Friday, April 18, 2025

SBDJ (JILID 1) : EP4 - KERETA DATUK TERSADAI DITEPI JALAN

TAMAR JALIS

SIRI BERCAKAP DENGAN JIN

JILID 1 



SIRI 4 - KERETA DATUK TERSADAI DITEPI JALAN

"Duduklah," datuk bersuara sambil merenung ke tepi dinding. Anak cucu merenung ke tepi dinding.Tidak ada siapa pun yang bediri di situ. Kemudian anak cucu datuk melihat buah limau tiga biji bergerakkerak bagaikan ada tangan yang menyentuh.

"Kalian keluarlah, ada pawang nak mengubat aku," datuk memberi perintah. Semua anak cucu keluar. Datuk mengunci pintu biliknya dari dalam. Tapi, bau kemenyan terus juga lepas keluar.


"Dah berapa lama sakit ini, kenapa tak beritahu," anak cucu datuk terdengar suara orang perempuan bercakap di dalam bilik. Semua hati anak cucu berdebar dan cuba mengintai dari celah pintu . Tidak ada orang lain dalam bilik selain dari datuk sahaja yang terlentang dekat dulang tembaga, sesekali datuk bergerak, bagaikan ada tangan yang sedang mengurut badannya. Sesekali datuk melipatkan kaki kanannya menandakan dia tidak mahu kaki kanannya diurut.

"Berapa lama sakit ni," terdengar lagi suara perempuan.

"Dah dekat tiga bulan," sahut datuk

"Patutlah lama tak ke rumah."

"Sibuk."

"Apa asalnya , ada jatuh atau ada tersalah makan."

"Salah makan tu tak ada, tapi jatuh jatuh memang ada,saya jatuh dekat perigi buta."

"Patutlah, kalau jatuh cepat berurut atau berubat, kalau tak diubat inilah jadinya.

"Itu salah saya," datuk mengaku.

Suasana dalam bilik datuk sunyi, cuma yang kedengaran hanyalah bunyi orang mengambil sesuatu serta bunyi orang mengoyakkan daun sireh.

"Amalkan apa yang saya buat, tapi ingat kalau dah sihat jangan lupakan tempat saya,"terdengar lagi suara perempuan. Beberapa saat kemudian, datuk memebuka pintu bilik , bau wnagi masuk ke ruang rumah. Lepas itu datuk membuka pintu depan. Datuk berdiri di muka pintu.

"Selamat jalan," kata datuk pada malam yang samar‐samar itu. Datuk melambaikan tangannya. Entah pada siapa datuk melambaikaikan tangan. Tidak seorang pun anak cucunya yang tahu. Perkara itu berlanjutan hingga tiga malam. Masuk malam keempat datuk mengadakan kenduri kesyukuran. Datuk sudah pulih. Datuk sudah boleh berjalan dan memandu kereta buruknya . Datuk sudah pun mengucapkan ribuan terima kasih pada doktor swasta yang datang merawatnya. Dan anak cucunya bertambah pening. Antara doktor dan dukun siapakah yang sebenarnya merawat datuk hingga sembuh.

Lalu anak cucu datuk membuat kesimpulan begini : Masa kuat sakitnya doktor yang mengurangkannya dan dukun itu cuma mendapat rahmat dari doktor sahaja.

Seminggu kemudian, datuk ghaib dari rumah dan anak cucu tidak merasa apa‐apa atas kehilangannya itu, semuanya tahu, bahawa datuk pergi ke rumah isteri orang bunian. Dan datuk akan kembali ke pangkuan nenek sesudah tinggal dengan isterinya orang bunian itu selama tiga empat hari. Nenek tidak pula merasa cemburu. Apa yang nenek fikirkan ialah tentang kebahagiaan diri datuk. Biarlah datuk buat apa sahaja. Asalkan datuk gembira dan boleh panjang umur. Cukup mulia hati nenek.

Macam selalu, bila datuk pulang dari rumahnya di kampung bunian, datuk akan membawa seekor dua ayam hutan dan buah labu atau mentimun untuk nenek dan anak cucunya.

"Siapa yang merawat dalambilik dulu," tanya nenek pada suatu petang. Datuk tersenyum mendengar pertanyaan itu.

"Isteri muda kitalah."

"Siapa ?"

"Orang bunian."

"Hum, lagi apa katanya pada awak."

"Tidak ada apa‐apa, cuma dia berpesat satu sahaja, kalau ada apa kesusahan pada keluarga kita, segera beritahu padanya." Jawapan yang diberikat itu cukup menyenangkan nenek.

Sebagai seorang rakyat yang cintakan negara, datuk terlibat dalam pengambilan ahli‐ahli pengawal kampung untuk menentang pihak komunis yang sentiasa mengancam keselamatan penduduk kampung. Datuk telah dipilih untuk menjadi anggota AP. Kerana itu datuk kena menjaga kampung pada setiap malam secara gergilir‐gilir dengan orang‐orang kampung yang lain. Kerana datuk dianggap penduduk yang tertua di kampung itu dan tahu pula serba sedikit ilmu dunia, datuk telah dipilih untuk menjadi ketua.

Kadang‐kadang datuk dipanggil juga oleh pasukan keselamatan untuk masuk ke hutan untuk mengempar sarang komunis. Ini bukanlah beban yang berat baginya. Datuk mernerimanya dengan rasa senang hati. Satu keistimewaan datuk, ialah dia cukup kurang tidur tapi badannya tetap sihat. Wajahnya tidak cengkung atau pucat. Satu malam telah diarahkan pasukan keselamatan untuk membawa anak buahnya menjaga kawasan kampung yang bersempadan dengan jalanraya yang merintangi sebuah anak sungai. Datuk pecahkan anak buahnya kepada dua pasukan, setiap pasukan dianggotai oleh lima orang.

Satu pasukan ditugaskan peronda tapi sungai mengala ke utara. Sedangkan datuk dengan kawan‐kawan menguasai sebelah selatan hingga sampai ke jabatan besi. Datuk memilih pangkal jambatan besi itu sebagai tempat ia mengatur sebarang gerakan.

Malam itu datuk bertugas dengan tenang di atas jambatan besi. Sesekali malam yang sepi itu dipecahkan oleh bunyi jentera lori pasukkan keselamatan yang melintas di atas jambatan besi.

"Kau berdua pergi ke hujung sama, dan kau berdua pergi berjaga dekat pokok besar," datuk
memerintahkan anak buahnya.

"Di sini, siapa nak tunggu, tanya Hamid, salah seorang dari anak buahnya. Datuk tidak menjawab pertanyaan itu dengancepat. Dia termenung berfikir.

"Di sini, biar aku tunggu," katanya. Anak buahnya yang sudah diperintah mengikut arahan yang ditetapkan. Malam bertambah sejuk. Datuk mengigil kesejukan. Dua tiga kali dia menguap. Badannya disandarkan pada besi jambatan. Tiba‐tiba datuk terkejut, seekor ular berbelang kuning dan hitam meniti atas palang besi jambatan menuju ke arahnya. Lebih kurang satu ela mahu sampai padanya , ular itu berhenti. Panggung kepala. Menjulurkan lidah. Mata ular itu nampak merah. Dari mulut ular itu terpancar sesuatu macam api. Bila ular itu mengkatupkan mulutnya. Api itu padam dan api itu akan wujud kembali, bila ular itu membuka mulutnya.

Datuk menghadapi peristiwa itu dengan tenang. Dan ular terus menghampirinya. Datuk cabut golok perak di pinggang.

"Kalau kau berniat baik kau lalu, kalau niatmu buruk kau berhenti." Sebaik sahaja datuk mengakhiri cakapnya itu ular sudah pun berada di depannya. Ular pun pangung kepala. Bagaikan kilat datuk mencantas kepala ular. Badan ular terus dikerat tiga. Jatuh ke dalam perut sungai satu‐satu. Barulah puas hati datuk. Malam bertambah dingin. Daun‐daun pokok di kiri kanan jalan bergerak‐gerak diterajang oleh angin. Bunyi suara burung hantu bersahut‐sahutan. Di selang‐seli dengan raungan anjing yang mendayu‐dayu.

Datuk merenung ke dalam sungai. Datuk lihat air sungai yang mengalir tenang itu bergolak dan berombak. Datuk pasti di tempat air yang beralun dan berombak itulah bangkai ular yang dipotongnya jatuh. Makin lama, makin kuat alun dan gelombang air sungai itu bersama dengan bunyi yang hebat.

Datuk terdengar bagaikan ada orang mandi di situ. Datuk termenung. Belum pernah dia berhadapan dengan hal‐hal begitu. Mata datuk terus juga merenung pada air sungai yang beralun dan berbunyi dengan teliti. Datuk berdebar juga. Terniat dalam hatinya mahu meninggalkan tempat tersebut. Niat itu mati dengan sendirinya, bila timbul desakan dalam hatinya untuk mengetahui apakah benda dalam perut sungai.

Dalam suasana agak kelam‐kabut itu. Datuk terpandang, air sungai mula melimpah ke tebing. Di tengagtengah sungai itu timbul satu lembaga besar hitam, badannya sebesar kerbau jantan. Lembaga itu terus timbul. Setiap kali lembaga itu bergerak. Air terus bergelombang merempuh pokok‐pokok keladi di tebing sungai. Semuanya tumbang. Macam selalu, bila berhadapan dengan perkara‐perkara yang aneh datuk akan membaca ayat suci al‐quran. Kali ini datuk membaca ayat 'Kursi' dengan khusuk. Semasa dia membaca ayat‐ayat itu lembaga di dalam sungai terus mengamuk dan bertempik, bagaikan suara gajah.

Datuk tidak peduli. Dia terus membaca. Bila ayat itu habis dibaca. Suasana di dalam sungai kembali normal. Air sungai terus mengalir tenang. Daun‐daun pokok tidak bergerak meskipun angin malam bertiup.

"Syaitan ?" kata datuk sambil meninggal kan tempat tersebut. Datuk terus mendapatkan anak buahnya.

Mereka berkumpul kerana hari sudahpun beransur cerah. Datuk terus membawa anak buahnya ke surau dan menunaikan sembahyang subuh. Lepas sembahyang subuh mereka pun berpecah meneruskan kerja masing‐masing. Separuh dari pada anak buahnya terus ke Paya Besar menoreh getah dan separuh lagi pergi ke tempat perusahaan membuat batu‐bata di Jalan Parit. Banyak juga anak buah datuk yang menjadi buruh di syarikat perusahaan itu.

Datuk tidak pula menceritakan apa yang dialaminya pada orang‐orang kampung. Walaupun begitu, ada juga orang kampung yang mengalami peristiwa seperti yang datuk alami itu bila berjalan malam di jambatan besi tersebut. Jambatan besi itu masih ada lagi hingga sekarang, terletak di antara Kampung Pulau Kabung dengan Kampung Mandi Upeh. Tapi , peristiwa ganjil seperti yang dialami oleh datuk itu tidak berlaku lagi.

Di kiri kanan jambatan besi itu kini sudah penuh dengan rumah kediaman. Kadang‐kadang jambatan itu jadi tempat persinggahan anak muda pada setiap malam, selepas mereka menonton wayang di Pekan Sitiawan, Air Tawar atau Bruas. Dan kalau diceritakan kisah‐kisah aneh pada mereka. Mereka tidak akan percaya, malah mereka akan mengetawakan pada orang yang menceritakannya.

Sebulan selepas dari peristiwa yang aneh itu, pada satu malam rumah datuk didatangi oleh seorang pemuda Udin namanya. Dia meminta jasa baik datuk untuk membuat air penawar pada anak kecilnya yang sudah seminggu menangis malam.

"Agaknya perut anak kau kembung," kata datuk sambil merenung muka Udin.

"Sudah berbotol minyak angin saya lumurkan ke perutnya." Jawab Udin dengan tenang. Datuk terdiam kerana dia tahu, dia bukanlah seorang dukun atau pawang, tapi kerana dia merupakan orang yahn tertua di kampung tersebut, dia dianggap tahu dalam hal‐hal kedukunan.

"Bawa saja anak kau ke klinik," datuk mengesyurkan. Udin terdiam sejenak. Muka datuk direnungnya lama‐lama.

"Malam klinik dah tutup."

"Sepatutnya, kau tak payah minta penawar dari aku, jumpa daktor lagi baik, sebabnya mereka boleh memeriksa anak kau, mana tahu anak kau ada mengidap penyakit,"

"Saya tahu, tapi…." Udin berhenti bercakap. Ada rasa kecewa dan putus asa bermain di wajahnya.

"Baiklah, bolehlah aku buatkan penawar, tapi esok kau bawalah anak kau ke klinik," kata datuk lagi.

Datuk pun segera membuat air penawar dan diberikan pada Udin. Sebelum Udin meninggalkan rumah, lagi sekali datuk memgingatkan Udin supaya membawa anaknya menemui doktor. Datuk berpendapat berubat dengan doktor lebih baik dari berubat dengan dukun, kerana dengan peralatan moden, sakit seseorang dapat dikesan dengan cepat.

Pesan datuk itu tidak dipersiakan oleh Udin. Dia terus membawa anaknya menemui doktor dan menerima rawatan dengan baik. Sejak itu anaknya tidak lagi menangis malam. Memang, begitulah sikap datuk, dia lebih suka mengalakkan orang‐orang kampung berubat dengan doktor, kecuali kalau sudah menemui doktor pesakit tidak mahu baik, barulah dia menyuruh berubat cara kampung.

"Mari ikut aku ke rumah Anjang Dollah," kata datuk pada saya.

Pemintaan datuk itu tidak dapat saya tolak. Dengan rasa kecewa saya meninggalkan kumpulan kawankawan saya yang sedang bermain galah panjang di depan rumah datuk.

"Apa halnya," tanya saya

"Sajalah,aku dengar cerita Anjang Dollah tu handal mengubat orang kena sampuk, anu nak tengok cara dia mengubatnya. Kalau boleh aku nak belajar darinya."

"Belajar buat apa ?" balas saya. Datuk tersenyum dan terus berkata : "Belajar untuk tahu apa salahnya, tidak merugikan kita."

Setelah mendengar cakapnya itu. Saya pun tidak mengeluarkan sebarang soalan atau pertanyaan.

Berjalanlah saya dengan datuk petang itu menuju ke Kampung Gelung Gajah yang jaraknya lebih kurang tiga batu dari kampung datuk. Terpaksa meredah dua tiga anak sungai. Dan rumah Anjang Dollah letaknya agak terpencil dari rumah‐rumah di situ. Berada di pinggir sebuah kolam dan berhadapan dengan sebuah belukar kecil.

Lebih kurang pukul empat petang, sampailah saya dan datuk ke rumah Anjang Dollah. Kami dipersilakan naik. Datuk terus menyatakan, bahawa kedatangannya ialah untuk melihat bagaimana cara dia mengubati orang yang kena sampuk.

"Apa salahnya, " balas Anjang Dollah dengan senyum bangga. Anjang Dollah pun mempersilakan saya dan datuk masuk ke dalam sebuah bilik kecil. Di dalam bilik itu penuh dengan barang‐barang perubatan seperti kemenyan hantu, buah limau, buah kelapa dan tempat membakar kemenyan. Di tepi bilik terdapat sebuah katil dengan tilam dan bantal bersarung kain hitam. Bantal dan tilam itu sudah buruk benar. Bila saya menghampirinya hidung saya tidak tertahan mencium bau hapak dari bantal dan tilam.

Bila saya mahu membuka kain tilam yang menutup katil itu saya ditahan oleh Anjang Dollah. "Jangan," suara Anjang Dollah keras. Saya duduk kembali. Hati saya ingin tahu, siapakah gerangan yang tidur di situ. Saya yakin ada orang yang tidur di atas katil itu, kerana bila saya perhatikan kain hitam itu bagaikan bergerak‐gerak mengikuti tarikan nafas manusia.

"Siapa yang baring tu," datuk pula bertanya. Anjang Dollah merenung muka datuk. Saya mula resah tidak menentu.

"Sahabat saya, orang suruhan saya. Boleh disuruh keluar waktu malam dan balik pagi." Anjang Dollah memperjelaskan pada datuk. Saya dan datuk pun angguk kepala.

"Dia tidur agaknya," tanya saya lagi.

"Dia tak tidur," sahut Anjang Dollah.

"Kalau tak tidur kenapa tak bangunkan." Tingkah datuk.

"Dia malu tengok orang." Itulah jawapan Anjang Dollah. Jawapan itu sebenarnya tidak memuaskan hati saya. Dan saya mahu bertanya lagi. Bila saya mahu membuka ulut, datuk segera mencuit bahu saya.

Fahamlah saya, bahawa datuk tidak mahu saya menyoal lebih lanjut tentang apa yang berada di atas katil.

Anjang Dollah meninggalkan kami di dalam bilik. Ada orang datang ke rumahnya. Sepeninggalan Anjang Dollah itu, bulu roma saya mula berdiri. Rasa takut datang dalam hati saya. Kalaulah tidak ada datuk di samping pasti tempat itu saya tinggalkan. Anjang Dollah datang. Dia minta kami duduk di ruang tengah.

Di ruang tengah itu terdapat sorang perempuan muda. Duduk bersila di atas lantai. Perempuan muda itu datang ke rumah Anjang Dollah kerana mahu meminta tolong mengubati adiknya yang menjerit dan meraung tidak tentu arah macam orang gila.

"Adik saya kena buatan orang Pak Anjang," kata perempuan itu dengan muka agak muram.

 "Dia terpaksa diikat dengan tali di tiang rumah," tambah perempuan itu lagi. Anjang Dollah mengigit bibir dan terus melagakan gigi atas dengan gigi bawah beberapa kali. Tanpa bercakap sepatah, Anjang Dollah terus ke dapur. Datang semula keruang tengah dengan mangkok putih yang penuh berair.

"Mari masuk ke dalam bilik saya, " Anjang Dollah menjemput peremmpuan , datuk dan saya. Kami pun masuk ke dalam biliknya. Anjang Dollah bersila, di depan katil. Matanya merenung air dalam mangkok putih sambil mulutnya membaca sesuatu. Entah apa yang dibacanya saya pun tidak tahu. Dia menoleh ke belakang merenung perempun muda seraya berkata, "Kau balik dulu."

Bila perempuan itu sampai dekat muka pintu. Anjang Dollah memanggilny akembali dan menyuruh perempuan itu duduk di depannya. Perempuan itu akur dengan perintahnya itu. Anjang Dollah terus membaca sesuatu. Lebih kurang sepuluh minit Anjang Dollah berbuat begitu. Mukanya bertukar menjadi hitam. Matanya jadi hijau berkilai. Separuh anggota badannya mengeletar, macam orang kesejukan.

Lama juga Anjang Dollah jadi begitu. Hati saya Tuhan saja yang tahu betapa takutnya saya ketika itu. Bila wajahnya berubah dalam keadaan biasa. Barulah Anjang Dollah bersuara, tapi suaranya bertukar menjadi parau.

"Siapa nama adik kau," tanya Anjang Dollah pada perempuan itu.

"Aishah."
"Berapa umurnya?"

"Sembilan belas tahun."

"Siapa nama emaknya."

"Hamidah."

Selesai sahaja Anjang Dollah menyoal dan menerima jawapan dari perempuan itu. Dia segera bangun dan terus rapat ke katil. Berdiri di situ agak lama juga sambil tangan kanannya memegang pangkal dagunya.

"Hai sahabatku yang setia, pergilah engkau ke tempat asalmu, ambillah sehelai rambut perempuan mati beranak," kata Anjang Dollah. Kain hitam mula bergerak. Datuk duduk dengan tenang. Saya merasakan mahu buang air kecil, terasa mahu buang air besar. Saya jadi serba salah. Rasa mahu buang kecil dan air besar itu hilang juga, bila saya terfikir kalau masa buang air kecil atau buang air besar kain hitam itu akan datang pada saya. Buruk padanya.

"Pergilah sahabatku," ualng AnjangDollah. Dengan tiba‐tiba kain hitam terjatuh atas lantai. Apa yang saya lihat di atas katil ialah bantal dan tilam bergerak sendiri. Tilam bagaikan digulong oleh orang.

"Dia sudah pergi," kata Anjang Dollah pada datuk. Datuk pun mengangguk kepalanya. Anjang Dollah pun mengambil kain hitam dan terus memberikan pada perempuan muda itu.

"Kau rimbaskan kain hitam ke muka adikmu tujuh senja, lepas tu kalau tak juga mahu hilang, kau datang ke mari lagi," kata Anjang Dollah. Dan perempuan itu pun menghulurkan wang pada Anjang Dollah. Dengan tenang perempuan itu meninggalkan rumah Anjang Dollah.

"Ini baru sedikit sahaja, minggu depan kalau kalian datang, kalian boleh lihat cara lain saya mengubat, saya boleh kenalkan awak berdua dengan sahabat saya itu," megah benar Anjang Dollah.

"Saya datang lagi," sahut datuk.

"Datanglah, tapi kena datang malam tau,"

"Baiklah."

Datuk memberikan janji. Sesungguhnya janji yang diberikan oleh datuk pada Anjang Dollah satu penyiksaan pada diri saya. Bila masa yang dijanjikan sampai. Berangkatlah saya dengan datuk menuju ke rumah Anjang Dollah. Kami terpaksa menggunakan andang yang dibuat dari daun kelapa untukmenyuluh jalan. Malam cukup gelap. Tidak ada sebiji biuntang pun di langit. Sepanjang perjalanan telinga kami diasak dengan suara katak dan suara burung jampok dan burung hantu. Bulu roma saya tegak berdiri, bila terdengar suara lolongan anjing sayup‐sayup dari gigi kampung.

Bulan di langit mula dilitupi awan. Angin kian keras bertiup. Bunyi dedaun yang bergeseran sama sendiri amat menakutkan. Dan datuk terus melangkah dengan tenang. Api yang memakan daun kelapa, sekerap marak, sekejap suram.

"Kenapa kita ikut sini tok ?" tanya saya. Tidak ada jawapan yang diberikan oleh datuk, bunga‐bunga api dari andang daun kelapa jatuh atas bumi. Saya tidak tahu kenapa datuk ikut jalan ini. Kenapa dia tidak mahu ikut jalan biasa yang mudah dan senang. Tidak perlu melintas tanah sawah yang luas terbentang.

Saya yang memakai baju Melayu cekak musang terpaksa mengulung lengan baju hingga ke siku, kasut getah dan hujung seluar hitam saya mula basah diresapi oleh aori embun. Langkah datuk terus lancar. Andang kelapa diangkatnya tinggi‐tinggi.

"Kita patah balik ikut jalan lain tok," saya mengemukakan cadangan. Datuk berhenti. Dia cacakkan andang daun kelapa tepi batas. Datuk membuang pacat yang singgah di kaki seluarnya.

"kenapa mesti patah balik, ikut sini dekat," datuk cabut andang daun kelapa. Saya diam.

Cakapnya tidak boleh dibantah. Saya melangkah dengan hati‐hati. Silap langkah nanti jatuh ke dalam sawah. Cahaya dari andang daun kelapa menerangi rumpun‐rumpun padi yang baru pecah anak, sesekali terdengar bunyi haruan melompat dalam air sawah menangkap anak. Suara burung hantu dan jampuk saling tingkah meningkah. Bulan sudah tidak mengeluarkan sinarnya. Awan telah kelindungi permukaan bulan. Suara lolongan anjing kian bertambah keras. Daun‐daun dari pokok besar yang memagari batas sebelah kanan tetap bergerak hebat. Angin malam cukup keras bertiup. Badan saya rasa cukup dingin.

"Lagi cepat kita sampai, lagi baik," suara datuk parau. Dia menoleh ke arah saya.

"Saya sejuk tok, jauh lagi ke ?"

"Ah, kejap lagi sampailah, sekarang kau jalan dulu, biar aku ikut kau dari belakang." Itu perintah datuk.

Badan saya jadi mengeletar, macam‐macam perkara buruk datang dalam hati saya.

"Tok jalan dulu, saya tak tahu jalan," saya berdalih.

"Kau tak tahu, atau pun kau takut ?" Datuk ketawa. Dia memaksa saya jalan dulu. Saya tidak ada pilihan lain. Saya menurut perintahnya. Saya dan datuk sampai di sebuah taliair. Datuk menyuruh saya ke belakang. Lama juga dia berhenti di tepi taliair itu sambil merenung pada air yang mengalir.

"Jalan ke depan lagi, di sana ada titi tak payah kita melompat," ucap datuk dengan tenang. Kami mara ke depan. Berhenti di bawah pokok mempelam telur yang berdaun lebat. Cakap datuk memang tepat, di pangkal pokok mempelam telur terdapat titi batang pinang. Kami menyeberang dengan selamat, dari situ kami mendaki bukit kecil yang penuh dengan pokok pisang hutan, selesai mendaki bukit itu , kami berhadapan dengan sebatang jalan tanah merah ynag lebarnya kira‐kira dau kaki.

"Ikut jalan ini ke utara," ujar datuk sambil meraba ulu golok peraknya. Saya anggukkan kepala dua tiga kali. Berjalanlah saya dengan datuk, suara burung hantu terus juga menyumbat lubang telinga. Kami melintasi sebuah tanah perkuburan. Dari sinar api andang daun kelapa itu, saya melihat batu‐batu nisan terpacak dengan gagahnya. Suara burung hantu kian kuat. Suara salakkan anjing kian dekat terdengar.

Pokok‐pokok puding dan pokok‐pokok kecil lain yang berhampiran dengan tanah kubur saya lihat bergerak‐gerak, bagaikan ada benda yang menggoncangnya.

Awan tebal yang melindungi bulan mula beredar, dan sinar bulan mula menerangi sebahagian dari jalan yang kami lalui, tiba‐tiba awan tebal datang kembali menutup bulan dan andang kelapa yang saya bawa pun padam. Datuk berhenti, dia membakar andang kelapa yang baru, memang datuk membawa dua tiga andang daun kelapa untuk digunakan dalam satu‐satu keadaan yang tertentu.

"Jalan cepat sikit, aku rasa tak berapa sedap hati di sini," datuk menyuarakan suara hatinya. Saya diam.

"Langkah panjang sikit,"tambah datuk lagi. Saya hanya boleh anggukkan kepala sahaja.

Tidak lebih dari itu. Angin malam yang bertiup menjatuhkan dedaun tua dan ranting‐ranting, berderup‐derup bunyinya, bagaikan orang mematah kayu kering. Saya mula terasa cemas, tapi saya tidak menyatakan hal pada datuk.

Saya dan datuk jalan dan terus berjalan, matlamat kami mahu sampai ke rumah Anjang Dollah dengan secepat mungkin. Barangkali Anjang Dollah sudah bersila di muka pintu menanti kedatangan kami, agaknya Anjang Dollah sudah menyediakan semua barang yang digunakannya untuk kami, fikir saya dalam hati.

Tanah perkuburan tua agak jauh kami tinggalkan. Dada saya terasa lapang, tapi batin saya terus menyumpah seranah suara burung hantu yang seakan‐akan mengikuti langkah kami. Datuk berhenti berjalan.

"Siapa tu," suarnya perlahan. Saya merenung ke depan. Saya terpandangkan benda putih berjalan terhincut‐hincut di depan datuk dan saya, kerana bulan dilitupi awan tebal dan cahaya dari andang datuk tidak menyala dengan baiknya, saya tidak dapat melihat dengan jelas benda tersebut.

"Barangkali ada orang nak lalu," datuk bersuara tenang. Saya juga sependapat dengan datuk. Suara burng hantu dan jampuk bertambah galak. Salakkan anjing bertalu‐talu, sayup‐sayup dan memanjang pula, bagaikan orang menangis di malam sepi. Benda putih terus menghampiri kami, bila datuk mahu menegurnya, benda putih tersebut itupun hilang. Entah ke mana. Saya tidak dapat mempastikan apakah dia masuk ke dalam hutan pokok pisang di kanan, atau masuk ke dalam belukar di kiri jalan. Benda putih itu menjelma di depan kami lagi.

"Bukannya manusia," datuk membisik ke telinga saya. Serentak dengan itu dia memadam api andang daun kelapa.

"Kita ke tepi, biarkan dia lalu," perintah datuk. Saya patuh pada arahan datuk. Kami berdiri di balik pokok getah besar. Benda putih itu melintas di depan kami. Saya tidak dapat melihat bentuk mukanya.

Apa yang saya lihat pada benda putih itu berjalan tanpa kaki, tidak mempunyai kepala. Berjalan menuju ke kawasan tanah perkuburan, saya dan datuk melihat Anjang Dollah datang membawa cangkul.

"Apa ni tok," tanya saya pada datuk.

"Kau diam, kau ikut saya apa yang aku buat,"

"Baik tok," saya menoleh ke kiri dan ke kanan. Datuk melangkah ke jalan tanah merah. Dia menarik tangan saya mengikuti langkah Anjang Dollah menuju ke kawasan perkuburan. Saya menurut sahaja.

Dua tiga kali saya tersungkur kerana tersepakkan batu‐batu nisan. Datuk berhenti.Saya mendongak ke langit, awan tebal sudah berlalu dari sisi bulan. Dengan pertolongan sinar bulan enam belas, kami dapat apa yang dilakukan oleh Anjang Dollah. Dia sedang mencangkul tanah perkubur. Benda putih duduk dekat batu nisan.

Anjang Dollah dapat menyelesaikan semua tugas‐tugas dalam masa kurang lebih empat puluh lima minit. Seluruh badannya dibasahi peluh, nampak berminyak‐minyak ditampar sinar rambulan enam belas. Dia duduk di pangkal pokok cempedak. Kemudian dia berkata pada kawannya yang nampak putih itu. Benda putih tanpa kepala dan kakai itu, bagaikan terawang‐awangan, bergerak dan berhenti di depan Anjang Dollah.

[29]

No comments: