TAMAR JALIS
SIRI BERCAKAP DENGAN JIN
JILID 1
"Apa yang datang tok ?" tanya saya ingin tahu.
"Kau jangan banyak cakap," Datuk menyergah saya.
Mukanya kelihatan bengis. Masa itu datuk sudahpun mengenakan baju hitam, seluar hitam di badan. Kepalanya juga dililit dengan kain hitam. Dalam hati kecil saya timbul keraguan tentang diri datuk. Saya mengira dia ada hubungan dengan pengganas komunis. Kalau tidak masakan dia berani berjalan malam waktu zaman dharurat.
"Ke tepi," datuk menolak badan saya yang tercegat di muka pintu masjid. Saya tersungkur atas lantai.
Datuk menampar tangan kanannya ke pangkal paha kanannya dengan sekuat hati. Dia melemparkantujuh biji batu bertih ke tengah laman masjid. Kemudian datuk menekan ibu jari kanannya ke tapaktangan kiri tujuh kali berturut‐turut. Tiba‐tiba saya terdengar bunyi suara harimau mengaum. Cukup kuat. Kepala lutut saya mengeletar. Dengan tiba‐tiba sahaja saya rebah atas lantai masjid dan tidak berdaya bangun. Seekor harimau belang yang cukup besar muncul di depan halaman masjid sambil menguit‐guitkan ekornya.
"Makanlah kau lapar," suara datuk keras. Saya lihat harimau itu terus memakan tujuh biji bertih. Bila harimau itu selesai makan. Datuk segera merapatinya. Datuk menggosok‐gosok kepala harimau itu dengan tangannya. Dan lidah harimau yang panjang itu menjilat pipi dan hidung datuk. Harimau itu berguling‐guling atas tanah sambil kakinya menampar seluruh badan datuk. Datuk mengosok perut harimau itu. Datuk mengira kuku di jari harimau. Datuk bermain‐main dengan harimau macam bermain dengan anak kucing. Akhirnya datuk menepuk dahi harimau tujuh kali dengan tangan kiri. Harimau pula menjilat telinga kanan datuk tujuh kali.
"Bangun, kau dah kenyang." Mendengar cakap datuk itu , harimau besar segera bangun sambil menguap. Saya bertambah ngeri melihat giginya yang tajam dan putih. Harimau itu menggaum lagi.
Datuk memanggil saya. Saya cuba bangun tapi saya tidak berdaya. Tempurung lutut saya terasa longgar. Datuk terus menarik tangan saya. Saya diheret hingga ke depan harimau besar.
"Ini cucu aku," datuk memberitahu harimau besar. Saya lihat sepasang mata harimau itu merenung ganas ke wajah datuk. Datuk berdehem tiga kali berturut‐turut. Harimau itu melunjukan kaki depannya.
Badannya direndahkan. Datuk mengangkat badan saya lalu diletakannya di pangkal tengkuk harimau berbadan besar serta berbelang tebal. Saya rasa nyawa saya sudah melayang dari badan. Badan saya jadi lembik. Saya tidak boleh duduk tegak. Dada dan muka saya terhempap atas batang leher harimau. Bulu harimau yang kasar dan keras itu mencucuk batang hidung dan pipi saya. Bila harimau itu mengerak‐gerak badannya saya juga ikut bergerak.
"Peluk tengkuknya kuat‐kuat," datuk mengigatkan saya.
Antara sedar dengan tidak saya lihat datuk terus naik atas belakang harimau. Harimau besar itu segera menegakkan badannya. Datuk terus menepuk‐nepuk punggung harimau, macam gembala lembu menepuk punggung lembu.
"Ke Hulu Kuang," saya terdengar suara datuk. Serentak dengan itu harimau pun melangkah. Saya rasa harimau itu berjalan bagaikan tidak jejak ke bumi. Melayang‐layang di udara membelah pekan Chemor melintasi jambatan keretapi. Terus menghala ke kampung Cik Zainal serta melintasi kawasan Kampung Baru Tanah Hitam. Saya nampak tentera berjaga dengan senjata di tangan.
Semuanya tidak memandang ke arah kami. Kerana terlalu laju harimau itu bergerak. Badan saya terasa sejuk. Belum selesai saya menghitung dari satu sampai ke sepuluh. Harimau itu sudahpun tiba di kaki tangga rumah adik bongsu datuk. Hari masih gelap lagi. Kokok ayam masih kedengaran. Datuk menurunkan saya dari belakang harimau.
Sebelum harimau meninggalkan kami, datuk memberi harimau itu makan tujuh biji bertih. Saya tidak tahu dari mana bertih itu diperolehi oleh datuk. Selesai saja harimau itu memakan bertih. Lagi sekali datuk menepuk‐nepuk dahi harimau. Datuk membisikkan sesuatu ke telinga harimau. Dan harimau itu bagaikan mengerti dengan apa yang diucapkan oleh datuk kerana telinganya bergerak‐gerak.
"Balik ke rumah kita jaga kampung serta tanah ladang kita," suara datuk meninggi. Harimau itu mengguap panjang. Dengan sekelip mata saja harimau besar hilang dari pandangan saya. Datuk tidak segera mengejutkan adik bongsunya. Menurut datuk pantang besar kalau kita menunggang harimau mengejutkan tuan rumah yang kita pergi sebelum tuan rumah itu terjaga. Adik bongsu datuk terkejut , bila dia membuka pintu rumah pagi itu didapatinya kami duduk di kaki tangga. Dia mengucap panjang dan merasa takjub bagaimana kami boleh sampai pagi ke tempatnya sedangkan perintah berkurung berakhir pada jam enam pagi. Dia terus menyoal datuk bagaimana kami boleh sampai terlalu awal.
Pertanyaan atau soalan itu tidak dijawab oleh datuk. Datuk mengubah tajuk perbualan pada perkara lain. Sambil minum kopi pagi, adik bongsu datuk menceritakan keadaan kampung Hulu Kuang sambil bertanya khabar hal nenek serta anak cucu datuk. Perbualan datuk dengan adik bongsunya sungguh rancak pagi itu. Saya tidak banyak campur dalam perbualan mereka. Saya lebih senang berdiri di muka tingkap melihat daun‐daun pokok yang menghijau serta puncak gunung yang diselimuti kabus nipis.
"Kau sakit, aku nampak kau kurus sangat ni," saya terdengar suara datuk. Saya segera menoleh ke belakang. Saya lihat datuk sedang memerhati tubuh adik bongsunya yang cengkung dan kurus.
"Saya baru baik dari demam, dan tu kena berjaga malam pula," jawab adik bongsu datuk.
"Hai, musim dharurat pun kena berjaga malam ?"
"Berjaga dalam rumah ?" sahut isteri adik bongsu datu dari dapur. Saya tertarik hati dengan perbualan itu. Memaksa saya duduk di sebelah datuk. Datuk saya lihat mengkerutkan keningnya.
"Kenapa pula tu. Ada pencuri ke ?" Pertanyaan itu tidak dijawab oleh adik bongsu datuk dan isterinya. Mereka kelihatan resah dan tidak menentu.
"Apa halnya cakap. Kalau boleh aku tolong, aku berusaha menolong kalau tak boleh kita cari orang lain untuk menolongnya," datuk memberi sebuah harapan. Isteri adik bongsu datuk tersenyum. Adik bongsu datuk termenung panjang.
"Susah orang nak menolongnya," begitu hampa nada suara adik bongsu datuk.
"Susah macam mana ?" tanya datuk.
"Kerja iblis."
"Kita lawan cara iblis."
"Begini, di kampung ni ada toyol jadi‐jadian , sekejap menjelma jadi kucing, sekejap jadi tikus." Adik bongsu datuk menerangkan sambil merenung ke kiri kanan. Datuk terdiam. Lama juga datuk termenung.
Datuk bangun berdiri di muka pintu. Tangan kanannya memaut jenang pintu. Datuk duduk kembali.
"biasanya toyol jadi‐jadian ni, ada orang yang membelanya. Dia mesti sepasang ada jantan betinanya.
Rumah kau ada dia masuk ?"
"Ada, dia menyerupai kucing hitam, bila terserempak dengan kami dia menghilangkan diri." Dengan penerangan adik bongsunya itu datuk dapat menduga bahawa toyol jadi‐jadian itu masih belum mempunyai pasangan lagi.
Dan orang yang membela akan berusaha mencari pasangannya. Datuk memberitahu adik bongsunya, perkara itu boleh diatasi atau dilenyapkan terus dengan syarat dia harus tinggal di Hulu Kuang agak lama sedikit. Untuk mencari tuan punya toyol jadi‐jadian itu memakan masa. Memerlukan beberapa syarat yang tertentu.
"Kerjanya sulit, tapi harapan masih ada kerana tuan punya masih mencari pasangannya lagi," jelas datuk dengan tenang.
"Macam mana caranya ?" soal isteri adik bongsu datuk. Mendengarkan pertanyaan itu datuk tersenyum panjang sambil memicit pangkal dagu.
"Kita tunggu kalau ada perempuan mati beranak sulung, baru senang menangkap tuannya. " Cakap datuk itu membuat adik bongsu datuk dan isterinya berpandangan.
Dalam kepala isteri adik bongsu datuk mula terbayang tentang perempuan‐perempuan di Kampung Hulu Kuang yang mengandung anak sulung. Ada lima orang semuanya. Atas persetujuan orang‐orang Kampung Hulu Kuang datuk diminta duduk di kampung tersebut selama dua bulan untuk menghalau toyol jadi‐jadian yang menganggu kampung mereka. Nasib datuk dan saya agak baik, baru tiga minggu di
Hulu Kuang, terdengar salah seorang daripada penduduk kampung itu meninggal dunia ketika melahirkan anak sulung. Anak dan ibu mati serentak. Datuk pergi ke rumah keluarga yang malang itu, datuk turut sama menghantar jenazah ibu dan anak itu ke tanah kubur.
Tetapi, sebaik sahaja datuk pulang dari tanah kubur. Datuk tidak dapat tidur sepanjang malam. Dia didatangi dengan berbagai‐bagai mimpi yang ngeri dan menakutkan. Datuk membuka kertas firasat yang dibawanya. Waktu dia membaca firasat itulah datuk terdengar suara perempuan memujuk anak yang menangis di bawah rumah. Datuk membuka pintu, datuk melihat satu cahaya berekor panjang naik ke udara dari tanah perkuburan.
Datuk pun mengejutkan saya.
Kalaulah, bukan datuk yang mengejutkan saya di tengah malam buta itu sudah pasti kena penendang sulung saya. Kerana datuk, saya tidak dapat berbuat apa‐apa. Terpaksa saya terima dengan manis muka, mestipun hati meradang dengan perbuatannya.
"Kenapa tok?" tanya saya sambil mengesel‐gesel kelopak mata. Datuk tersenyum sambil meraba‐raba misai bengkoknya yang macam tanduk seladang jantan. Sekali‐kali misainya turut bergerak.
"Kita sudah hampir pada matlamatnya."
"Matlamat apa tuk?"
"Mencari orang yang jadi tuan toyol."
"Kalau kau faham baguslah."
Datuk merebahkan badannya di sisi saya. Memang saya tidak sedar waktu mana datuk bangun. Bila saya buka kelopak mata, datuk sudah sudahpun selesai sembahyang subuh. Dia memaksa saya pergi ke perigi sendirian untuk mengambil air sembahyang. Saya patuh dengan cakapnya itu.
Datuk tidak dapat dapat melupakan kebiasaannya berjalan berbatu‐batu sambil membasuh muka dan badannya dengan air embun waktu pagi. Datuk pula tidak mengambil semua air embun di daun kayu untuk membasuh muka dan badannya. Dia memilih jenis daun yang tidak miang atau gatal. Cara dia menyapu air ke muka juga agak ganjil. Dia memulakan dari pangkal dagu membawa ke atas hingga sampai ke gigi rambut. Kemudian baru dia membasuh kedua belah keningnya. Paling akhir sekali dilakukannya ialah memasukkan air ke dalam lubang hidung hingga bersin.
Kemudian datuk akan memijak rumput hijau tujuh kali ke arah matahari naik dan enam langkah ke arah matahari jatuh. Kebiasaannya itu, dibuatnya juga semasa dia berada di Ulu Kuang dekat Chemor, apa yang datuk lakukan saya terpaksa membuatnya dan datuk berjanji, pada suatu hari kelak, bila umur saya genap dua puluh satu tahun dia akan memberi beberapa mentera yang perlu dibaca bila mandi air embun.
Pagi itu, berjalanlah saya bersama datuk di pinggir Kampung Ulu Kuang sambil mandi air embun. Saya terasa seronok melihat matahari pagi dengan sinar yang kilau‐kilauan di celah‐celah pokok besar. Bila sinar matahari itu menikam air embun di hujung daun, kelihatan bermanik‐manik dan sungguh menarik sekali.
Damai dan terhibur hati saya mendengan bunyi kicau beburung hutan yang bermacam ragam dan bermacam rupa yang terbang dan melompat dari dahan ke dahan. Sambil berjalan datuk memberitahu
nama‐nama burung yang saya nampak. Bilan matahari mula meninggi satu galah, saya dan datuk sudah jauh meninggalkan pinggir Kampung Ulu Kuang. Kami memasuki satu lorong kecil menuju ke arah sebuah anak bukit. Di kaki bukit itu ternampak sebuah pokok berdinding tepas dan beratapkan daun rumbia. Tiangnya dari kayu hutan jenis bulat. Dalam jarak lima puluh langkah mahu sampai ke halaman pondok itu datuk berhenti berjalan.
"Kenapa datuk?" tanya saya ragu‐ragu. Datuk diam, kedua belah tangannya dilekapkan atas dada. Kedua belah kelopak matanya dirapatkan. Datuk melangkah tujuh tapak ke depandan berdiri atas kedua belah tumit kakinya beberapa detik. Bila mata dibuka dan kedua belah tangan diluruskan serta tapak kaki memijak bumi, datuk kelihatan tersenyum.
"Memang tidak salah penglihatan aku malam tadi, cahaya dari tanah kubur itu menuju ke sini, "dengan tenang datuk bersuara. Saya jadi termanggu‐manggu.
"Kita balik, kalu kita maju, kita bahaya," datuk pun menarik tangan saya. Kami berpatah balik menuju ke rumah adik datuk.
Sepanjang jalan pulang itu datuk tidak banyak bercakap. Dia lebih banyak memerhatikan gerak geri rumput dan dedaun. Saya faham benar, bila datuk berbuat demikian ertinya dia menumpukan seluruh perhatinnya pada sesuatu benda yang tidak dapat dijangka oleh akal fikiran manusia biasa. Saya kira, fikiran dan perasaannya tertumpu ke satu alam yang lain.
Saya tidak berani bertanya padanya tentang hal itu. Saya takut dia naik angin. Kalau datuk naik angin, saya kena maki dengan percuma. Kalau datuk tidak maki, dia akan menjegilkan biji matanya sebesar telur ayam hutan.
"Jauh berjalan pagi ni," soal adik datuk sebaik saja kami tiba di kaki tangga. Dia baru saja melepaskan ayam di reban. Saya tidak menjawab kecuali tersenyum panjang.
"Macam biasa," balas datuk. Kami terus membasuh kaki dan memijak tangga naik ke rumah.
MAKAN UBI REBUS
Di rumah tengah rumah sudah tersedia sarapan. Air kopi pekat dan rebus ubi kayu serta kelapa parut.
"Rumah siapa dekat belukar tu," datuk mengkemukakan soalan. Adikdatuk terdiam mengingati sesuatu.
"Rumah Kidon."
"Orang sini jati?"
"Tidak, macam kita juga berasal tanah seberang."
"Orang padang ke orang Jambi."
Pertanyaan datuk itu segera dijawab oleh adiknya. Saya sudahpun berhenti makan ubi rebus, Isteri adik datuk sudah turun ke tanah pergi ke ladang. Bila pertanyaan itu tidak mendapat jawapan, datuk tidak lagi mahu mengemukakan pertanyaan. Dia terus menghirup air kopi dengan tenang.
"Dari sumatera katanya dari keturunan Batak," tiba‐tiba saja adik datuk bersuara.
"Ada bini tak?" cara tidak sengaja saya bertanya. Datuk menjeling tajam pada saya.
"Dah mati, bininya orang Kedah, emak bapanya bininya menetap di Kuala Kangsar" terang adik datuk
dengan jujur.
"Ada anak?' cepat‐cepat datuk meningkah.
"Tak ada, bininya tu mati bersalin anak sulung,"
"Hummmm…," suara datuk perlahan. Dia menekan pipi kirinya dengan tangan kanan. Terus‐terangdatuk menyatakan pada adiknya, bahawa dia perlu duduk di Ulu Kuang paling kurang enam bulan. Datuk juga meminta adiknya membuat sebuah pondok untuk diri dengan alasan senang untuk beramal ibadat serta berusaha menghancurkan tuanpunya toyol jadi‐jadian. Permintaan datuk itu tidak keberatan untuk dipenuhi oleh adiknya.
Seminggu kemudian, terpacaklah sebuah pondok baru di Ulu Kuang Chemor yang didirikan secara gotong‐royong oleh penduduk‐penduduk di situ. Saya dan datuk pun pindahlah ke pondok baru.
Perkara yang tidak menyenangkan hati saya, bila duduk di pondok baru, ialah bila bulan menggambang penuh. Ketika itu kelihatanlah beberapa ekor harimau besar di depan pondok. Dari atas pondok datuk melompat ke tanah lalu bersilat dengan harimau‐harimau itu.
Sekiranya, datuk malas ke tanah kerana badannya terlalu letih. Harimau‐harimau itu akan menjulurkan ekornya dari celah lantai buluh. Datuk akan mencium atau mengurut‐urut ekor harimau itu sambil membelitkan ke batang lehernya. Bila terdengar bunyi suara burung jampok atau burung hantu, barulah datuk memerintahkan harimau‐harimau perliharaannya pulang.
"Ambilkan aku kain putih, mangkok putih, taruh air dalam mangkok putih separuh, kain putih letakkan ke dinding," datuk mengeluarkan perintah pada saya malam itu. Kalau tidak silap, malam itu malam
Rabu kira‐kira pukul sepuluh. Apa yang diperintahkan datuk saya lakukan dengan senang hati. Datuk duduk bersila di tengan pondok, Asap kemenyan dari dupa melintuk‐liuk memenuhi ruang pondok. Baunya semerbak. Datuk mengatur tujuh piring di depan. Piring tepi sebelah kanan ditaruh batang lengkuas, sementara di sebelah kiri ditaruh sebatang serai. Piring tengah ditaruh darah ayam yang disembelihnya petang tadi.
Tiba‐tiba seekor kucing hitam melompat masuk ke tengah pondok melalui pintu yang terdedah. Kucing itu merenung muka datuk dengan tajam. Datuk menghalaunya, kucing itu tidak mahu bergerak. Saya lihat datuk mengeluarkan secekak tualng‐tulang ikan dari karung yang terletak sebelah kanannya. Datuk melemparkan tulang‐tulang ikan kering itu pada kucing hitam.
Dengan tiba‐tiba batang lilin yang menyala padam. Saya menyalakan lilin tersebut. Saya lihat kucing hitam sudah hilang dan tempatnya diganti oleh sebungkus kain hitam. Saya kenal, kain hitam itu kepunyaan datuk
No comments:
Post a Comment