Saturday, May 10, 2025

SBDJ (JILID 1) : EP10 - MENCARI HARTA KARUN

 TAMAR JALIS

SIRI BERCAKAP DENGAN JIN

JILID 1



SBDJ (JILID 1) : SIRI 10 - MENCARI HARTA KARUN

Lama juga datuk duduk berehat di tepi sungai. Dia membaca sesuatu dan mengambil seketul batu. Batu itu dilemparkannya ke dalam sungai. Saya diam saja. Biarlah datuk melakukan apa saja yang difikirkannya patut. Dalam keadaan yang tidak tentu arah itu, saya tercium bau yang cukup wangi. Saya kira kenalan baru datuk akan menjelma di depan kami. Bau wangi itu hilang, kenalan datuk tidak juga menjelma.

Saya terus melihat langit, matahari kain condong ke barat. Hati saya sudah menggelabah. Datuk masih juga tenang dan damai.

"Kita balik saja," datuk memberitahu saya. Cepat‐cepat saya anggukan kepala. Saya dan datuk berpusing‐pusing dalam hutan Hulu Kinta mencari jalan keluar. Kami tidak dapat menemui jalan yang mana kami lalu tadi, yang anehnay ialah sejauh mana kami bergerak, baik arah matahari jatuh atau matahari naik, kami akan sampai juga ke tepi tebing sungai, malah untuk sampai ke jambatan di sebelah hilir sungai kami tidak berdaya. Jambatan itu nampak dekat dan kami boleh melihat orang asli berjalan di atasnya, tapi kami tidak dapat menembusi hutan tebal untuk sampai ke jambatan. Berkali‐kali diusahakan untuk pergi ke situ tetapi kami gagal juga. Pergi balik pergi balik kami tetap berlegar‐legar di kawasan tepi sungai itu juga.


Hari mula remang senja. Datuk menggunakan segala kepandaiannya, ternyata kepandaian datuk tidak berguna sama sekali di dalam hutan Hulu Kinta. Akhirnya datuk memutuskan untuk bermalam saja di tepi tebing sungai tersebut. Waktu saya mahu pergi ke dalam perut sungai, saya terserempak dengan seekor ular, sebesar batang kelapa. Saya menjerit. Datuk segara menghampiri saya. Datuk juga terkejut melihat ular besar itu. Lama juga datuk menenung mata ular itu.

"Matanya berkedip." Kata datuk dengan penuh semangat.

"Kenapa, mata ular tidak berkedip ke datuk ?"

"Biasanya begitulah, kalau berkedip tu, tandanya jin atau bukan ular biasa."

Saya terdiam mendengar penerangan datuk itu. Lagi sekali, saya dan datuk tercium bau wangi yang amat sangat. Hari bertambah gelap. Fikiran saya bertambah kacau. Datuk terus mengadap ular besar. Perlahan‐lahan ular itu membuka lingkarannya. Dalam sekelip mata saja, ekornya menjunam ke dalam sungai. Air sungai yang mengalir deras jadi tertahan. Saya lihat air sungai mula melimpah ke atas terbing. Menenggelamkan batu‐batu besar di tengah sungai di bahagian hulu, manakala di bahagian hilir sungai, saya lihat air tidak mengalir.

Saya perhatikan datuk bercakap sesuatu dengan ular tersebut. Setiap kali datuk mengahkiri percakapannya, ular itu mengerakkan kelopak matanya. Ular itu bagaikan mengerti dengan apa yang datuk cakapkan. Datuk menyuruh saya menutup mata. Saya patut pada cakapnya. Masa saya menutup mata itu saya terdengar bunyi suara angin yang cukup kuat. Saya juga terdengar bunyi dahan patah dirempuh angin. Bumi yang saya pijak saya rasa bergerak macam berlaku gerak gempa yang cukup dahsyat.

"Buka mata," ujar datuk.

Saya pun membuka mata. Saya dapat diri saya dan datuk berada di sebuah surau tua. Saya terdengar suara Azan. Seorang lelaki berjubah hijau, berjanggut separas dada menyuruh saya dan datuk mengambil air sembahyang, orang tua berserban hijau itu menjadi Imam sembahyang Maghrib. Selepas membaca doa, orang tua berserban hijau itu menghantar saya dan datuk ke perkampungan orang asli.

Dia menyerahkan saya pada penghulu orang asli yang dipanggilnya dengan nama tok batin bah aloi. Dia juga menyuruh penghulu orang asli itu menghantar saya dan datuk ke jalan besar Tanjung Rambutan ‐

Ipoh pada siang esoknya. Penghulu orang asli itu memberi pengakuan akan membuat apa yang diperintahnya.

Bila orang tua itu membuka serban dan bersalaman dengan datuk, barulah saya kenal bahawa orang tua itulah yang menjadi kenalan baru datuk itu. Dia mengucapkan terima kasih pada datuk yang telah membinasakan Kidon. Dia juga mengingatkan datuk supaya jangan datang ke hutan Hulu Kinta tanpa menemuinya terlebih dahulu. Menurutnya, kawasan hutan Hulu Kinta adalah kawasannya. Dia juga meminta datuk memulangkan kancil yang ditangkap oleh datuk.

"Kalau kamu tidak menangkap binatang peliharaan aku, kami tidak akan sesat di sini," katanya dengan senyum.

"Tapi, awak yang mengajak saya ke mari berburu ?"

"Saya mahu menguji sejauh mana awak boleh menghargai nyawa makhluk lain," katanya dengan senyum.

"Saya jadi bingung dengan perbuatan kamu," tingkah datuk.

Jangan bingung, selain dari manusia ada makhluk lain diam di bumi ini, kamu harus mengenali mereka, tapi kau terlebih dulu mengenali kekuasaan Allah yang menjadikan langit dan bumi," tambah lelaki serban hijau. Kemudian dia menghilangkan diri. Sebelum tidur, penghulu orang asli memberitahu saya dan datuk dia telah memeluk agama Islam. Orang bertanggung jawab mendorong dia memeluk agama islam ialah lelaki serban hijau itu. Saya menggigit lidah mendengar cakapnya. Datuk pun menceritakan semua peristiwa yang kami alami pada penghulu orang asli. Dia ketawa. Menurutnya ular besar memang selalu ditemui oleh anak buahnya. Anehnya ular itu tidak pernah membinasakan orang.

"Kalau dia lahu di depan rumah kami, waktu senja menunjukkan ada perkara yang tidak baik akan berlaku, tiga bulan dulu dia melintas waktu senja di kampung kami, seminggu kemudian anak saya mati lemas," kata penghulu orang asli. Saya dan datuk anggukkan kepala.

"Lelaki serban hijau tu siapa tok batin ?" tanya saya

"Haji Lokman," jawab penghulu orang asli. Selepas tida ada pertanyaan yang keluar dari mulut saya atau datuk. Saya dan datuk disuruh tidur di bahagian depan rumah penghulu itu. Pagi esoknya atas permintaan datuk penghulu orang asli itu membawa saya dan datuk ke kawasan tempat kami bertemu dengan lelaki serban hijau itu. Tidak terdapat sebarang kesan atau tanda kawasan itu pernah didiami oleh sesiapa pun.

"Di tempat ni tak ada apa‐apa, dulu kami jumpa orang komunis bunuh diri di sini," tanpa diminta penghulu orang asli menerangkan. Saya dan datuk dihantar oleh penghulu orang asli hingga ke tepi jalan besar. Datuk dan saya membuat keputusan untuk berjalan kaki sahaja pergi ke Pekan Tanjung Rambutan yang jaraknya kira‐kira dua batu saja. Sedang seronok melangkah, kenalan baru datuk muncul di depan kami dalam masa dua saat, kemudian dia menghilangkan diri. Sebaik saja saya dan datuk sampai di depan balai polis Tanjung Rambutan, beberapa orang Hulu Kuang bersama adik datuk tersenyum memandang kami, mereka sedang merancang untuk mencari kami di dalam hutan.

Tanpa bertangguh‐tangguh lagi datuk pun menceritakan, apa yang kami alami dalam hutan Ulu Kinta pada orang‐orang kampung Ulu Kinta yang menanti kami di depan Balai Polis Tanjung Rambutan.

Saya tidak melibatkan diri ketika datuk bercerita. Saya lebih senang duduk di pangkal pokok kelapa di rusuk kanan balai tersebut. Balai itu kini sudah dirobohkan, digantikan dengan bangunan yang baru.

"Pelik juga ceritanya, betul ke ni?" Saya terdengar salah seorang daripada orang kampung itu bersuara. Sepasang mata datuk merenung tepat ke arah batang hidung orang itu.

"Terpulanglah pada awak, sama ada awak mahu percaya atau tidak, saya dan cucu sudah merasa dan mengalaminya."

"Apa yang orang tu berikan pada awak."

"Beri apa? Awak gila ke." Suara datuk mula meninggi dan orang itu terus diam.

Seorang anggota polis menghampiri kumpulan orang yang mengerumi datuk lalu bertanyakannya: "Apa halnya ni."

"Orang hilang ni dah jumpa di sini," seorang lelaki berbadan tegap memberitahu anggota polis yang sudah berusia hampir lima puluh tahun itu. Tanpa diminta datuk pun menceritakan apa yang dialaminya pada anggota polis itu.

Kemudian anggota polis itu mengakui apa yang dialami oleh datuk itu pernah dialami oleh beberapa orang penduduk di sekitar Tanjung Rambutan yang pergi memburu ke kawasan itu.

"Tapi, saya belum pernah bertemu dengannya," suara anggota polis itu merendah. Menurutnya, dalam waktu‐waktu tertentu lelaki berserban hijau itu pernah muncul di Market Tanjung Rambutan. Anehnya, dia hanya bersalam saja dengan siapa yang disukainya, bila orang yang disalami mahu bertanya sesuatu padanya dia akan hilang dengan sekelip mata sahaja.

"Bagi saya perkara ni, sudah jadi perkara biasa," anggota polis itu menamatkan ceritanya dengan datuk. Datuk tidak puas hati dengan apa yang dicakapkan oleh anggota polis itu.

"Biasa macam mana?' Datuk mendesak Anggota polis yang mahu melangkah masuk ke dalam balai berpatah balik.

Dia berdiri betul‐betul di depan datuk. Matanya cukup tajam menyorot wajah datuk kemudian dia senyum sinis.

"Awak orang luar, mana awak tahu." Termenung sejenak datuk mendengar cakap anggota polis itu.

"Memang, saya bukan orang di sini, tentulah banyak perkara yang tidak saya tahu."datuk merendah diri.

"Saya orang Tambun, saya tahu serba sedikit tentang orang yang awak kata itu."

"Itulah yang mahu saya dengar."

"Begini, orang itu namanya Haji Lokman. Masa zaman Jepun dulu, dia membunuh tiga orang askar Jepun di Pekan Tambun."

"Sebabnya?"

"Dia tak tahan melihat penyiksaan yang dilakukan oleh askar‐askar Jepun pada orang kampung."

"Jepun tak tangkap dia?" soal datuk lagi.

Anggota polis yang berbadan tegap itu memicit pangkal dagunya sambil mengkerutkan kening lebatnya.

"Jepun cuba menangkapnya tapi tidak berjaya. Akhirnya dia ditangkap ketika menunaikan sembahyang Zohur. Dia dikurung, pada sebelum malamnya dia berjaya melepaskan diri, sejak itu dia tidak pulang ke rumahnya."

"Agaknya dia dibunuh Jepun, cerita dia melepaskan diri waktu malam tu sengaja diada‐adakan," celah datuk.

"Itulah yang anehnya, nak dikatakan mati, orang selalu berjumpa dengannya. Kalau dia hidup apa faedahnya menyiksa diri dalam hutan meninggalkan anak bini."

"Betul juga cakap awak tu."

"Tapi awak jumpa dia bukan?" soal anggota polis itu. Datuk angguk kepala.

"Lupakan saja perkara itu," tambah anggota polis itu sambil meninggalkan datuk, Orang‐orang dari Ulu Kuang yang berhimpun di situ berpandangan sama sendiri.

"Sudah, anggaplah ini pengalam yang berharga untuk awak, sama ada orang mahu percaya atau tidak itu bukan soalnya, tapi awak sudah melihat dan bercakpa dengannya," salah seorang penduduk Kampung Ulu Kuang membisikan ke telinga dautk.

"Betul cakap awak tu," balas datuk.

Datuk dan orang‐orang dari Kampun Ulu Kuang meninggalkan Balai Polis Tanjung Rambutan menaiki bas menuju ke Chemor . Dari Chemor naik basikal menuju ke Kampun Ulu Kuang.

Dua hari kemudian, saya dan datuk pun meninggalkan Kampung Ulu Kuang. Pengalam‐pengalaman aneh yang saya alami itu merupakan khazanah pengalaman yang tinggi nilainya. Saya kira boleh dijadikan panduan untuk hidup.

Sekaligus mengajar saya erti kebesaran serta kekuasaan Allah. Sesungguhnya Allah maha besar dan maha berkuasa boleh melakukan apa saja yang diinginnya dan tidak terjangkau oleh akal fikiran manusia yang selalu mendakwa sudah cukup maju dengan ilmu pengetahuan.

"Tahukah kau, di dunia ini, tidak saja dipenuhi dengan manusia, tetapi dipenuhi juga dengan jin yang tak dapat dilihat dengan mata kasar, di sinilah pentingnya agama untuk manusia," kata datuk pada saya ketika bas yang kami naiki melintasi Pekan Menglembu.

"Aku harap," tambah datuk lagi,

"Kau akan jadi orang Islam yang baik. Manusia yang tidak beragama selalu sesat."

"Saya pun berharap hidup saya akan menjadi manusia yang dikasihi oleh Allah."

"Bagus tu, kau mesti patuh apa yang dipertintahnya, jauhi dari perkara yang ditegahnya. Tunaikan apa yang ditetapkanoleh rukun kerana Islam itu tiang agama."

"Saya faham tok."

"Jika tidak patuh pada yang lima tu, Islam kau tidak akan sempurna."

"Saya tahu tok," tekanan suara saya merendah. Angin yang masuk ikut tingkap bas menolak rambut saya denga mesranya.

MENEMUI ISTERI MUDA

Sampai saja di kampung halaman datuk kami disambut oleh nenek dengan senang hati. Datuk tidak menceritakan apa yang dialaminya pada nenek.

Sayalah yang jadi tukang lapur kejadian pada nenek dan nenek tidak memberikan sebarang pendapat tentang peristiwa itu. Dia lebih banyak tersenyum dan angguk kepala. Saya tidak tahu apakah nenek suka atau percaya dengan apa yang saya katakan.

"Saya nak pergi," tiba‐tiba datuk muncul di ambang pintu tengah. Perbualan saya terhenti. Saya lihat datuk sudah berpakaian cukup kemas dengan baju melayu teluk belangga hitam serta seluar hitam. Songkok juga hitam.

"Ke mana ?" tanya nenek.

"Ke rumah bini muda," balas datuk selamba. Nenek mengizinkan datuk pergi

Dua hari sesudah datuk pergi ke rumah bini mudanya di kampung orang bunian. Saya dipanggil oleh Jabatan Perhutanan Negeri Perak ke Batu Gajah untuk menjalani temuduga bagi memenuhi jawatan buruh hutan yang kosong dalam jabatan tersebut.

Saya terpilih dan ditempatkan di Slim River. Tidak lama saya bertugas di situ. Cuma satu minggu sahaja. Saya berhenti kerana kerja itu saya kira tidak sesuai dengan jiwa saya.

"Aku tahu, kau tak sesuai, perangai kau tak suka diperintah orang. Kau ni layak kerja sendiri jadi petani atau peniaga," kata datuk menyambut kepulangan saya di anjung rumah.

Sesungguhnya jiwa saya rasa tenteram menjaga kebun datuk dan menjual buah‐buahan hasil dusun datuk di Cangkat Beranagan. Saya rasa hidup begini agak bebas. Sekali sekala ikut datuk menembak rusa atau kijang di mana‐mana yang disukainya.

DIPANGGIL PULANG

Pagi itu, seperti biasa saya pergi kedusun memetik buah langsat dan rambutan untuk dijual pada peraih yang datang pada sebelah petang. Sedang saya asyik bekerja, datuk menemui saya.

"Banyak yang kau dapat langsat?"

"Kira dua pikul ada tuk."

"Tinggalkan pada nenek untuk menyelesaikan bila peraih Kum Meng datang petang ni."

"Kenapa ?"

"Aku nak ajak kau ke kampung Cangkat Cermin, ada wakil ketua kampung datang menjemput aku."

"Apa halnya."

"Usah tanya, ikut cakap aku."

Saya terdiam dan meninggalkan bakul buah langsat di dusun. Dengan basikal saya dan datuk ke kampung Cangkat Cermin yang terletak di lebuh raya Ipoh ‐ Lumut. Masa itu, lebuh raya masih belum dibina lagi. Kami terpaksa berbasikal membelah jalan tanah merah.

Sejak adanya lebuh raya, orang‐orang di Cangkak Cermin tidak menggunakan jalan tanah merah yang lama itu. Kami sampai ke rumah ketua kampung lebih kurang pukul dua petang. Saya dan datuk ditempatkan di satu bilik khas.

"Apa salahnya Tok Sidang memanggil saya ?" soal datuk kepada Ketua Kampung yang berjanggut itu. Ketua Kampung mengerutkan keningnya.

"Ada hajat besar."

"Apa hajatnya?"

"Anak buah saya berlakikan hantu raya."

"Ha…," mulut datuk ternganga.

Saya mula resah tidak menentu. Ketua Kampung terus bercerita tentang diri anak buahnya yang malang itu. Setiap malam anak buahnya yang baru kematian suami itu di datangi oleh hantu raya. Menurut ketua kampung itu, hantu raya tersebut tidur dan bercumbuan mesra dengannya hingga menjelang subuh.

"Siapa nama perempuan itu?" datuk mula menyoal.

"Timah."

"Bila suaminya mati?"

"Kira‐kira enam bulan yang lalu."

"Ada anak?"

"Tak ada, suaminya mati dilanggar lori balak di Pekan Air Tawar."

"Ini kerjanya sulit sikit." Datuk separuh mengeluh.

"Dia mengadu pada saya minta tolong, bukan setakat itu saja, hantu raya itu kadang‐kadang mengacau orang kampung," tambah Ketua Kampung.

Datuk terdiam. Dia berfikir. Tiba‐tiba datuk bangun. Berdiri dan berjalan di anjung rumah Ketua Kampung.

"Saya perlu jumpa dengannya," itu yang terkeluar dari mulut datuk.

"Bila ?"

"Kalau boleh sekarang juga."

Ketua Kampung, saya dan datuk turun dari rumah. Ketua Kampung membawa kami ke rumah Timah

dengan melintasi ladang getah kepunyaan orang Inggeris. Rumah Timah terletak di sebidang tanah yang agak terpisah dengan rumah‐rumah penduduk di situ. Di kawasan sekeliling rumahnya ditanam dengan ubi kayu dan keledek. Di bahagian belakang rumahnya terdapat sepohon pokok cempaka. Tidak jauh daripada pokok itu terdapat sebatang pokok pulai.

Dari kaki tangga, Ketua Kampung memberi salam. Tidak ada jawapan. Lagi sekali salam diberi. Pintu rumah Timah terkuak dengan sendiri. Batang tubuh Timah tidak juga muncul. Datuk pandang saya dan saya pandang Ketua Kampung. Dahi Ketua Kampung kelihatan berkerut.

Sinar matahari petang beransur teduh. Saya terdengar bunyi burung helang bertalu‐talu, beberapa ekor burung gagak terbang rendah sambil berbunyi. Saya terasa bunyi burung gagak itu agak berbeda dengan bunyi suara gagak yang selalu saya dengar.

No comments: