Feb 11, 2026

LAUNGAN AZAN SELAMATKAN MEREKA

 

Sumber: <<Nita Dahnin | MASTIKA>>  Disember 31,2025

LAUNGAN AZAN SELAMATKAN MEREKA

-Disorok ‘penghuni’ Pasir Klebang, pengantin ini bersyukur laungan azan selamatkan mereka-

Pantai Klebang di Melaka merupakan salah satu destinasi popular dikunjungi ramai orang. Namun, saya mempunyai memori pahit di sini. Setiap kali melalui kawasan ini, peristiwa yang menimpa saya pada tahun 2015 kembali menerjah kotak memori. Walaupun sudah lama berlalu, sukar untuk saya lupakan apatah lagi kejadian tersebut berlaku di hari bahagia saya.


Saya ingat lagi, tarikh 21 Febuari 2015, saya melangkah ke alam baru. Pada tarikh itulah status saya bertukar daripada bujang kepada isteri orang. Petang itui, selesai upacara persandingan di rumah saya di Simpang Ampat, Alor Gajah, jurugambar mengajak kami melakukan sesi fotografi luar pula.

Mulanya kami hanya mahu merakam gambar kenangan di sekitar pekan Alor Gajah sahaja. Malas hendak ke tempat yang jauh dari rumah. Tetapi apabila ke pekan Alor Gajah, tidak begitu banyak lokasi yang menarik. Jurugambar kemudian memberi cadangan dengan mengajak kami ke Pasir Klebang yang terletak kira-kira 40 minit dari Alor Gajah.

Setelah berbincang, akhirnya kami bersetuju. Lagipun, ia hanya sekali seumur hidup untuk merakam gambar detik-detik hari bahagia kami.

Dipendekkan cerita, selepas Asar, kami sampai di Pasir Klebang yang terletak berdekatan Bandar Hilir, Melaka. Kami ke sana dengan dua buah kereta. Kereta pengantin dan kereta yang membawa pengapit.

Sewaktu turun dari kereta, saya memang betul-betul teruja. Di Pasir Klebang, sudah jadi seperti pesta pengantin. Rupanya bukan kami sahaja yang datang ke situ. Ramai lagi pengantin-pengantin lain yang turut menjadikan suasana dan pemandangan cantik kawasan lapang dan timbunan pasir di sini sebagai latar belakang untuk memotret hari bahagia mereka.

Selepas bersiap-siap, sesi fotografi pun bermula. Pelbagai gaya dengan pemandangan pasir jurugambar rakamkan. Terlalu seronok merakam gambar, tanpa kami sedar hari semakin senja. Matahari kian mengilang.

Ketika itu, seorang lelaki bermotosikal yang barangkali penjaga di kawasan tersebut mengarahkan kami keluar cepat dari kawasan tersebut.

Akur dengan arahannya, kami buat keputusan untuk pulang. Lagipun tak lama lagi akan masuk waktu Maghrib. Namun, baru beberapa meter kereta bergerak, perkara yang tak diduga berlaku. Kereta yang membawa pengapit perempuan tersangkut di dalam pasir. Kereta tersebut terkandas tidak boleh bergerak.

Selepas berbincang, kami buat keputusan kereta yang tersangkut tadi dipandu pengapit lelaki. Suami saya dan pengapit perempuan yang lain menolak kereta. Mujurlah mudah sahaja. Kereta tersebut berjaya keluar dari lubang pasir.

Apabila berjaya keluar, kami terus arahkan pengapit lelaki dan jurugambar memandu kereta tersebut mencari jalan keluar manakala tiga orang pengapit perempuan naik bersama kereta saya dan suami. Mereka mengikut seperti disuruh, lalu meninggalkan kami.

Waktu itu keadaan semakin gelap. Matahari sudah hilang. Untuk mencari laluan keluar pun agak susah. Dalam keadaan gelap, suami memandu kereta tanpa arah.

Tak jauh mana pun, kereta kami pula tersangkut. Kali ini saya semakin cuak. Sudahlah kereta pengapit dan jurugambar sudah jauh meninggalkan kami, kini giliran kami pula tersekat dalam keadaan hari yang kian gelap.

Mujurlah ia tak lama. Apabila kami yang perempuan-perempuan ni turun menolak, kereta berjaya keluar dari lubang pasir. Sekali lagi suami meneruskan pemanduan. Tapi, pemanduannya tanpa arah. Kami memang tak tahu arah jalan disebabkan keadaan yang gelap. Beberapa minit memandu, sekali lagi tayar kereta tersangkut.

Apabila disuluh dengan lampu telefon bimbit, tayar kereta rupanya sudah separuh terbenam ke dalam pasir. Memang agak sukar hendak menolak kereta keluar dari situ.

Waktu itu, saya dan yang lain-lain makin cemas. Takut dengan suasana sekeliling yang gelap gelita. Bukan itu sahaja, kami juga risau dengan binatang berbisa yang akan keluar pada waktu malam.

PONN! PONN! PONNNN! Suami kemudiannya menekan hon kereta bertalu-talu. Sambil itu, dia memainkan lampu kereta. Sekejap tinggi, sekejap rendah dengan harapan ada  orang yang perasan kami di situ. Beberapa lama mencuba, tiada sebarang respons.

“Macam mana ni?” tanya saya pada suami.

Dia juga buntu, tidak tahu apa yang patut dilakukan. Hendak berjalan keluar, memang tak mungkin. Sebabnya, kami nampak cahaya lampu dari arah jalan besar sangat jauh. Mungkin lebih kurang satu kilometer jaraknya.

Saya dan rakan-rakan lain mula cemas sebab bukan ini yang kami rancang. Dalam keadaan cemas, telefon saya berdering. Ia panggilan daripada jurugambar yang bertanyakan lokasi kami. Saya tak dapat menjawabnya kerana memang tidak tahu kedudukan sebenar. Sekeliling kami hanya longgokan pasir yang meninggi.

Sedang cemas memikirkan apa yang patut dilakukan, tiba-tiba kelihatan cahaya dari sebuah motosikal menghala ke arah kami. Kali ini cepat-cepat kami melambai menggunakan cahaya dari lampu telefon sambil menjerit meminta tolong.

Waktu itu saya sedikit lega. Saya pasti kami akan diselamatkan. Tapi telahan saya meleset. Apabila sudah dekat, tidak semena-mena penunggang motosikal tadi berpatah balik seolah-olah langsung tak perasan kehadiran kami di situ. Penunggang itu berlalu begitu sahaja.

Kami semakin pelik. Mustahil penunggang tersebut tak mendengar jeritan kami. Mustahil juga dia tak nampak cahaya telefon atau cahaya lampu kereta kerana jaraknya dengan kami dekat sahaja.

Dalam keadaan pelik dan semakin cemas itu, tiba-tiba kami dikejutkan pula dengan kehadiran suatu cahaya putih kecil. Semakin lama, cahaya itu merapati kami. Tidak lama kemudian, baru nampak jelas ia seorang lelaki dengan lampu suluh di tangannya. Entah dari mana lelaki itu datang, kami tak tahu.

Tapi yang peliknya, lelaki yang bercakap pelat Bangladesah itu datang bukan bertanya masalah kami, sebaliknya apabila sampai dia terus melihat tayar kereta yang terbenam.

Bila kami tanya, dia hanya menjawab sepatah demi sepatah. Itu pun ada sesetengah soalan yang langsung tak dijawabnya. Lelaki itu cuma memberitahu yang kami sebenarnya sudah tersalah jalan. Kami sepatutnya perlu buat pusingan bulatan untuk jalan keluar.

Walaupun sudah diberi tunjuk arah, tiada apa dapat kami lakukan kerana kereta kami sudah tersangkut di dalam pasir. Dalam keadaan itu, suami saya terus cuba menghubungi rakan-rakannya meminta bantuan. Tak lama kemudian, jurugambar berjaya menghubungi kami dan memaklumkan ada orang yang akan membantu kami. Dia meminta kami terus menunggu di situ.

Pun begitu, orang yang datang mencari kami mengambil masa yang terlalu lama. Puas kami bagi arah tuju, mereka masih gagal mengesan kedudukan kami.

Setelah beberapa lama menunggu, kami terdengar laungan azan dari masjid berdekatan yang menandakan sudah masuk waktu Isyak. Dan semasa azan itu berkumandang, barulah pihak yang mencari berjaya mengesan kedudukan kami apabila sebuah pacuan empat roda yang mempunyai lambang bulan sabit berhenti berdekatan kami. Waktu itu, saya menarik nafas lega. Kalau tidak ditemui, memang kami terpaksa bermalam di kawasan itu sehingga keesokan hari.

You all buat apa dekat sini?” soal seorang lelaki cina sebaik dia turun dari kereta.

“Kami ambil gambar di sini. Lepas tu sesat tak jumpa jalan keluar,” terang suami saya.

“Kenapa tak azan?” tanya lelaki yang memperkenalkan dirinya sebagai Mr. Fred dan fasih berbahasa Melayu.

Suami saya hanya diam. Mungkin dia pun tak terfikir untuk berbuat demikian kerana terlalu cemas. Bila masing-masing dah panik, kami terlupa semua benda. Kami hanya fikir bagaimana cari bantuan untuk keluar dari kawasan itu.

Mr. Fred kemudiannya membantu menarik kereta kami keluar dari lubang dengan kenderaannya sebelum kami semua dibawa ke jalan besar.

Namun semasa kereta bergerak keluar, sekali lagi kami pelik. Rupa-rupanya kedudukan kereta kami yang tersangkut dengan jalan besar dekat saja. Kurang lima minit, kami sudah sampai di jalan besar yang berlampu di mana kami nampak sebelum ini. Anehnya, semasa kereta kami terbenam, jarak lampu jalan yang kami nampak itu terlalu jauh. Macam mana boleh terjadi begitu?

Apabila sudah selamat, kami semua turun dan berkumpul di tepi jalan. Sedang berbual di situ, datang seorang lelaki bermotosikal. Waktu itu baru kami tahu, rupanya penunggang yang kami nampak sebelum ini ialah lelaki tersebut. Dia juga sebenarnya sedang mencari kami.

“Tadi abang dah lalu dekat kami. Kami siap jerit panggil abang. Tapi abang patah balik. Tak nampak kami ke?” tanya saya.

Lelaki itu menggeleng kepala.

“Memang ada lalu situ. Tapi aku tak nampak pun korang,” jawabnya serius.

Jawapannya itu membuatkan dada saya semakin sesak. Mustahil lelaki itu tak nampak cahaya lampu kereta atau lampu dari telefon bimbit kami sedangkan jaraknya dengan kami hanya beberapa puluh meter sahaja. Lagipun ia kawasan lapang. Tiada pokok yang menghalang pandangannya.

Apa sebenarnya yang berlaku?

Semasa berbual di situ, kami dimaklumkan yang kemungkinan kami sebenarnya telah ‘disorok’. Mungkin makhluk yang menghuni kawasan itu menutup mata kami agar tidak temui jalan keluar. Bukan itu sahaja, orang yang mencari pun tidak nampak kelibat kami. Hanya apabila azan berkumandang, barulah kami ‘dilepaskan’. Ketika itu saya memang bersyukur sangat dengan laungan azan itu. Jika tidak, entah berapa lama kami akan terus berada di situ.

Kata orang-orang yang mencari kami, kejadian begini bukan pertama kali berlaku. Sebelum ini pun, sudah ada beberapa orang lain mengalami nasib sama.

Lebih kurang pukul 11.00 malam, barulah kami selamat sampai di rumah. Saya pula terus masuk ke bilik mahu bersihkan badan yang sudah berpeluh, melekit dengan pasir selain badan juga terasa terlalu penat.

Sedang menghadap cermin untuk membuka tudung, telinga saya menangkap bunyi sesuatu. Jelas di telinga kedengaran suara seseorang sedang menangis dengan nada begitu sayu.

Saya terdiam. Apabila suara tangisan tadi berhenti, saya terus membuka pintu bilik dan menjengah ke ruang tamu tempat saudara mara berkumpul.

“Siapa menangis tadi?” tanya saya. Semua yang ada di ruang tamu berpaling kepada saya dengan wajah hairan.

“Mana ada orang menangis,” jawab salah seorang saudara saya.

Saya tergamam. Habis, suara tangisan siapa yang saya dengar tadi? Saya tidak tipu. Memang jelas telinga saya menangkap bunyi tangisan tersebut.

Keanehan yang berlaku tidak habis di situ. Esoknya, saya menerima cerita pelik lagi dari MR. Fred.

Ujar Mr. Fred yang menghubungi suami saya, dia pergi semula ke tempat di mana kereta kami tersangkut kerana tayar terbenam dalam pasir. Tapi apa yang disampaikan Mr. Fred membuatkan kami suami isteri semakin pelik.

Beritahu Mr. Fred, lokasi di mana kami terkandas itu tiada pasir. Kawasan itu hanya tanah biasa. Mendengar ceritanya, kami terkedu. Sedangkan pada malam tersebut, tayar kami memang terbenam dalam pasir dan Mr. Fred sendiri saksikan kejadian tersebut.

Bagaimana benda ini boleh berlaku? Sampai ke hari ini kami tiada jawapannya.

*Seperti yang diceritakan oleh Natasyah Nabila kepada Mastika. Menurut Nastsyah, kejadian aneh itu sehingga kini menimbulkan persoalan tanpa jawapan kepada dirinya, suami dan rakan-rakan yang mengalami kejadian tersebut.

Sumber : Nita Dahnin | Mastika

No comments: