MISTERI PANGGILAN TELEFON
-Misteri panggilan telefon dan bilik berhantu di Bangi-
SELEPAS menamatkan pengajian di sebuah universiti tempatan pada tahun 1993, saya mendapat pekerjaan di salah sebuah bank di Kuala Lumpur.
Kebiasaannya, pegawai-pegawai baru akan dihantar berkursus mengikut kumpulan masing-masing. Selalunya kami akan dihantar ke Bangi kerana bank tempat saya bertugas mempunyai tempat latihan di sana.
Saya pernah beberapa kali berkursus di Bangi. Namun, pengalaman yang akan dikongsi ini tidak akan saya lupakan sampai bila-bila.
Kisah ini berlaku sekitar tahun 1995 ketika saya dihantar berkursus di situ. Saya diberi sebuah bilik di tingkat atas. Saya mendaftar awal pada hari pertama kami ke situ. Rakan sebilik saya masih belum mendaftarkan dirinya.
Kebanyakan pegawai yang pernah berkursus di situ tahu akan kisah sebuah bilik yang dikunci dan tidak dibenarkan sesiapa pun menginap di situ. Saya mendengar cerita ada ‘sesuatu’ yang menghuni bilik tersebut.
Tetapi, saya tidak tahu secara tepat nombor biliknya, tingkat berapa dan apakah gangguan yang berlaku. Saya hanya diberitahu bahawa bilik tersebut berada di tingkat atas dan terletak berhampiran kolam.
Menjelang Maghrib, barulah saya terserempak dengan rakan sebilik saya. Itu pun kerana dia hendak keluar.
“Saya minta maaf. Saya tak tidur sini. Saya pergi ke rumah saudara saya malam ni. Kebetulan rumahnya di sekitar Bangi,” jawab rakan sebilik itu bila saya bertanya dia hendak ke mana.
Alamak, terpaksalah saya tidur sorang diri malam ini. Geram juga hati saya. Jika kawan sebilik saya beritahu lebih awal, tidaklah saya menginap di situ apatah lagi kena tinggal sendirian.
Mahu tak mahu, terpaksa saya bermalam seorang diri. Selepas mandi dan makan malam, saya terus duduk di bilik. Selepas membelek nota kursus yang telah dibekalkan semasa pendaftaran, saya masuk tidur hampir pukul 12.00 tengah malam.
Oleh kerana bersendirian, saya tidak tutup lampu bilik. Biarlah terang benderang. Senang kalau berlaku apa-apa hal.
Bilik tidur itu dilengkapi dua buah katil dan dipisahkan oleh dinding. Sementara dinding tersebut memisahkan kedua-dua katil dengan bilik air dan ruang basuh tangan yang dilekapkan cermin panjang pada dinding.
Baru saja saya hendak terlena, gegendang telinga saya menangkap satu bunyi dari bilik sebelah. Seolah-olah kerusi diseret dan meja dialihkan.
Bagi mendapatkan kepastian, saya dengar dengan teliti. Ya! Saya pasti. Bunyi tersebut datangnya dari bilik sebelah.
Jantung saya mula berdegup kuat. Bulu roma meremang. Mana mungkin bunyi tersebut datangnya dari bilik sebelah. Bilik sebelah adalah bilik yang terletak di penghujung sekali. Setahu saya, tiada sesiapa yang tinggal di bilik itu.
Saya mula terfikir, adakah bilik sebelah itu yang dikatakan misteri dan jadi bualan kakitangan selama ini? Apatah lagi bilik tersebut terletak di hujung sekali dan menghadap sebuah kolam. Saya cuma tidak tahu bilik yang dikunci itu berada di tingkat berapa sahaja.
Saya segera beristighfar berulang-ulang kali sehingga diri saya kembali tenang. Terasa degupan jantung tidak sekuat tadi.
Saya teruskan pula membaca selawat, surah al-Fatihah dan surah tiga kul. Ketika itu, saya dalam keadaan berbaring dengan selimut meliputi tubuh badan hingga ke paras leher.
Sebagai penutup, saya bacakan ayat Kursi sebanyak tujuh kali dengan membayangkan keadaan bilik tersebut. Saya terus membaca ayat Kursi dengan yakin bahawa tiada satu makhluk yang berniat jahat mampu menembusi dinding tebal yang dibina mengelilingi bilik tersebut.
Sebelum saya bacakan ayat Kursi ketujuh, saya biarkan beberapa minit dengan niat agar mana-mana makhluk yang berniat buruk yang berada dalam bilik keluar segera. Ayat Kursi ketujuh akan meliputi bilik tersebut seumpama ombak laut yang bergelora kuat dan ganas hinggakan tiada makhluk yang berniat buruk mampu menembusinya.
Ketika menanti beberapa minit inilah secara tiba-tiba bunyi cermin pecah memecah kesunyian malam. Pranggggg!!!
Serta-merta semangat saya berterbangan hilang entah ke mana. Bayangkan sebuah cermin besar dan panjang seperti di tandas awam dilepaskan ke lantai dari paras tinggi.
Saya segera terbayang cermin di luar bilik air. Adakah benar ada cermin yang pecah atau saya cuba dipermainkan oleh makhluk tersebut. Lama juga saya terkejut.
Setelah kembali tenang, barulah saya bacakan ayat Kursi yang ketujuh. Selepas itu tiada lagi kedengaran apa-apa bunyi dari bilik sebelah. Saya tetap tidak bangun dari katil.
Malam itu terasa begitu panjang. Saya tidak pasti sama ada dapat melelapkan mata. Hanya lampu yang terus setia sepanjang malam menemani saya hingga keesokan harinya.
Apabila Azan Subuh bergema, barulah saya bangun untuk meninjau apakah yang sebenarnya berlaku. Adakah memang benar ada cermin jatuh kerana skru-skrunya telah longgar?
Benar jangkaan saya, tiada sebarang cermin pun yang jatuh pecah. Bermakna ada yang cuba mempermainkan saya malam tadi. Kali ini saya nekad. Saya tidak akan tidur di bilik tersebut buat kali kedua.
Hari itu, saya telefon seorang rakan agar menjemput saya di sebelah petang. Biarlah saya menumpang tidur di rumah rakan dan datang semula ke tempat latihan keesokan paginya. Tak sanggup rasanya hendak tempuh peristiwa semalam buat kali kedua.
Panggilan Misteri
Seorang rakan saya bernama Azman turut berkongsi pengalaman aneh di situ. Ketika itu, rakan-rakan sibuk dengan persiapan bagi majlis perpisahan untuk batch kami.
Azman adalah antara yang paling sibuk sehinggakan pada minggu terakhir itu ramai peserta yang tak cukup tidur.
Suatu malam, Azman pulang lewat ke biliknya lebih kurang pukul 3.00 pagi. Masuk saja bilik, dia terus merebahkan diri atas katil kerana keletihan.
Baru saja hendak terlelap, ketika itulah tiba-tiba telefon biliknya berdering. Oleh kerana kepenatan, dia membiarkan saja deringan telefon tersebut hingga bunyinya berhenti sendiri.
Tapi tidak lama kemudian, telefon biliknya berdering lagi. Kali ini Azman berasakan bunyi telefon itu amat menyakitkan hati kerana mengganggu dirinya yang mahu tidur.
“Siapa ni? Nak cakap dengan siapa?” geram nada Azman menjawab panggilan telefon itu.
“Hantu! Hantu…!” semacam nada suara yang menjawab. Lembut dan perlahan sebutannya.
“Jangan main-mainlah, orang nak tidur ni!” Azman lepaskan geram sambil menghempaskan gagang telefon.
Panas hati Azman dibuatnya. Sudahlah dia terlalu penat, ada pula yang nak bergurau di waktu begitu.
Tak lama kemudian, sekali lagi telefon biliknya berbunyi. Azman terus angkat gagang dan bertanya: “Siapa ni? Janganlah main-main!”
Kali ini suara Azman agak lembut. Dia berharap jika ditanya dengan nada yang baik, orang yang menelefon itu akan berhenti menyakat. Mungkin ada orang sengaja mahu menakut-nakutkannya malam itu.
“Hantu! Hantu!” sekali lagi suara itu muncul di talian. Masih dengan nada yang sama.
Azman malas nak layan. Dia terus hempaskan telefon. Kali ini lebih kuat. Nasib telefon tak pecah. Namun secara tiba-tiba Azman baru teringat sesuatu. Ya Allah, sejak duduk dalam bilik itu, memang telefon biliknya tak berfungsi. Macam mana nak berfungsi jika wayar telefon pun tiada!
Spontan badan Azman menggigil. Dia terus lelapkan mata. Tak berani lagi hendak memandang keadaan dalam bilik.
Saya pernah dengar kisah kakitangan yang bekerja berseorangan lewat malam diganggu oleh panggilan telefon tetapi tiada siapa yang menjawab jika diangkat gagangnya.
Namun, nampaknya pengalaman Azman lebih hebat kerana dapat mendengar suara pemanggil misteri itu walaupun telefon itu tiada wayar. Siapa agaknya pemanggil misteri itu?
***Diceritakan oleh : Wan Mud Shardihan, Selangor.
No comments:
Post a Comment