Saturday, May 3, 2025

SBDJ (JILID 1) : EP7 - TERKENCING DALAM SELUAR

 TAMAR JALIS

SIRI BERCAKAP DENGAN JIN

JILID 1



SBDJ (JILID 1) SIRI 7 - TERKENCING DALAM SELUAR


"Kita masuk ke dalam lagi," katanya. Tanpa membantah datuk dan saya mengikut perintahnya. Satu kawasan lapang kami cari. Berkhemahlah kami di situ. Sementara menanti matahari terbenam, Mr.Brown mengutip dan meneliti tanah dan batu yang ditemuinya di kawasan tersebut.

"Kita berada di kawasannya," kata Mr.Brown pada datuk sambil membaca buku tebal yang dibawanya.

Setiap kali dia dapat tanah atau batu dia buka buku. Matahari pun terbenam di kaki langit. Datuk ambil air sembahyang dari kolam yang terdapat di situ. Airnya cukup jernih. Lepas sembahyang datuk dan Mr.Brown terus masak. Lepas makan Mr.Brown baca buku. Lampu gaslin yang terpasang dalam khemah cukup terang. Dalam ingatan saya, sudah tiga malam kami berkhemah dalam hutan tebal. Lebih kurang pukul sembilan, saya sudah tidak berdaya membuka kelopak mata. Saya mengantuk betul. Saya terus tidur dan bermimpi menemui seorang perempuan yang cantiknya tidak dapat saya lukiskan. 


Dia bagaikan gadis bangsawan duduk berjuntai kaki di balairong seri sambil membawa lagu‐lagu Hindu dengan irama yang merdu dan halus. Dia bangkit lalu mendekati saya. Dia mengajak saya berjalan mengelilingi istana. Kulitnya cukup halus. Bau badannya semerbak wangi. Senyum sentiasa terukir di bibir nipisnya.

"Siapa namamu," tanya saya. Dia tidak menjawab. Jejari tangannya yang lentik terus mengheret tangan saya menuju ke pokok besar. Saya patuh pada arahannya, berjalan di rerumput yang menghijau di depan istana.

"Ke mana ?" soal saya. Dia tidak menjawab, tapi jari telunjuknya menuju ke arah pohon beringin rendang.

"Siapa namamu ?" ulang saya lagi. Dia berhenti berjalan.

"Dayang pada Tuan Puteri Zarid Gangga," dia menjelaskan pada saya. Fahamlah saya sekarang. Rupanya dia orang kanan dalam istana kerajaan Gangga Negara. Sebaik saja sampai di bawah pohon beringin. Dia menghilangkan diri. Saya terkejut dan terbangun. Saya lihat Mr.Brown masih lagi membaca buku dan meneliti ketul batu dan tanah yang dikutipnya. Datuk masih lagi mengadap asap kemenyan yang dibakar. Saya ceritakan pada mereka apa yang saya alami dalam masa tidur tadi.

Pagi esoknya, kami mencapai kata sepakat untuk mengali tanah di bawah pohon beringin. Lima jam kami mengali tanah. Akhirnya kami menemukan sebuah peti besi yang dibuat dari logam kekuningan. Mr.Brown segera membuka peti itu. Datuk terkejut, kerana dalampeti itu terisi tengkorak manusia. Kami berhenti menggali, kerana hari sudah beransur gelap. Datuk membungkus tengkorak itu dengan kain kuning. Malam pun tiba. Fatuk mengusap tengkorak itu dengan kemenyan. Dua tiga kali dia meletakkan tengkorak itu atas peti dan merimbasnya dengan kain hitam.

"Tengkorak ni tak ada apa‐apa," kata datuk pada Mr.Brown. Mr.Brown anggukkan kepala.

 Tengkorak itu diletakkannya di dalam peti. Lepas itu kami masuk ke dalam kelambu masing‐masing. Menjelang tengah malam, saya terjaga. Bagaikan ada tangan yang mengoyangkan bahu kanan saya. Yang pertama kali saya dengar, suara wanita menyanyi sayup‐sayup di selang‐seli dengan bunyi gendang. Nyanyian dan bunyi gendang makin lama makin dekat. Kemudian menghilang. Cuma yang kedengaran bunyi desiran angin yang kuat. Di tingkah dengan bunyi raungan harimau, suara burung tukang dan jampok bersahut sahutan. 

Terfikir juga oleh saya untuk membangunkan Mr.Brown dan datuk. Bila saya kaji dalam‐dalam, mereka tidak perlu dibangunkan. Saya jatuhkan kepala atas bantal. Desir angin dan nyanyian burung hutan terhenti. Saya terdengar suara orang memanggil saya di luar khemah. Saya amati suara itu. Datangnya dari arah pohon beringin. Suara itu cukup jelas. Saya membuat keputusan untuk keluar dari perut khemah dan menuju ke pohon beringin seorang diri. Di luar khemah, saya dongak ke atas. 

Malam memang tidak berbintang, tetepi awan kelihatan cukup bersih. Angin malam bertiup cukup keras. Pepohon di kiri kanan khemah bagaikan digoyang orang. Tiba‐tiba saja hati saya membuat keputusan tidak mahu pergi ke bawah pokok beringin.

Saya masuk ke dalam belukar di kanan khemah, saya mahu mengintip dari situ. Saya renung ke arah datangnya suara wanita itu. Badan saya mengeletar. Sepasang mata saya melihat tubuh seorang wanita berdiri tanpa kepala di situ. Tanpa saya sedari,dahi saya berpeluh, kawasan tempat wanita itu berdiri cukup terang.

Saya membuat keputusan untuk masuk ke dalam khemah. Bila saya mahu melangkah, kepala lutut saya terasa cukup lemah. Saya jatuh terduduk atas tanah. Mata saya masih lagi tertumpu ke arah pohon beringin. Saya saksikan sebuah kepala bergolek‐golek atas tanah, kemudian memanjat tubuh wanita itu, lalu bercantum dengan leher. Dalam sekejap mata wanita itu hilang. Kemudian berdiri betul di depan saya, 

Tuhan saja yang tahu perasaan saya ketika itu. Bumi serasa tidak ada. Peluh terus menguasai seluruh badan saya. Suara sudah tidak mempu keluar dari kerongkong. Dalam saat yang payah itu, segera wanita itu hilang. Berdiri di bawah pohon beringin hilir mudek di situ. Memang sahlah, wanita itulah yang saya temui dalam mimpi saya yang lalu.

Kemudian wanita itu pergi ke khemah yang didiami oleh Mr.Brown dan datuk. Lebih kurang lima enam langkah mahu sampai ke gigi khemah, dia berpatah balik. Menuju ke kolam tempat datuk mengambil air sembahyang. Bila wanita itu berdiri di depan kolam, dia terus menjerit. Saya lihat kepalanya jatuh ke tanah, berguling‐guling menuju ke pangkal pohon beringin. Tubuh wanita itu segera ghaib. 

Serentak dengan itu, saya terdengar suara orang bergaduh, saya terdengar suara jeritan gajah. Saya terdengar bunyi pedang belaga. Semuanya tidak kelihatan dan berlaku di kawasan dekat khemah kami. Bila semuanya tidak kedengaran lagi, saya lihat ada tubuh lelaki hitam memeluk seorang gadis genit, tanpa baju dan kain. Lelaki hitam membalutkan tubuh wanita itu dengan jubah yang dipakainya. 

Wanita dibawanya naik ke atas belakang gajah. Mereka bergerak ke selatan bersama dengan bunyi gendang perang yang hebat.

Sementara itu fajar pagi pun tiba. Saya masih tertiarap atas tanah. Seluruh badan saya terasa lemah.

Datuk yang bangun untuk sembahyang subuh bagaikan tahu yang saya tidak ada dalam khemah. Selesai sembahyang subuh dia pun mencari saya.

"Kenapa begini," tanya datuk terkejut melihat saya terbaring atas tanah. Saya mahu menceritakan semua yang saya lihat, tapi suara saya tidak keluar. Datuk kembali ke khemah mengambil kain hitam.

Barulah saya boleh bergerak dan bersuara. Datuk memimpin saya ke khemah. Dia merunggut dan marahkan saya, kerana saya keluar tidak memberitahunya. Semua yang saya lihat saya ceritakan pada Mr.Brown dan datuk dengan jelas dan terang. Ketika Mr.Brown membuka peti besi kecil tempat menyimpan tengkorak, dia terkejut. Tengkorak yang berbungkus kain kuning, hilang entah ke mana.

Datuk mencadangkan pada Mr.Brown supaya menggali tanah di sekitar kawasan kolam. Mr.Brown tidak setuju , dia lebih suka kalau air kolam itu di keringkan, kemudian perut kolam itu digali. Datuk terima cadangan itu, kerana mengerinkan air kolam itu bukanlah satu perkara yang sukar. Mr.Brown sendiri ada membawa jentera untuk mengeringkan air. Lebih kurang pukul lapan pagi, kerja untuk mengeringkan kolam pun bermula. Satu jam kemudian air dalam kolam pun kering. Saya terkejut, rupanya kolam itu dibuat dari batu gunung yang tersusun rapi. Batu bahagian permukaannya sudah banyak yang pecah serta ditimbus oleh tanah.

Datuk menduga, kolam itu tempat mandi dan tempat bermain keluarga bangsawan dalam zaman pemerintah Gangga Negara. Bila air kolam sudah kering betul. Datuk, Mr.Brown dan saya pun memecahkan lantai kolam. Tanah di situpun kami gali. Barang‐barang yang kami temukan di dalam kolam itu ialah rangka manusia dan peti besi yang berisikan tengkorak yang hilang dari simpanan Mr.Brown. Dengan perintah datuk tulang‐tulang serta tengkorak itu ditanam semula dalam satu lubang dekat pokok meranti. Pada sebelah malamnya, datuk membuat keputusan yang nekad. Dia mengajak saya dan Mr.Brown tidur dekat kolam yang sudah dikeringkan itu.

"Ini merbahaya," bantah Mr.Brown.

"Kalau awak mahu mencari apa yang awak hajat, awak kena ikut saya." Suara datuk meninggi. Matanya mula merah.

"Ok saya ikut."

"Begitulah." Datuk pun ketawa berdekah‐dekah.

Sepanjang malam di tepi kolam itu, datuk terus menerus membakar kemenyan. Dia memakai baju hitam, seluar hitam. Sekali pandang, datuk bagaikan hulubalang kerajaan Melayu Melaka. Datuk terus membaca mentera di depan asap kemenyan. Sekali‐sekala dia membuka silat. Tiba‐tiba datuk diam.

Matanya pejam. Badannya tidak bergerak. Asap kemenyan berkepul‐kepul naik ke udara. Datuk rebah di situ. Saya segera mahu menghampirinya.

"Jangan, dia menerima pertunjuk dari orang lain," kata Mr.Brown sambil memegang bahu kanan saya.

Malam terasa cukup dingin dengan tiupan angin yang sungguh kencang. Suara burung hantu dan salakkan anjing serigala kedengaran sayup‐sayup. Datuk melompat dan terus duduk bersila memandang muka Mr.Brown sambil berkata: Seorang pengasuh puteri datang pada aku, dia mengucapkan terima kasih, kerana kita telah mempersatukan tubuh dengan kepalanya serta menanam jasadnya dengan penuh hormat. Ketika aku tanya kenapa dia mengalami nasib buruk itu. Dia telah menerangkan pada aku, kepalanya telah dipancung oleh angkatan Raja Suran, badannya dicampakkan ke dalam kolam, kepalanya ditanam di bawah pokok beringin. 

Dia ingin membalas jasa kita semua. Dia telah memberitahu pada aku di mana barang‐barang Raja Gangga Negara, seperti pedang kebesaran, mahkota dan emas berlian ditanam."

"Di mana tempatnya tok, " tanya saya tidak sabar.

"Sabar, esok saja aku ceritakan." Suara datuk tenang. Lepas itu dia mengajak kami kembali ke khemah semula.

Pagi esoknya, datuk menyuruh saya dan Mr.Brown meruntuhkan khemah. Kemudian turun ke dalam sampan. Dari situ kami menyusul tebing sungai Bruas yang penuh dengan buaya liar ke sampai ke Tanjung Ara ‐ dekat Pangkalan Bharu. Dari situ kami mendarat di satu kawasan berbukit. Hutannya cukup tebal. Kami berjalan ke arah matahari jatuh hingga bertemu dengan kawasan tanah yang agak tinggi yang gondol itu penuh dengan batu‐batu pejal. Datuk menyuruh kami mendirikan khemah di situ.

"Puteri itu telah membawa aku ke mari, " kata datuk, "menurutnya Raja Gangga Negara, Shah Johan telah menanam hartanya di sini. Jauh dari pusat kerajaannya, dia melakukan ini, sebelum kepalanya dipancung oleh Raja Suran." Datuk pun berhenti bercerita. Mr.Brown ketawa berdekah‐dekah. 

Barang yang dicari dan dihajati sudah ada didepan matanya. Kawasan itu segera kami bersihkan. Saya terjumpa patung ular yang dibuat dari tembaga dipuncak tanah tinggi itu. Patung ditegah oleh datuk dari dijamah oleh sesiapapun. Kata datuk di bawah perut patung itulah tempat harta karun Raja Gangga Negara.

Mr.Brown pun menyiapkan alat peletup. Menurutnya pendapatnya harta‐harta itu tertanam lebih kurang sepuluh meter ke dalam bumi. Bila dinamit yang dipasang itu meletup, boleh menolong melongsurkan tanah sedalam enam atau lapan meter, kemudian tanah itu akan digali. Datuk setuju dengan cadangan itu, masa untuk meletupkan kawasan itu ditetapkan pada tepat pukul empat petang.

Tepat pukul empat petang, terdengarlah satu letupan bergema dalam hutan tebal, batu‐batu berterbangan, pokok‐pokok habis tercabut. Tanah tinggi disitu kelihatan rata. Mr.Brown cukup gembira, dia tidak putus‐putus ketawa. Bila ketawanya berhenti, Mr.Brown terkejut besar, dari kawasan tanah yang diletupkan itu keluar beratus‐ratus ekor ular sebesar peha menyerang kami. Saya, datuk dan Mr.Brown lari lintang pukang menuju ke perahu untuk menyelamatkan diri, semua barang‐barang kami tinggalkan. Sampai di perahu saya lihat dahi Mr.Brown berdarah. Seluarnya habis koyak.

Kami menyusul tepi sungai Bruas menuju ke arah Pekan Pangkalan Bharu, Ketika itu senja sudah pun tiba, hari sudah mula gelap. Perahu kami tiba‐tiba tidak boleh bergerak. Air sungai melimpah dengan tiba‐tiba. Tebingnya yang tinggi ditenggelami air. Datuk nampak cemas. 

Kemudian dia senyum dan berkata : "Kalau kami salah ampunkanlah."

Sehabis sahaja datuk berkata, dari perut sungai timbul seorang lelaki yang bertubuh besar dengan pakaian kebesaran seorang raja. Anehnya semua pakaiannya itu tidak basah, mestipun ia baru timbul dari dasar sungai. Wajahnya kelihatan bengis. Malam yang gelap itu bertukar menjadi cerah bagaikan siang hari. Datuk terus berhadapan dengan orang itu.

"Awak mesti tahu, tidak seorangpun yang boleh mengambil harta kerajaan Gangga Negara. Itu milik kami. Awak sebenarnya manusia bodoh, kalau ular yang keluar dari lubang yang awak letupkan itu awak tangkap, ular‐ular itu akan bertukar menjadi harta karun dan emas. Awak mesti menerima hukuman kerana mengkhinati kami," lelaki bertubuh besar bersuara.

Datuk masih berhadapan dengannya, cukup tenang menghadapi suasana yang gawat itu. Datuk mengenakan tanjak di kepala dan mencabut keris dari pinggang.

Datuk terus membaca sesuatu. Datuk mengambil seketul batu dari perut perahu. Batu itu dibalingkan pada lembaga yang terpacak dalam sungai. Bila batu itu terkena badan lelaki yang besar dan gagah. Dia segera menjerit dengan sekuat hatinya. Kemudian dia menghilangkan diri. Air sungai yang melempah terus surut. Suasana yang cerah bertukar menjadi gelap. Saya merenung ke langit. Bintang bertaburan. Mr.Brown tidak berkata walau sepatah pun. Dia terjelepuk dalam perut sampan.

"Dia sudah pergi," kata datuk dan terus mengalah sampan ke hilir. Lebih kurang pukul sepuluh malam kami sampai ke Jambatan Pengkalan Bharu. Dari situ datuk menumpang lori ikan menuju ke Pekan Pantai Remis. Datuk membuat laporan ke balai polis. Sarjan Ramli menyuruh seorang pemandu kereta polis membawa datuk ke Jambatan Pengkalan Bharu kembali.

Dengan kereta polis kami menghantar Mr.Brown ke bunglownya. Kerana jam sudah pukul dua belas.

Mr.Brown menyuruh saya dan datuk tidur di bunglownya. Kira‐kira pukul dua pagi Mr.Brown menjerit tidak tentu arah. Dia berlari ke seluruh kawasan bunglownya sambil menjerit. Semua pekerja ladangnya menjadi gempar. Datuk dengan bantuan pekerja ladang getah berjaya menangkap Mr.Brown. Mr.Brown terpaksa diikat di pangkal pokok getah di depan bunglownya dengan rotan seni. Dan datuk terpaksa menjaganya hingga ke pagi. Seorang kerani besar di ladang tersebut. Mr.Anadurai terus menghubungi Hospital Lumut. Lebih kurang pukul sepuluh pagi sebuah ambulan dari Hospital Lumut tiba. 

Mr.Brown yang masih menjerit dan mengoyak pakaiannya dimasuk ke dalam kereta tersebut. Dari Hospital Lumut dia dibawa ke Hospital Besar Ipoh. Seminggu Mr.Brown duduk dalam jeriji besi di Hospital Besar Ipoh.

Lepas itu Mr.Brown dibawa ke rumah sakit otak di Tanjung Rambutan. Tiga bulan Mr.Brown ditempatkan di situ. Datuk tidak pernah sekali pun melawatnya. Penyakit Mr.Brown tidak juga mahu sembuh.

"Orang putih tu tak jujur," datuk mengadu pada saya.

"Kenapa tok kata macam tu ?"

"Aku yakin dia tak jujur," suara datuk merendah. Saya bertambah binggung kerana datuk tidak menerangkan apakah maksudnya dengan perkataan tidak jujur itu. Dan saya tidak mahu menyoal lebih lanjut tentang perkara tersebut. Datuk nampak resah saja sepanjang hari itu. 

Semua kerja yang dibuatnya terganggu. Dia asyik mahu marah saja, kalau saya membunyikan radio agak kuat.

"Aku mahu ke rumah orang putih bangsat tu, memanglah orang‐orang dari England ni, satu bangsa yang tak boleh dipercayai, di depan kita bukan main baik, belakang kita jadi pengkhianat pada diri kita sendiri," datuk merunggut panjang. Dia pun mengenakan seluar hitam dan baju merah ke badannya.

"Buat apa datuk ke rumah dia ?" Dia bukan ada."

"Kau mana tau, ini urusan aku." Datuk memijak anak tangga turun dan mengambil basikal di bawah rumah. Dengan basikal dia pergi rumah besar Mr.Brown. Lebih kurang pukul lima petang datuk pun pulang. Saya melihat dia membawa satu bungkusan kecil di pelantar basikalnya. Sebaik saja datuk menongkat basikal saya terus menghampirinya.

"Jangan pegang bungkusan tu."

"Apa bendanya tok ?"

"Tanah yang diambil Mat Sallih bangsat tu, di tempat puaka disembunyikan dalam beg."

"Tok nak buat apa dengan tanah itu."

"Aku nak pulangkan balik, kalau tak dipulangkan kita kena petakanya.

Mendengar cakap datuk itu, fahamlah saya kenapa dia menuduh Mr.Brown tidak jujur. Dan malam itu saya menemani datuk menghanyutkan tanah di sungai. Datuk meletakkan tanah segumpal itu di atas upih pinang, kemudian dihanyutkan. Masa datuk melakukan semuanya itu, dia tidak bercakap atau bersuara cuma lulutnya saja yang kelihatan kumat‐kamit membaca sesuatu.

Seminggu selepas datuk menghanyutkan tanah puaka itu. Datuk mendapat berita dari kerani besar ladang getah yang Mr.Brown telah meninggal dunia. Mayatnya telah pun dihantar ke England. Tempat Mr.Brown segera diganti oleh J.Mackintos dari Singapura, tetapi yang anehnya pengurus baru itu tidak berani duduk di bunglow. Setiap kali dia tidur di bunglow tersebut. Dia selalu saja diganggu oleh satu lembaga yang menyerupai Mr.Brown. Kadang‐kadang pengurus baru tiu diangkat dari bilik tidur ke ruang dapur. 

Ada kalanya dicampakkan ke tengah halaman bunglow. Jadi, bunglow besar yang serbalengkap terbiar. Dalam tahun 1960 bunglow besar itu dibakar oleh seorang pekarja ladang getah yang naik darah kerana setiap malam dia terdengar bunyi orang menangis dalam bunglow tersebut. 

Sebaik saja bunglow itu hangus di makan api. Pekerja itu mati ditimpa oleh salah satu tiang dari dalam bunglow itu hingga kini masih wujud. Penuh dengan pokok‐pokok hutan.Semua peristiwa itu dijadikan datuk sebagai pengajaran. Dia selalu mengingatkan saya begini : Lakukan semua pekerjaan atau apa saja dengan rasa tanggung jawab dan jujur. Kerana kejujuran adalah harga diri manusia yang tidak ternilai. Telalu sedikit manusia yang tidak jujur pada diri sendiri, pada janji dan sebagainya, bila kau menjadikan kejujuran itu panduan hidup, engkau akan merasa kebahagiannya.

Saya cuma anggukkan kepala sahaja bila mendengar dia berkata begitu. Beberapa bulan berselang, datuk menyatakan hasratnya untuk pergi ke Kampung Sadang untuk memikat burung waktu malam. Saya tidak tahu bagaimana datuk teringatkan hal itu. Pada fikiran saya dia sudah tentu melupakannya. Sebenarnya, saya sudah memutuskan dalam hati, bahawa saya tidak akan menurut bersama datuk pergi ke tempat tersebut.

"Minggu depan, petang Jumaat aku nak pergi," datuk mengingatkan saya.

"Baguslah tu tok, barang‐barang yang dulu semuanya ada di dalam bilik."

"Kau bagaimana ? Tak mahu ikut sama ?" tanya datuk.

"Saya malaslah datuk." Datuk puas hati dengan jawapan saya itu. Sementara menanti petang Jumaat, datuk hanya duduk di rumah saja. Kadang‐kadang dia menjenguk bini mudanya di kampung bunian.

Pada suatu petang. Selepas datuk menemui isteri mudanya, dia memanggil saya. Cepat‐cepat saya menghampirinya. Datuk duduk terjuntai kaki di kepala tangga.

"Ada apa datuk ?"

"Dua tiga hari ni, aku selalu teringatkan adik bongsu aku yang duduk di Hulu Kuang, agaknya dia sakit."

"Habis datuk nak pergi ke sana ?"

"Hajat tu memanglah begitu."

"Kata datuk, datuk nak pergi ke Kampung Sadang."

"Itu tak mustahak yang penting adik beradik." Saya terdiam mendengar cakap datuk itu. Saya segera teringat, kali terakhir saya bertemu dengan adik bongsu datuk yang saya panggil ayah Ngah itu, dalam tahun 1947. Lepas itu saya tak pernah bertemu dengannya lagi, terlalu sukar untuk pergi ke Hulu Kuang.

Tidak ada kenderaan yang boleh sampai ke sana. Lagipun kawasan itu termasuk dalam kawasan hitam, (sekarang sudah ada jalanraya dan kenderaan yang berulang‐alik dari Chemor ke Hulu Kuang) kerana hal‐hal itu saya dan datuk terpisah dengan keluarga.

Petang itu juga kami bertolak dari rumah datuk ke Ipoh dengan naiki bas. Dari Ipoh kami menyewa teksi pergi ke Chemor. Sampai ke Chemor sudah pukul enam petang. Kami tidak dibenarkan masuk ke Hulu Kuang, kerana kawasan itu terlibat dengan perintah berkurung dari jam enam petang hingga enam pagi.

Suara Harimau Datuk terus melaporkan dirinya ke Balai Polis Chemor kerana kami membuat keputusan untuk tidur di masjid Chemor. Sesudah memberikan butir‐butir mengenai diri kami kepada pihak polis, kami dibenarkan tidur di masjid tersebut. Sesudah menunaikan sembahyang Isyak, saya terus baring di bucu masjid. Datuk baring dekat tiang. Akhirnya saya terlena. Lebih kurang pukul dua malam, datuk mengejutkan saya.

"Bangun kita pergi ke Hulu Kuang."

"Macam mana nak pergi, nanti kita kena tangkap atau ditembak askar."

"Kau ni banyak cakap pula, bangun sajalah," suara datuk keras.

Dia menarik tangan saya hingga terduduk. Saya terus kesat mata dengan belakang tangan. Datuk menyuruh saya berdiri di muka pintu masjid. Perintahnya saya ikuti.

"Sebentar lagi dia datang," Datuk beritahu saya.


(51)


No comments: