Nov 19, 2025

BENDA PELIK JANGAN DITEGUR

 

Sumber : <Mastika>  Jun 24,2025

BENDA PELIK JANGAN DITEGUR

-Kan aku dah cakap, benda pelik jangan ditegur. Dah ‘dia’ ikut sampai ke rumah!-

Malam itu, saya bersama seorang kawan bernama Lan seperti biasa menunggu pekerja kilang pulang daripada kerja. Itu memang tugas saya sebagai pemandu van kilang. Biasanya saya sendirian, tetapi malam itu saya ditemani Lan. Tugas memandu saya serahkan kepada Lan. Saya duduk di sebelah.


Lebih kurang jam 12.00 malam, semua pekerja kilang mula keluar selepas tamat waktu kerja. Mereka yang menaiki van saya tinggal di tempat yang berasingan. Saya harus menghantar mereka pulang seorang demi seorang.

Lebih kurang sejam kemudian, hanya tinggal seorang saja lagi pekerja terakhir yang perlu dihantar pulang. Sebelum turun dari van, pekerja yang merupakan seorang gadis muda itu mengajak kami minum.

“Marilah Abang Mus kita minum dulu. Lagi pun saya lapar. Boleh teman saya makan,” kata gadis berusia 20-an itu.

Saya dan Lan mengangguk. Lagipun semua kerja telah kami selesaikan. Itulah rutin saya setiap hari. Kalau tidak dengan gadis itu, memang selesai tugas saya akan minum-minum juga dengan kawan-kawan.

Kalau sudah bersembang, memang susah hendak berhenti. Sedar tidak sedar, jam menunjukkan pukul 2.00 pagi.

“Eh, dah lewat ni dik. Abang balik dululah,” kata saya mahu bergerak pulang.

Saya dan Lan segera bergerak balik ke rumah. Van kami akan melintasi Taman Renggam Jaya. Waktu itu, kawasan taman itu masih dalam pembinaan. Fasa belakang sudah siap, tetapi fasa di depan masih lagi dalam proses binaan. Memang kawasan itu agak sunyi dan gelap. Lagi pun sudah dinihari, tiada kereta yang melalui kawasan itu.

Selepas melewati kawasan tersebut, entah mengapa hati saya berasa tidak sedap. Tidak semena-mena sahaja saya terasa begitu. Tapi, saya diamkan sahaja. Saya tidak beritahu Lan.  

Entah mengapa, tiba-tiba saya rasa mahu menoleh ke arah belakang. Sebaik saya berpaling, seakan mahu gugur jantung saya bila melihat satu lembaga yang berbungkus seperti mayat elok terletak di tempat duduk belakang van.

Serta-merta saya berpaling ke depan. Mulut saya terkunci. Dada saya berdebar-debar. Lutut dan sendi terasa lemah.

“Kenapa dengan kau ni Mus?” soal Lan yang hairan melihat reaksi saya.

Saya hanya mendiamkan diri. Seluruh badan saya menjadi kaku. Tiba di satu kawasan berbukit, saya nampak Lan beberapa kali menukar gear van. Enjin van pula menderam kuat. Pedal minyak sudah ditekan habis.

“Apahal ni Mus, van rosak ke?” tanya Lan.

Saya tetap diam. Sepatah pun saya tidak jawab kata-kata Lan. Mana Lan tak bising, bukit bukannya tinggi. Hanya bukit biasa, tetapi van terasa sangat berat. Enjin menderum kuat, tetapi jalannya seperti siput. Ia seolah-olah mendaki bukit yang sangat curam.

“Kau kenapa diam ni Mus?” soal Lan lagi.

Tidak lama kemudian, van kembali elok selepas Lan beberapa kali menukar gear. Bayangkan Lan terpaksa menggunakan gear dua. Memang tak masuk akal. Tidak lama selepas itu, terbit satu bau.

“Uish! Mana datang bau wangi ni?” tanya Lan.

Saya terasa hendak memarahi Lan ketika itu. Orang tua selalu pesan, kalau malam jika terbau pelik-pelik jangan ditegur. Tapi dia selamba bertanya begitu.

Saya terus membatukan diri. Sesekali saya nampak kelibat ‘gula-gula’ itu bergerak ke kiri dan kanan dari cermin tengah. Kalau di tempat saya, pocong dipanggil ‘gula-gula’.

Tidak sampai sepuluh minit kemudian, terbit pula satu bau yang sungguh busuk. Bau itu seperti bangkai yang mencucuk hidung. Saya lantas memekap hidung.

“Phui! Mana pula datang bau bangkai ni?” tegur Lan lagi.

Lan memang tak boleh jaga mulut. Saya dalam hati berharap supaya kami cepat sampai ke rumah. Tidak tahan dengan perangai Lan yang suka menegur. Biasanya saya bergerak sendirian tiada pula jadi benda-benda aneh. Tapi malam itu boleh pula terjadi perkara begini dengan Lan.

Sebaik van masuk ke perkarangan rumah, saya segera turun. Van di parkir di depan rumah Lan. Rumah saya pula berada di belakang rumah Lan.

“Kau apahal Mus? Diam jer dari tadi,” soal Lan selepas turun dari van.

“Tak ada apa-apa. Aku balik dulu,” jawab saya.

Sambil berlalu, saya intai ke dalam van. Pocong itu sudah tiada. Lega hati saya.

Tapi, sebaik Lan memasuki rumahnya, saya terdengar anak saudara Lan yang masih kecil tiba-tiba sahaja menangis. Saya pula cepat-cepat melangkah kaki pulang ke rumah.

Sewaktu berjalan itu, saya perasan seperti ada sesuatu yang mengekori langkah saya. Saya mempercepatkan langkah masuk ke dalam rumah. Saya capai kain tuala dan mandi. Selesai mandi, saya mengambil wuduk.

Ingatkan boleh tenang, tapi kelibat pocong dalam van tadi terus menghantui saya. Tidak tahu lah sebab takut atau terbayang-bayang, saya seakan merasakan seperti ia berada dekat dengan saya.

Hati saya masih tidak tenang. Sebab itu saya bangun dan terus melaungkan azan. Ibu saya terkejut mendengarnya. Mana dia tak rasa pelik bila saya laungkan azan pada waktu dinihari begitu. Subuh pun lama lagi.

Walaupun ibu bertanya, saya hanya diam sahaja. Malam itu, saya tidak dapat pejamkan mata. Saya menonton DVD sehingga ke pagi.

Keesokan harinya, pagi-pagi lagi saya ke rumah Lan. Waktu itu Lan baru bangun daripada tidur. Sebaik saya masuk ke rumahnya, saya terus jerkah Lan, “Kau gila ke? Semalam kau pergi tegur buat apa? Ada pocong dalam van semalam. Kan aku dah cakap, kalau bau pelik-pelik jangan ditegur. Dah dia ikut sampai ke rumah!”

“Oh, patutlah anak saudara aku menangis macam kena sawan semalam,” jawab Lan.

Kata Lan lagi, ibunya juga perasan semalam. Selepas masuk ke rumah, ibunya menyuruh dia mandi dahulu sebelum tidur. Sebelum ni, tak pernah pula dia menyuruh seperti sedemikian.

Selepas hari itu, Lan langsung tidak mahu lagi mengikut saya mengambil pekerja kilang pada waktu malam. Sejak kejadian itu juga, setiap kali memandu sendirian pada waktu malam, saya langsung tidak akan menoleh lagi ke arah belakang.

NOTA : Pengalaman ini dilalui oleh Mohd Nizam yang lebih mesra dengan panggilan Mus oleh kawan-kawannya. Kejadian ini berlaku tahun 2011 di Simpang Renggam, Johor Bahru.

Sumber : Mastika - Jun 24,2025

No comments: