TOK AWANG NGAH : EP41 - PADAH POLONG TURUN TEMURUN
Rumah papan yang disewa tidaklah mahal
sangat apabila Derih Bauk berpindah ke Kluang di Johor. Manalah ada pilihan
lain mahu menyewa rumah, melainkan berdekatan dengan kem. Mudahlah berulang
alik ke tempat kerja sekalipun ditugaskan sebelah malam.
Apalagi masa perintah orang putih,
memang selalu masuk ke hutan hingga jarang balik ke rumah. Kalau ikutkan
hatinya Derih Bauk tidak mahu membawa keluarga ke Kluang, biarlah mereka semua
di kampung sahaja. Dia boleh balik ke kampung apabila cuti panjang selepas
dikerah masuk hutan.
Masuk ke hutan berbulan-bulan manalah
ada masa mahu bermesra dengan anak-anak dan isteri. Mizah pula hanya tinggal
bersama anak kecil apabila Derik Bauk masuk ke hutan. Tetapi Mizah sendiri yang
mahu ikut dia berpindah ke Kluang.
Kalau masuk ke hutan pun bukannya
Derih Bauk sepanjang waktu. Mereka bergilir-gilir
masuk ke hutan sekiranya mendapat
lapuran dari orang-orang kampung mereka ternampak gerombolan komunis. Apabila
Derih Bauk tidak masuk ke hutan, dia akan bertugas di dalam kem sahaja. Tentu
Derih Bauk memerlukan dia untuk memasak nasi atau mencuci pakaian sekiranya
tidak masuk ke hutan.
Sebab itu Mizan berkeras juga mahu
ikut ke Kluang. Lagi pun dia tidak percaya sangat
dengan suaminya setelah kerap kali
mendengar perangai askar yang mudah berkahwin lain setiap kali berpindah kem.
Bimbang juga Mizah kalau-kalau Derih Bauk tidak melepaskan peluang memikat
gadis lain setelah berpindah ke Kluang itu.
“Abang balik makan tengah hari ni”,
beritahu Derih Bauk sewaktu meninggalkan rumah di sebelah pagi. Lebih baik dia
balik makan tengah hari daripada beratur bersama
budak-budak bujang menunggu nasi di
dalam kem.
Sewaktu sibuk memasak di dapur inilah
Kak Jiyah jiran di sebelah rumah mengajaknya
menjenguk Hajah Besah, tuan rumah yang
sudah seminggu kejang sakit sampai tidak dapat keluar rumah. Tetapi tidak ada
masa mahu menjengah disebabkan sibuk menguruskan rumah.
“Kalau kamu nak pergi biarlah kakak
tengokkan anak kamu,” ujar Kak Jiyah
menawarkan diri. Apalah salahnya dia
tengokkan anak kecil itu sementara Mizah
menjengok Hajah Besah yang terkejang
sakit. Lagi pun dia sudah berulang kali menjengah disebabkan anak-anaknya sudah
besar belaka.
Memang suami Kak Jiyah juga sama-sama
bertugas di kem sekalipun waktu mereka
bertugas tidak sama. Kadangkala suami
Kak Jiyah masih di kem, Derih Bauk sudah balik ke rumah. Ada masanya suami Kak
Jiyah balik Derih Bauk baru mahu pergi ke kem.
“Kalau Kak Jiyah nak tengokkan apa
salahnya.” Lega juga hati Mizah disebabkan Kak
Jiyah sanggup menawarkan diri. Bila
lagi dia mahu menjengah tuan rumah yang terkejang sakit, kalau mahu menunggu
Derih Bauk balik.
Lagipun dia sudah siapkan nasi gula di
dapur. Tidaklah terburu-buru sangat dia mahu
menghidangkan apakala Derih Bauk balik
makan tengah hari. Menjengah Hajah Besah pun bukanlah lama sangat sampai
berjam-jam, memadai dia jengahkan muka sahaja sebagai budi bahasa orang datang
merantau ke tempat orang.
Apa pula kata Haji Yusar suami Hajah
Besah kalau dia tidak mahu jengahkan muka tatkala isterinya terkejang sakit.
Memang dalam seminggu itulah Hajah Besah tidak keluar rumah lagi. Biasanya
mereka sama-sama menunggu Ah Seng mengayuh basikal membawa raga berisi
sayur-sayur kerana mereka tidak ada masa mahu ke pasar.
Kalau Ah Seng tidak menjengah muka,
memang tidak bersayurlah rumah mereka untuk
memasak gulai. Biarlah Ah Seng jual
dengan harga mahal, mereka terpaksa juga berlanggan.
“Ah, sekejap kamu nak ke sana, apa
salahnya,” Kak Jiyah semakin menggalakkan.
“Kalau Derih balik, kakak tolong
beritahu ya,” Mizah mengingatkan setelah
dia tinggalkan anak kecilnya kepada Kak Jiyah.
Sebaik sahaja Mizah masuk ke rumah
Hajah Besah terkejut benar dia apakala dilihatnya perempuan itu terlalu kurus
hingga mukanya cengkung. Masakan dalam tempoh seminggu sahaja tubuh Hajah Besah
boleh susut demikian.
Tetapi Hajah Besah masih mampu
tersenyum sebaik sahaja melihat dia duduk di
sisi. Hanya tenaga Hajah Besah sahaja
lemah tidak boleh bergerak kuat. Apabla berbual dia masih rancak bercerita
dengan tangannya rancak mengibas-ngibas macam mahu bingkas bangun.
“Baru seminggu sakit, dah susut benar
badannya,” beritahu Haji Yusar macam tidak percaya dengan perubahan diri
isterinya.
“Kenapa tak awa mak aji ni ke
hospital,” lantas sahaja Mizah
mengesyurkan disebabkan tidak tergamak melihat keadaan Hajah Besah yang terlalu
kurus
“Dia tak mahu ke hospital,” sahut Haji
Yusar serba salah juga kerana isterinya terlalu marah jika disebut mahu bawa ke
hospital.
“Sikit, sikit hospital, bolehkah hospital tu beri nyawa,” merungut benar Hajah Besah
bagaikan tersinggung dengan cadangan
Mizah.
“Hanya ikhtiar kita, mak aji,” sengaja
Mizah memujuk dengan harapan orang tua itu
bersetuju.
“Pantang tok nenek aku berubat di
hospital,” gerutu Hajah Besah benar-benar marah dengan sikap Mizah.
Cepat-cepat Haji Yusar memberi isyarat
supaya tidak ulangi lagi fasal mendesak berubat ke hospital itu, Manalah tahu
isterinya akan bertambah marah sampai menyergah Mizah pula.
Belum sempat Mizah mengangguk setuju
dengan isyarat Haji Yusar, tiba-tiba Badin anak Kak Jiyah memanggilnya.
Cepat-cepat pula Mizah minta diri daripada Haji Yusar kerana menjangka Derik
Bauk sudah balik. Tentu suaminya mahu segera makan untuk balik semula ke kem
meneruskan tugas di sebelah petang.
Tatkala sampai di rumah memang Derih
Bauk belum balik ke rumah. Belum pun jam
12.30 tengah hari masakan suamainya
sudah jejak kaki ke rumah kalau tidak bersebab. Tetapi berdebar benar hati
Mizah kerana anak kecilnya menangis kuat sampai serak suara.
Puas dipujuk Kak Jiyah tangisan anak
kecilnya kian melansingkan bagaikan lapar susu
sepanjang hari. Sebaik sahaja Mizah
memeluk anak kecilnya, tangisan anak kecilnya masih juga tidak boleh dipujuk.
Tidak bertangguh Kak Jiyah meminta Mizah panggilkan sahaja dukun ke situ dengan
tidak perlu menunggu Derih bauk balik.
“Terpulanglah pada kakak, saya ikut
aje,” bisik Mizah dalam keadaan terdesak. Biarlah
Kak Jiyah usruskan segalanya kerana
perempuan itu lebih berpengalaman daripada dia, disebabkan sudah lama Kak Jiyah
di Kluang.
“Kita jemput tok aji, mak,” Badin
memberitahu emaknya supaya menjemput Haji
Yusar terlebih dahulu. Tentu orang tua
itu tahu siapa dukun yang perlu dijemput.
“Hah, betul juga,” sahut Kak Jiyah
kerana penduduk-pendudk di situ seringkali
menjemput tuan rumah itu sekiranya
keluarga mereka diganggu sakit. Kadangkala dirasuk pelesit juga mereka akan
jemput Haji Yusar.
Tetapi Haji Yusar bukanlah mahu sangat
kalau dijemput mengubati orang. Lainlah jiran-
jiran dalam keadaan terdesak sementara
menunggu dukun dating, atau menanti ambulan menyerbu ke situ untuk dibawa ke
hospital. Memang Haji Yusar tidak sanggup mengubati sesiapa pun.
Kalau dijemput pun dia sekadar
membacakan doa sahaja. Selepas itu terserahlah
segaalanya kepada ketentuan Allah
belaka.
Sebaik sahaja emaknya menyuruh
menjemputkan Haji Yusar, tidak tertangguh
Badin melompat ke tanah. Dia berlari
semula ke rumah Haji Yusar memberitahu kejadian yang berlaku ke atas anak kecil
Mizah. Disebabkan tidak ada siapa lagi boleh diharapkan, terpaksalah Haji Yusar
datang menjengah.
“Sakit perut agaknya ni,” ujar Haji
Yusar sebaik sahaja mengusap-usap perut
anak kecil itu dengan apak tangan.
“Budak kalau terlampau menangis pun,
memang kembung perutnya, tuan Haji,” jelas
Kak Jiyah semacam mengingatkan Haji
Yusar. Tahu benar dia fasal anak kecil yang galak menangis akan menyembabkan
kembung perut sampa bunyi rebana apabila
ditepuk perlahan.
“Tak tahulah aku macam mana nak buat,”
keluh Haji Yusar serba salah apabila didesak
minta doakan sahaja anak kecil yang
melangsing menangis tidak mahu dipujuk.
Setelah meraba-raba seluruh tubuh anak
kecil itu, lantas Haji Yusar minta sediakan air
sejuk segelas. Biarlah dia cuba doakan
pada air sejuk supaya dimakbulkan Allah. Lagipun dia tahu asal syaitan daripada
api yang menyala, sudah tentulah musuhnya air sejuk yang mampu memadamkan api
yang bergejolak.
Kak Jiyah sendiri ambilkan air segelas
di dapur, lantas dihulurkan kepada Haji Yusar.
Sebaik sahaja dia memegang gelas
berisi air sejuk itu, terus sahaja Haji Yusar membacakan doa:
Walaqad ja’alna fis sama-I burujau
wazaiyannaha linnazirin, wahafiznaha min kulli
Syaitanir rajjim, illa manistaraqos
sam-‘a faatba’ahu syihabum mubin
Setelah dibaca tujuh kali dia
hembuskan perlahan ke dalam air sejuk di dalam gelas.
Ketika ini tiba-tiba sahaja Haji Yusar
terkejut apabila dilihatnya bayang-bayang isterinya
tersengih-sengih didalam gelas.
“Huh kamu rupanya, balik,” perintah
Haji Yusar keras bagaikan membentak isterinya
Hajah Besah.
Serta merta anak kecil Mizah terdiam.
Dia tidak lagi menangis sekalipun tersengguk-sengguk sedu tangisnya yang galak
sebelum ini.
Haji Yusar menyuruh berikan anak kecil
itu meneguk air sejuk berkenaan, disamping
sapukan ke mukanya sama seperti
mengambil wuduk. Setelah menyerahkan gelas tersebut kepada Kak Jiyah,
cepat-cepat Haji Yusar keluar. Malu benar dia sekiranya Kak Jiyah menyedari apa
yang dilihatnya tatkala bacakan doa.
Manalah tahu Kak Jiyah juga ternampak
bayangan Haja Besah di dalam air gelas.
Tentulah Kak Jiyah menuduhnya amalkan
ilmu syaitan untuk menganggu jiran. Malu benar dia kalau dituduh jiran-jiran
mengenai dirinya amalkan ilmu syaitan.
Dia sendiri tidak tahu kalaulah
isterinya yang amalkan. Sejak berkahwin dengan Hajah
Besah tidak pernah pula dia menyedari
isternya ini amalkan ilmu syaitan. Kalau isterinya menyembunyikan dari
pengetahuan dia, memang Haji Yusar tidak dapat mendesak apaapa.
Ketika balik ke rumah, Haji Yusar
melihat isterinya mengeliat-geliat mengerang kesakitan tidak menentu. Hajah
Besah merungut-rungut kecil menyalahkan suaminya Haji Yusar kerana menjengah
anak kecil Mizah.
“Awak lebih mementingkan orang,
isteri sendiri sakit, awak tak peduli,”
marah benar
Hajah Besah kerana suaminya
meninggalkan dia dalam keadaan terkejang sakit.
“Nampaknya awak ni amal ilmu syaitan,”
lantas sahaja Haji Yusar menuduh apabila
kenangkan bayangan yang menjelma di
dalam gelas ketika dakan anak kecil itu. Kalau tidak ada sebab musabab masakan
isterinya mengerang-erang kesakitan setelah anak kecil itu sembuh serta merta.
“Ilmu syaitan apa pula?” gerutu Hajah Besah tidak berani menatap muka
suaminya.
“Aku tahu, tak payah awak nak
berlindung!” jerkah Haji Yusar setelah menyedari gangguan anak kecil Mizah itu
memang berpunca dari isterinya sendiri.
Sebab itu dia menyuruh Derih Bauk
menemui Ulung Kubil apabila anak kecilnya
menangis laghi pada tengah malam. Dia
sendiri tidak mampu membantu kecuali boleh berdoa sahaja untuk menghindarkan
gangguan syaitan. Tentu gangguan itu akan berulang lagi sekiranya tidak diubati
terus.
Lainlah Ulung Kubil, apabila anak
kecilnya menangis tengah malam sampai terbalik biji
mata, lantas Ulung Kubil mengenggam
tanah di tengah halaman. Dia menyerakkan tanah yang di genggam itu ke atas atap
rumah sebelum masuk menjengah anak kecil yang galak menangis.
Tiba-tiba sahaja anak kecil itu
berhentti menangis sebaik sahaja Ulung Kubil
mendekatinya. Ketika Ulung Kubil
meletakkan hujung telunjuk ke pusat anak kecil itu dia membacakan:
Bismillahi wallahu ghaliun ‘alaamri.
Seratus kali dia bacakan doa itu,
serentak dengan itu mereka mendengar jeritan lansing
dari rumah Hajah Besah.
Sekaligus pula mereka mendengar Haji
Yusar memarahi isterinya sampai terdengar dia
azan tujuh kali, kemudian diikuti
dengan membaca Surah at-Tariq. Disebabkan tidak
tergamak mendengar jeritan di rumah
Hajah Besah, sengaja Derih Bauk mengajak Ulung Kubil sama pergi menjengah.
Tidak patutlah mereka biarkan jiran
menganggung penderitaan. Semasa dia memberi
salam di tengah halaman, Haji Yusar
segera membukakan pintu. Sarjan Mihat suami Kak Jiyah juga ikut sama setelah
mendengar jerit Hajah Besah bertambah galak.
“Elok sangatlah ULUNG kubil datang
ni,” tersenyum lebar Haji Yusar menyambut
tetamunya, memang dia mahu
menyembunyikan juga rahsia isterinya itu, tetapi
terpaksa juga menerima tetamu yang
cuba datang untuk membantu, kerana lambat laung diketahui orang juga sekiranya
dia cuba menyembunyikan rahsia isterinya.
Apabila Ulung Kubil duduk di sisinya,
tidak bertangguh Hajah Besah mengibas tangan mahu menyerang. Tetapi tenaganya
yang lemah tidak menyinggahi Ulung Kubil. Dia terus merungutrungut tidak
menentu memaki hamun Ulung Kubil kerana datang menjengah.
Lama Ulung Kubil membacakan jampi
serapah, tersipu-sipu Hajah Besah seolah-olah
mengaku dia berkuasa di kawasan itu.
Siapapun jangan tunjukkan berani mahu menjadi bomoh kalau mahu berhadapan
dengannya.
“Kau jangan cuba tunjuk pandai,
Kubil,” gerutu Hajah Besah dengan
bersuara parau. “Dah lama aku jaga Besah ni, tanah ni aku yang punya,” katanya terlenggok-lenggok kepala laksana
orang uzur.
“Aku bukan nak tunjuk pandai,” sahut
Ulung Kabir tersengih-sengih macam merendah.
“Tapi, kamu yang tunjuk pandai!”
lantas dia menghunus badik usang yang sentiasa di
pegangnya.
Badik itu dicacak oleh Ulung Kubil ke
lantai dengan membaca:
Assalam mualaikum nenek
petala langit, setinggi-tinggi kau sampai ke langit, aku minta
kau datang tak boleh tidak,
datang nak minta bantu anak cucu, kau tengokkan siapa yang ganggu Hajah Besah.
Lama Ulung Kubil terconggok tidak
bergerak, tiba-tiba sahaja badik usang yang
tercancang di lantai rebah bagaikan
dicabut. Ketika ini angin kencang bertiup kuat hingga derunya menggegar. Terasa
juga gerun Derih Bauk dengan suasana yang tidak pernah dirasanya demikian.
Dalam masa angin bertiup kencang itu,
lampu didalam rumah Hajah Besah sekaligus
padam bagaikan pelita dihembus kuat.
Hairan juga mereka kerana lampu letrik boleh padam tidak semena-mena ditengah
tiupan angina kencang itu.
Ketika ini Hajah Besah mengerang-erang
menghempas badan, disambut dengan keadaan di sekeliling rumah seperti tapak
kaki berjalan tidak menentu.
“Oh kamu bawa orang tinggi datang
ye!” keluh Hajah Besah termengah-mengah
bagaikan berlari simpang perinang dikejar musuh.
“Kau yang nak berlawan sangat, bukannya
aku!” sahut Ulung Kabir membentak keras.
“Buat apa kita berlawan, bukankah
lebih baik kita berkawan,” lembut sahaja suara Hajah Besah memujuk.
“Sekarang aku nak berlawan!” jerkah
Ulung Kubil memberi amaran tidak menghiraukan
rayuan Hajah Besah.
“Sebab apa pulak kita nak berlawan,
kita bukan bermusuh,” tersengih-sengih Hajah Besah mengerling Ulung Kubil
“Aku nak bermusuh dengan kamu,,” sahut
Ulung Kubil terus mencabar lawan.
Apabila Ulung Kubil mengukuhkan
kedudukan duduk sambil mengisar dua tapak
tangannya, sekaligus Hajah Besah
mengeliat lantas memekik kuat. Dia mengaku dikuasai polong dari keturunan
neneknya yang mempusakai tanah tempat tinggalnya.
Samada Hajah Besah rela atau pun
tidak, polong peninggalan nenek moyangnya tetap
bersamanya. Selagi dia mewarisi tanah
pusaka nenek moyangnya memang Hajah Besah tidak dapat mengelak. Asal sahaja dia
menerima tanah pusaka itu samalah macam dia menerima polong peliharaan nenek
moyangnya sejak turun temurun.
Seminggu selepas berubat dengan Ulung
Kubil barulah Hajah Besah beransur pulih.
Tidak bertangguh dia datang minta maaf
pada Mizah mengenai kejadian yang menimpa anak kecilnya. Hajah Besah sendiri
mengaku dia tidak tahu menahu mengenai polong yang merasuk dalam dirinya.
Setelah beransur pulih tenaganya,
Hajah Besah nasihatkan supaya Mizah membawa
anaknya berubat di kampung kalau di
ganggu terus menerus. Sekali pun anak kecil itu tidak langsung menangis setelah
Hajah Besah sembuh tetapi Mizah bawa juga anaknya berubat balik ke kampung di
Taiping.
Tiga hari dia minta Dukun Meon ubatkan
anak kecilnya tidak ada pula kejadian yang merunsingkan hatinya. Anak kecilnya
riang bermain dengan anak-anak kakaknya semasa di kampung. Disebabkan anaknya
tidak diganggu rasukan, Mizah juga tidak perlu lama di kampung.
Memang Dukun Meon juga sudah beri
jaminan anak kecilnya itu tidak diganggu apaapa
rasukan. Sebab itu Mizah perlu balik
ke Kluang. Memang tidak tergamak dia mahu meninggalkan suaminya lama hingga
tidak terjaga makan minum dan pakaiannya.
Dua hari selepas balik ke Kluang,
Mizah menerima surat dari kakaknya Enon
memberitahu anak gadisnya Saerah
berumur 10 tahun menjerit ketakutan tidak menentu. Apabila dijemput Dukun Meon,
lantas sahaja Saerah menuduh polong peliharaan Mizah merasuknya.
‘Astaghfirullahul Azim!” keluh Mizah
sebaik sahaja menerima surat kakanya. Manalah dia tahu mengenai polong sampai
Saerah yang merasuk menuduh dia demikian.
“Ah, setan memang pandai
kelirukanorang,” suaminya Derih Bauk menjelaskan. Sedikit
sebanyak Derih Bauk memang sudah
mempelajari fasal cara berdukun. Sebab itu dia
tahu apa yang dituturkan oleh orang
kena rasuk bukanlah boleh dipercayai sangat, kerana yang bertutur ketika itu
memanglah syaitan.
“Kenapa dia tuduh pelihara
polong!” gerutu Mizah kerana bimbang
kakaknya akan percaya denag tuduhan Saerah berumur 10 tahun itu.
“Emmmm, bela polong bukan macam bela
ayam itik, “ Derih Bauk mententeramkan isterinya. Memelihara ayam itik pun
bukan mudah membiak, kadangkala sampai lima enam bulan baru boleh menjadi.
Masakan Enon mudah sangat percaya
mengenai adiknya Mizah menyimpan polong.
Tentu ada amalan yang diamalkan
sebelum polong menjelma dalam hidupnya. Kadangkala sampai bertahun-tahun
beramal barulah polong sebati dengan diri. Ketika inilah baru polong itu boleh
digunakan mencari mangsa.
Tidak pernah pula Mizah mengamalkan
ilmu syaitan. Takat menghafal jampi mentera
sampai bila pun tidak akan sebati
dengan amalan. Setidak-tidaknya Mizah perlu bertapa berhari-hari sampai tidak
boleh mendengar suara manusia di mana-mana. Mizah juga perlu mengali kubur
tatkala tengah malam sebagai ujian samaada mampu atau tidak memelihara polong.
Lagipun manalah Mizah ada harat
memerlukan polong menjaga sepanjang waktu.
Sesiapa sahaja memelihara polong
bukannya untuk mencari mangsa, tetapi mengawal harta bendanya supaya tidak
dimusnahkan orang. Apalagi kalau pencuri berkeliaran mahu merampas ternakan
atau tanamannya.
Ketika ini lah siapa
sahaja mencuri harta bendanya akan dirasuk polong sampai terkejang sakit dengan
mata terbeliak macam lembu disembelih leher. Derih Bauk percaya isterinya tidak
pernah amalkan ilmu syaitan sampai memelihara polong.
Disebabkan tidak mahu
Mizah dituduh orang-orang kampung memelihara polong,
Derih Bauk terpaksa juga
mengajak Ulung Kubil ke Taiping. Biarlah dia berbelanja semata-mata membawa
Ulung Kubil ke kampungnya untuk mengubati Saerah.
Memang enggan juga Ulung
Kubil mahu ke Taiping, setelah Saerah di ubat Dukun Meon sekiranya dia datang
ke Taiping. Tentulah dia dituduh menceroboh kawasan Dukun Meon kalau sengaja
mahu menunjukkan kebolehan.
Tetapi Dukun Meon tidak
membantah apa-apa semasa Ulung Kubil datang bersama Derih Bauk. Malah Enon juga
tidak menaruh syak wasangka terhadap Mizah, sekali pun anak gadisnya berusia 10
tahun merepek menuduh polong peliharaan Mizah yang merasuknya.
Memang Saerah masih lemah
tidak bermaya sewaktu Ulung Kubil naik ke rumah. Dia
terkejang dengan mata
terkebil-kebil. Mukanya pusat lesi disebabkan tidak menjamah nasi sejak
seminggu.
Setelah meminta dibuatkan
bertih 2 piring dan mayang pinang belum keluar seludang,
Ulung Kubil membakar
kemenyan terlebih dahulu. Perlahan-lahan dia membacakan jampi serapahnya.
Tebu jentang tebu jenting,
mari condong melompat, melompat tiga penjuru, melompat engkau ke batu putih, kain putih
baju kau putih, melompat engkau ke batu hitam, kain putih baju kau putih,
melompat engkau ke batu merah, kain merah baju kau merah, aku menangkal seku
ketegur dah ku tawar, seku mati terbunuh sudah ku tawar, seku hujan panas sudah
ku tawar, hu allah.....
Kemudian dia mengangkat tempat
kemenyan dan mengasapkan bahagian kepala
Saerah. Ketika Saerah bingkas duduk
meludah ke muka Ulung Kubil cepat-cepat ditolak oleh emaknya Enon. Tetapi Ulung
Kubil ingatkan dia supaya tidak berkasar dengan gadi kecil itu.
Ulung Kubil juga meminta Dukun Meon
ikut sama membantu semasa Saerah duduk
melenggok-lenggok kepala seperti
sedang beratib.
“Beratip nak buat apa?” senagja Dukun
Meon mengejek sambil merenung tepat ke muka Saerah.
“Bodoh punya dukun, aku buka beratib!”
sahut Saerah tersengih-sengih mahu menyakiti
hati Dukun Meon.
“Kalau bukan beratip, kamu buat apa?”
jerkah Ulung Kubil keras seolah-olah tidak
mahu langsung bertolak ansur.
“Aku pun tahu jampi serapah!” tegas
Saerah mula berubah suaranya menjadi garau
mengerunkan.
“Kenapa nak berlindung di balik
Mizah?” Ulung Kubil mengirai mayang pinang belum keluar seludang itu sampai
terurai lepas.
“Awak jangan nak memandai –mandai
Ulung Kubil, tempat ini Meon punya!” ujar Saerah ketawa memanjang seolah-olah
mahu melaga-lagakan Ulung Kubil dengan Dukun Meon.
“Semua tempat dalam dunia ini, Allah
Taala punya,” segera Dukun Meon membalas biar syaitan yang masuk itu tidak
dapat memperdayakan dia.
Memang Saerah cuba juga bingkas
bangun, tetapi tenaganya tidak mampu megancam. Sekali pun dia bertambah kuat,
namun syaitan yang merasuknya tidak dapat menggunakan dirinya. Tenaga anak
kecil sepertinya mudah sahaja ditewaskan oleh Ulung Kubil hanya dengan
meletakkan jari telunjuk ke dahi sambil membacakan:
Bismillahhi wallahhu ghalibun ‘ala amri, bismillahhi
aman billahhi waman yaumin
Billahhi lahaufu ‘alihi,
bismillahhi inna naj naj’alukafi nuhurihim wa na’ uzubika min syururihim.
Setelah dilangi tujuh kali di
hembuskan ke muka Saerah, sekaligus sahaja muka gadis kecil itu berubah menjadi
hitam laksana disapu arang. Tiba-tiba sahaja Saerah menangis lantas menekup
mukanya mahu menyembunyikan diri.
Sampai santak tengah malam baru Ulung
Kubil dapat berihat setelah Saerah semakin
lemah hingga tertidur nyenyak. Dukun
Meon juga keletihan disebabkan lama sangat
berhadapan dengan keadaan yang
menyelubungi Saerah. Memang dia mengaku bukan Mizah yang mengirimkan polong
merasuknya, tetapi sengaja mengikut anak kecil Mizah mahu mencari tempat perlindungan.
Memang Dukun Meon tahu rasukan yang
menganggu Saerah mahu mengelirukan mereka apabila sengaja menuduh Mizah
menghantarnya. Dukun Meon dapat melihat bayangan perempuan tua berdiri di sisi
Saerah cuba menghalau dia supaya jauhkan diri. Tetapi Dukun Meon tidak berundur
selagi perempuan tua itu terus tercegat di situ.
Hinggalah Ulung Kubil dibawa datang
Derih Bauk, dia juga melihat bayangan Dukun Meon bertolak-tolakan dengan
perempuan tua itu menarik Saerah. Sebab itulah Ulung Kubil meminta bantuan
Dukun Meon semasa mula mengubati gadis kecil itu.
Apakala mayang pinang dikibaskan ke
muka Saerah, sekaligus terasa bayangan mayang itu memukul kepala perempuan tua
itu laksana besi pencakar mencengkam. Setiap kali perempuan tua itu cuba
melawan Dukun Meon sudah bersiap sedia mencemat belakangnya dengan cemeti
hingga berbirat tidak bersisa.
“Tipu daya syaitan, mesti dilawan
dengan tipu daya juga,” tutur Ulung Kubil perlahan sambil menepuk bahu Dukun
Meon. Sekali pun Dukun Meon tidak dapat mengagak angkara siapa yang menganggu
Saerah, tetapi Ulung Kubil tahu bayangan tersebut sama dengan jelmaan sewaktu
dia mengubati anak kecil Derih Bauk.
Apabila Derih Bauk balik semula ke
Kluang bersama Ulung Kubil, dia diberitahu mengenai kematian Hajah Besah.
Ketika menghembuskan nafasnya Haji Yusar sendiri terkejut kerana melihat muka
isterinya menjadi hitam seperti dilumur arang. Belakangnya berbirat merah
laksana dicemat dengan cemati.
“Semuanya sudah ditentukan Allah,”
keluh Haji Yusar tabah menerima takdir yang menimpa isterinya itu.
Tetapi Derih Bauk tidak tergamak
memberitahu keadaan Saerah sewaktu diubati
oleh Ulung Kubil dan Dukun Meon.
Biarlah semuanya menjadi rahsia dirinya.
Disebabkan bimbang anak kecilnya akan
dirasuk gangguan, tidak teragak-agak Derih
Bauk mengekor kemana sahaja Ulung
Kubil dijemput orang. Dia sanggup balik jauh-jauh malam kalau mengikut Ulung
Kubil sekalipun sampai Pontian atau pun Endau.
Kadangkala merungut juga Mizah dengan
perubahan suaminya yang gilakan amalan
kebatinan. Bukan takat mengikut Ulung
Kubil sahaja, malah barang-barang keperluan harian di rumah orang tua itu dia
akan hantar. Sampaikan beli ikan pun, seekor untuk dibawa balik ke rumah seekor
lagi akan dihantar ke rumah Ulung Kubil.
“Macam itulah perangai arwah suami
saya dulu, tuan haji, “ jelas Mizah memberitahu
kawan saya Haji Kawar apabila kenangkan Derih Bauk.
Kalau tidak disebabkan hujan sampai
santak maghrib, memang saya bercadang untuk balik juga. Tetapi hujan yang turun
mencurah menyebabkan saya mengambil keputusan untuk solat maghrib sahaja di
rumah Haji Kawar. Lagipun sekali sekala datang ke rumah isteri mudanya itu,
apalah salah berbual panjang.
Isteri saya pun ingin sangat mahu
bertemu dengan isteri muda Haji Kawar. Semenjak dia berkahwin seorang lagi,
tidak pernah lagi kami bertemu muka. Haji Kawar pula seolah-olah sengaja mahu
mengelak untuk temukan kami dengan isteri mudanya. Mungkin dia tidak sampai
hati mahu perkenalkan disebabkan hubungan isteri saya dengan isteri tuanya amat
akrab.
“Dia bersungguh-sungguh
menuntut," Miza semakin sebak menerangkan keadaan yang
Menyelubungi suamimya. “Masa bertugas
di Sabah pun dia menuntut sampai masuk ke hulu-hulu kampong,” ujarnya sayu
dengan sikap hulusuaminya setelah anak kecilnya diganggu rasukan syaitan.
Memang Derih Bauk bertekad mahu
menghadapi gangguan syaitan sendirian dengan
tidak bergantung kepada orang lain.
Marah benar dia apabila anak kecilnya yang tidak
berdosa dirasuk polong sampai menangis
langsing. Biarlah dia habiskan masa mengekor Ulung Kubil asal sahaja orang tua
itu curahkan segala isi dada kepadanya.
Ulung Kubil menyuruh dia bertapa di
tiga cabang anak sungai di tengah hutan pun, Derih Bauk sanggup lakukan.
Biarlah dia duduk terconggok seorang diri sampai seminggu dengan hanya berbekalkan
segenggam bertih sahaja. Dia hanya dibenarkan makan bertih tujuh butir sehari
dengan meneguk air embun sekiranya hujan tidak turun dalam masa seminggu di
situ.
Sebelum jatuh sakit terkejang sampai
lumpuh seluruh badan Derih Bauk beritahu isterinya mengenai dia bertapa atas
batu tengah cabang tiga anak air. Semasa dia bacakan amalan yang diturunkan
oleh Ulung Kubil beberapa kali dilihatnya gerombolan komunis melintas di
depannya, tetapi mereka semua seolah-olah tidak nampak dia terconggok di atas batu.
Tiga malam berturut-turut pula angina
kencang turun tetapi hujan tidak turun setitik
pun. Malam ketiga angin kencang
bertiup, Derih Bauk nampak pokok leban enam pemeluk tumbangmenimpa ke arahnya.
Dia tidak berganjak dari atas batu tengah cabang tiga anak air itu tatkala
pokok berkenaan menimpanya. Memang dia terserungkup di bawah rimbunan daun
pokok leban yang tumbang itu menyebabkan di sekelilingnya menjadi gelap gelita
tidak kelihatan apa-apa lagi.
Ketika ini dia merasakan sebahagian
kepalanya berdarah akibat ditusuk dahan pokok
sebesar paha. Derih Bauk tetap
tabahkan hati tidak hiraukan sama ada darah mengalir di kepalanya atau pun
lukanya menyebabkan cedera parah.
Tetapi dia tetap ingatkan bertih dalam
genggamannya tidak boleh dilepaskan. Habis
sahaja selepas amalan jampinya 40,000
kali menjadi seperti zikir, dia akan memakan bertih tersebut tujuh butir. Derih
bauk akan ulangi sehingga genap tujuh malam dia terconggok di atas batu tengah
cabang tiga anak air itu.
Masuk malam ketujuh baru Derih Bauk
terasa hujan turun mencurah. Dalam hujan
turun mencurah-curah itulah dia
mendengar ranting dan dahan kayu leban yang
menyerungkupnya bagaikan dipatah
orang. Apabila hujan menyimbah masuk ke tengah rimbunan menimpa tubuhnya Derih
Bauk terasa bagaikan dia dimandikan dengan berlangir limau. Kemudian dia
melihat rimbunan pokok leban yang menimpanya diheret jauh. Dia nampak bayangan
Ulung Kubil mengheret pokok leban sebesar enam pemeluk itu.
Apabila memberi salam kepada Ulung
Kubil, orang tua itu sekadar mengangguk sahaja.
Kemudian dia menepuk tangan memberi
isyarat, tiba-tiba sahaja menjelma seekor harimau belang sebesar bapak lembu
dengan tergeleng-geleng kepala.
Tidak bertangguh Ulung Kubil
perintahkan harimau itu meniarap biar Derih Bauk
melompat ke atas belakangnya. Setelah
bertunggang di atas tengkuk harimau itu, sekelip mata sahaja binatang itu
melompat ke udara hingga terasa sayup melayang ke awan.
Tiba-tiba sahaja harimau berkenaan
tercegat di tengah halaman rumahnya seolah-olah
menghantar Derih Bauk balik ke rumah.
Apabila dia beritahu pengalamannya kepada Ulung Kubil, orang tua itu sekadar
tersengih-sengih sahaja. Memang dia berbangga disebabkan Derih Bauk mampu
melepasi ujian tersebut sepanjang dia amalkan amalan yang diturunkan kepadanya.
Bukan dengan Ulung Kubil sahaja dia berguru,
di mana sahaja dia dihantar bertugas
memang Derih Bauk sentiasa mencari
guru. Asal sahaja dia mendapat tahu guru amalkan kebatinan, tidak tertangguh
Derih Bauk jejak kaki ke rumahnya.
Sewaktu di Sarawak pun Derih Bauk sanggup
mudik ke hulu sungai mencari Tuai di
rumah panjang. Kalau disuruh masuk
celah rahang buaya tengah menganga pun Derih Bauk akan lakukan. Dia tidak
bimbang apa-apa duduk di tengah rahang buaya yang menghulurkan kepala ke
tebing.
Biarlah buaya berkenaan membawanya merendap
ke dasar lubuk apabila mulut
dikatupkan. Kalau ujian demikian
diperintahkan oleh gurunya, Derih Bauk sedia tempuhi. Sudah adat mahu mendapatkan
ilmu kebatinan perlu melalui ujian demikian getir untuk menekan ketabahan sesaorang.
Apa lagi tatkala ditukarkan ke Sabah,
Derih Bauk terpaksa membantu rakan-rakannya yang mengalami gangguan sampaikan
kemaluannya ditukarkan ke dahi. Berminggu-minggu kawannya tidak berani keluar
dari kem setelah kemaluan yang hilang tiba-tiba sahaja menjelma ke dahi
bagaikan belalai.
“Hah, ini permainan orang tak mengenal
Allah!” gerutu Derih Bauk apabila diberitahu malang yang menimpa kawannya.
Tetapi dia memang tahu kawannya terlalu kerap mengusik gadis-gadis di kawasan
hulu yang masih kuat dengan amalan ilmu kebatinan.
Setelah berhenti kerja pun Derih Bauk
masih diuji orang. Anak gadisnya dilarikan orang
hingga tidak menghubungi dia langsung.
Marah benar Derih Bauk apabila lelaki cuba menguji kebolehan dia. Larikan anak
gadisnya samalah macam mengajak dia berdepan di tengah gelanggang.
Tidak sampai tiga hari lelaki yang
melarikan anak gadisnya datang melutut di depan Derih Bauk. Masakan dia berani
menentang Derih Bauk kalau harimau sebesar bapak lembu terconggok di tepi
katil. Bagaimana harimau berkenaan boleh melompat masuk ke bilik rumah flat di
tengah bandar Kuala Lumpur.
Sebab itu lelaki berkenaan terpaksa
juga menghantar anak gadis Derih Bauk balik ke
rumahnya. Berkeras mahu melawan Derih
Bauk bermakna sengaja menempah geruh. Kalau harimau belang sudah terconggok di
tengah bilik mengawasi dirinya, ke mana lagi mahu bersembunyi sekiranya
berkeras mahu tunjuk berani dengan Derih Bauk?
“Memang dia beritahu saya, fasal dia
sentiasa menjaga keselamatan saya,” Mizah terus . menerangkan keadaan sebenar
yang menimpa suaminya sebelum dibawa berubat ke Bidor.
”Kita cuba dulu doa kan awak,” Haji
Kawar memerhati jam di dinding, kerana bimbang saya semakin resah mahu balik ke
rumah. Hujan di luar bukan lah musibah yang boleh menghalang, kerana saya boleh
gunakan payung untuk berkejar ke kereta. “ Ustaz marilah sama membantu,” lantas sahaja Haji Kawar menggamit saya
supaya tidak tergesa-gesa balik selepas habis isya.
“Kalau tak salah, ustaz ni pernah ke Taiping .” Agak lama baru Mizah
dapat camkan saya. Ketika dia balik ke rumah anaknya di sebelah petang, sebelum
datang semula selepas isya seperti dijanjikan oleh Haji Kawar, memang Mizah
sudah ingatkan di mana dia pernah terserempak saya.
Saya mengangguk perlahan. Apabila dia
sebut mengenai ayahnya arwah Haji Nori,
barulah dapat saya ingat sudah
beberapa kali ke sana. Tetapi saya berkawan dengan Haji Nori bukanlah di
Taiping, kerana sebelum itu dia lama menetap di Kelantan.
No comments:
Post a Comment