Sumber : <<<Lubukpuaka>>> Disember 13, 2009
Pasangan suami isteri tergamam lihat
makhluk mengilai depan kereta di Padang Serai
AZIMAH dan Zaki adalah sepasang suami isteri yang mempunyai seorang anak
perempuan berusia lima tahun. Mereka menetap di sebuah taman perumahan di
Padang Serai di utara tanah air. Memandangkan suaminya bekerja mengikut syif,
Azimah dan anak perempuan mereka menumpang di rumah ibu mentuanya yang terletak
agak jauh daripada kediaman mereka setiap kali Zaki terpaksa bekerja syif
malam.
Untuk pulang ke rumah, mereka terpaksa menempuhi perjalanan melalui kebun kelapa sawit yang agak luas. Sudah pasti, keadaan sememangnya menyeramkan terutama pada waktu malam ketika kenderaan amat kurang dan lampu jalan yang cuma samar-samar. Kebiasaan melalui kawasan sebegitu pada waktu malam membuatkan Azimah dan Zaki tidak berasa takut dan belum pernah berdepan sebarang masalah, termasuk gangguan makhluk halus biarpun diingatkan rakan-rakan yang pernah menjadi mangsa gangguan berkenaan.
Namun, kekebalan pasangan ini terlerai juga apabila pada satu malam, ketenangan
meredah kepekatan malam itu mengundang episod mencemaskan buat mereka sehingga
terpaksa mengambil cuti sakit akibat demam.
Malam itu, seperti biasa, Zaki menjemput anak dan isterinya selepas tamat syif.
Perjalanan biasa menjadi sebaliknya apabila anak mereka yang tidur di tempat
duduk belakang, kelihatan agak gelisah.
“Kenapa dengan Adila ni? Selalunya tak ada masalah. Hairan juga...,” kata
Azimah dalam hati yang agak hairan dengan Adila yang merengek.
Belum pun sempat memusing ke
belakang, tiba-tiba Zaki berkata:
“Awak jangan pandang belakang. Biarkan saja Adila,” kata Zaki.
Anehnya, semakin dia ingin menoleh ke belakang, semakin tegas Zaki melarangnya.
Lumrah manusia, lagi dilarang lagi ketara rasa ingin tahu, Azimah lantas
berpaling ke belakang kerana enggan meneruskan pertengkaran selain memujuk
Adila tanpa mempedulikan apakah sebenarnya di sebalik larangan Zaki itu.
Hakikatnya, tanpa disedari Azimah, Zaki sebenarnya sudah ternampak kelibat
makhluk lain di bonet belakang, menerusi cermin pandang belakang. Disebabkan
tidak mahu Azimah ketakutan, Zaki melarang isterinya menoleh. Ibarat skrip
filem, sebaik Azimah menoleh, makhluk berkenaan hilang dan menjelma betul-betul
di depan Zaki yang berusaha memandu kereta dalam keadaan terketar-ketar.
Apalagi, terkumat-kamit mulut Zaki
membawa ayat Kursi sambil tangannya terus mengemudi stereng dan kaki memijak
pedal minyak sambil cuba bertahan sedaya mampu. Zaki sedar, jika dia panik, ia
hanya mengundang nahas buat mereka. Anehnya, kenderaan itu semakin perlahan.
Seolah-olah ingin mempermainkan mereka suami isteri, makhluk berkenaan sekali
lagi menghilang dan muncul di bonet belakang sebaik Azimah berpaling semula ke
depan.
Azimah yang tidak tahu hujung pangkal, pula merungut kerana kereta mereka
seolah-olah terlalu berat untuk bergerak walaupun jelas Zaki menekan minyak.
Pada masa sama, dia berasakan kelainan yang ketara pada malam itu. Kesunyiannya
berbeza daripada malam sebelumnya dan sesekali Azimah berasa seram sejuk.
Namun perasaan itu dipendamkan kerana tidak ingin mengganggu tumpuan Zaki yang
sedang memandu walaupun menyedari tingkah laku suaminya agak berlainan pada
malam itu.
Sementara itu, bagi menghilangkan rasa takut dan memulihkan semangat, Zaki
meminta Azimah mencapai cakera padat bacaan Yaasin yang sememangnya berada di
ruang simpanan barangan. Azimah yang semakin hairan dengan sikap Zaki cuba
bertanya tetapi akhirnya kembali diam selepas dilihat Zaki langsung tidak
mengendahkannya dan sebaliknya semakin kerap melihat cermin pandang belakang.
Zaki memberanikan diri membuka sedikit cermin kereta dengan tujuan alunan ayat
suci itu dapat berkumandang sehingga ke luar kereta dan menghindari makhluk
halus itu daripada terus mengganggu perjalanan mereka sekeluarga. Harapannya
tersasar kerana makhluk berkenaan masih melayang-layang terbang mengekori
kenderaan mereka.
Azimah yang masih tidak menyedari apa yang berlaku, mula cuak apabila merasai
sesuatu seperti rambut mengenai mukanya daripada cermin tingkap yang dibuka
sedikit. Cuma dia sedikit hairan kerana tahu rambut anak perempuannya tidak
sepanjang itu sehingga boleh mengenai mukanya.
Dalam Azimah melayan rasa peliknya tiba-tiba Zaki menekan brek mengejut dan
jelas pada pengetahuan mereka berdua, Zaki terlanggar sesuatu. Azimah yang
panik menggesa Zaki keluar melihat apa yang dilanggarnya tetapi Zaki berkeras
enggan berbuat demikian dan mengatakan dia sebenarnya tidak melanggar apa-apa.
Pertengkaran mereka terhenti sendiri apabila tiba-tiba satu lembaga mengerikan
dengan rambut panjang mengerbang, muncul dari depan kereta dan terus melayang
sambil mengilai.
Azimah yang terkejut bercampur takut terus menjerit sebaik makhluk berkenaan
menunjukkan dirinya yang sebenar sedangkan Zaki berusaha menenangkan diri.
Ayat-ayat suci al-Quran yang menjadi hafalan sejak kecil terus dibaca walaupun
ada ketika agak lintang pukang bacaannya.
Agak lama makhluk itu mengganggu mereka sebelum terbang menghilangkan diri ke
dalam kebun kelapa sawit di tengah kepekatan malam.
Menceritakan kisah seram itu, Azimah berkata dia nampak makhluk itu cukup
menakutkan sebaliknya Zaki pula memberitahu makhluk itu kelihatan cantik.
“Saya pun hairan sebab anehnya, saya nampak pontianak itu dengan wajah yang
menakutkan, berambut panjang mengerbang. Tetapi suami sebaliknya nampak wanita
cantik,” kata Azimah.
Apa yang pasti, sejak kejadian itu, andai Zaki bekerja syif malam, mereka
sekeluarga akan tidur di rumah ibunya kerana tidak berani lagi melalui kawasan
sama pada waktu malam dan ‘ditemani’ makhluk halus.
Nota: Sumber asal Berita Harian (link asal dah hilang)
No comments:
Post a Comment