Oleh : Nita Dahnim
May 18, 2022
Sumber : <<<UtusanTV>>>
KETIKA ini sedang hangat diperkatakan tentang filem Indonesia berjudul KKN Di Desa Penari yang sedang ditayangkan di pawagam. Kisah filem ini tular diperkatakan sejak tahun 2019 lagi.
KKN Di Desa Penari merupakan filem arahan Awi Suryadi. Filem ini asalnya dijadualkan tayangannya pada Mac 2020, namun ia ditunda kerana pandemik Covid-19.
Filem ini mula ditayangkan pada penghujung April 2022 dan tidak lama selepas itu mula menjadi bualan hangat netizen Indonesia dan Malaysia.
Filem ini mengisahkan tentang 6 orang mahasiswa bernama Nur, Widya, Ayu, Bima, Anton dan Wahyu yang menjalankan tugasan semester akhir mereka di sebuah desa terpencil dan mengalami pelbagai perkara misteri sepanjang berada di situ.
Antaranya penampakan wanita cantik dan lembaga hitam bertanduk kerbau, mendengar bunyi gamelan dan pelbagai lagi peristiwa yang menyeramkan dan menimbulkan tanda tanya.
Pada penghujung cerita, Bima dan Ayu meninggal dunia. Kematian mereka dikaitkan dengan pantang larang yang telah dilanggar mereka semasa berada di desa itu.
Di sebalik filem ini, banyak kisah yang dikaitkan. Berikut antara info ringkas yang diperkatakan tentang kisah sebenar di sebalik filem ini.
- Dikatakan filem ini diangkat berdasarkan kisah benar yang berlaku 13 tahun lalu. Ia diceritakan melalui bebenang laman Twitter pada tahun 2019 dari akaun seorang pengguna Twitter yang dikenali sebagai SimpleMan.
- SimpleMan merupakan penulis seram Indonesia di mana beberapa karyanya terkenal dan trending di Twitter. Salah satunya adalah kisah KKN Di Desa Penari. Walaupun banyak ceritanya yang tular, namun tidak diketahui identiti sebenar SimpleMan ini. Ada yang meneka SimpleMan ini lelaki berusia 30-an dan anak kepada seorang pensyarah. Semua cerita yang ditulisnya berdasarkan kisah sebenar sama ada melalui pengalamannya sendiri atau melalui temubual dari kenalannya.
- Kisah yang diceritakan SimpleMan itu menjadi tular sehingga ia kemudian diangkat ke layar perak, maka terhasillah filem KKN Di Desa Penari ini. Nama ‘DESA PENARI’ dalam filem termasuk nama-nama watak hanyalah nama samaran, bukan nama sebenar lokasi dan mereka yang terlibat dalam kejadian.
- Berdasarkan kisah yang dikatakan benar-benar berlaku itu, diceritakan kejadian berlaku pada tahun 2009, di mana enam orang mahasiswa sebuah universiti di Indonesia telah datang ke sebuah desa terpencil yang lokasinya terletak di Jawa untuk melakukan kajian dan tugasan. Tugasan tersebut membabitkan 6 pelajar dari dua buah fakulti untuk melakukan program kerja kumpulan dan khidmat masyarakat selama 6 minggu. Namun, ramai yang mengatakan kejadian yang sebenar berlaku sekitar tahun 1999. Tahun 2009 yang digunakan dalam tulisan SimpleMan hanyalah sekadar samaran sahaja. Dikatakan para mahasiswa yang terlibat dalam kejadian ini sekarang sudah berusia 40-an.
- KKN pada tajuk filem ini bermaksud ‘Kerja Kuliah Nyata’. Ia merupakan tugasan semester akhir para pelajar tersebut. Di Indonesia, pelajar universiti sebelum graduasi wajib membuat projek khidmat masyarakat ke kawasan kampung atau pendalaman. Itu salah satu syarat wajib mereka untuk menamatkan pengajian.
- Lokasi terpencil desa itu dan nama sebenar pelajar yang terlibat dirahsiakan. Lokasi penggambaran filem ini juga dirahsiakan.
- Melalui kisah yang ditulis SimpleMan, kisah ini dipaparkan melalui dua versi penceritaan. Pertama, melalui versi watak Nur. Kedua, melalui versi watak Widya. Kedua-dua versi ini saling berkait dan menjadi pelengkap kepada kisah ini.
- Menurut SimpleMan, dia mendapat cerita ini melalui sumber yang sahih. Ada yang mengatakan sumbernya itu adalah kenalan kepada ibunya.
- Walaupun lokasi kejadian dirahsiakan, apabila kisah ini tular, netizen Indonesia cuba mencari lokasi desa yang dimaksudkan. Ramai mengatakan kejadian ini berlaku di Desa Gombengsari di Kalipuro, Banyuwangi di Jawa Timur, Indonesia.
- Trans7 TV Indonesia juga pernah mengeluarkan video mendakwa menemui lokasi sebenar Desa Penari ini yang terletak berdekatan kaki gunung Gumitir. Dikatakan lokasi itu sudah tidak diduduki. Yang tinggal hanyalah rumah-rumah kosong dan tapak perkuburan. Begitu juga dengan seorang Youtuber baru-baru ini mendakwa telah menemui lokasi sebenar desa itu. Namun, tiada pengesahan yang sahih sama ada daripada pencerita asal atau pihak produksi tentang lokasi sebenar desa tersebut.
- Turut diceritakan bahawa Pak Prabu iaitu ketua desa itu pada awalnya keberatan untuk menerima peserta KKN itu. Ada yang mengaitkannya dengan cerita bahawa di desa itu tiada anak gadis. Dikatakan sebelum itu telah berlaku beberapa kes kematian membabitkan anak gadis kampung itu. Yang anehnya, anak-anak gadis di kampung itu akan menari sebelum mati.
- Ada juga yang menyebut bahawa sebenarnya ada 14 orang yang terlibat sebagai peserta KKN ini, namun tulisan SimpleMan hanya menjurus kepada 6 orang sahaja, mungkin supaya jalan cerita menjadi lebih mudah dan fokus pada kisah yang hendak disampaikan.
- Dalam filem ini, terdapat satu watak dikenali sebagai Badarawuhi. Menurut kepercayaan masyarakat Jawa Timur, Badarawuhi ini merupakan makhluk halus berwajah cantik tetapi berbadan ular, berasal dari kerajaan pantai selatan. Tugasnya ialah menari untuk menghiburkan makhluk halus di hutan yang berada di bawah jagaannya.
- Walau apa pun misteri di sebalik kisah KKN ini, ia sebenarnya memberi pengajaran agar kita menjaga adab, mulut dan tingkah laku ketika berada di tempat orang. Hormat dan ikut pesanan orang tua dan tidak melakukan perkara tidak elok, serta tidak melakukan perjanjian dengan makhluk lain yang akhirnya memakan diri sendiri.
No comments:
Post a Comment