JELMAAN HANTU JEPUN SI YAMAGUCI
-Jelmaan hantu Jepun si Yamaguci. Siapa yang tidur di katil itu akan ditendang hingga jatuh ke lantai-
Sarjan Manap ada satu cerita untuk disampaikan kepada Inspektor Rosli yang sedang leka mendengar kisah-kisah seram yang diceritakan oleh pegawai penjara.
Kata Inspektor Rosli, dia perlu menyoal selidik dua orang banduan dan oleh itu dia mahu mendengar cerita itu pada lain masa. Tetapi Sarjan Manap berkeras kerana ia hanya mengambil masa lima minit sahaja.
Inspektor Rosli baik orangnya. Dia sentiasa beramah mesra dengan warden. Oleh itu dia melayan sahaja kehendak Sarjan Manap lalu duduk semula dan memesan secawan kopi lagi.
Dia diberitahu bahawa bilik warden syif malam berhantu. Ada hantu Jepun yang menjadi penunggu di situ yang tidak suka orang duduk di katilnya berhampiran bilik generator. Dia akan tendang sesiapa yang tidur di katilnya sehingga orang yang malang itu akan jatuh tergolek di lantai simen.
Sarjan Manap mendengar cerita ini daripada seorang warden yang sudah bersara berumur 89 tahun yang pernah bertugas di Penjara Pudu semasa negara dijajah Jepun dari tahun 1942 hingga tahun 1945.
Pihak pentadbiran Jepun mengambil alih Penjara Pudu daripada British yang kalah dalam perang. Ramai tawanan perang ditanam di situ.
Ada seorang askar Jepun berpangkat koperal yang bertugas sebagai juruteknik elektrik di penjara itu. Dia bertanggungjawab terhadap generator penjara pada sebelah malam sekiranya berlaku gangguan bekalan elektrik.
Corporal Yamaguci garang orangnya. Dia tidak banyak bercakap, baik dengan kakitangan penjara mahupun dengan banduan. Dia sangat berdedikasi menjalankan tugas dan menjaga generator dengan baik. Setiap petang pada pukul enam, dia akan menguji dan menghidupkan generator.
Dia bertugas pada sebelah malam. Ada sebuah katil kayu berhampiran pintu bilik generator tempat dia tidur. Sesiapa pun tidak dibenar menghampiri bilik generator. Bilik warden yang bekerja syif malam pula terletak bersebelahan bilik lelaki Jepun itu.
Koperal Yamaguci mengawal selia generator itu selama lebih daripada dua tahun dengan baik. Tetapi pada suatu malam, ia tidak dapat dihidupkan apabila berlaku gangguan bekalan elektrik di penjara itu. Seluruh penjara dalam kegelapan. Keadaan ini adalah sangat berbahaya kerana banduan boleh menggunakan kesempatan ini untuk lepas lari.
Koperal Yamaguci berusaha sedaya upaya untuk menghidupkannya tetapi sukar baginya untuk membaiki generator itu dalam keadaan yang gelap gelita.
Lebih kurang sejam kemudian, dia berjaya menghidupkannya tetapi cuma bertahan selama seminit sebelum tiba-tiba ia meletup. Apabila lelaki itu mencuba mematikan suisnya, dia terkena renjatan elektrik. Generator itu mengeluarkan percikan api yang kemudian mengakibatkan suatu kebakaran kecil.
Para warden berjaya memadamkan api dan selepas tiga jam dalam kegelapan, bekalan elektrik di penjara itu berjaya dipulihkan. Dan ketika itulah mereka terpandang badan Koperal Yamaguci yang terbakar.
Dia segera dihantar ke hospital. Yamaguci menemui ajal dengan cara yang dahsyat. Rohnya terus merayau-rayau di penjara sehinggalah ia dirobohkan.
Mana-mana warden yang tidur di katil yang pernah digunakan oleh mendiang akan terasa dadanya seperti ditindih oleh sesuatu yang berat sehingga sukar bernafas. Dia akan ditendang dari katil sehingga jatuh ke lantai simen.
Sudah banyak kali warden ternampak jelmaan Yamaguci di bilik generator sedang mencuba menghidupkan generator. Ada kalanya mereka terdengar generator hidup dengan sendiri selama beberapa minit dan tiba-tiba mati.
Warden yang bertugas pada sebelah malam pernah ternampak Yamaguci berjalan sambil membimbit kotak peralatan dan kemudian menghilang di pintu pagar blok.
Sajran Manap mengakhiri ceritanya dengan berkata, “Kalau tuan tak percaya, datanglah buat kerja malam di tempat gantung seorang diri.”
Inspektor Rosli hanya tersenyum. Dia berbelah bahagi sama ada mahu mempercayai cerita itu ataupun tidak. Dia sudah banyak kali melihat mayat yang dibunuh dengan kejam. Ada yang dipenggal kepala,dikelar leher, dipotong tangan dan kaki, namun dia belum pernah bersua dengan penunggu mayat-mayat tersebut, baik di bilik mayat, di tanah perkuburan mahupun di tempat berlakunya pembunuhan.
Dia mengucapkan terima kasih kepada mereka kerana membelanjakan kopi dan nasi lemak kepadanya dan berjanji akan mendengar cerita-cerita seram mereka pada masa lain.
NOTA : Cerita di atas adalah salah satu kisah dalam buku ‘Cerita Seram Di Penjara Pudu’ yang ditulis oleh Haji Nor Shahid Mohd Nor, mantan penguasa Penjara Pudu yang menceritakan pelbagai pengalaman misteri dan aneh yang dilaluinya sewaktu bertugas di penjara tersebut. Nor Shahid merupakan bekas Timbalan Ketua Pengarah Penjara II. Beliau pernah memegang jawatan Penguasa Penjara Pudu dari tahun 1978 sehingga 1981 sebelum bersara pada tahun 1989.




No comments:
Post a Comment