TAMAR JALIS
SIRI BERCAKAP DENGAN JIN
JILID 1
SBDJ (JILID 1) : SIRI 11 - MENUNGGANG HARIMAU DITENGAH MALAM
Tiba‐tiba Timah muncul dari bawah rumah. Rambutnya tidak terurus. Mukanya kelihatan pucat dan matanya nampak tidak bercahaya. Dia semacam takut saja melihat kedatangan kami. Ketua Kampung segera memberi tahu tujuan kedatangan datuk dan saya. Timah tersenyum lalu mempersila kan kami naik ke rumah.
"Minta maaf ye," kata datuk sambil memandang ke wajah Timah. "Rumah ini ada dua bilik, yang satu lagi untuk siapa?"
"Untuk …," Timah terdiam. Dia merenung muka Ketua Kampung. Melihat keadaan itu datuk tidak mengemukakan pertanyaan lagi.
"Memang rumah ini ada dua bilik, saya ingat kerana saya yang mendirikan rumah ini bersama arwah suaminya dulu," kata Ketua Kampung memberi penjelasan.
Datuk angguk kepala. Saya agak terkejut bila datuk bersikap kurang ajar sedikit. Dia bangun lalu melihat kedua‐dua bilik yang terdapat di dalam rumah itu. Saya tahu Ketua Kampung dan Timah tidak senang dengan sikap datuk itu.
"Itu bilik saya ! jangan masuk," jerit Timah bila datuk menghampiri bilik di bahagian kiri rumah. Datuk angguk kepala sambil meraba‐raba misai tebalnya. Datuk pergi ke bilik yang satu lagi.
Saya terkejut bila datuk tunduk sambil kedua‐dua belah tangannya memegang perut. Saya segera menerpa untuk membangunkan datuk. Secara mendadak saya rasa pangkal lehar saya dipukul oleh sesuatu. Pandangan saya berpinar.
"Jangan datang," pekik datuk bila dia melihat Ketua Kampung mahu menerpa ke arahnya. Ketua Kampung pun tak jadi datang. Saya dan datuk segera meninggalkan bilik tersebut.
"Merbahaya, kita mesti balik sekarang," kata datuk. Ketua Kampung tergamam, bagitu juga dengan Timah. Dalam keadaan kelam kabut itu, datuk mengemukakan soalan pada Timah,
"Bilik siapa itu?"
"Bilik suami saya," Jawab Timah
"Dia dah mati. Untuk apa bilik tu buatnya."
"Saayyyya…," suara Timah terputus.
Datuk tersenyum. Dia sudah tahu apa yang dirahsiakan oleh Timah. Kami bertiga meninggalkan rumah Timah pulang ke rumah Ketua Kampung. Sebaik saja sampai ke kaki tangga, datuk meminta jasa baik Ketua Kampung untuk meminjam senapang kampung dan pada sesiapa yang memiliki senapang.
"Buat apa?" Ketua Kampung menyoal penuh ragu,.
"Nak menembak gagak untuk menolong Timah."
"Begitu," suara Ketua Kampung menurun.
Dia segera mencari senapang kampung. Setengah jam kemudian Ketua Kampung kembali dengan senapang di bahu dan menyerahkan pada datuk. Datuk membidik‐bidik senapang itu. Dia melurut laras senapang dengan tapak tangan kanan. Dengan tenang datuk memasukkan peluru kedalam laras senapang, kemudian dia meludah tapak tangan kanan dua tiga kali. Buntut senapang digosok dengan tapak tangan yang ada air liur itu.
Datuk menghalakan senapang ke arah sepasang burung gagak yang terbang rendah mencari ulat daun pisang di kawasan rumah Ketua Kampung. Datuk segera mengambilnya segera. Bangkai gagak itu digantungnya pada dahan pokok mempelam dekat rumah Ketua Kampung. Datuk naik ke rumah. Waktu hari mula remang‐remang senja datuk menuju ke pangkal pokok mempelam. Dia menepuk bangkai gagak tiga kali sambil menabur garam halus di bangkai gagak tersebut. Gerak geri datuk itu saya perhati dengan teliti dari tingkap rumah Ketua Kampung.
"Suami Si Timah itu mengamalkan, ilmu salah, membela hantu raya semasa hidupnya. Begitulah datuk menyatakan pada Ketua Kampung sebaik saja dia masuk ke dalam rumah. Dengan jujur Ketua Kampung menyatakan dia memang tak tahu walaupun suami Timah kawan rapatnya.
Ketua Kampung juga mengakui terdapat beberapa perkara aneh pada diri arwah suami Timah , antaranya dia selalu ditemui oleh orang kampung bekerja di ladang pada waktu malam seorang diri, bertukang rumah waktu malam, mencari kayu waktu malam seorang diri. Ketika orang‐orang melihat kejadian aneh itu , suami timah sebenarnya tidak ke mana‐mana, berbual kosong dengan Ketua Kampung di rumahnya. Bila Ketua Kampung bertanyakan hal itu suami Timah. Dia menafikan yang dia membuat kerja‐kerja itu.
Malah menuduh orang‐orang kampung mengadakan cerita yang bukan‐bukan kerana dengki dengan kesenangannya. Dan dengan penjelasannya itu Ketua Kampung tidak menyoalnya lagi. Setelah menunaikan sembahyang magrib datuk mengajak saya pergi ke suatu kawasan hutan tebal. Dia mengandar bangkai gagak dengan tenang. Saya lihat mulut datuk terkumat kamit membaca sesuatu.
Datuk menyuruh saya bersembunyi di sebalik pokok besar. Datuk meletakkan bangkai gagak yang sudah dipanggang itu di kawasan lapang. Datuk menghidupkan api. Dia duduk di depan unggun api itu sambil berpeluk tubuh.
Dengan pertolongan cahaya api itu , saya lihat satu lembaga hitam besar berdiri di depan datuk. Serentak saya terdengar bermacam‐macam bunyi. Ada bunyi suara orang menangis dan mengilai. Ada suara gendang dipalu.
"Aku tidak bertujuan jahat, aku minta kau ambil anak kau semula, kau dari jin dan kami dari manusia.
Tidak serupa cara hidupnya," suara datuk meninggi. Lembaga hitam itu bertambah besar. Dua tiga pokok besar yang dirempuhnya habis tumbang.
Seluruh kawasan itu saya rasa seperti dilanda ribut taufan yang amat kuat. Saya terdengan bunyi burung gagak berbunyi dan dalam saat itu juga burung gagak datuk terbang menuju ke lembaga itu. suasana menjadi tenang. Lembaga hitam hilang dari pandangan saya. Datuk segera bangun dan mendapatkan saya.
"Kita ke rumah Timah," perintah datuk. Saya pun ikut perintahnya. Bukan lah suatu perkara yang mudah berjalan dalam gelap. Dua tiga kali saya terjatuh tapi bangun semula. Akhirnya kami sampai rumah Timah. Lama juga kami di situ, tidak ada sesuatu pun yang dapat kami lihat. Semuanya macam biasa.
Datuk mengajak saya pulang ke rumah Ketua Kampung. Datuk menunaikan sembahyang Ishak. Sesudah makan, datuk mengajak Ketua Kampung ke rumah Timah kembali. Kali ini datuk menyuruh saya dan Ketua Kampung berpecah, mencari tempat perlindungan masing‐masing. Datuk memakai baju hitam dan seluar hitam. Dia membawa tiga batang serai, tiga puntung kayu yang sudah menjadi arang serta sebatang paku. Datuk tidak memakai seluar hitam, dia memakai seluar kuning dan mengikat kepalanya dengan kain putih. Badan mula merasai kedinginan. Embun jantan mula menitik. Angin malam yang bergerak melanggar dedaun di halaman rumah. Dedaun yang berlaga sama sendiri itu melahirkan bunyi tidak menentu. Bunyi katak bersahut‐sahutan sesekali terdengar bunyi suara anjing bertingkah dengan bunyi suara burung hantu dan jampok.
Saya lihat pintu rumah Timah berkuak dengan sendirinya. Sinar lampu minyak tanah menerangi sebahagian dari halaman rumah itu. saya lihat ada bayang‐bayang hitam berdiri di muka pintu. Serentak dengan itu terdengar bunyi suara orang lelaki batuk bertalu‐talu. Saya berlari mendapatkan datuk. Saya duduk di sisinya, tiba datuk menyepak pangkal peha saya, saya terduduk.
BERSABAR
"Jangan dekati aku," katanya.
Saya pun segera menjauhkan diri darinya. Datuk membakar kemayan dan membakar sesuatu. Dari rumah Timah terdengar suara lelaki. Anjing kian kuat melolong. Saya terdengar kicau burung murai ditengah malam. Bulu roma saya berdiri. Ketua Kampung datang ke tempat saya dan datuk. Perhatian kami tertumpu pada pintu rumah Timah yang terdedah. Saya lihat seorang lelaki sedang duduk di muka pintu sambil menghisap rokok. Mukanya tidak berapa jelas kelihatan. Angin malam terus bertiup.
"Kau kenal siapa tu?" tanya datuk pada Ketua Kampung. Ketua Kampung terdiam. Dia terus menumpu perhatian pada rumah Timah.
"Latif, laki Timah," katanya pendek. Datuk angguk kepala. Datuk meletakkan tiga batang serai di depannya. Tangannya menggenggam paku.
"Itu bukan latif, Itu hantu raya," kata datuk. Sebaik saja datuk selesai bercakap, seketul batu melayang ke arah Ketua Kampung. Kerana Ketua Kampung juga pandai bersilat, dia mengelak. Batu terkena pangkal pokok. Datuk mencabut keris lalu menikam bumi. Ketika datuk mencabut keris pintu rumah Timah terkaup dengan sendirinya. Kami bertiga masuk ke bawah rumah Timah. Apa yang kami dengar Timah bercakap sesuatu. Kami juga terdengar suara Timah merayu dan suara lelaki sedang di lamun berahi yang kuat. Suara Timah bertambah manja dan mengerang kepuasan.
"Hantu tu sedang berkasih dengan Timah," datuk memberitahu Ketua Kampung.
Datuk menikam tiang seri rumah Timah dengan sekuat hati. Bila datuk mencabut keris rumah Timah bergegar. Semua barang yang ada dalam rumah bergerak dan jatuh ke atas lantai. Timah menjerit dan terjun ke halaman rumah. Terjelepok Timah di situ. Satu lembaga hitam yang besar terus mengangkat Timah yang tidak sedar diri itu.
Datuk menyerbu ke arah lembaga hitam itu. datuk melintas di depannya. Ketua Kampung dan saya turut sama ke situ.
"Berhenti, kau syaitan.," jerit datuk.
Lembaga hitam itu melepaskan Timah ke atas bumi. Dia merenung tajam ke arah datuk.
"Latif…," pekik Ketua Kampung.
Lembaga hitam itu segera bertukar menjadi lelaki yang berbadan kurus, berkain pelekat tanpa baju dengan rambut tak terurus. Dia membuka langkah mengatur silat.
"Tidak ada jalan lain, kita mesti memusnahkannya malam ini juga, kalau sudah sampai subuh kita
berjaya membunuhnya selama‐lamanya kita tidak akan dapat melenyapkannya dari kampung ini," uja datuk.
Mendengar cakap datuk, lelaki kurus itu bertambah marah dan bertukar menjadi lembaga yang hitam sehitam bulu burung gagak. Seluruh badannya berbulu. Matanya kelihatan mengeluarkan cahaya.
Datuk mengambil tiga batang surai sambil mengacu‐ngacu ke arahnya. Setiap kali serai itu di lihatnya, lembaga hitam itu akan menjerit. Seluruh kampung bergema dengan jeritannya yang amat menakutkan itu. Lembaga itu menutup matannya dari melihat batang serai. Datuk lalu menayangkan pula kepak burung gagak ke arahnya. Lembaga hitam itu berguling‐guling di atas tanah bagaikan menahan kesakitan.
"Aku tahu asal usul mu dan roh mu tidak diterima bumi, aku akan menyempurnakan diri mu kerana engkau adalah manusia yang berasal dari tanah dan ke tanah juga lah engkau kembali," kata datuk. Lembaga itu terus berguling‐guling.
"Dia bini aku," secara mendadak lembaga itu bersuara dan bangun. Datuk tergamam. Dalam rasa cemas itu lembaga hitam menerpa ke arah datuk sambil kedua‐dua belah tangannya yang hitam berbulu tebal menekan batang leher datuk.
Dalam pergelutan yang hebat itu, ternyata datuk tidak dapat menandingi tubuh lembaga yang berbulu lebat itu. Datuk sering saja tercampak. Dan memang perangai datuk tidak mudah mengaku kalah. Dia terus bergelut. Saya dan ketua kampung didakap rasa kecemasan. Di langit saya lihat tidak ada sebiji bintang bersinar. Pokok‐pokok di kiri kanan bagaikan dilanda taufan. Suara burung hantu bagaikan orang berlagu mengiringi petarungan datuk dengan lembaga itu.
Tiba‐tiba,saya lihat berpuluh‐puluh ekor burng gagak hinggap di ranting pokok. Berbunyi bersahutsahutan. Kemudain burung‐burung gagak itu terus turun ke tanah lapang. Tanah tiu jadi gelap dengan burung gagak. Saya benar‐benar berada dalam keadaan cemas.Lembaga yang berbulu lebat terus mencampakkan tubuh datuk kepangkal pokok pisang.
"Bacalah ayat al‐Qurshi," bisik keuta kampung pada saya. Saya terdiam, dalam saat‐saat cemas begitu, saya jadi terlupa untuk mengingati ayat tersebut. Bila saya cuba, pembacaan saya banyak yang silap.
Saya menggelabah tidak tentu arah. Datuk tidak juga bangun dari perdu pikok pisang. Saya teringat pesan datuk, bahawa ayat al‐Fatihah adalah ibu segala ayat dan mempunyai kelebihan yang tersendiri. Jadi, kalau kita berhadapan dengan musuh dan sudah tidak ada cara lain untuk mempertahankan diri, bacalah ayat tersebut sambil berusaha melepaskan diri dari musuh dengan bertawakal pasa Allah yang maha besar.
Jadi, al‐Fatihah pun saya baca dengan teliti supaya tidak silap. Bila sudah selesai dibaca saya mula terasa semacam ada semangat baru dalam diri saya. Fahamlah saya, bahawa tidak ada kuasa yng lebih gagah dan kuat dari kuasa Allah. Saya perhatikan ketua kampung masih terus membaca ayat al‐Qurshi.
Di tanah lapang lembaga hidup yang berbulu, berdiri gagah dikelilingi oleh berjuta‐juta burung gagak. Saya renung ke langit. Saya lihat ada benda terbang separas pucuk pokok kekabu, berkilau‐kilau. Benda itu seakan‐akan bentuk batang buruk, di bahagian bawahnya keluar sejenis benda semacam tali, berwarna merah. Benda itu berlegar‐legar atas bumbung rumah Timah dan akhirnya hilang lalu diganti oleh suara perempuan ketawa manja.
Saya raba telinga, hidung dan mata bagi mempastikan apakah perkara yang saya alami, satu khayalan saya sendiri. Saya meraba bumi dan rumput. Ternyata saya tidak berhhayal, saya berhadapan dengan satu dunia yang cukup ganjil dan aneh sekali.
Dalam samar‐samar malam itu , cara kebetulan di langit bulan mula bersinar. Saya lihat datuk bangun menuju ke arah kami. Di tangannya masih tergenggam batan serai dan bulu burung gagak.
"Hebat," sepatah perkataan kelaur dari mulut datuk. Dia terus duduk, kemudain mencangkung, macam orang mahu memulakan perlumbaan lari. Lepas itu bergerak lagi. Kedua belah tangannya diletakkan ke depan, kaki diluruskan ke belakang. Dengan perintah datuk, ketua kampung mencacakkan bulu burung gagak dan batang serai di depannya.
Datuk merenung ke arah lembaga yang berbulu hitam, saya lihat datuk bagaikan harimau yang mahu menerkam mangsanya. Sepuluh jarinya mencakar‐cakar tanah. Dia pejamkan matanya lalu mulutnya bergerak‐gerak. Saya terdengan datuk memebaca sepotong ayat dari al‐Quran. Saya amati pembacaannya, memang datuk membaca ayat yang pernah dibaca oleh nabi Allah Yunus ketika ia berada dalam perut ikan.
Datuk menyerahkan hati dan perasaannya pada Allah yang maha besar. Memang semua kepandaian yang ada padanya tidak terdaya melawan hantu raya jelmaan syaitan itu. datuk terus berdiri. Bulu gagak diangaktnya. Serentak dengan itu dia menyuruh saya membakar kertas. Bila api sudah menyala. Ketua kampung lalu menghimpunkan daun‐daun kering atas api yang membara itu.
Entah dari mana datuk mendapat kemenyan, dalam tempoh beberapa saat sja kawasan kami penuh dengan bau kemenyan. Makin kuat bau kemenyan masuk lubang hidung, kian kuat bunyi pokok‐pokok di sekeliling kami dirempuh angin, dahan‐dahan bagaikan jatuh mahu menimpa kami, tetapi bili dilihat ke atas pokok pun tidak bergoyang. Suara gagak tetap bersahut‐sahutan.
Datuk membongkok dan terus menumbuk tanah. Semua burung gagak di tanah. Semua burung gagak di tanah lapang berterbangan. Hilang dengan sekelip mata. Deru angin tidak sekuat tadi. Semuanya terasa menyepi. Saya lihat lembaga hitam hilang. Lebi\h kurang antara lima hingga tujuh minit kami dipeluk sepi. Datuk meletakkan bulu gagak atas lengan. Ditiup tiga kali berturut‐turut.
"Kau," tempik ketua kampung, bila di depan kami wuduj batang tubuh suami Tiamh. Bila datuk mahu menerpa ke arahnya. Batang tubuh suami Timah segera hilang. Tempatnya digantikan dengan kain putih. Kain itu bergerak dan mengelumbung. Saya, ketua kampung dan datuk terus melihatnya dengan penuh teliti.
"Mayat," kata saya
"Ya," memang dalam kain itu mayat," jawab datuk.
"Mayat siapa?" tanya ketua kampung.
"Mayat suami Timah ," pendek datuk menjawab, sambil menyinsing lengan baju.
Mayat yang terbujur itu begerak lalu mengoyakkan kain kapannya. Mayat itu terus duduk. Kainkapan berkumpul di bahagian pinggang. Ketua kampung memberitahu saya, bahawa itulah mayat suami Timah yang telah ditanam oleh orang‐orang kampung saya dulu. Mayat itu memusingkan badannya sambil duduk. Merenung ke arah datuk dengan pandangan yang cukup tajam. Bau busuk mula menguasai kawasan tempat kami bernaung. Saya bagaikan mahu terkeluar isi perut.
Angin malan terus bertiup. Macam‐macam bunyi yang kami dengan. Dalam suasana yang begitu, saya terdengar bunyi suara orang lelaki merintih menahan kesakitan. Saya tidak tahu dari mana suara itu datang.
No comments:
Post a Comment