Sep 17, 2025

MENU 'SIMPLE' RAMAI SANGGUP BERATUR LAMA

 

Sumber: <<<MISTIK/mStar>>>  Ogos 7, 2025


MENU 'SIMPLE' RAMAI SANGGUP BERATUR LAMA

Menu 'simple', ramai sanggup beratur lama! Pelanggan dakwa nampak makhluk kecil lidah panjang, bertenggek atas makanan


SEBUAH kedai makan sederhana yang baru dibuka di sebuah pekan kecil di Selangor pernah mencetuskan fenomena luar biasa pada awal awal tahun 2000. 

Menu yang ditawarkan cukup ringkas iaitu nasi putih, ayam goreng, sambal tomato, hirisan timun, dan kuah sup panas. 

Namun, pelanggan sanggup beratur panjang hingga tepi jalan dan berdiri di bawah terik matahari, seolah-olah mahu membeli tiket konsert. 


Ada yang percaya, harga murah ketika itu menjadi tarikan utama.

“Saya dan rakan sekerja hanya memerhati dari jauh. Pernah cuba turun waktu rehat tapi bila lihat barisan, terus patah balik,” kata seorang penjawat awam yang berkongsi pengalaman.

Namun, segalanya berubah pada suatu hari Jumaat apabila seorang rakan pejabatnya menawarkan untuk membelikan hidangan itu di kedai tersebut buat mereka semua.

“Lepas suapan pertama… saya macam, Eh? Ini ja? Ayamnya biasa. Sambal tomato pun sederhana. Tapi kuah sup dia ya, memang wangi luar biasa," katanya.

Bagaimanapun, menurutnya, sekali cuba sudah memadai dan dia tidak membeli lagi hidangan tersebut selepas itu. 

Beberapa tahun kemudian, seorang rakan sekerja baru berkongsi sesuatu yang mengejutkan diceritakan oleh pakciknya.

"Selepas solat Jumaat, pakcik singgah makan di kedai berkenaan. Sambil menunggu makanan, dia membuka aplikasi Al-Quran di telefonnya. 

"Ketika bacaan ayat suci dibacakan, dia terlihat sesuatu yang tidak pernah dilihat manusia biasa.

"Di atas kaunter makanan, jelas kelihatan satu susuk makhluk kecil setinggi budak dua tahun, berkepala botak, berkulit kehijauan, lidahnya panjang menjilat setiap lauk atas dulang," kata rakannya itu.

Makhluk itu melompat-lompat di atas talam makanan, menjilat sambal, ayam goreng, dan nasi panas yang baru dimasak.

Tiada pelanggan lain yang nampak selain pakcik kepada rakannya itu.

Tanpa berlengah, pakciknya membatalkan pesanan, membayar minuman yang sempat dihirup, dan terus beredar. 

Sejak kejadian itu, dia tidak pernah kembali ke kedai itu, malah melarang ahli keluarga lain berkunjung ke sana.

Kini, meskipun kedai itu masih beroperasi dan jualannya dikatakan masih laris seperti dulu, sesetengah orang yang mengetahui kisah sebenar tidak lagi menjamahnya.

No comments: