Thursday, July 17, 2025

SIAPA GADIS MISTERI YANG MENUMPANG

 

Sumber : <<<MASTIKA>>>

November 5, 2021

Coretan Pengalaman : Mohd Saifullah, Pahang

SIAPA GADIS MISTERI YANG MENUMPANG

Siapa ‘gadis’ misteri yang menumpang sehingga ke Jerantut Feri itu?

BILA baca kisah-kisah penumpang misteri yang menumpangi kenderaan, aku juga pernah melalui kisah yang sama lama dahulu di kampung halaman aku di Pahang.

Kisah ini sudah lama, awal tahun 2000-an rasanya. Aku ingat lagi, malam itu aku hendak ke rumah abang aku di Cheka, Kuala Lipis.

Waktu ketika itu sudah hampir  pukul 12.00 malam, aku baru hendak bergerak dari rumah aku di Kuala Tembeling, Pahang. Jarak dari rumah aku untuk ke rumah abang aku tu lebih kurang 50 batu jauhnya.

Aku terpaksa bergerak malam tu jugak sebab esok pagi, aku kena pergi pekan Kuala Lipis untuk uruskan hal penting. Kalau esok pagi baru nak bertolak, alamatnya memang lambatlah urusan tu selesai nanti. Sebab tu aku buat keputusan bertolak malam tu jugak ke rumah abang aku.

Aku cuma sendirian. Anak dan isteri tak ikut sebab esok hari persekolahan. Jadi, hanya siaran radio di dalam kereta yang menjadi peneman aku sepanjang perjalanan.

Aku memandu dari rumah ke jalan utama yang perlu melalui beberapa buah kampung lain, termasuklah Felda Padang Piol. Sepanjang jalan itu, suasana sekeliling agak malap, walaupun ada lampu jalan yang kuasanya tidak seberapa. Di bahagian tertentu pula langsung tidak berlampu. Gelap!

Jarang kenderaan lalu lalang pada malam-malam buta begitu walaupun ia laluan utama untuk ke pekan Jerantut. Hanya sesekali sahaja kereta aku berselisih dengan kenderaan lain.

Jalan makin sunyi sampailah aku tiba di kawasan persimpangan di antara Kampung Paya Gajah Mati dan Felda Padang Piol. Di situ terdapat sebuah kawasan perkuburan lama. Ramai yang kata kawasan tu agak ‘keras’.

Apa yang aku dengar cerita, ramai yang pernah ‘diusik’ ketika lalu di kawasan perkuburan lama tersebut, terutamanya selepas pukul 12.00 malam. Antara kisah yang aku dengar, kenderaan yang lalu di situ sering kali ‘ditumpangi’ oleh kelibat gadis misteri berambut panjang.

Tia-tiba pulak aku rasa seram sejuk bila teringat kisah-kisah tu. Malas hendak fikir yang bukan-bukan, aku kuatkan bunyi radio untuk hilangkan rasa takut.

Sambil memandu tu, mulut aku pun ikut menyanyi dengan alunan lagu yang berkumandang. Sebenarnya, nak hilangkan rasa gemuruh je.

Namun, ketika aku tiba di persimpangan jalan utama Jerantut-Kuala Tahan, aku mula tak sedap hati. Sepintas lalu bila aku lihat cermin pandang belakang, ekor mata aku mengesan sesuatu yang aneh. Ada bayang-bayang berwarna putih di tempat duduk belakang.

Masa itu dada aku dah berdebar, tapi aku cuba bawa bertenang. Takut nanti aku panik tak dapat kawal pemanduan. Tapi aku yakin, ada sesuatu di tempat duduk belakang.

Mulanya, aku sangka kelibat itu hanyalah pantulan bayang daripada lampu jalan. Lagipun jalan tersebut agak gelap, mungkin ia pantulan daripada luar yang tampak berbalam-balam.

Apabila aku melalui kawasan yang berlampu, aku cuba lihat semula melalui cermin pandang belakang. Kali ini, gambarannya lebih jelas.

Sah! Memang sah ada ‘benda’ yang sedang menumpang kereta aku. Serta-merta meremang bulu roma aku.

Ikutkan hati, mahu sahaja aku terjun keluar dari kereta. Tapi, itu kerja gila. Lagipun, ini kereta aku. Benda tu yang datang menumpang. Takkan aku nak takut dengan ‘dia’?

Kali ni aku beranikan diri pandang cermin semula. Aku nak tengok apa benda yang menumpang kereta aku. Kelibat yang menumpang kereta  aku tu adalah seorang gadis. Wajahnya cantik.

Gadis itu berpakaian serba putih seperti persalinan pengantin zaman dulu. Rambutnya lurus dan hitam berkilat tersisir rapi ke bahu. Sebahagian kepalanya pula ditutup dengan selendang bersulam bunga, juga berwarna putih.

Dari mana gadis ni datang? Bila masa dia tumpang kereta aku?

Dalam aku bertanya sendirian dalam hati itu, aku pandang sekali cermin. Ah, sudah! Kali ini apa yang aku lihat berbeza dari tadi.

Sekelip mata gadis cantik itu berubah rupa. Rambutnya yang tadi tersisir rapi sudah bertukar kusut dan mengurai sehingga paras pinggang. Wajahnya yang ayu bertukar pusat lesi macam mayat. Pakaiannya yang tadi elok bertukar compang-camping. Keadaannya menyedihkan.

Tiba-tiba, seluruh ruang udara di dalam kereta aku bertukar busuk. Cepat-cepat aku buka tingkap kerana tak tahan dengan bau hanyir seperti darah. Baunya loya menusuk hidung.

Masa ni aku dah tak keruan. Darah berderau, nafas dah turun naik, tapi aku masih mampu kawal pemanduan. Aku tak tahu nak buat apa. Nak berhenti? Kalau berhenti, dengan siapa pulak aku nak minta tolong di tengah-tangah laluan yang kiri-kanannya hutan. Kalau teruskan perjalanan pula, sampai mana kelibat gadis menakutkan tu nak tumpang kereta aku?

Jarak untuk ke rumah abang aku masih jauh lagi, lebih kurang 45 minit nak sampai. Takkanlah ‘benda’ tu nak tumpang sampai ke sana?

Dalam rasa tak keruan tu, aku beranikan diri lagi lihat cermin pandang belakang. Kelibat gadis tu masih terpaku sambil menundukkan wajah.

Sambil tu, aku baca juga segala ayat-ayat suci yang terlintas dalam kepala walaupun tunggang langgang. Ahh… asalkan baca, sudahlah. Lebih baik daripada tak baca langsung, kan?

Tapi, ‘benda’ tu tak juga berganjak pergi. Yang peliknya, ‘benda’ tu tak pula mengusik aku. Tidaklah ‘dia’ bersuara mahupun mengilai. ‘Gadis’ itu hanya duduk sahaja di tempat duduk belakang membatukan diri.

Walaupun lutut aku dah menggigil takut, tapi kaki tetap menekan pedal minyak. Masa tu aku tekan semaksimum mungkin. Tapi, makin ditekan, kereta aku rasa semakin lambat. Kereta bergerak perlahan dan terasa berat, bagai membawa beban yang berat.

Masa tu aku terpandang ke arah batu penanda kilometer di tepi jalan – Jerantut Feri, 2 KM. Hanya dua kilometer lagi, tapi jarak itu aku rasa terlalu jauh nak sampai.

Kereta bergerak perlahan walau aku dah tekan habis pedal minyak. Masa tu aku berdoa, janganlah kereta terhenti di tengah jalan. Biarlah perlahan, asalkan boleh bergerak.

Akhirnya, ketika tiba di Jambatan Sultan Abdullah berhampiran Kampung Jerantut Feri, gadis yang ‘menumpang’ kereta aku tadi hilang daripada pandangan. Aku lihat dari ekor mata, gadis itu pergi tanpa macam tu je, ghaib menembusi pintu kereta tanpa dibuka.

Sempat aku toleh pandang ke arah luar. Aku nampak kelibat gadis serba putih itu sedang turun ke arah sungai Pahang.

Gadis itu hendak ke mana? Tapi yang menyeramkan aku ialah kakinya tidak menjejak tanah. Terawang-awang terbang.

Lepas saja ‘benda’ tu keluar, kereta aku yang tadi perlahan dan terasa berat terus lancar semula. Bau busuk pun hilang. Barulah hati aku terasa lega.

Sebelumnya, aku hanya dengar saja kisah perempuan yang tumpang kenderaan di perkuburan lama itu. Tak disangka aku pun terkena sekali. Mujurlah sepanjang ‘dia’ menumpang tu, aku masih mampu kawal pemanduan walaupun dihurung rasa takut. Bayangkan kalau orang yang panik dan gagal kawal kenderaan? Mungkin sebab itu sering berlaku kemalangan.

Sampai sekarang aku tertanya-tanya, siapa jelmaan gadis itu? Kenapa dia menumpang sehingga ke Jerantut Feri? Adakah rumahnya di situ?

No comments: