TOK AWANG NGAH : EP42 - ORANG BERKEPALA ANJING
Kejadian yang aneh mula mengemparkan
di Lobak, Seremban dalam tahun 1973 apabila ada orang yang terserempak orang
berkepala anjing. Tetapi saya tidaklah berapa percaya sangat kerana kemungkinan
orang itu memakai topeng seperti anjing ketika ditemui.
Seorang perempuan Cina memberitahu
saya orang berkepala anjing itu lari ke to’ kong di Lobak, kemudiannya hilang.
Lobak itu memanglah kawasan tempat tinggal orang Cina, hanya sedikit sahaja
orang India dan Melayu. Tentulah mengherankan kejadian seperti ini berlaku
dalam kawasan orang-orang Cina.
Kira-kira sebulan selepas itu
kegemparan mengenai orang berkepala anjing hilang begitu saja. Jelaslah
peristiwa orang berkepala anjing itu hanya perbuatan budak-budak nakal saja
untuk menakut-nakutkan orang ramai. Mereka yang terserempak orang berkepala
anjing itu pula kebanyakannya terdiri dari pasangan muda mudi yang sedang
bercengkerama.
Semasa saya berkunjung ke rumah
seorang kawan di Teluk Kumbar di Pulau Pinang dalam tahun 1976, dia juga
memberitahu saya tentang cerita orang berkepala anjing yang berlaku di Tanjung
Bungah. Macam mana pula boleh terjadi kisah orang berkepala anjing ini.
Akhirnya saya membuat kesimpulan
mungkin kisah orang berkepala anjing ada
hubungannya dengan pengaruh TV
mengenai orang serigala dan sebagainya. Oleh itu saya berpendapat cerita
seperti ini sengaja ditimbulkan oleh budak-budak nakal yang iri hati dengan
pasangan muda mudi yang sedang bercengkarama.
Ketika saya mengikut seorang lagi
kawan saya ke Temerloh balik ke kampungnya, dia juga menceritakan kepada saya
mengenai orang berkepala anjing yang mengganggu kampungnya. Dia sudah pun
berusaha untuk menangkap lembaga manusia berkepala anjing itu, tetapi tidak
juga berjaya.
Kawalan malam juga diperketatkan, tetapi
tidak dapat mengesannya. Malah setiap kali kawalan malam dibuat tidak ada pulak
lembaga itu muncul. Maka anggapan saya kegemparan tersebut sengaja ditimbulkan
oleh budak-budak nakal. Sebab saya tidak pernah mendengar adanya anjing
jadi-jadian yang berbentuk lembaga manusia berkepala anjing.
Tetapi kuasa Allah tidak siapa pun
dapat mempertikaikan. Usahkan manusia berkepala anjing, lebih dari itu Allah SWT boleh
menjadikannya. Bagaimanapun cerita mengenai orang berkepala anjing yang
menggemparkan itu mungkin perbuatan budak-budak nakal saja.
Bagaimana pun Mat Sitam berkuat
mengajak saya menemui Ngah Jamat untuk mengetahui tentang orang berkepala
anjing yang mengganggu di kampungnya. Katanya Ngah Jamat yang berjaya menangkap
orang berkepala anjing itu.
“Orang betul?’ Tanya saya.
Mat Sitam mengangguk.
“Pakai topeng?” soal saya lagi.
“Tidak..” Mat Sitam menggeleng kepala
pula. Terpaksa pula Ngah Jamat mengubatnya dulu sebelum dapat dipulihkan menjadi
manusia normal. Setelah pulih lelaki itu kelihatan seperti orang bodoh tidak
tahu apa yang telah berlaku.
Inilah yang menguatkan hati saya mahu
bertemu dengan Ngah Jamat untuk mendapatkan cerita orang yang
berkepala anjing seperti dikatakan oleh Mat Sitam.
Bukanlah saya tidak percaya dengan
cerita tersebut, tetapi kemungkinannya ialah perbuatan budak-budah nakal. Kalaulah
ianya suatu pekerjaan sihir, bukanlah juga mengherankan. Kerana sejak zaman dulu
lagi, malah di zaman para nabi pun ramai muncul tukang-tukang sihir.
Bagaimanapun perbuatan sihir tetap
menjadi musuh orang-orang mukmin. Sihir mesti ditentang kerana ianya boleh
memesongkan aqidah sesaorang. Tetapi mengapa orang-orang Islam mahu mengamalkan
sihir hingga boleh terjadi kisah manusia berkepala anjing itu. Sebenarnya saya
belum pernah menemui kisah seperti ini, dan saya juga tidak mahu bertemu dengan
kisahkisah begini. Kalau boleh saya tidak mahu mendekati orang-orang yang mengamalkan
ilmu sihir.
“Ustaz takut ke?” Tanya Mat Sitam bila saya terangkan
keengganan saya bertemu dengan perbuatan-perbuatan sihir demikian.
Saya hanya tersenyum. Biarlah Mat
Sitam menganggap saya takut. Memang saya tidak akan sengaja mencari kisah-kisah orang
berkepala anjing, lembaga hitam dan sebagainya. Kalaulah benar satu permainan
sihir, eloklah saya menjauhkan diri saja.
“Kalau ada orang pakai ilmu sihir,
kita boleh minta tolong pada Ngah Jamat tu…” ujar Mat Sitam selanjutnya.
“Saya minta tolong pada Allah…”
cepat-cepat saya memotong cakapnya.
Terdiam Mat Sitam mendengar jawapan
saya. Dia beranggapan saya tidak yakin dengan kebolehan Ngah Jamat bejaya
menangkap orang berkepala anjing yang diceritakannya itu. Menyedari akan Mat
Sitam tersinggung dengan kata-kata saya tadi lantas saya menjelaskan.
“Ngah Jamat juga meminta dari Allah.
Hanya dengan izin Alla baru dia berjaya menangkap lembaga manusia berkepala
anjing itu…” Saya tersengih-sengih
menepuk bahu Mat Sitam.
Saya tahu Mat Sitam sangat
fanatik dengan Ngah Jamat yang dianggap seorang dukun besar di kampungnya.
Sebab itulah dia mudah tersinggung kalau ada anggapan memperkecilkan kebolehan
Ngah Jamat. Apa lagi yang membuat anggapan itu orang luar.
Sementara saya pula tidak
memperkecilkan usaha-usaha seorang dukun. Mereka juga memohon doa kepada Allah.
Cara doanya tidaklah semestinya menggunakan Bahasa Arab, kerana doa juga boleh
didalam bahasa yang kita fahami. Tetapi akidah mestilah betul supaya
kepercayaan pada yang ghaib seperti dalam Surah al- Baqarah ayat 3 itu tidak
disalah tafsirkan.
Kepercayaan kepada yang
ghaib mestilah semata-mata kepada Allah SWT. Inilah yang hendak saya katakan kepada
Mat Sitam, tetapi nampaknya dia tidak memahami maksud saya. Oleh itu saya
tidaklah mahu memanjangkan lagi mengenai kejayaan Ngah Jamat menangkap orang
berkepala anjing.
Saya telah mengikuti Mat
Sitam ke kampungnya untuk menemui Ngah Jamat. Dalam pertemuan itu Ngah Jamat
tidak banyak bercakap. Suaranya perlahan bila menyatakan sesuatu. Misai
tebalnya yang putih bergerakgerak bila ia tersengih-sengih memerhati saya.
“Ustaz ni pun banyak pengalamannya..”
kata Ngah Jamat mengerling pada Mat Sitam.
“Orang muda, darah baru setampuk
pinang, umur baru setahun jagung, pengalaman apa yang ada!” ujar saya perlahan.
Ngah Jamal tersenyum. Tetapi saya tahu
senyumannya itu macam tidak mempercayai kata-kata saya. Bagaimana pun saya
tidak peduli sangat, kerana seorang berilmu seperti Ngah Jamat memang suka
membuat anggapan demikian. Dia merasa dirinya sentiasa kurang dari orang lain.
“Saya juga pernah ke sini dua tiga
kali,” beritahu saya mengubah perbualan.
“Kemana?” tanyanya.
“Bukanlah kampong ni, tapi di
Lancang…” jelas saya mengisar punggong mencari sandar ke dinding.
“Lancang, jumpa siapa?” Ngah Jamat
macam terkejut bila saya memberitahu pernah datang ke Lancang di Temerluh.
“Ulung Bahar, “beritahu saya lagi.
“Ohooo, kanal saya tu, ujar Ngah
Jamat.” Ulung Bahar tu puak-puak saya juga,” katanya terangguk-angguk kepala.
Terbayang kegembiraan diwajahnya bila saya menyatakan pernah beberapa kali
bertemu dengan Ulung Bahar.
Sebenarnya dari Ulung Bahar juga saya
mendapat tahu ada sepupunya bernama Ngah Jamat. Kebetulan Jamlus adik Meon yang
memperkenalkan saya kepada Mat Sitam, kerana Mat Sitam lebih mengenali Ngah
Jamat. Tujuan saya mahu menemui Ngah Jamat sama juga saya menemui Ulung Bahar
iaitu untuk bertukarbertukar fikiran di samping mempelajari serba
sedikit pengalaman yang ada padanya.
Bagi saya kejayaan Ngah Jamat
menangkap orang berkepala anjing itu satu pengalaman baik kepadanya. Memang
jarang kita menemui keadaan seperti ini. Bagaimana pun itu merupakan soal kedua
saja, yang penting bagi saya ialah mahu berkenalan dengan Ngah Jamat.
Ulung Bahar sudah menerangkan
bagaimana kejadian yang menimpa kampung Ngah Jamat itu, kerana dengan tiba-tiba
sahaja muncul lembaga manusia berkepala anjing. Kalaulah budak-budak nakal
memakai topeng mengapa dia menyalak seperti anjing juga di tengahtengah malam?
Inilah menjadi tanda Tanya kepada penduduk-penduduk kampung.
Orang kampung terpaksa membaca Yassin
beramai-ramai di surau bagi menyekat gangguan tersebut. Cara tersebut tidak
juga memberi kesan, kerana pada malam yang ramai membaca Yassin, lembaga orang
berkepala anjing tidak muncul. Sebaliknya bila dihentikan, dia akan muncul
semula menganggu.
Apabila diminta Ngah Jamat membantu,
dia telah menggunakan ilmu dukunnya pasungbumi untuk memerangkap lembaga
jadi-jadian anjing itu. Malam pertama lembaga itu masuk ke dalam perangkap
pasung bumi Ngah Jamat, menyebabkan dia berligar-ligar dalam kawasan rumah
mangsanya kerana tidak dapat mencari jalan keluar. Tetapi bila orang-orang
kampong menyerbu mahu menangkapnya, lembaga tersebut hilang dari pandangan
mereka.
Selepas termasuk perangkap Ngah Jamat
lembaga orang berkepala anjing itu tidak lagi terdengar kabar beritanya. Setakat itu
sajalah orang-orang kampung tahu mengenai lembaga orang berkepala anjing
tersebut. Bagaimanapun mereka tetap mengakui bahawa lembaga manusia berkepala
anjing itu dapat ditangkap, walaupun sebenarnya telah menhilangkan diri sebelum
sempat ditawan.
“Itu sajalah cerita sebenarnya,”
beritahu Ngah Jamat mengenang semula peristiwa itu.
“Ngah Jamat Cuma dapat tangkap
zahirnya saja, lepas itu dia menghilang semula ,” katanya merendah.
Perkara dia dapat menangkap lembaga
manusia berkepala anjing itu hanya dibesarbesarkan oleh orang kampung saja. Dia
sendiri tidak mengaku dapat menangkap lembaga tersebut.
“Kalau dapat ditangkap tentulah dapat
kenal rupa orangnya,” dia menjelaskan.
Demikian Ngah Jamat merendahkan diri.
Tetapi saya tahu orang yang selalu merendah diri itu memang ibarat padi, semakin
tunduk semakin berisi. Pertama kali saya bertentang mata dengan Ngah Jamat,
dapat saya mengagak akan kemampuan dia dalam kebatinan.
Ilmu jadi-jadian itu bukanlah asing
kepada masyarakat Melayu dulu. Sebelum agama Islam berkembang ke Alam Melayu,
kebanyakan orang Melayu menganu agama Hindu. Mereka inilah sering mengamalkan
ilmu pertapaan. Dari sinilah ilmu-ilmu sihir diperolehi terutama yang bertujuan
menentang musuh sama ada secara baik mahu pun secara jahat.
Aruah nenek saya pernah menceritakan
kisah ilmu jadi-jadian ini di zaman aruah akinya. Ketika itu aki nenek saya itu
bernama Aki Dahuk tinggal dirumah bersama adiknya Nenek Bek. Mereka berdua
masih muda lagi semasa kejadian tersebut berlaku. Masa itu Aki Dahuk berumur 15
tahun, manakala Nenek Bek berumur 10 tahun.
Rumah orang-orang kampung terpencil
antara satu dengan lain. Di dalam kampung itu ada jiran sakit yang patut diziarahi.
Jadi emak Aki Dahuk pun pergi menziarahi jiran tersebut pada waktu hampir
senja. Biasanya mereka melawat jiran sakit semasa dukun sedang membuat ubat
pada sebelah malam.
Semasa pergi itulah emak dan ayah Aki
Dahuk berpesan pada jiran yang dekat sekali dengan rumahnya supaya
tengok-tengokkan anaknya di rumah. Kebetulan jiran itu tidak pergi menziarah si sakit, kerana dia
telah menziarahinya pada sebelah siang hari.
Jiran itu, Pak Sogok setuju untuk
menemankan anak-anak yang ditinggalkan sendirian di rumah itu. Waktu senja
Pak Sogok pun datanglah ke rumah Aki Dahuk dengan tujuan untuk menemankannya.
Dia memanglah kenal dengan Pak Sogok yangmenjadi jiran terdekatnya.
Pak Sogok ini selalu bercerita dengan
Aki Dahuk mengenai harimau jadi-jadian, kerana
Aki Dahu belajar mengaji Quran di
rumah orang tua itu.
“macam mana nak tahu harimau jadian
tu?” soal Aki Dahuk semasa mendengar
cerita Pak Sogok fasal harimau jadian tersebut.
“Dia selalu duduk pada tiang tengah rumah…” beritahu Pak Sogok.
“Dia duduk bertenggong dan suka meneran
seperti orang terberak. Itu tandanya dia nak menukarkan dirinya jadi
harimau” jelas orang tua itu
selanjutnya.
“Mengapa dia meneran….?” Aki Dahuk
bertanya lagi.
“Ketika inilah dia meneran ekornya
supaya keluar,” kata Pak Sogok.
Gerun juga Aki Dahuk mendengar cerita
harimau jadian ini. Maklum sajalah manusia sendiri menjadi harimau. Kemudian dia
akan membaham mangsanya seperti harimau biasa juga. Dia akan mencuri lembu atau
kerbau di kandang. Bukan mudah pula mahu menewaskannya kalau sekadar
bersenjatakan senapang.
Harimau ini tidak lut oleh senjata
besi. Dia juga boleh menghilangkan diri apabila terdesak.
“Macam mana kalau harimau itu naik ke
rumahkita? Aki Dahuk mahu tahu. Memang dia gemar bertanya pada Pak Sogok mengenai
cerita-cerita yang bersangkutan dengan ilmu sihir. Maklum sajalah budak-budak
sedang berusia lima belas tahun seperti Aki Dahuk ketika itu, sudah tentulah
menjadi kegemarannya mendengar cerita demikian.
Pak Sogok pula suka bercerita dengan
Aki Dahuk. Memang dia suka dengan budak-budak. Apa lagi Pak Sogok tidak
mempunyai anak. Jadi dengan Aki Dahuklah dia bermain dengan budak-budak.
Sampailah Aki Dahuk sudah berumur 15 tahun dia tetap menyayanginya seperti anak
sendiri juga.
“Macam mana kalau terserempak dengan harimau jadian ni Pak
Sogok?” ulangi Aki Dahuk ingin tahu.
“Dia takutkan antan pengemping…” jelas
Pak Sogok tersenyum. Geli benar hatinya dengan sikap Aki Dahuk suka bertanya
macammacam perkara mengenai harimau jadian.
Macam mana pun Pak Sogok tetap
melayani Aki Dahuk. Dia tidak merasa bosan walaupun Aki Dahuk becok mulut
bertanya itu dan ini.
Walaupun baru berumur 15 tahun tetapi
Aki Dahuk pintar berfikir. Berkat pergaulannya dengan Pak Sogok tahu juga dia serba
sedikit mempertahan diri apabila terdesak. Malah Pak Sogok juga yang mengajar
dia menegakkan sembahyang. Memang banyak jasa orang tua itu terhadapnya.
Jadi apabila Pak Sogok datang ke rumah
mahu menemankan dia dan adiknya, terasa gembira hati Aki Dahuk. Orang tua itu
terlalu mengambil berat terhadap dirinya. Bagaimanapun itulah pertama kali Pak
Sogok datang menemani dia di rumah.
Biasanya kalau emak atau ayahnya ke
surau dan meminta Pak Sogok tengok-tengokkan rumah, Pak Sogok akan menjengah
dari jauh saja. Kadangkala marah juga dia pada emak dan ayah Aki Dahuk kerana
percaya sangat tinggalkan anak-anak di rumah pada waktu malam.
Tetapi ayah Aki Dahuk memberitahu. :Ah, Dahuk tu dah besar. Tahu
dia menjaga adiknya.
Pak Sogok tidak kuasa sangat lagi mahu
menegahi ayah Aki Dahuk. Kalau dia sudah menaruh sepenuh kepercayaan kepada
anaknya, mengapa pula sebagai orang luar perlu ambil tahu. Terpulanglah kepada
ayah Aki Dahuk sendiri. Kadangkala kalau tidak ke surau pun, mereka suka
berjalan ke rumah-rumah jiran berborak hingga jauh malam.
Mungkin kerana kesihan pada dirinya,
Pak Sogok datang juga menemankan dia adik beradik. Inilah yang terfikir pada Aki
Dahuk semasa Pak Sogok datang.
“Maghrib dah masuk, Pak Sogok lah jadi
imam,” Aki Dahuk mengajak Pak Sogok bersembahyang.
“Ah, Pak Sogok uzur hari ni, kau aje
sembahyang,” katanya lalu duduk
bertenggong pada tiang tengah.
Heran juga Aki Dahuk bila Pak Sogok
duduk bertenggong di tiang tengah. Kebiasaannya orang-orang kampung ketika ini
sengaja membuat lubang pada lantai di tiang tengah bagi tempat membuang sampah.
Jadi di situlah Pak Sogok duduk sementara menunggu Aki Dahuk menunaikan fardhu
Maghrib.
Terfikir juga pada Aki Dahuk mungkin
Pak Sogok cuba menakut-nakutkan dia kali ini.
Sengaja Pak Sogok datang ke rumahnya
dan melakukan seperti apa yang dicakapkannya kepada dia selama ini.
“Duduklah sebelah sini Pak Sogok…” Aki
Dahuk menyuruhnya duduk bersandar ke dinding.
“Tak apalah di sini,” sahut Pak Sogok
perlahan. “Pal Sogok suka duduk di tiang tengah kerana selalu teringat makan
gulai ikan terubuk. Kalau lekat tulangnya di tekak senanglah meluahkan di
lubang ini..” dia tersengih-tersengih mengerling Aki Dahuk.
Aki Dahuk terus menunaikan fardu
Maghrib. Selepas sembahyang dia pun duduk bersetentang dengan Pak Sogok. Dalam
hatinya sudah merasakan Pak Sogok bukan sengaja datang mahu menakut-nakutkan
dia, tetapi sudah lebih dari itu. Dia nampak Pak Sogok meneran perlahan-lahan.
“Bek, pergi kau buat kopi Pak Sogok”
Aki Dahuk menyuruh adiknya ke dapur.
Apabila Nenek Bek berjalan ke dapur,
Aki Dahuk mengikutnya dari belakang, “Bukan boleh percaya Bek tu Pak Sogok, kita
suruh masak air nanti tah apa yang
dibuatnya,” memberitahu Pak Sogok.
Pak Sogok mengangguk.
Sampai saja di dapur Aki Dahuk tidak
membenarkan adiknya membuat kopi. Dia mengambil antan pengemping di balik
pintu dapur lalu di berinya pada Nenek Bek. Katanya pada adiknya “Bila abang kata bawakan kopi, cepat-cepat kau
keluar dan pukul kepala Pak Sogok dengan antan ni.”
“Kenapa pulak bang,” Nenek Bek
Keheranan dengan sikap abangnya mahu memukul Pak Sogok. Pada hal Pak Sogok itu
guru dia mengaji Quran.
“Jangan banyak soal jawab, buat apa
yang abang suruh,” dia mengingatkan adiknya.
Nenek Bek mengangguk kepala. Dia
memang mematuhi abangnya selama ini.
Lagipun apabila emak dan ayahnya
keluar pada waktu malam hari, dengan abangnya itulah dia tinggal dirumah. Sebab
itulah apa saja perintah abangnya dia akan turuti. Kepada abangnyalah dia
mengharapkan perlindungan semasa emak dan ayahnya tidak ada di rumah.
Tentulah apa yang hendak dibuat oleh
abangnya itu memang untuk kepentingan mereka berdua. Kalau abangnya
mengambil keputusan mahu memukul Pak Sogok, boleh jadi orang tua itu mempunyai
niat tidak baik terhadap mereka. Fasal itu abangnya bertindak demikian.
Walaupun Pak Sogok merupakan guru mereka mengaji Quran, mereka mesti tentang
sekiranya orang tua itu berniat tidak baik terhadap mereka berdua beradik.
Setelah berpesan demikian pada
adiknya, Aki Dahuk pun keluar semula mendapatkan Pak Sogok sambil membawakan
tepak sirih. Pada mata kacip diletaknya kunyit seperti pernah dikatakan oleh
Pak Sogok kepadanya. Apabila dia menghulurkan tepak sirih tadi Pak Sogok mengerutkan
dahi bila tepandang kunyit terselit di celah kacip.
“Kacip gunakan mengacip pinang, bukan
kunyit..” Pak Sogok macam memarahi. Cepat-cepat Aki Dahuk mengambil kacip
itu lalu dijatuhkannya ke bawah rumah.
“Ah, jatuh pula..” rungut Aki Dahuk,
“Biar saya ambil kacip di bawah Pak Sogok” katanya tergesa-gesa turun ke tanah.
Apabila sampai di bawah rumah memang
benar seperti yang dikatakan oleh Pak Sogok kepadanya petua begitulah boleh nampak
tandatanda harimau jadian tersebut. Dia sengaja duduk di lantai berlubang bagi
menghulurkan ekornya ke bawah. Hanya dengan meletakkan kunyit pada mata kacip
saja ekor harimau boleh kelihatan.
Setelah melihat ekor Pak Sogok
terjulur panjang sampai kebawah, Aki Dahuk melilitkan ekor tersebut ke tiang. Dia memegang
ekor tersebut sambil dililitkan ke tiang sekukuhkukuhnya. Apabila diagaknya Pak
Sogok tidak boleh bergerak lagi akibat ekornya sudah dibelit kukuh ke tiang dia
pun melaung dari bawah,
“ Dik, bawakan kopi untuk Pak Sogok..”
Sebaik saja Nenek Bek mendengar
isyarat dari abangnya dia pun meluru keluar membawa antan pengemping. Ketika
dia sampai terkejut dia melihat kepala Pak Sogok sudah bertukar menjadi
harimau, walaupun badannya masih lagi seperti manusia biasa.
“Pukul dik, pukul….! “ laung Aki Dahuk
mengingatkan adiknya supaya segera bertindak.
Tidak bercakap sepatah pun Nenek Bek
pun memukul antan pengemping itu ke kepala harimau jadian. Dia memukul
bertalu-talu. Walaupun pukulannya tidaklah kuat, tetapi telah melemahkan kekuatan harimau
jadian tersebut. Jeritan dan laungan Aki Dahuk memang boleh kedengaran sampai ke
rumah Pak Sogok, sekali pun terlindung oleh belukar senduduk.
Dalam masa Nenek Bek memukul harimau
jadian dengan antan pengemping, Aki Dahuk terus memegangkan ekornya di bawah
rumah. Harimau jadian itu tidak dapat bergerak, mahu pun melompat kerana
ekornya sudah terlilit kukuh pada tiang.
Dalam keadaan jerit pekik inilah Nenek
Bek tergamam kerana tiba-tiba sahaja Pak Sogok muncul di muka pintu. Pak Sogok
terkejut melihat keberanian budak dua beradik itu menghadapi suasana demikian.
Cepat-cepat Pak Sogok mencapai antan pada tangan Nenek Bek, lantas dipukulnya
sekuat hati ke kepala harmau jadian tersebut. Kemudian dia meradakkan antan
tersebut ke dada harimau jadian itu seperti menombak. Antan tersebut menembusi
dada harimau jadian.
“Cukuplah Dahuk, naiklah..” kata Pak
Sogok.
Alangkah terkejutnya Aki Dahuk bila
melihat Pak Sogok tercegat di samping adiknya, sedangkan harimau jadian itu terkulai
mati diradak oleh Pak Sogok dengan antan pengemping. Aki Dahuk pun menceritakan
semua yang terjadi pada Pak Sogok.
“Nasib baik kau beringat..” jelas Pak
Sogok terharu. “Dia telah merupakan dirinya seperti Pak Sogok, jadi tentulah
kau berdua akan menyangkanya Pak Sogok,” keluhnya mengenangkan nasib
budak-budak seperti Aki Dahuk dan Nenek Bek yang sering ditinggalkan oleh emak
dan ayahnya pada waktu malam.
Memang sejak mula kedatangannya Aki
Dahuk sudah menduga bukannya Pak Sogok, kerana tidak pernah Pak Sogok
menemankan mereka berdua beradik. Lagipun bila masuk waktu Maghrib dia tidak
bersembahyang, sedangkan Pak Sogok tidak tinggal waktu sembahyangnya. Mujurlah
Aki Dahuk panjang akal walaupun baru berumur 15 tahun. Kalaulah Aki Dahuk
terpedaya dengan tipu helahnya, tentu mereka berdua beradik menjdi mangsa.
Malam itu sebuah kampung menjadi
gempar dengan kejadian yang tidak disangka-sangka itu. Terlalu menyesal emak
dan ayah Aki Dahuk dengan perbuatannya selalu meninggalkan anak-anak pada waktu
malam. Sejak itu tidak berani lagi dia meninggalkan anak-anaknya. Sementara Pak
Sogok pula tidak sia-sialah petua-petua yang diberikan kepada Aki
Dahuk selama ini.
Itulah yang saya tahu mengenai harimau
jadian yang diceritakan oleh aruah nenek saya. Kebetulan peristiwa itu pula
berlaku ke atas akinya sendiri, iaitu ayah kepada emaknya.
Sekarang pulalah saya mendengar cerita
mengenai jadi-jadian anjing ini. Apakah cara sihir yang digunakan itu sama tidaklah
saya tahu, tetapi ternyata kisah orang berkepala anjing ini merebak beberapa
kali di beberapa tempat pula.
Saya dan Mat Sitam masih berbual-bual
lagi di rumah Ngah Jamat, seorang wanita datang memanggil Ngah Jamat dalam
keadaan cemas. Isteri Ngah Jamat keluar bertanyakan pada wanita itu sesuatu.
Kemudian dai pergi semula dengan tidak menemui Ngah Jamat.
“Saidon sakit balik…” Mak Ripah
memberitahu suaminya Ngah Jamat.”
“Hem, macam-macam hal ,” keluh Ngah
Jamat lalu mencapai celepa rokok daunnya. Dia mengambil sebatang rokok daun
yang siap digulung. “Elok lepas asar pergi tengok budak tu,” ujar Ngah Jamat menghisap rokoknya terlebih dahulu.
Asar belumlah masuk lagi. Sengaja dia
menunggu Asar masuk sebelum pergi ke rumah
Saidon yang dicakapkan oleh Mak Ripah
tadi. Saya rasa itulah peluang bagi saya untuk melihat sendiri Ngah Jamat
mengubati orang sakit. Oleh itu saya juga mengajak Mat Sitam sama-sama melihat
Saidon sebaik saja selepas Asar. Ngah Jamat juga tidaklah membantah keinginan
saya untuk sama-sama ke rumah Saidon.
“Apa sakitnya abang Saidon tu Ngah?” Tanya mat Sitam.
“Emmmm, dah lama dia sakit…” beritahu
Ngah Jamat perlahan. “Sakitnya mendatang-datang
macam ada orang membela,” keluhnya bila mengenang sakit yang dihidapi
oleh Saidon.
“Saki tapa?’ ulangi Mat Sitam.
“Nak kata gila, tak gila…” sahut Mak
Ripah yang baru duduk bertimpuh di pintu induk rumah. “Tapi cakapnya merepek
aje. Tapi bila elok, dilayannya kita bercakap. Tau dia apa yang dicakapkannya,”
kata Mak Ripak lagi.
“Itulah bila penyakitnya datang,
mengamuk dia..” jelas Ngah Jamat.
Selepas Asar kami pun pergi ke rumah
Saidon. Wanita yang menjemput Ngah Jamat
tadi ialah isterinya, dia yang
mempelawa kami naik, saya lihat Saidon duduk berlunjur kaki sambil
merungut-rungut tidak tentu biji butir. Seluruh badannya kelihatan berkudis.
Malah kulit kepalanya juga berkerak-kerak dengan kuping kudis menyebabkan
rambutnya luruh.
Isterinya Lijah memberitahu, Saidon
baru saja berhenti mengamuk. Habis pinggan dan mangkok dilemparkannya ke tanah. Dia
mengamuk tidak tentu fasal. Tiba-tiba saja dia bertempik, maka mengamuklah dia.
Mujurlah dia tidak mencederakan anak isterinya.
Sudah berkali-kali berubat dengan Ngah
Jamat. Setelah berubat dia sering melanggar pantang Ngah Jamat. Sebaik saja
sakitnya sembuh Ngah Jamat melarang dia memakan daging. Bila dia memakan
dagang, kudis akan tumbuh seluruh tubuhnya. Semakin lama kudis akan merebak
cepat ke seluruh badan. Semakin diubat semakin cepat merebaknya. Tidak sampai
satu hari kudis berkenaan akan menjalar sampai ke kepala hingga bernanah.
“Tak diberi makan daging, kadangkala
mencuri-curi dia makan di rumah orang Kenduri…” jelas Lijah kesedihan dengan
penyakit yang menimpa suaminya.
“Hemm…mati akal aku dibuatnya,” keluh
Ngah Jamat.
Lama dia termenung memikirkan cara
mana mahu mengubati Saidon. Kalau sekadar kudis atau tokah saja, dia tidak
hiraukan sangat. Dia boleh nasihatkan Lijah bawa saja Saidon ke hospital di Temerloh.
Tetapi Saidon bukan menderita kudis seluruh badan saja, tetapi merepek tidak
tentu biji butir.
Ada juga seorang cik gu yang mengajar
di kampung itu memberitahu mungkin kerana tekanan jiwa akibat kudis di seluruh
badan itulah yang menyebabkan Saidon merepek-repek. Cikgu itu nasihatkan Lijah
membawa Saidon berubat ke hospital. Bagaimanapun doctor hanya memberi ubat
untuk disapu serta pil cukup untuk kegunaan seminggu.
Anehnya sebaik saja Saidon memakan pil
, kudis akan cepat merebak. Tubuhnya akan ditumbuhi ruam merah berbintik-bintik.
Apabila digaru kulitnya akan reput terkoyak. Semakin disapu ubat gatal itu,
kudis dikulitnya akan cepat mengangkut nanah.
“Berapa lama sakit abang Saidon ni?”
Tanya saya.
“Dan dua tiga tahun…” beritahu Lijah.
“Tak cuba orang lain mengubatnya
selain dari Ngah Jamat?” Tanya saya
lagi.
Lijah terdiam. Serba salah dia mahu
menjawap soalan saya itu. Mungkin dia merasa Ngah Jamat akan tersinggung kerana
gagal mengubati suaminya.
“Baru
dua tiga kali berubat dengan Ngah Jamat…” akhirnya dia menjelaskan.
“Sebelum tu berubat dengan orang lain,” katanya menunduk menahan persaan sedih.
“Berubat ni ikut rasi…” ujar Ngah
Jamat perlahan. “Bukan kira dukun besar atau dukun kecil. Kalau rasi ubatnya,
orang tak dukun pun boleh mengubat,” katanya lagi.
Lijah tidak menyahut. Dia serba salah
juga mahu mengambil Ngah Jamat pada mulanya, kerana tidak dibenarkan oleh
Saidon. Dia suka Bomoh Mat Teda mengubatnya. Bomoh Mat Teda memang sudah
terbilang kehandalannya. Setelah Bomoh Mat Teda sendiri tidak sanggup
mengubatnya, barulah dia membenarkan Lijah mencari dukun lain.
Setelah baik di ubat oleh Ngah Jamat,
dia sendiri pula buat silap. Dia makan gulai daging di rumah orang kenduri,
pada halnya sudah dipantangkan supaya jangan menjamah daging. Sejak itu
penyakitnya datang semula. Sudah beberpa kali dicuba oleh Ngah Jamat tidak juga
mahu sembuh.
Saya bisikkan pada Ngah Jamat supaya mencuba
pada Ulung Bahar di Lancang.
“Itulah, Lancang tu jauh sangat…”
rungut Lijah bila Ngah Jamat mencadangkan supaya dijemput Ulung Bahar.
“Ini bukan soal jauh,” balas Ngah
Jamat. “Orang tu berubat sampai ke England pun tak Terasa jauhnya…” ujarnya mengingatkan
Lijah.
“Kalau mahu, biar saya jemput,” sahut
Mat Sitam pula memberi pengakuan.
“Eloklah tu, Sitam pun ada kereta,”
kata Ngah Jamat.
Sebelumnya sudah saya bisikkan pada
Ngah Jamat mengapa pula dipantangkan Saidon tidak boleh memakan daging,
sedangkan di dalam pengubatan Islam tidak ada pantang larangnya. Tetapi Ngah
Jamat memberitahu dokter yang memantangkan Saidon tidak boleh memakan daging
kerana kudisnya itu dipercayai kudis buta. Daging itu jenis makanan panas jadi
memudahkan lagi kudis buta itu merebak.
Akhirnya Lijah bersetuju supaya Ulung
Bahar dijemput dari Lancang kira-kira 20 batu dari situ. Saya dan Mat Sitam akan
menjemputnya kerana saya tahu rumah Ulung Bahar. Sebaik saja saya dan Mat Sitam
mahu beredar dari situ, tiba-tiba Saidon melompat. Dia menendang dinding rumah
sambil menumbuknya bertalu-talu.
Dia tidak bercakap sepatah pun. Dari
mukanya yang bengis saya tahu dia terlalu marah dengan keputusan isterinya Lijah
mahu menjemput Ulung Bahar. Kakinya terus menendang-nendang dinding sekuat hati.
No comments:
Post a Comment