Saturday, April 5, 2025

PULANGKAN SEMULA MANGKUK ITU!!

 


PERNAH tak korang jumpa sesuatu barang dan kemudian kena ganggu? Ini yang aku saksikan sendiri suatu ketika dulu.

Kejadian ni dah lama, lebih kurang 10 tahun lalu. Masa tu aku masih belajar di sebuah institut pengajian tinggi. Aku ada seorang rakan baik, Aidil namanya.

Semasa  cuti semester, Aidil ajak aku balik bercuti ke kampungnya yang terletak di pendalaman Raub, Pahang. Sebab aku pun tak ada rancangan apa-apa, aku ikut Aidil. Untuk aku yang membesar di bandar, seronok dapat ikut Aidil pulang ke kampung merasa suasana desa.

Rumah-rumah di kampung Aidil itu terletak agak terpencil. Jarak antara satu rumah dengan satu rumah juga agak jauh. Hampir 100 meter. Kiri kanan jalan, hanya ladang getah dan semak samun.


Suatu petang, Aidil ajak aku mandi di sungai yang terletak tak jauh di belakang rumahnya. Aku terus setuju, memang tak tak sabar nak mandi sungai. Memang itu yang aku tunggu-tunggu.

Petang itu kami berjalan kaki, melalui denai-denai yang agak licin, menuruni sedikit bukit menuju sungai. Kiri kanan hanya di penuhi pokok pisang hutan, belukar dan pokok keladi liar yang tumbuh segar di tebing sungai.

Sebaik tiba, kami memilih untuk mandi di kawasan yang agak dalam sedikit. Barulah seronok. Jadi melalui tebing sungai, kami mudik ke hulu sedikit sehingga kami jumpa sebuah lubuk yang agak dalam. Di lubuk itu, airnya agak tenang dan hampir separas dada.

Tapi sebelum mandi ada masalah sikit. Di lubuk itu tersangkut kayu-kayu, ranting-ranting reput dan sampah sarap.

Jadi kami buat keputusan alihkan dulu. Sedang mengalih sampah sarap, tiba-tiba kami terjumpa tiga ekor bangkai ayam tersangkut pada ranting-ranting kayu. Seekor ayam jantan, seekor betina dan seekor lagi anak ayam.

Tapi peliknya semua kaki ayam itu, masing-masing terikat dengan kain kuning. Bila kami periksa badan ayam itu, tak ada pula kesan tercedera atau kesan lehernya di sembelih.

Disebabkan tak mahu mandi bersama bangkai ayam, Aidil menguis bangkai ayam yang tersangkut itu dengan kayu sebelum ianya hanyut di bawa arus.

Selepas itu, kami terus sambung mandi. Tak lama kemudian, tiba-tiba Aidil terpijak sesuatu di dasar sungai. Bila di bawa naik, rupa-rupanya benda tersebut ialah sebiji mangkuk yang cantik. Mangkuk berwarna biru itu berukir corak daun bewarna putih di sekelilingnya.

Kami fikir mungkin mangkuk tersebut hanyut ketika penduduk kampung membersihkannya di sungai. Sebab Aidil beritahu, penduduk sekitar sungai itu kerap membasuh pinggan mangkuk di sungai, terutamanya jika ada kenduri kendara.


Disebabkan mangkuk itu cantik tiada cacat cela, Aidil bawa pulang. Katanya hendak dijadikan hiasan. Lagipun mangkuk tu elok, tak ada cacat celanya.

Tiba di rumah, sudah menjelang maghrib. Tetapi semasa berjalan pulang dari sungai itu, aku dah terasa sesuatu yang aneh. Pokok-pokok bergoyang walaupun tiada angin. Telinga aku sering terdengar bunyi seakan rempuhan pada pokok-pokok kecil dan bunyi memijak daun kering, seperti ada seseorang yang mengikut kami melalui belukar. Tapi aku buat tak tahu saja. Mungkin memang begitu bunyi dalam hutan, pada fikiran aku.

Lewat malam itu, kami berdua berbaring di ruang tamu sambil menonton televisyen, tiba-tiba kami dikejutkan dengan bunyi derapan tapak kaki di hadapan rumah.

PRAPPPP..PRAPPPP…PRRAPPPP… Bunyinya seperti orang memijak daun kering dan ranting kayu. Tapi bunyinya agak pantas, bagaikan ada orang berjalan dengan cepat.

Aku tanya Aidil, bunyi apa tu?

“Kerbau kot. Tak pun musang,” begitu jawab Aidil, acuh tak acuh.

Entah kenapa, aku rasa nak tahu. Aku bangun dan mengintai melalui rekahan dinding papan untuk mencari arah bunyi tersebut.

Tiba-tiba aku ternampak kelibat bayangan putih separuh telus, yang terbang laju di anjung rumah yang sedikit cerah.

Masa nampak tu darah aku dah berderau. Bulu roma terus meremang. Aku toleh pandang Aidil. Tapi Aidil terbaring dengan mata tertutup seperti sudah tidur.

Dalam rasa takut tu, aku mengintai lagi. Aku terkejut. Kali ni aku lihat sekujur tubuh berbungkus kain putih sedang mencangkung di depan tangga rumah.

Tengah aku mengintai tu, tiba-tiba terdengar suara orang bernafas dalam keadaan mendengus. Bunyinya kuat. Bila aku berpaling ke belakang, rupa-rupanya suara itu datang dari Aidil yang tiba-tiba saja meronta-ronta.

Wajah Aidil merah seakan menahan kesakitan. Mulutnya ternganga dan bunyi nafasnya tersekat-sekat seperti dicekik sesuatu.

Aku terus menerpa ke Aidil. Waktu itu, mulutnya mula berbuih-buih. Matanya terbeliak hingga nampak mata putih saja. Aku yang panik terus menjerit panggil ibu dan ayah Aidil yang sudah tidur.


Malam itu, rumah Aidil kecoh. Ayahnya yang saya panggil Pak Samad bergegas memanggil jiran meminta bantuan. Kebetulan seorang jiran Aidil, merupakan seorang bomoh.

Bila dia tengok keadaan Aidil, dia segera minta segelas air. Kemudian terkumat kumit mulutnya membaca sesuatu. Selesai membaca jampi, air tadi di renjis ke muka Aidil. Tak lama kemudian, baru Aidil tersedar seperti orang baru bangun tidur.

Setelah keadaan Aidil pulih, kami bertanya apa terjadi kepadanya. Kata Aidil, sedang dia berbaring, tiba-tiba meluncur satu bayangan putih menerjah ke arahnya.

Kemudian muncul pula dua lembaga hitam yang menakutkan. Badan lembaga itu tegap dan berbulu hitam lebat. Matanya merah menyala, lidahnya terjelir panjang.

Kata Aidil lagi, lembaga itu mencekiknya hingga dia sukar bernafas. Kemudian lembaga itu memarahinya sebab mengganggu tempatnya ketika mandi di sungai tadi.

Kata lembaga itu, tiga ekor ayam yang dihanyutkan Aidil itu merupakan ‘jamuan’ untuknya. Malah Aidil juga dimarahi sebab mengambil mangkuk kepunyaannya dan menyuruh Aidil memulangkan semula mangkuk itu.

Esoknya, seawal pagi lagi, Aidil terus mencampakkan mangkuk tersebut ke dalam sungai semula. Kejadian itu juga membuat Aidil ketakutan hingga dia demam dua hari.

Jangankan Aidil, aku yang tengok ‘benda’ di luar rumahnya dan saksikan keadaan Aidil sewaktu kena ganggu tu pun dah buat aku seram dan trauma.

Sejak kejadian tu, kami belajar satu perkara. Kalau masuk hutan atau mandi sungai, kami tak mahu lagi ambil benda sembarangan. Takut perkara sama berulang semula.

**Pengalaman Hafizul Saidi, Kuala Lumpur.

**Diceritakan pada 23 September 2023

Sumber : <<<Mastika>>>

No comments: