (1059H). Baginda dianugerahkan dengan dua orang cahaya mata iaitu seorang putera, Raja Sakti yang mangkat sewaktu masih kecil dan seorang puteri bernama Puteri Saadong.
Hubungan baik telah terjalin di antara Kerajaan Cik Siti Wan Kembang dengan Kerajaan Loyor di Jembal. Baginda mengambil Puteri Saadong sebagai anak angkat yang akan mewarisi takhta kerajaan sepeninggalannya nanti.
Puteri Saadong seorang gadis ayu yang cantik dan jelita, digelar oleh penduduk Gunung Chinta Wangsa sebagai Puteri Wijaya Mala. Perihal kecantikan Puteri Saadong itu telah sampai kepada Maharaja Siam yang menghantar utusan untuk meminang Puteri Saadong, tetapi ditolak. Puteri Saadong telah dikahwinkan dengan Raja Abdullah iaitu sepupunya, dan telah dimahkotakan di Kota Tegayong (Tanah Serendah Sekebun Bunga Cherang Tegayong) dan kemudiannya dipindahkan ke Kota Jelasin di Kota Mahligai.
Puteri Saadong telah diculik oleh Penglima Tentera Siam bernama Phraya Decho dan dibawa kepada Narai Maharaja Siam (1656-1688), kerana kesetiaannya pada suami baginda tidak boleh disentuh oleh Maharaja Siam. Setelah Puteri Saadong kembali ke Kelantan telah berlaku pergaduhan dengan Raja Abdullah. Akibat pergaduhan itu Raja Abdullah terkorban kerana kena tikaman cucuk sanggul Puteri Saadong.
Selepas kemangkatan Raja Abdullah, Puteri Saadong telah melantik Raja Abdul Rahim iaitu saudara raja Abdullah menjadi Sultan di Kota Mahligai pada 1671M (1082H) dan dikahwinkan dengan janda Raja Abdullah, anak Penghulu Ngah Jembal. Selepas itu Puteri Saadong menjadi Raja di Bukit Marak dan sejak itu kisahnya tidak dapat dikesan lagi.
Kemudian, Raja Abdul Rahim telah mangkat ditikam oleh rakyatnya di tepi Tasek Lelayang Mandi. Dengan itu putuslah sejarah "kerajaan mahligai" dan wujud pula Kerajaan Jembal yang pada waktu itu terletak dibawah pemerintahan Raja Omar yang bergelar Sultan Omar pada 1675M (1086H).
Raja Omar adalah adinda kepada Raja Loyor yang sebelum itu telah bergelar Temenggong Sultan Omar mempunyai lima orang putera dan puteri, iaitu Raja Kecil Sulung, Raja Ngah yang bergelar Raja Hudang, Raja Nah, Raja Sakti dan Raja Pah. Setelah Raja Omar mangkat pada 1721M (1132H), Baginda Long Bahar telah ditabal menjadi Sultan di Jembal atas kehendak puteri sulungnya, Raja Kecil Sulung. Baginda Long Bahar adalah putera Raja Petani (Wan Daim) yang bergelar Datuk Pengkalan Tua yang berhijrah ke Kelantan bersama ayahandanya dan berkahwin dengan Raja Pah Puteri Sultan Omar dan bersemayam di Sening dekat Jembal.
Long Sulaiman (Wan Anom Long Nik) anak Long Bahar dengan Raja Perempuan Patani bergelar Mas Kelantan mempunyai seorang putera bernama Long Yunus dan dua orang puteri, iaitu Tuan Dewi dan Tuan Kembang yang berkahwin dengan Long Deraman putera Tuan Senik Geting yang memerintah di Legeh. Pada 1756M (1169H) telah berlaku serangan untuk merebut takhta dan akhirnya telah membawa kemangkatan Long Sulaiman. Berikutnya Long Pandak, sepupu Long Sulaiman telah dilantik menjadi Raja Kubang Labu, dan adiknya pula Long Muhammad dilantik menjadi Raja Muda.
Kemudiannya pada 1758M, Long Pandak telah mangkat di tangan Long Deraman kerana membalas dendam terhadap perbuatan Long Pandak membunuh isterinya Tengku Tengah iaitu adik Long Deraman. Selepas itu Long Muhamad dilantik menjadi Sultan di Kota Kubang Labu. Dalam masa pemerintahan Long Muhammad telah meletus peperangan antara pihak Long Muhammad yang dibantu oleh Long Deraman dan Penghulu Umar Kampung Laut dengan Long Yunus yang dibantu oleh Long Gafar seorang putera kepada Raja Reman di Hulu Perak, Mandor Mis dan Penghulu Adas(ipar Mandor Mis). Dalam peperangan pada 1762M, Pihak sebelah Long Muhammad dan Long Deraman telah tumpas dan Kerajaan Kubang Labu telah dapat dikuasai oleh Long Yunus. bagi mengenang jasa yang membantunya dalam peperangan itu, maka baginda Long Yunus telah melantik Long Gaffar menjadi Perdana Menteri dengan diberi gelaran Engku Sri Maharaja Perdana Menteri memerintah dari kawasan Jeram sampai ke Pasir Tumbuh.Mandor Mis dilantik Penghulu Menteri@bendahari dengan diberi gelaran Dato' Maharaja Wangsa serta diberi kuasa berbuat dan memerintah Kampung yang sekarang dipangil Kampung Lundang, Penghulu Adas diberi kuasa berbuat Kampung serta dilantik menjadi Penghulu Kampung tersebut yang sekarang dipangil Kampung Kaduk. Baginda Long Yunus telah berjaya menyatukan seluruh pemerintahan negeri Kelantan yang banyak itu dengan meletakkannya dibawah satu pemerintahan pusat sahaja.
Perdana Menteri Kelantan Berketurunan Long Gaffar
Long Gafar yang merupakan putera Raja Reman dan sahabat karib kepada Raja Long Yunus banyak membantu Long Yunus didalam menyatukan Kelantan. Raja Kelantan Long Yunus telah menganugerahkan kawasan timur Kelantan iaitu dari Sungai Pengkalan Datu di Pasir Tumboh hingga ke Bukit Yong di sempadan Terengganu sebagai kawasan autonomi dibawah pentadbiran keluarga Long Gafar. Jawatan Long Gafar dan keturunannya ialah sebagai wizurai (wakil raja) dan memakai gelaran Tengku Sri Maharaja bagi mentadbir kawasan timur Kelantan, seperti Sultan Terengganu melantik Tengku Seri Indera Segara sebagai Raja dan wakilnya di Besut.
-Tengku Sri Maharaja Perdana Menteri Long Gaffar Bin Raja Long Nik Leh (1775-1794)
->Merupakan Raja Muda negeri Reman tetapi suka merantau. Sampai di Kelantan pada 1750-an selepas Perang Kota Kubang Labu II
->Dilantik menjadi Perdana Menteri Kelantan dengan gelaran Tengku Sri Maharaja Perdana Mantri pada tahun 1763
->Mangkat pada 1794 dan dimakamkan di Limbat
-Tengku Sri Maharaja Jeram Engku Long Seri
>>Memindahkan pusat pemerintahan dari Limbat ke Jeram
>>Mangkat pada usia 137 tahun
>>Mempunyai 15 putera dan 4 puteri
-Tengku Sri Maharaja Jeram Engku Long Demor
>>Putera kedua kepada Engku Long Sri
-Tengku Sri Maharaja Jeram Engku Chik Pandak
>>Menaiki tampuk pemerintahan Jeram pada tahun 1878
>>Dimakamkan di Kota Jeram
-Tengku Sri Maharaja Jeram Tuan Ahmad Bin Eengku Chik Pandak
->Menaiki tampuk pemerintahan Jeram pada tahun 1905
->Bercita-cita menubuhkan negeri baru yang merdeka dari Sultan Muhammad IV dan bebas dari pengaruh Inggeris.
->Baginda bersama-sama Tok Janggut memberontak pada tahun 1915. Dikalahkan oleh pasukan Inggeris.
->Kemudiaannya berhijrah ke Kota Bharu di negeri Reman
Long Gaffar membantu Paduka Seri Long Yunus menguasai Kelantan (ketika itu dipanggil "Tanah Serendah Sekebun Bunga, Negeri Cik Siti Wan Kembang). Setelah menang perang iaitu perang Kota Kubang Labu 1. Perang tersebut berlaku selepas raja Kota Kubang Labu yang bernama Long Pandak membunuh isterinya yang merupakan puteri Raja Legeh (Narathiwat dan Jeli sekarang).
Puteri tersebut bernama Puteri Neng Mas(Tengku Tengah, adik Long Deraman) adalah juga merupakan sepupu Long Gaffar dibunuh kerana dituduh berzina dengan Long Gaffar kerana memiliki "kain Cindai" yang bernama "Cepa Melaka" yang dimiliki oleh Long Gaffar. Sebenarnya kain cindai tersebut dipinjamkan oleh Long Gaffar semasa lawatannya ke Kota Kubang Labu, kebetulannya pada masa ketiadaan Long Pandak. Puteri Neng Mas telah dibunuh dengan kejam, di mana mayatnya telah dibelah perut dan diikat di atas belakang gajah yang bernama "Neng Malai" yang dihadiahkan oleh oleh Raja Legeh. Peristiwa inilah yang membangkitkan kemarahan Raja Reman dan Raja Legeh.
Gelaran "Long"
Pendapat Pertama gelaran"Long" berasal dari perkataan "sulong" iaitu anak sulung. Sudah menjadi kebiasaan dalam masyarakat Melayu, anak sulong dipanggil "long", "kak Long" atau "abang long". Sudah menjadi adat di kalangan raja-raja Melayu pula, putera sulung mereka akan mewarisi takhta. Jadi Long Gaffar adalah putera sulong Raja negeri Reman (yang terletak di Yala, Selatan Thailand hingga Hulu Perak sekarang).Pendapat yang kedua pula menyatakan riwayat lain ada menyebut bahawa gelaran Long berasal daripada perkahwinan diantara pihak lelaki yang berstatus Wan dengan pihak perempuan berstatus Raja atau Nik,ini boleh dibuktikan dengan perkahwinan Draja dahulukala dimana seorang kerabat berstatus Wan iaitu Wan Daim digelar Dato'Pangkalan Tua(Raja Patani) telah berkahwin dengan seorang kerabatnya berstatus Raja kemudian daripada ini lahirlah keturunanya yang diberi nama Long Sulong dipangil juga Tuan Sulong,Long Baha kemudian digelar Tuan Besar Jembal,Long Senik Geting kadang-kadang dipangil juga Tuan Wook dan Long Nik kemudian digelar Dato Pasir. walaubagaimana pun status kepada gelaran Engku,Wan,Tuan,Long,Nik dan Raja adalah sama tarafnya sebelum abad ke-20.Pendapat yang ketiga ini mengatakan bahawa perkataan "Long" itu berasal daripada perkataan Siam "Luang" yang bererti "Putera". Ini berasaskan hakikat bahawa semua anak-anak lelaki diberi pangkal nama "Long" tanpa mengira sama ada anak sulung atau tidak. Nah..! dalam hal ini nampaknya dalam konteks gelaran Long ciri-ciri kepada kesepakatan bukti maklumat ini lebih kepada menyokong maklumat pendapat yang kedua itu. (Ini berbeza dengan Long Jaafar di Perak kerana anaknya ialah Ngah Ibrahim). Anak-anak perempuan diberi pangkal nama Tuan di Kelantan, atau "Nan" atau "Nang" di Terengganu (dipercayai dari perkataan "Nae" bererti "puteri' dalam bahasa Siam)
Keturunan Raja Jembal
Kerajaan Jembal ialah sebuah kerajaan yang memerintah di Hilir Kelantan yang diasaskan oleh keturunan raja Champa. Negeri Champa dari kurun ke 14 hingga kurun ke 19 berperang menentang penjajahan Vietnam (dinasti Nguyen) dari utara. Vietnam mempunyai hubungan rapat dengan budaya China tetapi Champa pula lebih dekat dari segi budaya, bahasa dan agamanya dengan Melayu sehingga digelar Melayu Champa. Ramai penduduk negeri Champa berundur ke Kelantan setelah satu persatu kota meraka jatuh ke tangan Vietnam seperti kota Vijaya dan Inderapura. Kota terakhir Champa yang jatuh ke tangan Vietnam ialah kota Panduranga iaitu bandar Ho Chin Minh sekarang. Penghijrahan beramai-ramai orang Melayu Champa ke Kelantan menyebabkan terbinanya pengkalan/pelabuhan yang diberi nama Pengkalan Champa iaitu Pengkalan Chepa sekarang. Orang Champa inilah yang mengasaskan kerajaan Jembal. Bapa kepada Tuan Guru Nik Abdul Aziz Menteri Besar Kelantan, AImarhum Haji Nik Mat bin Raja Banjar adalah daripada keturunan Raja Jembal yang memerintah negeri Kelantan dalam kurun ke- 16. Keturunan Raja Jembal ini masih ramai lagi di negeri Kelantan, terutama sekali di Kota Jemba (Kedai Lalat), Pulau Melaka, Binjai dan beberapa buah kampung lain di dalam jajahan Kota Bharu.
Sejarah Raja Jembal telah ditulis oleh Almarhum Dato' Perdana Menteri Paduka Raja Nik Mahmood Nik Ismail (ayah Tan Sri Nik Ahmad Kamil dan Tan Sri Haji Nik Mustapha Fathil) sebelum Perang Dunia Kedua. Buku sejarah Raja Jembal yang ditulisnya telah dijadikan buku bacaan ilmu sejarah bagi sekolah-sekolah Melayu di Kelantan sebelum Perang Dunia Kedua. [perlu rujukan]
Antara ahli kerabat Raja Jembal yang terkenal ialah Puteri Saadong, anak angkat Cik Siti Wan Kembang yang memerintah di bahagian Hulu Kelantan pada waktu itu
Asal-usul atau salsilah keturunan Raja Jembal ini bermula daripada seorang kerabat diraja Kedah bernama Raja Bersiong yang telah singgah lalu kemudiannya terus menetap di Kedai Lalat, kira-kira 10 kilometer dari Kota Baharu. Raja Bersiong ini dikatakan membawa dua orang anak angkat yang bernama Raja Sakti dan seorang lagi bernama Tuan Puteri Mani Kemian. Ada cerita yang mengatakan bahawa Raja Sakti itu berasal dari 'buluh betung' dan Tuan Puteri Mani Kemian itu terbit dari 'buih'. Dan ekoran daripada cerita dongeng itulah menyebabkan anak cucu Raja Jembal tidak memakan sayur buluh betung yang menjadi makanan kegemaran orang Melayu sejak dulu hingga sekarang
Tetapi fakta tentang cucu-cicit Raja Jembal zaman sekarang sudah di kaburi dengan cerita yang dianggap dongeng dan sudah tidak percaya lagi dengannya. didapati kini tiada lagi keturunan Raja Jembal itu yang percaya dengan dongeng yang mengatakan asal-usul nenek moyang mereka dari buluh betung dan buih.
Cerita yang mengatakan bahawa Raja Sakti itu keluar dari buluh betung dan Tuan Puteri Mani Kemian itu keluar dari buih hanyalah rekaan dan khayalan penulis sejarah yang tidak begitu arif tentang sejarah dan salasilah Raja Jembal. Walau bagaimanapun, dikatakan terdapat wasiat daripada Raja Bersiong yang tidak membenarkan anak cucunya memakan sayur buluh betung dan tidak membenarkan anak cucunya membuat alat-alat rumah atau alat-alat pertanian dan lain-lainnya daripada buluh betung. Anak-anak cucu Raja Jembal juga tidak digalakkan memakan sejenis ikan bernama ikan sekacang.
Sejarah keturunan Raja Jembal itu bermula daripada perkahwinan Raja Sakti dengan Puteri Mani Kemian, kedua-duanya anak angkat Raja Bersiong. Setelah kemangkatan Raja Bersiong, Raja Sakti telah dilsytiharkan sebagai raja yang berdaulat di sekitar Kedai Lalat dan beberapa daerah lain di Kelantan. Hasil daripada perkahwinan Raja Sakti dengan Puteri Mani Kemian itu lahirlah Raja Loyor, Raja Omar, Raja Bahar dan beberapa orang putera dan puteri lagi.
Keturunan Raja Jembal yang ada sekarang ini ialah cucu cicit kepada Raja Sakti dan Puteri Mani Kemian. Menurut Cikgu Tuan Mat, pemerintahan Raja Jembal di Kelantan berakhir setelah kemangkatan Raja Kecil Sulung (puteri Sultan Omar) pada tahun 1725. Setelah kemangkatan Raja Kecil Sulung satu rebutan kuasa telah berlaku antara puteranya iaitu Raja Abdul Rahman dengan adindanya, Raja Pah (adik Raja Kecil Sulung yg bernikah dgn Long Bahar Datuk Pengkalan Tua putera Raja Patani).
Akibat daripada perebutan kuasa itu, Raja Abdul Rahman tersingkir daripada takhta pemerintahan keturunan Raja Jembal ini dan suami kepada Raja Pah, Tuan Besar (atau lebih dikenali sebagai Long Bahar) mengambil alih pemerintahan daripada keturunan Raja Jembal. Perpecahan telah berlaku dalam kerabat keturunan Raja Jembal ini kerana Tuan Besar (Long Bahar) yang mengambil alih pemerintahan itu berasal dari Patani.
Sepatutnya Raja Abdul Rahman yang mewarisi takhta bagi meneruskan kuasa keturunan Raja Jembal ini kerana Tuan Besar atau Long Bahar itu bukan daripada keturunan Raja Jembal. Walaupun pemerintahan Raja Jembal telah berakhir, namun kesan sejarahnya masih wujud dengan adanya makam Raja Loyor, makam Raja Omar dan makam Raja Bahar yang telah dibaiki dan dibina semula oleh pihak Muzium Negara dalam tahun 1970an. Makam-makam ini terletak di sekitar Kedai Lalat.
Sebuah sekolah menengah di Kedai Lalat telah diberi nama Sekolah Menengah Raja Sakti dan sebuah sekolah rendah di pekan yang sama diberi nama Sekolah Kebangsaan Raja Bahar.
Dikatakan yang kerabat keturunan Raja Jembal kini berada di sekitar Kedai Lalat, Pulau Melaka, Sering dan di daerah-daerah lain di Kelantan dan masih lagi menggunakan bahasa diraja atau bahasa istana dalam pertuturan antara sesama mereka.Perkataan 'ku', 'patik', 'kanda', 'bonda', 'ayahanda', 'berangkat', 'cerat', 'mangkat' dan sebagainya masih digunakan oleh keturunan Raja Jembal walaupun kini mereka hanyalah rakyat biasa yang tinggal di beberapa buah kampung di Kelantan. Ini bererti bahawa pengaruh diraja dan istana masih tebal di kalangan cucu-cicit Raja Jembal yang masih hidup sekarang walaupun mereka telah dipisahkan dari istana sejak tiga abad yang lalu. Perkembangan masa telah membawa anak cucu keturunan Raja Jembal merantau keseluruh negeri di Malaysia Barat, khususnya Kuala Lumpur.
Persatuan Kebajikan Keluarga Raja Jembal telah pun ditubuhkan dan mendapat restu daripada Persatuan Kerabat Diraja Kelantan. Persatuan Kebajikan Keluarga Raja Jembal sekarang mula ditubuhkan oleh Allahyarham YM Raja Mahmud bin Raja Mamat, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Limbongan, Exco Pertanian Kelantan Darul Naim pada masa Barisan Nasional memerintah Kelantan dulu dan Naib Ketuanya ialah Cikgu Tuan Mat bin Raja Kechik.
Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat juga telah dilantik sebagai penasihat kepada Persatuan Kebajikan Keluarga Raja Jembal ltu. Pihak Kerabat Diraja Kelantan telah diberitahu tentang perlantikan itu. Ini tidak bermaksud untuk mengulas secara panjang lebar tentang kisah dan sejarah Raja Jembal, tetapi hanya sekadar untuk mengaitkan serba sedikit riwayat tentang datuk nenek Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz dan keluarganya sebagai berketurunan daripada Raja Jembal yang masyhur dalam sejarah negeri Kelantan. Datuk sebelah bapa kepada Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz masih lagi menggunakan panggilan 'raja', iaitu Raja Banjar.
Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz mengingati suatu perkara tentang almarhum datuknya ini. Raja Banjar bukanlah orang kaya walaupun memiliki banyak tanah. Mengikut Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz, datuknya suka merantau meninggalkan rumah sehingga satu atau dua minggu. Apabila beliau pulang, dikerjakannya tanah dengan menanam kelapa dan getah secara bersungguh-sungguh bagaikan menggantikan masa kerjanya yang telah terbuang disebabkan merantau itu.
Kekaburan Sejarah Kelantan
Terdapat pihak yang mengatakan terdapat penyelewengan yang berkaitan dengan fakta sejarah negeri ini. Pendedahan yang telah dibuat menyebabkan ada pihak yang terasa. Penyelewengan itu dikatakan bermula dengan terbitnya buku "Ringkasan Cetera Kelantan" oleh Dato’ Perdana Menteri Nik Mahmud Bin Ismail sebelum tahun 1950-an. Penyelewengan fakta ini dipercayai dilakukan secara terancang dan berterusan ini terbukti dengan terbitnya buku terbaru sejarah Kelantan iaitu "Iktisar Sejarah Kelantan" yang kemudiannya diiklankan di dalam majalah "Pengasuh" keluaran MAIK
Dikatakan, ramai yang tidak menyedari bahawa selepas kejatuhan "Kota Kubang Labu" akibat Perang Kota Kubang Labu II pada tahun 1762 di antara Long Mohamad yang memerintah Kota Kubang Labu dengan Long Gaffar (Long Gaffar merupakan Raja Muda Negeri Reman dan bukannya anak pembesar Reman seperti yang didakwa di dalam buku di atas), negeri ini kemudiannya telah diperintah oleh Long Gaffar dan keturunannya.
Pusat pemerintahan utama semasa pemerintahan Long Gaffar di Negeri ini ialah di Kota Limbat, Peringat dan pada masa yang sama seorang tokoh iaitu Long Yunus (anak Long Sulaiman) yang merupakan sahabat baik Long Gaffar yang dianggap sebagai adik oleh baginda Long Gaffar. Lalu Long Yunus telah diberikan kuasa memerintah oleh Long Gaffar dari kawasan Pasir Tumbuh hingga ke Padang Garung, dan seterusnya hingga ke Kuala Kemasin dan Di sebelah Baratnya hingga ke Bukit Tanjung (Narathiwat). Walau bagaimanapun, segala keputusan dan kuasa sebenar berkaitan pentadbiran dan kes-kes jenayah adalah terletak di bawah bidang kuasa Baginda Long Gaffar di kota Limbat. Peristiwa ini yang menyebabkan munculnya nama "Kelantan", yang dikatakan berasal dari perkataan "Negeri yang Dikerat Lintang" antara Raja yang memerintah iaitu baginda Long Gaffar yang berpusat di Kota Limbat dengan Long Yunus dan sempadannya ialah Pasir Tumbuh.
Fakta tersebut dikatakan cuba diselewengkan oleh pihak-pihak tertentu di Kelantan dengan memutarbelitkan peristiwa (menyatakan Long Yunus yang beri kuasa kepada Long Gaffar) bertujuan bagi memperkecilkan dan seterusnya menghapuskan peranan Long Gaffar dalam lipatan sejarah Kelantan sedangkan dalam perang tersebut, dipercayai Long Gaffar berjaya berperang dan mengalahkan Long Mohamad yang dibantu oleh Long Deraman
Semasa pemerintahan baginda Long Gaffar dan keturunannyalah, telah terlaksana Hukum Hudud di Kelantan. Di antara tokoh yang terlibat dan menjadi tempat rujukan dan nasihat bagi perlaksanaan hukuman ini ialah Haji Nik Ismail Limbat (Tok Baruh) yang merupakan keturunanan Raja Jambu Patani yang asal. Keturunannya kemudian mengasaskan pondok Bukit Abal dan salah seorang dari keturunannya muncul sebagai tokoh agama yang terkenal iaitu Tuan Guru Haji Daud Bukit Abal.
Pemerintahan keturunan Long Gaffar di Kelantan berakhir selepas peristiwa pemberontakan Tok Janggut pada tahun 1915 iaitu semasa pemerintahan Tengku Besar Jeram iaitu Tengku Besar Tuan Ahmad yang memerintah di Jeram, Pasir Puteh. Peristiwa yang membawa kepada kejatuhan pemerintahan keturunan Long Gaffar ini dipercayai mempunyai kaitan dengan keengganan mengiktiraf pengaruh Inggeris dan Siam di negeri Kelantan. Akibat mainan politik penjajah Inggeris dan Siam, para keturunan Long Yunus kemudiannya diiktiraf sebagai pemerintah Kelantan.
Sumber
Buku sebenar yang dipercayai mempunyai Sejarah Kelantan ini ditulis menggunakan tulisan Jawi Lama dikatakan ada tujuh naskhah. Buku ini dipercayai ditulis oleh penulis DiRaja pada zaman pemerintahan Baginda Long Gaffar bagi menceritakan tentang salasilah keturunan Raja-Raja yang berasal dari Pagar Ruyung dan kebesaran kerajaan baginda. Berikut adalah maklumat terakhir tentang buku-buku berkenaan:-
1-Salah satu daripadanya dibeli di Kemaman oleh Haji Yaakob dan dijual kepada saudaranya iaitu Haji Abdul Razak Antik. Beliau kemudiannya menjual kepada Muzium Negara, tetapi sebahagian daripada muka surat iaitu muka surat 1 – 20 yang menceritakan kisah sebenar sejarah Kelantan telah dikoyakkan oleh pihak-pihak tertentu.
2-Naskah berikutnya dimiliki oleh Tengku Ismara yang kemudiannya diserahkan kepada Dewan Bahasa Dan Pustaka.
3-Naskah ketiga dimiliki oleh Haji Zahari antik kemudiannya menjualkannya kepada dua pensyarah universiti berbangsa Inggeris dan India pada tahun 1974 dengan harga RM700.
4-Naskah yang selebihnya dipercayai masih ada di dalam simpanan pihak-pihak tertentu, di antaranya ialah Tengku Abullah Tengku Seriwa Raja dan pihak Istana Kelantan
Kesimpulan Sejarah
Secara kesimpulannya, Kelantan terdapat 3 puak atau kumpulan yang pernah menjadi Raja atau Sultan Kelantan hingga sekarang iaitu:-
1-Keturunan asal iaitu dari Raja Kumar yang kemudian memeluk agama Islam dengan bergelar Sultan Iskandar Shah. Dari titihan ini lahirnya Cik Siti Wan Kembang
2-Keturunan Raja Jembal yang berasal dari anak angkat Raja Bersiong dari Kedah setelah dihalau oleh saudaranya. Keturunan ini memakai gelaran Raja dipangkal nama. Puteri Saadong adalah dari susur-galur Raja Jembal.
3-Keturunan Datu Patani yang yang asalnya adalah "gabenor" yang dilantik oleh pemerintah pusat Patani bagi mewakili pemerintahannya mengantikan kesultanan Raja Jembal. Titihan ini mula memerintah Kelantan dengan perlantikan atau serah kuasa oleh Raja Kecil Sulung yang juga merupakan kakak kepada Raja Pah anak kepada Raja Omar adik kepada Raja Loyor kepada Long Bahar anak Raja Patani yang bergelar Datuk Pengkalan Tua.
No comments:
Post a Comment