Sep 21, 2025

GADIS MERATAP DARI LIANG LAHAD

 

Sumber : =>>Mastika<==  Mei 22,2021

GADIS MERATAP DARI LIANG LAHAD


PUKUL 11.30 malam itu, sebuah kawasan perkuburan lama di pinggir bandar Melaka terang-benderang disuluh empat lampu limpah berkuasa tinggi. Kelihatan seorang pengarah sedang memerhatikan sebuah skrin TV kecil, dan dua orang pelakon beraksi di antara batas-batas kubur lama itu.

Cut!!! Okay… time for break! Satu jam lagi kita sambung balik,” jerit pengarah sambil berjalan menuju ke khemah rehat kira-kira 20 meter dari kawasan perkuburan tersebut.


Para pelakon serta krew lain meninggalkan set penggambaran lalu menuju ke khemah. Seorang lagi krew yang digelar ‘Adik’ bergegas ke arah lampu limpah yang diletakkan di empat penjuru tanah perkuburan. Dua lampu ditutup, kawasan perkuburan yang tadinya terang-benderang, mula suram.

Adik terus berjalan menuju ke arah lampu limpah ketiga yang terletak agak jauh di hujung kubur. Ketika melintas batas-batas kubur, tiba-tiba bulu romanya berdiri.

Dia menoleh ke belakang, terasa bagai ada sesuatu yang mengekorinya. Tiada. Tiada sesiapa di belakang pemuda itu. Para pelakon, krew dan semua yang terlibat dengan penggambaran semuanya berada di dalam khemah.

Menyedari hanya dirinya yang berseorangan di kawasan perkuburan itu, Adik segera mempercepatkan langkahnya. Lampu limpah ketiga yang hendak dipadam kini kira-kira 15 meter di hadapannya.

Tiba-tiba…

“Isskkkkk… issskkkk…”

Langkah Adik terhenti. Dia memandang sekeliling perkuburan itu dan memasang telinga. Suasana senyap sunyi. Suara tangisan yang didengarnya sebentar tadi hilang daripada pendengaran. Lenyap serta-merta.

“Isy… betul ke ni, ataupun perasaan sahaja,” katanya perlahan.

Adik terus berdiri di situ, namun tiada sebarang suara yang didengarnya. Memikirkan mungkin tadi dia tersilap dengar, pemuda itu meneruskan langkah. Dan selepas menutup lampu limpah tersebut…!!

“Huaaaaaa… huhuuuhuu… huhuhuuuu…”

Langkah Adik terhenti serta-merta. Memang sah, itu suara perempuan menangis teresak-esak! Pemuda itu membaca ayat-ayat Quran yang diingatinya, namun semua tunggang-langgang.

Suara tangisan itu bukan seperti yang mula-mula didengarnya. Kali pertama dia mendengar suara itu, tidak kuat, antara dengar dengan tidak sahaja. Tetapi kali ini esakan itu jelas di gegendang telinganya. Perempuan itu meratap-ratap seperti dalam kesedihan yang amat sangat.

Lutut Adik mula terasa lembik. Jantungnya rasa seperti mahu pecah apabila suara tersebut terus meratap dan mengongoi. Bunyinya begitu sayu seolah-olah dari dalam liang lahad.

“Whuaaaaaa… huuuu… huuuu… huuuuuu…”

Tangisan itu begitu dekat dengannya, tapi dari mana? Setelah diamati, Adik  terperanjat kerana rupa-rupanya suara itu keluar dari salah satu kubur yang jaraknya hanya lima langkah dari tempatnya berdiri. Kemudian, sedu-sedan itu bersahut-sahut pula dari kubur ke kubur yang berada di sekeliling.

Suara menangis itu makin lama makin kuat, meratap dan merintih bersahut-sahutan dari kubur ke kubur. Tanpa berlengah, Adik berlari meningalkan tempat itu. Habis kubur-kubur lama dilangkahnya. Entah berapa batang kayu nisan yang tercabut dilanggar, Adik sudah tidak peduli.

 Sampai di khemah, Adik memberitahu kawan-kawannya apa yang berlaku. Tapi aneh, seorang pun tidak mendengarnya. Malah ada yang mentertawakan pemuda itu.

“Itu sahajalah pengalamannya, bang. Kejadian itu berlaku sekitar tahun 2006, tapi sampai sekarang masih terasa seramnya. Kalau abang dengar suara tu, memang abang pun mesti cabut punya,” kata Adik atau nama sebenarnya Mohd. Zulhelmi sambil ketawa.

Zulhelmi ceritakan kisah ini kepada Mastika ketika dia dan beberapa orang krew sebuah syarikat produksi drama sedang membuat penggambaran di sebuah lokasi di Taman Melawati, Kuala Lumpur.

No comments: