Dec 17, 2025

JANGAN TAKUT DAN PANIK JIKA DISAKAT 'PENUNGGU'

 


Sumber : <<<Nita Dahnim>>>  September 12, 2024

JANGAN TAKUT DAN PANIK JIKA DISAKAT 'PENUNGGU'

-Wahai para pemandu, jangan takut dan panik jika disakat ‘penunggu’ Bukit Tujuh-


BUKIT TUJUH! Tanyalah mana-mana pemandu, tidak kiralah pemandu van jenazah seperti saya, pemandu treler, bas ekspres, teksi atau pengguna laluan ini, semua tahu tentang Bukit Tujuh.

Apa ada dengan Bukit Tujuh? Nanti dulu. Biar saya ceritakan pengalaman saya. Memang banyak saya dengar rakan-rakan bercerita tentang lokasi ini yang terletak di Merapoh, sempadan Kuala Lipis dan Gua Musang.


Apa yang tak kena dengan Bukit Tujuh? Hahaha. Banyak cerita hendak saya kongsi bersama pembaca sekalian. Bagi pemandu yang biasa menggunakan laluan ini, kelibat ‘penunggu Bukit Tujuh’ sentiasa bermain-main di ruang mata.

Saya berani bertaruh, bukan seorang dua mengaku pernah bertemu pelbagai gangguan, jelmaan dan usikan-usikan nakal di kawasan ini terutamanya pada waktu tengah malam antara 1.00 pagi hingga ke dinihari. Inilah kisah yang saya hendak ceritakan.

Memang bagi yang belum kena, mereka tentu tidak akan percaya cerita karut begini. Dulu saya antara orang yang tidak pernah percaya kewujudan penunggu ini. Bagi saya semua ini karut belaka. Sepanjang hidup saya tidak pernah bertemu makhluk yang digelar ‘hantu’, hinggalah pada suatu hari dalam awal tahun 2000, ketika saya bekerja sebagai pemandu van jenazah dengan Jabatan Agama Islam Negeri Selangor.

Hari itu saya diarahkan membawa jenazah ke Kelantan. Perjalanan kami semasa melalui Lebuh raya Karak ke Bentong, Raub serta Kuala Lipis berjalan lancar. Tetapi, semasa mendaki bukit melalui Bukit Tujuh di Merapoh, sempadan Kuala Lipis-Gua Musang, hati berasa tidak sedap.

Takut, cemas, seram bercampur. Terasa ada sesuatu yang tidak kena malam itu. Kebetulan semasa kami melalui kawasan berbukit ini, pemandangan sedikit terganggu akibat berkabus tebal.

Malam gelap pekat. Cahaya lampu van jenazah kami seakan tidak berdaya menembusi kabus tebal semasa mendaki bukit. Memang menyeramkan apabila teringat lokasi ini terkenal di kalangan pemandu lori berat diganggu wanita cantik yang secara tiba-tiba melintasi jalan.

Kemunculannya secara tiba-tiba itu kerap menyebabkan kemalangan maut di kawasan ini. Ada cerita yang saya dengar dari rakan-rakan mengatakan, dia pernah melihat kelibat makhluk berlari secara mengundur. Kita berlari ke arah depan, makhluk ini pula ke arah belakang. Akibat ketakutan, kenderaannya terbabas melanggar tebing dan berlakulah kemalangan tanpa diduga.

Lamunan saya itu terbantut apabila kawan saya, Ebit, yang sedang memandu, mencuit bahu saya sambil berkata: “Ada tetamulah!”

“Jangan melawaklah,” balas saya.

Ebit diam, sepatah tidak dijawab balasan saya tadi. Saya tidak pasti sama ada Ebit sengaja membuat joke malam-malam begini atau sengaja hendak mempermain-mainkan saya.

Saya pandang Ebit tetapi dia terus mendiamkan diri. Saya risau juga kalau-kalau ‘tetamu’ yang dikatakannya itu benar-benar muncul dan menyakat kami semasa sedang melalui jalan berbukit berkenaan.

Ebit terus memandu tanpa berkata sepatah pun. Kami diam membisu. Saya lihat Ebit pasang CD mengaji al-Quran. Berkumandanglah ayat-ayat suci al-Quran dalam van kami. Selepas mendengar ayat-ayat al-Quran, rasa takut masih ada tetapi hati saya tenang sedikit. Ebit dengan wajah serius terus memandu.

Saya tidak ada pengalaman menakutkan apa lagi bertembung kejadian menyeramkan seperti diperkatakan sahabat-sahabat saya semasa melalui jalan ini. Namun malam itu terasak agak berlainan benar. Saya merasa jalan ini begitu menyeramkan.

Entah mengapa bulu roma saya tegak berdiri. Tambahan pula suasana yang gelap gelita dan tiada sebarang kenderaan yang lalu lalang. Semua itu menjadikan kawasan ini benar-benar menakutkan.

Selepas melepasi kawasan berbukit dan berkabus itu, barulah Ebit memberitahu saya tadi dia tercium bau wangian yang harum semerbak. Paling menyeramkan apabila Ebit menceritakan semasa sedang memandu di kawasan berkabus tadi, dia ternampak kelibat seorang perempuan berbaju putih melintas di depan van yang sedang dipandunya.

Perempuan berambut panjang, berpakaian serba putih itu tidak memandang atau mengerling ke arahnya tetapi terus berjalan sambil menundukkan kepalanya menuju ke perbukitan berdekatan.

Oleh sebab van bergerak perlahan semasa mendaki bukit, Ebit dapat melihat dengan jelas perempuan berbaju putih itu melintas di hadapan van kami. Tubuhnya terawang di udara, seakan-akan terbang.

Siapa perempuan itu? Ada yang mengatakan itulah antara salah seorang puteri tujuh beradik yang kononnya dikaitkan dengan kisah misteri Bukit Tujuh. Mujurlah saya tidak melihat kelibat perempuan cantik itu.

“Benda tu cuma nak uji kita ni lemah semangat ke tidak. Itu saja,” beritahu Ebit.

Kalau takut, itulah yang menyebabkan ada kenderaan terbabas atau menjunam ke dalam gaung berdekatan. Saya bersyukur perjalanan kami tidak ditimpa kemalangan seperti yang berlaku di kalangan pemandu malam sebelum ini. Cuma tidak sangka, apa yang saya bayangkan sebelum itu benar-benar terjadi kepada kami sebentar tadi.  

PADA TAHUN 2012, saya dan Ebit ditugaskan menghantar mayat seorang perempuan tua yang meninggal dunia. Kami bertolak pukul 8.00 pagi dari Kajang ke Kota Baharu, Kelantan. Perjalanan pada waktu siang lancar dan tiada sebarang kesulitan kami alami.

Dalam perjalanan pulang selepas menghantar jenazah tersebut, kami singgah makan di gerai berdekatan jalan antara Kuala Krai – Gua Musang. Kami juga mengambil peluang bersolat dan berehat sebentar. Kami membuat keputusan untuk pulang awal bagi mengelakkan perjalanan kami terpaksa melalui Bukit Tujuh pada waktu malam seperti pernah saya alami sebelum ini.

Malang sungguh, apa yang kami rancangkan itu terpaksa dibatalkan gara-gara van yang kami gunakan itu mengalami kerosakan. Beberapa kali saya cuba hidupkan enjin van jenazah tetapi gagal. Selama lebih tiga jam kami terkandas di kawasan rehat berkenaan. Kami membuat keputusan meminta mekanik di kawasan tersebut membantu membaiki van.

Van kami diperbaiki di sebuah workshop di situ. Akhirnya setelah dibaiki, enjin van berjaya dihidupkan, tetapi ketika itu sudah pun gelap. Kami teruskan perjalanan ke Gua Musang, dan melalui kawasan Bukit Tujuh sekitar pukul 1.00 pagi!

Saya dan Ebit menggelengkan kepala. Kami tak sangka, kami sejak awal merancang untuk mengelak daripada melalui Bukit Tujuh pada waktu malam, tapi lain dirancang lain pula yang jadi.

Tahukah anda apa yang berlaku dinihari itu? Sewaktu van sedang meluncur laju, kenderaan kami itu tiba-tiba dibaling sesuatu. Bunyi balingannya amat kuat menghentam van kami.

DAM! DAM!

Terkejutnya kami bukan kepalang. Tambahan pula malam itu suasana begitu gelap, kami langsung tidak boleh memotong sebarang kenderaan. Dalam keadaan begitu, perasaan seram memang tidak dapat dinafikan. Saya tertanya-tanya, siapa yang membaling kenderaan kami tadi?

Ebit terus memandu dan tidak lama kemudian, saya tercium sesuatu bau yang amat wangi. Bau itu terasa dekat sangat dengan kami. Ketika itu serta-merta saya teringat kejadian 10 tahun lalu ketika Ebit ternampak perempuan berpakaian putih seakan terbang di hadapan van kami.

Saya terfikir, adakah bunyi van dibaling dan bau harum itu ada kaitannya dengan kelibat perempuan tersebut? Entah, saya tidak tahu. Saya berdoa semoga  kejadian menakutkan itu tidak berulang lagi dan perjalanan kami ini tidak diganggu dengan kejadian yang lebih menyeramkan.

Alhamdulillah, doa kami dikabulkan Allah. Kami selamat pulang tanpa melalui apa-apa kejadian pelik lagi. Lega betul rasa hati.     

Saya tahu, sampai sekarang bayangan perempuan tersebut sentiasa menghantui pemandu-pemandu yang melalui jalan ini pada waktu malam. Bagi yang bernasib baik dapat melalui Bukit Tujuh ini dengan selamat.

Bagi yang penakut apabila bertembung dengan makhluk aneh dan menakutkan seperti ini di tengah jalan, tentulah terus memecut laju tanpa fikirkan keselamatan nyawa. Itulah puncanya ada kereta yang terbabas, menjunam dan terbalik empat tayar ke atas gara-gara disakat penunggu Bukit Tujuh.

Kepada para pemandu yang melalui jalan ini, ingin saya berpesan, jangan risau, penunggu itu tidak boleh berbuat apa-apa kepada manusia beriman. Taraf manusia lebih mulia daripadanya. Apa yang penting, beri tumpuan pada pemanduan dan jangan cepat panik jika ada sebarang perkara ganjil berlaku.

*Pencerita: Muhamad Al-Amin Abdul Aziz

Sumber : Nita Dahnim


No comments: