Saturday, July 5, 2025

MAKHLUK APA YANG TEBAR JALA ITU?

 

Sumber : <<<Mastika>>>

Oktober 12, 2023

Diceritakan oleh : Yas Bin Awang (Pak Su Yas)

MAKHLUK APA YANG TEBAR JALA ITU?

KEJADIAN ini berlaku pada tahun 2006. Malam itu, lebih kurang pukul 10.00 malam, saya duduk di pekarangan rumah di Kampung Pasir Tambang, Kuala Tembeling, Pahang membetulkan jala ikan.

Malam itu cuaca sangat baik. Langit cerah dan bulan mengambang penuh. Waktu-waktu begitu, banyak ikan yang naik. Memang masa yang sesuai untuk pergi menjala.

Selesai menjahit jala, saya capai lampu picit. Tanpa buang masa, saya segera ke belakang rumah untuk menuruni denai curam ke Sungai Tembeling. Tak sampai sepuluh minit, saya sudah terpacak di tepi tebing sungai.

Jangkaan saya memang tepat. Air malam itu memang cantik. Tidak terlalu dalam dan tidak terlalu cetek. Dalam kelam malam dibantu oleh cahaya bulan, saya boleh nampak kelibat ikan bermain-main di dalam air.


Kalau nak cerita bab ikan kat Sungai Tembeling ni memang ada macam-macam spesies. Ada ikan bujuk, tengalan, baung, sebarau, kerai… dan macam-macam lagilah. Banyak!

Saya melabuhkan punggung di atas batu yang ada di tepi tebing. Saya perhatikan sekeliling. Tidak ada bot atau perahu penduduk kampung yang lalu lalang. Kelibat orang memancing pun saya tak nampak. Mungkin saya seorang sahaja yang turun menjala malam itu.

Lebih kurang 100 meter dari tempat saya duduk, ada sebatang pohon balak besar yang tersadai di tengah-tengah sungai. Di kiri kanannya penuh dengan sampah sarap. Mungkin dibawa arus besar kerana dua minggu sebelumnya, hujan agak lebat di kawasan hulu sungai.

Kemudian, saya bangun pergi ke tepi tebing untuk mengambil jala. Saya suluh lampu picit ke arah permukaan air. Betul, ikan memang banyak, menari-nari dan menggeletik di gigi tebing. Nampaknya rezeki saya murah malam itu.

Saya bersiap sedia dengan jala di lengan. Namun, sejurus sebelum jala ditebarkan, tiba-tiba muncul dua ekor ikan berwarna putih berlompat-lompat di sebelah kiri saya. Sisiknya berkilat manakala ekornya kembang macam ikan laga. Cantik! Mungkin ini spesies baru agaknya, kata saya dalam hati. Tapi, pelik! Hanya dua ekor ikan sahaja yang melompat-lompat di situ. Sedangkan tadi ketika saya suluh nampak macam ada banyak.

Tanpa buang masa terus sahaja saya menebar jala untuk menangkapnya. Bila jala yang saya tebar kena permukaan air, saya pasti ia kena pada dua ekor ikan berkenaan. Dalam hati saya memang sangat yakin dua ekor ikan itu sudah terperangkap dengan jala yang ditebarkan.

Saya naikkan perlahan-lahan. Jala yang ditarik terasa berat. Tapi yang peliknya, bila jala sampai ke permukaan, saya tengok ianya kosong, langsung tak ada isi. Jangankan ikan, daun pun tak ada. Eh, pelik! Mana perginya ikan yang banyak saya nampak tadi?

Selang beberapa minit, sekali lagi saya melihat dua ekor ikan berkilat itu melompat-lompat di permukaan air. Kali ini di sebelah kanan saya pula. Gelagat dua ekor ikan itu seperti mengacah-acah dan berkejaran antara satu sama lain.

Saya mula jadi tidak sabar melihatnya. Saya kejar, dan kemudian terus tebar jala ke arah kedua-dua ikan berkenaan. Namun, situasi nya masih sama. Jala saya kosong. Langsung tak ada ikan.

Kali ketiga, keempat dan seterusnya masih sama. Saya hanya mampu mengesat peluh kerana hasilnya langsung tak ada. Saya berjalan sedikit lebih kurang 30 meter mengarah ke hulu sungai untuk mengubah kedudukan.

Di sini, entah mengapa perasaan saya terdorong untuk melihat ke kawasan dua ekor ikan yang melompat-lompat tadi. Tapi, apa yang saya nampak ialah ada lembaga sedang duduk mencangkung di atas hamparan batu tempat saya labuhkan punggung sebentar tadi. Lembaga itu mempunyai sepasang biji mata yang kekuning-kuningan. Gelagatnya seperti sedang menebar jala.

Saya suluh menggunakan lampu picit. Lantas, susuk tadi serta-merta menghilang di dalam gelap. Dalam masa yang sama, kali ini saya lihat lebih banyak ikan dengan sisik berkilat melompat-lompat di atas air. Eh, tadi ada dua ekor sahaja? Kenapa sekarang banyak pula?

Saya mula berasa curiga dengan keadaan itu, seperti ada sesuatu yang tak kena. Hati saya jadi tak tenteram kerana situasi itu sangat aneh. Saya baca beberapa potong ayat al-Quran untuk memagari diri. Apa sahaja yang terlintas di kepala, saya baca.

Selesai saja ayat-ayat ini habis dibaca, ikan yang tadinya galak melompat-lompat berhenti dengan serta-merta. Suasana jadi tenang dan keadaan di sekeliling saya sunyi sepi. Hanya bunyi air sungai sahaja yang menerjah ke telinga.

Tapi, selang beberapa ketika, keadaan berubah kembali. Kali ini, sekali lagi saya melihat ada susuk lembaga berdiri di tebing sungai. Matanya yang tadi kekuningan berubah menjadi merah menyala. Nampaknya, situasi tidak berapa baik. Saya perlu angkat kaki.

Namun, perjalanan saya seperti terhalang oleh sesuatu. Kaki saya seolah-olah terbenam di dalam pasir sungai. Allah! Apa perlu saya buat?

Apa yang saya terfikir ketika itu hanya ingatkan Allah semata-mata. Dalam gelap pekat dan kaki yang semakin tenggelam, saya baca surah tiga ‘Qul’ dengan lantang, diikuti dengan laungan ‘Allahuakbar’ beberapa kali. Beberapa kali saya cuba. Entah kali ke berapa barulah saya dapat lepaskan diri.

Ketika berjalan pula, saya terdengar suara mendengus dan garau dari arah belakang. Kroh! Krih! Kroh! Bunyinya seperti babi hutan yang sedang mengejar mangsa. Tapi saya tidak mahu menoleh dan terus sahaja berjalan ke arah tebing sungai. Walaupun jarak saya ke tebing hanya dalam lingkungan lima meter sahaja, tapi saya rasa seperti terlalu lama untuk sampai.

Sepanjang perjalanan pulang ke rumah, otak saya masih tak lepas memikirkan peristiwa aneh itu. Pelik, dari manakah datangnya spesies ikan istimewa itu? Dan… makhluk apa pula yang sedang bertenggek di atas batu tadi?

No comments: