Monday, May 12, 2025

Misteri Pemuda Ghaib Sekelip Mata

 

Misteri pemuda yang ghaib sekelip mata. Adakah itu ‘penghuni’ Bukit Dinding di Lenggong?

**Seperti diceritakan oleh Zainuddin dari Perak
**Disember 16, 2021

Sumber : <<<Mastika>>>

Misteri Pemuda  Ghaib Sekelip Mata

KALAU sebut pasal bunian, dari dulu lagi kita selalu dengar kisah berkaitan bunian ini. Ramai juga yang menceritakan pernah berjumpa dengan makhluk ini.

Lebih kurang 15 tahun lalu, saya pernah bertemu dengan ‘orang aneh’. Kisahnya, ketika itu pukul 11.00 malam, saya bersama isteri menaiki bas dari Hentian Duta , Kuala Lumpur utuk pulang ke rumah kami di Lenggong Perak.

Saya dan isteri duduk di kerusi kedua terakhir. Turut naik, tiga orang pemuda yang rupa paras mereka agak kacak. Ketiga-tiganya duduk di kerusi terakhir, di belakang saya.

Dalam perjalanan, sempat saya berbual dengan ketiga-tiga pemuda itu yang saya anggarkan berusia 20-an. Mereka memberitahu, mereka tinggal tidak jauh dari kampung saya. Saya menetap di Batu Puteri manakala ketiga-tiga mereka tinggal di Kampung Batu Dinding. Jarak kampung mereka itu dengan kampung saya lebih kurang 10 kilometer.


Lebih kurang pukul 3.00 pagi, bas melalui jalan berdekatan kampung saya di Batu Puteri. Saya meminta pemandu bas berhenti di tepi jalan saja kerana lebih dekat untuk ke rumah saya, berbanding jika saya turun di hentian bas di Lenggong.

Ketika saya dan isteri turun, tiga pemuda tadi juga ikut turun. Selepas bas beredar, mereka mendekati saya dan bertanya, apakah saya boleh membantu menghantar mereka pulang ke rumah.

“Rumah kami di kampung Batu Dinding, tapi masuk ke dalam sikit. Nak jalan kaki agak gelap. Takut juga,” kata salah seorang dari mereka.

Melihat wajah tiga pemuda itu yang dalam kerisauan, ditambah dengan keadaan lewat pagi yang sunyi, saya setuju untuk membantu mereka. Lagipun saya lihat perwatakan mereka adalah budak yang baik.

Setelah isteri masuk ke rumah, saya menghidupkan enjin kereta. Saya bawa tiga pemuda tadi ke Kampung Batu Dinding. Bukan jauh mana pun.

Tiba di penghujung kampung itu, mereka arahkan saya memasuki jalan kecil berhampiran sebuah surau lama. Lebih kurang 400 meter melalui jalan kecil itu, kereta saya mula memasuki jalan tidak berturap yang berlumpur.

“Sampai sini cukuplah pak cik. Jalan pun berlumpur. Nanti kereta pak cik kotor,” beritahu salah seorang pemuda itu.

Saya berhentikan kereta. Ketiga-tiga pemuda itu melangkah keluar. Selepas mengucapkan terima kasih dan bersalaman, mereka terus menapak dalam gelap.

Sewaktu saya memandang ke belakang hendak mengundurkan kereta, saya terasa kasihan pula pada pemuda-pemuda itu. Macam manalah mereka nak berjalan dalam gelap.

Lalu saya pandang ke depan dan memasang lampu tinggi. Tujuan saya untuk menyuluh kawasan itu agar mereka nampak sikit cahaya untuk meredah kegelapan.

Tapi, saya terkejut. Sebaik lampu tinggi kereta saya menyuluh kawasan itu, tiga pemuda yang baru turun dari kereta tadi dah ghaib. Tak nampak langsung kelibat mereka. Hairan, secara logiknya takkanlah begitu pantas mereka berjalan sehingga hilang sekelip mata.


Saya terus pulang ke rumah. Tapi kejadian pelik itu membuat saya tertanya-tanya. Kemudian saya teringat, saya ada seorang kawan yang tinggal di kampung itu. Rumahnya pula memang rumah terakhir di penghujung kampung.

Keesokannya, saya pergi semula ke kampung itu dan terus ke rumah kawan saya itu. Saya bertanya padanya, apakah ada rumah lain yang jauh ke dalam selepas rumahnya itu?

“Mana ada rumah lain. Rumah aku paling last. Belakang tu sungai Perak,” jawabnya. Lalu saya ceritakan kisah saya hantar tiga pemuda malam tadi kepada rakan saya itu.

“Bukan engkau saja yang dah terkena. Orang lain pun pernah hantar ‘mereka’ tu balik rumah,” kata rakan saya itu, membongkar kisah-kisah aneh di kawasan itu.

Rakan saya itu memberitahu, beberapa minggu sebelum itu, kejadian yang sama juga berlaku. Suatu malam, dia menahan sebuah teksi yang sedang menyusur keluar dari jalan tersebut. Dia berbuat begitu kerana hairan melihat teksi itu masuk ke dalam sedangkan rumahnya adalah yang terakhir.

“Hantar siapa uncle?” soal kawan saya kepada pemadu teksi berbangsa Cina.

“Hantar tiga olang amoi. Itu tiga amoi manyak cantik. Lumah besar-besar dalam sana,” jawab pemandu teksi itu yang menceritakan, ada tiga gadis cantik dari Kuala Kangsar diminta menghantar mereka ke situ.

Rakan saya memang terkejut mendengarnya. Mustahil ada rumah lain selepas rumahnya. Lebih mustahil rumah besar dan cantik seperti dikatakan pemandu teksi itu yang tidak pernah wujud di kampung itu. Di belakang rumahnya hanya terdapat sebuah bukit yang dipanggil Bukit Dinding menghadap Sungai Perak.

Habis siapa yang dihantar pemandu teksi berbangsa Cina itu? Bunian? Jin?

Kata rakan saya itu, tak mustahil gadis cantik dan pemuda yang saya hantar itu makhluk yang tinggal berdekatan bukit tersebut. Sebelum itu memang ada kisah penduduk kampung itu terjumpa bunian di kawasan tersebut.

Pernah seorang isteri mengikut suaminya menebas kebun getah mereka yang terletak di sekitar Bukit Dinding. Sedang menebas, si suami lihat lagak isterinya seperti sedang berbual-bual dengan seseorang.

Si suami yang merasa hairan lantas bertanya kepada isterinya, dengan siapa dia berbual? Jawab si isteri, dia berbual dengan seorang wanita tua yang melalui kebun mereka dan mempelawa untuk memberi beberapa biji telur itik kepadanya. Tetapi si isteri menolak pemberian wanita tua itu.

Apabila mendengar cerita si isteri, si suami terkejut. Sebab dia melihat isterinya hanya bercakap seorang diri. Tiada sesiapa di sisi isterinya itu.

Salah seorang wanita yang merupakan penduduk kampung itu juga mempunyai cerita tersendiri. Arwah suaminya dahulu pernah menjadi imam di kampung itu.

Wanita itu menceritakan kejadian aneh tentang arwah suaminya yang mengadu sering melihat bas berhenti di hentian bas berhadapan rumah mereka.

Arwah suaminya itu melihat kelibat dua tiga orang anak muda bangun dari kerusi dan berjalan ke hadapan seperti mahu turun dari bas. Tapi yang peliknya, sebaik bas berjalan tidak kelihatan kelibat sesiapa pun di hentian itu. Takkan orang yang turun dari bas itu ghaib sekelip mata? Kejadian itu banyak kali berlaku tidak kira siang atau malam.

Rakan saya juga menceritakan suatu ketika dulu pernah mendengar orang bercerita kejadian pelik yang berlaku di surau lama di kampung mereka.

Ketika orang kampung melalui surau lama itu, mereka sering terdengar suara orang ramai sedang mengaji. Tetapi sebaik mereka masuk meninjau ke dalam surau, tiada seorang jemaah pun di dalamnya. Serta-merta juga suara orang yang mengaji itu terhenti.

Ada juga yang menceritakan, ketika lima hingga enam orang penduduk sedang sembahyang Maghrib berjemaah dim surau itu, terdengr bunyi sahutan ‘aminnnn’ yang kuat dan bergema sebaik iman habis membaca surah al-Fatihah. Bunyinya seakan begitu ramai makmum yang sedang solat bersama.

Ada juga cerita ketika dua atau tiga orang penduduk sedang sembahyang berjemaah di surau itu, mereka perasan ada jemaah lain yang turut serta di sebelah mereka. Peliknya sebaik selesai sembahyang, jemaah yang tidak dikenali itu ghaib begitu sahaja.

Begitulah kisahnya. Anda rasa siapa pemuda yang pernah saya hantar itu? Betul ke orang bunian Kampung Batu Dinding? Terpulang kepada anda untuk mentafsirkannya.

No comments: