TAMAR JALIS
SIRI BERCAKAP DENGAN JIN
JILID 1
SBDJ (JILID 1) : SIRI 12 - TOYOL JADI JADIAN
"Kau orang jangan bercakap walau sepatah apapun," datuk mengingatkan kami. Dia maju selangkah ke depan. Saya perhatikan mata mayat itu lama‐lama. Saya terkejut, memang di bahagian mata itu terdapat lubang yang boleh mengeluarkan cahaya, kalau seimbas pandang lubang itu tidak mudah kelihatan terpelohong, kelihatan macam mata manusia yang sempurna.
Datuk undur ke belakang. Dia membuka baju dan mengenakan ke tubuhnya kembali dalam keadaan terbalik. Dari rusuk baju sebelah kirinya datuk mengambil sebatang jarum panjang. Mayat yang sudah berbau itu berpusing‐pusing di atas tanah. Datuk membaca mentera dan menepuk bumi tiga kali. Batang serai dibuang ke arah kanan manakala bulu burung gagak dipijaknya dengan kaki kiri.
Datuk melangkah dua tapak ke depan.:"Kau suami Timah."
Cukup lantang suara datuk. Mayat itu angguk kepala dan menutup kepalanya dengan kain kapan semula.
"Kau kenal ketua kampung," tambah datuk. Mayat itu buka kain kapan lalu merenung ke muka ketua kampung. Mayat anggukkan kepala. Saya merasa cukup seram. Datuk menggawang‐gawangkan tangan di depan matanya.
Mayat itu berpusing ke arah datuk kembali. Datuk menumbuk tanah dan mayat suami Timah di depannya terus menjerit. Bergema ke seluruh kawasan., pokok‐pokok kecil bagaikam mahu tercabut.
Mayat itu cuba bangun, tetapi tidak boleh. Punggungnya seperti melekat pada bumi.
Datuk pun mengangkat kedua belah tangannya ke ats. Lalu diturunkan perlahan‐lahan. Berhenti separas dada. Sepuluh jari tangan datuk kelihatan kembang macam menahan sesuatu. Saya perhatikan kaki kanan datuk terbenam ke dalam bumi separas buku lali. Mayat di depannya terus berhempas pulas.
Mulut datuk berkumat‐kamit. Fahamlah saya datuk sedang berdailog dengan mayat. Kerana selalu saja mengikut datuk dan selalu pula melihat dia bercakap dengan makhluk ganjil. Saya dapat membaca dan mentafsir apa yang dicakapkan oleh datuk menerusi gerak bibirnya. Lebih hirang datuk berbicara :
"Kenapa kau datang ke dunia ini?"
"Menuntut sesuatu."
"Apa yang kau tuntut?"
"Isteriku."
"Engkau dengannya tidak boleh bersama."
"Aku tahu, tapi aku mahu pulang padanya, aku mahu dia membela dan memberi aku makan."
"Kalau dia tidak mahu bagaimana?"
"Aku akan mencari keluarga aku yang terdekat untuk meminta perlindungan."
Datuk berhenti bercakap. Timah yang sedar dari pengsan menerkam ke arah kami. Mayat itu masih terkapai‐kapai. Timah terus berlindung di belakang ketua kampung.
"Apa pesannya pada kau sebelum dia mati?"
Dengan mendadak saja datuk mengajukan pertanyaan pada Timah. Timah termenung sejenak mengingati sesuatu.
"Tak ada apa‐apa," sahut Timah.
"Mesti ada, kalau tidak hantu suami kau tidak pulang," sanggah datuk. Timah mengigit bibir.
Mayat suami Timah kelihatan berhempas pulas mahu bangun. Bila mayat itu boleh bangun, datuk menekan kaki kirinya yang terdapat bulu burung gagak di bawahnya.
"Kalau kaki ini terangkat, syaitan yang menyerupai suami Timah akan lari, kemudian mengacau semua penduduk kampung," ujar datuk pada ketua kampung. Serentak saya dan ketua kampung angguk kepala
Dalam keadaan yang serba gawat itu, dengan tiba‐tiba Timah bersuara : "Dia ada pesan, sebelum dia dimandikan dan dikapan, dia suruh saya tikamkan tapak kakinya dengan jarum."
"Kau buat apa yang disuruhnya," datuk memotong cakap Timah.
"Tidak."
"Sebab?"
"Tak sampai hati."
"Kalau kau membuatnya dulu, semua ini tidak akan terjadi."
"Saya tak faham."
"Suami kau yang sebenarnya sudah mati, apa yang kau lihat dan kita lihat ini ialah kapitnya ."
"Maksudnya," soal Timah macam orang bodoh.
"Suami kau masa hidupnya berkawan dengan syaitan, bila dia mati, kapit atau kawannya itu mencari
tuan yang lain."
Dengan cakap datuk itu, Timah mengerti tentang keadaannya yang sebenar. Dan dia mula faham, kenapa masa suaminya hidup dulu, tanah sawah dan kebun tidak pernah dijenguk, tetapi habis ditebas dan dicuci orang. Bila ditanya pada suaminya. Dia hanya mendapat jawapan begini : Sahabat kita yang mengerjakannya.
Dan sekarang fahamlah Timah, siapakah sahabat suaminya yang sebenar. Dia juga mula faham kenapa suaminya selalu bercakap seorang diri waktu dinihari. Ketua kampung terus tercenggang melihat keadaan yang tidak pernah dimimpikan untuk melihatnya.
Datuk menyuruh saya memijak bulu burung gagak. Saya akur dengan perintahnya itu. Bila dipijak, tapak kaki saya terasa cukup panas. Datuk terus meluru ke arah mayat. Datuk merentap kain kapan yang membalut bahagian kaki mayat itu. Mayat terus menghulurkan kedua belah tangannya pada datuk, seolah‐olah minta tolong.
Datuk tidak menghiraukan semuanya itu. saya lihat datuk terus menarik kaki mayat. Dia memasukkan sesuatu di situ. Lagi sekali mayat itu menjerit. Bila gema jerit mayat itu berakhir, saya lihat datuk duduk berdirikan lutut. Di atas kepala saya terdengar bunyi sesuatu yang berat dan keras melanggar pokok.
Saya terus meniarap. Bila saya bangun dari meniarap. Saya lihat mayat suami Timah sudah tidak ada lagi di situ, tetapi bau busuk tidak juga hilang dari tempat yang kami duduki.
Datuk datang ke arah kami. Di kaki langit cahaya kemerah‐merahan mula naik. Tidak lama sepelas itu, terdengar suara beduk dipalu orang bertalu‐talu dan diikuti dengan suara Azan memecahkan kedamaian subuh hening.
Datuk menyuruh Timah kembali ke rumahnya, kami bertiga terus menuju ke surau. Selepas mandi dan menunaikan fardhu subuh, datuk mengadu pada saya kepalanya terasa pening. Sebaik saja datuk melangkah mahu keluar dari surau, dia terjatuh. Orang‐orang kampung mengusung datuk ke rumah ketua kampung.
Seorang dukun dipanggil untuk merawat datuk, setelah minum air panas bercampur limau nipis, sakit kepala datuk beransur kurang, kemudian dukun itu mengurut seluruh badan datuk hingga pulih.
"Angin," kata dukun itu pada datuk, sebaik saja datuk sendawa dan kentut bertalu‐talu. Semua orang yang berada di rumah riuh rendah. Bila ketawa sudah berakhir, ketua kampung menceritakan apa yang kami alami malam semalam. Ada yang mengkerutkan muka dan ada pula yang geleng kepala. Tetapi, mereka tidak menolak untuk diajak pergi tempat kejadian malam semalam.
Semuanya terpaksa mengalah pada ketua kampung yang meminta mereka sarapan pagi di rumahnya. Kira‐kira dua belas orang penduduk kampung, termasuklah saya, datuk dan ketua kampung terpaksa duduk bersila di anjung rumah ketua kampung menikmati kopi dan rebus pisang pagi itu. Badan terasa segar, bila perut sudah diisi barulah sedap mengatur perjalanan.
Matahari pagi terus bersinar ketika kami meninggalkan anjung rumah ketua kampung. Sepanjang perjalanan tidak banyak orang yang bertanya sesuatu daripada datuk atau saya, semuanya melangkah dengan tenang.
Kira‐kira dua rantai mahu sampai ke tempat kejadian tersebut, semua orang menekup hidung. Bau busuk mula tercium. Dua tiga orang kampung tidak mahu meneruskan perjalanan. Mereka muntah dan terus pulang.
"Bau bangkai apa?" saya terdengar suara bertanya pada datuk. Pertanyaan itu tidak segera dijawab oleh datuk. Dia cuma tersenyum.
"Entah, cuba tanya ketua kampung," sebaik saja datuk habis bercakap dia berdehem dua tiga kali.
"Itulah bau yang kami cium sepanjang malam." Sahut ketua kampung sebelum orang yang bertanya mengemukakan pertanyaan padanya.
Bila saja kami masuk ke tempat kejadian malam tadi. Bau busuk itu bertambah kuat. Datuk terus menunjukkan pada orang‐orang kampung tempat mayat itu duduk. Tanah di situ kelihatan berlubang. Di sekelilingnya terdapat sejenis serbuk berwarna putih seperti hampas kelapa. Bau busuk yang cukup meloyakan tekak itu berpunca dari situ.
Tiba‐tiba datuk mengambil secebis kain putih yang terdapat di situ. Bila diangkat kain itu, ia bertukar menjadi habuk macam tepung. Tangan datuk yang memegang kain itu digosokkan ke tapak kaki kiri. Tujuan datuk berbuat begitu mahu menghilangkan bau busuk yang terdapat di tapak tangannya.
"Ini membuktikan, bahawa syaitan tu memang wujud, dia mempengaruhi anak adam mengikut keadaan," ujar datuk tenang.
Matahari pagi kian meninggi, sudah melampaui pucuk getah. Dari situ, kami terus ke rumah Timah. Sampai saja di kaki tangga rumahnya, Timah terus mengadu bahawa dia tidak boleh duduk di dalam rumah peninggalan suaminya.
"Kenapa?" Ketua kampung menyoal.
"Seluruh rumah berbau busuk, macam bau bangkai, hingga beras dalam tempayan pun berbau busuk tok," suara Timah sayu. Dengan perintah datuk, saya disuruh naik ke rumah. Sebaik saja saya berada di muka pintu , saya terus termuntah. Semua yang saya makan pagi itu habis keluar. Cepat‐cepat saya turun.
Atas persetujuan orang‐oarng kampung sebuh rumah lain didirikan untuk Timah. Rumah lamanya ditinggalkan terbiar. Rumah baru Timah didirikan berhampiran dengan rumah ketua kampung, dengan usaha ketua kampung itu sendiri (tiga bulan selepas itu) Timah dijodohkan dengan seorang nelayan yang tinggal di Telok Gadung ‐ Pulau Pangkor.
Habis dari perkongsian hidup Timah dengan suami barunya itu, mereka dikurniakan seorang anak lelaki. Dan anak lelaki itu kini sudah bekerja dengan Bank Bumiputra. Dalam tahun 1977, anak lelaki Timah itu telah ditukarkan dari Bank Bumiputra Ipoh ke Bank Bumiputra Batu Pahat ‐ Johor dan sekarang bertugas di Kuala Lumpur. Masa orang‐orang kampung mendirikan rumah Timah, saya dan datuk turut membantunya. Malah, sebelum Timah pindah ke rumah barunya, datuklah orang pertama tidur di situ.
Tujuan datuk berbuat begitu untuk menjamin rumah itu tidak didatangi oleh sebarang hantu syaitan, di samping datuk mencari sesuatu alamat.
Menurut datuk, setiap orang yang mahu menduduki rumah baru, sekurang‐kurang satu malam mesti ditidur oleh orang lelaki terlebih dulu dengan membawa sebungkus gula, susu dan segenggam beras. Orang yang tidur di situ, mestilah dirinya dalam keadaan bersih.
Sebaik‐baiknya melakukan sembahyang hajat di rumah itu, mohon petunjuk dari Allah atau memohon padaNya supaya orang yang akan mendudukinya kelak tetap selamat serta melakukan sesuatu yang baik dan teguh iman serta kuat beribadat.
Pada hari Timah menaiki rumah barunya, orang‐orang kampung telah mengadakan pembacaan doa selamat. Dua hari selepas Timah duduk di rumah baru, saya dan datuk pun meninggalkan Kampung Cangkat Cermin.
Sebaik saja datuk sampai ke rumahnya, dia lagi sekali jatuh pengsan. Bila datuk sedar dari pengsan seluruh badannya lebam. Dia tidak boleh berdiri. Datuk terpaksa merangkak dari muka pintu hingga ke tempat tidur. Seluruh sendinya tersa sakit, macam ditikam‐tikam dengan jarum.
Bila malam, datuk menjerit sendiri. Anehnya datuk saya, bila dibawa ke doktor ternyata dia tidak mengalami sebarang sakit dan bila dia masuk ke dalam rumah, sakitnya datang semula. Dan datuk tidak mengizinkan saya atau nenek mencari dukun untuk mengubatinya.
Sakit datuk itu berlanjutan hingga ke bulan puasa, tetapi yang peliknya datuk dapat meneruskan puasanya dengan sempurna. Pada malam dua puluh tujuh likur, datuk memanggil saya dan nenek. Dia menyuruh kami mencari limau tiga serangkai yang mengarah ke matahari terbit.
Limau itu harus dipetik sendiri tanpa mengunakan galah atau tangga. Akhirnya apa yang dikehendaki oleh datuk itu saya perolehi. Dia suruh saya meletakkan limau itu di atas pinggan putih bersama pinang kering.
Lebih kurang pukul dua belas malam. Rumah datuk didatangi oleh bau yang cukup wangi. Saya lihat pintu rumah datuk terbuka dengan sendiri. Tidak berapa lama selepas itu, saya terdengar bunyi suara orang perempuan membaca Quran, suaranya cukup merdu yang datangnya dari tempat tidur datuk.
Perkara itu berlaku tiga malam berturut‐turut. Saya tanyakan hal itu pada nenek. Kata nenek isteri muda datuk datang mengubatnya. Kadang‐kadang saya terdengar orang bercakap dengan datuk. Pernah saya terdengar orang itu bertengkar dengan datuk. Bila pertengkaran itu berakhir suasanan menjadi sepi.
Kemudian dengan jelas saya mendengar suara orang perempuan barkata begini pada datuk : Al‐Quran yang diturunkan oleh Allah sudah cukup lengkap untuk manusia. Di dalamnya tersembunyi seribu rahsia perubatan, apa salahnya kita mengambil ayat‐ayat darinya untuk penawar.
Dan saya tidak pernah bertanyakan hal itu pada datuk. Walau bagaimanapun saya merasa gembira, bila pagi Syawal tiba, saya lihat datuk sudah sihat. Dia bangun pagi‐pagi dan membaca al‐Quran sebelum pergi sembahyang hari raya. Di masjid datuk duduk di barisan hadapan membaca takbir bersama orang ramai.
Setelah selesai sembahyang hari raya, saya dan datuk terus menziarahi rumah seluruh penduduk kampung. Bila saya dan datuk kembali ke rumah , saya terkejut melihat dua orang perempuna duduk di anjung ruamh. Perempuan yang berusia agak lanjut itu tersenyum pada saya bila saya melintas di depannya, manakala perempuan muda yang berselindang lingkup itu wajahny terlalu manis air mukanya cukup bersih.
Siapa bertanya dalam diri saya, siapakah gerangan perempuan itu?" Dalam keadaan yang kebingungan itu saya lihat perempuan itu mendekati datuk lalu mencium tangan datuk dengan diperhatikan oleh perempuan di sebelahnya. Nenek cuma tersenyum saja.
Sesudah perempuan muda itu mencium tangan datuk, dia pun membetulkan selindangnya yang jatuh ke atas bahu. Saya lihat alis mata perempuan itu cukup tebal dan lentik. Kerlingnya cukup tajam. Datuk memperkemaskan silanya dan sepasang mata datuk terus meratah ke paras wanita muda di depannya.
Nenek terus menghidangkan lemang dan rendang. Bunyi mercun dan meriam buluh sekali‐kali terdengar juga memecah kesunyian kampung. Tiba‐tiba saya terkejut, perempuan tua bangun serentak, tanpa menjamah barang‐barang yang dihidangkan oleh nenek.
Mereka menuju ke muka pintu, sampai bendul pintu mereka merenung ke arah nenek dan datuk sambil melambaikan tangan. Datuk kelihatan tersenyum senang. Perempuan tua dan perempuan muda memijak anak tangga. Sinar matahari yang mencerah di luar menerpa ke wajah mereka. Datuk, tiba‐tiba terbatuk dengan kuat. Mata nenek dan mata saya tertumpu ke wajah datuk sebentar.
Bila saya dan nenek berpusing ke arah muka pintu, batang tubuh perempuan muda dan tua sudah tidak kelihatan lagi di situ. Hilang entah ke mana.
"Ke mana mereka pergi tok?" saya bertanya. Datuk merenung muka nenek. Mereka berbalas senyum lalu datuk menghadapi hidang yang tersedia.
"Siapa mereka tok?"
Datuk terus menghampiri saya. Dia menepuk bahu saya sambil berkata :
"Itulah nenek muda kau," suara datuk menendang gegendang telinga saya. Wajah datuk saya lihat, terpamir sejuta kepuasan dalam dirinya. Saya renung muka nenek, rasa cemburu di wajahnya tidak timbul. Betapa nenek berkorban untuk kebahagian datuk. Fikir saya dalam hati.
DATUK NENEK
"Sudahlah tu, mari minum," datuk menarik tangan saya. Nenek ketawa melihat telatah saya yang menurut perintah datuk itu. Nenek terus duduk di sisi saya. Selesai makan ketupat dan rendang datuk mengajak saya ke tanah perkuburan untuk melihat pusara datuk nenek. Selesai menziarahi kubur datuk nenek dan menghadiahkan al‐Fatihah atas roh, mereka, datuk terus mengheret saya bertandang ke rumah kenalannya. Satu kerja yang amat tidak saya senangi. Menyusurlah sayadi bawah pepohon getah mengikut langkah datuk yang rancak. Sinar matahari yang keras petang itu memaksa badan saya
mengeluarkan peluh. Baju dan seluar terasa bergetah. Kain samping sudah tidak lekat di pinggang sudah bertukar menjadi kain selipang.
"Ke mana kita tok, saya dan tak tahan ni," saya mengadu.
"Jalan sikit lagi, kita pergi ke rumah Ujang Selamat."
"Jauh lagi ke ?"
"Lepas pokok asam kumbang sampailah kita." Suara datuk mula keras. Matanya, tajam memandang muka saya.
Tempat yang dituju sampai juga, sebuah rumah papan beratap zing di pinggir bukit Paya Takung . Halaman rumah yang bersih itu menghala ke sawah yang saujana mata memandang. Itulah rumah Ujang Selamat ketua kampung Paya Takung dan rumahnya adalah rumah yang paling cantik dan besar di dalam kampung tersebut.
Ujang Selamat yang berbadan tegap, bermisai lebat memakai seluar dan baju hitam mempersilakan saya dan datuk naik. Datuk dan Ujang Selamat bersalaman. Ujang Selamat ketawa menampakkan giginya yang besar dan kekuningan itu. Data datuk, Ujang Selamat berasal dari negeri Petani di Selatan Siam. Dia meninggalkan kampung halamannya sesudah tercetus peperangan antara rakyat Petani yang menuntut kemerdekaan dari kerajaan Siam.
Dalam pertempuran itu, banyak rakyat petani yang tewas ditawan oleh tentera Siam. Ujang Selamat melarikan diri hingga sampai ke kampung Paya Takung. Dia bertani dan bercucuk tanam hingga berjaya mendirikan rumah dan membeli tanah di situ. Kemudian kahwin dengan orang di situ hingga beranak cucu.
Sedang saya dan datuk asyik menjamah lemang, tiba‐tiba rumah Ujang Selamat didatangi tetamu. Lima orang semuanya. Ujang Selamat memperkenalkan saya dan datuk pada tetamu tersebut. Kami bersalaman, berkenal mesra dan sama‐sama menjamu selera.
Selesai mengisi perut. Kelima‐lima tetamu itu meninggalkan rumah Ujang Selamat. Saya bingkas, duduk kat bendul.
"Memang hajat tu nak ke rumah awak, bila awak dah datang elok benarlah," kata Ujang Selamat pada datuk sambil mengipaskan badannya dengan kertas suratkhabar.
"Apa halnya?"
"Awak pawang besar tentu tau atau dapat tanda‐tanda,"
"Saya bukannya pawang, saya cuma berusaha untuk menolong."
"Begini." Ujang Selamat memperkemaskan silanya. Perut gendutnya yang berlapis itu bagaikan bergerak‐gerak. Angin dari tengah wawah terasa menyapu wajah.
No comments:
Post a Comment