Sumber : <<Mastika>>     Febuari 22, 2024

SIAPA AMOI BERCHEONGSAM MERAH?

Siapa amoi bercheongsam merah yang saya ambil malam itu?

KISAH ini sudah lama berlaku, mungkin sekitar tahun 2003 atau 2004. Saya pun sudah lupa tahun kejadiannya. Waktu itu, saya membawa teksi dan penggunaan radio teksi masih popular ketika itu.

Suatu malam hampir pukul 12.00, radio teksi saya memaklumkan ada penumpang yang memerlukan khidmat kami di sebuah taman perumahan di Sungai Besi, Kuala Lumpur. Disebabkan ketika itu saya yang paling hampir, saya terus setuju untuk mengambil penumpang tersebut.

“Penumpang minta dibawa ke HKL,” kata Ina, operator kami.

Lebih kurang 10 minit kemudian, saya sampai di kawasan perumahan tersebut. Saya pastikan rumah tersebut. Ya, betul. Itulah alamat yang diberitahu oleh Ina tadi. Di hadapan pintu rumah itu kelihatan seorang wanita Cina berusia 30-an. Saya turunkan cermin tingkap.

“Cik yang nak pergi ke HKL, ke?” saya bertanya.

“Ya…” jawab wanita Cina itu, lalu membuka pintu belakang. Haruman semerbak menusuk ke hidung saya sebaik wanita yang memakai cheongsam merah itu melabuhkan punggungnya di kerusi.

Dalam hati saya berkata, tak ada pakaian lain ke nak pergi hospital pada waktu tengah malam begitu. Kalau pakai blaus dan seluar jean biasa kan lebih sesuai.

“Tak ada baju lain lah encik… baju ini aja yang ada,” tiba-tiba wanita Cina itu berkata perlahan.

Darah saya berderau! Aii… dia seperti tahu apa yang berlegar di dalam fikiran saya. Aduh, malunya.

“Err… errr… cantik baju tu,” balas saya tergagap-gagap sebab terkejut apabila `diterjah’ begitu.

“Ya ke? Bukan tak sesuai ke kalau pakai pergi hospital? Ya lah… malam-malam macam ni, nanti orang terkejut pulak, kan?” kata wanita itu lagi seakan menyindir saya.

Saya memandang ke cermin pandang belakang. Kelihatan dia memandang saya sambil tersenyum. Dalam hati saya berkata, amoi ni manusia ke apa? Dia macam tau aja apa yang bermain dalam hati dan fikiran saya.  

“Sesuai… cheongsam ni sesuai dipakai bila-bila masa saja. Tambah pulak kalau yang memakainya cantik macam awak ni,” balas saya mengusiknya. Mudah-mudahan dia tertipu dengan helah saya itu dan tidak `mengenakan’ saya lagi.

Dari cermin pandang belakang, saya nampak wajahnya tersenyum. Senyap. Saya menunggu balasan dari wanita Cina itu, tapi tiada. Dia tiba-tiba diam membisu selepas dipuji.


Apabila wanita itu diam, saya pun diam. Bimbang pula kalau banyak bercakap, nanti dianggap cuba menggoda pula. Sepanjang jalan wanita Cina itu terus mendiamkan diri.

Selepas membelok ke sana ke dan ke sini, akhirnya saya memasuki Jalan Tun Razak. Dalam hati ingin saya bertanya, dia sakit ke sampai mahu pergi ke HKL pada waktu malam? Kalau sakit, tentulah serius. Tapi dia nampak sihat saja.

Atau amoi ini hendak melawat seseorang? Tapi kalau hendak melawat orang, tidak logik kerana sudah lewat sangat. Waktu melawat sudah tamat. 

Saya memandang cermin belakang dan menyimpan semula soalan itu kerana wajahnya tidak kelihatan. Mungkin dia beralih duduk di belakang saya dan menyandarkan kepalanya berhampiran cermin tingkap, menyebabkan imejnya tidak dapat dilihat dalam cermin pandang belakang.

“Keadaan dia teruk, encik…” tiba-tiba terdengar suara wanita Cina itu dari arah kerusi belakang.

Ya-Allah, terkejut saya dibuatnya. Saya terus mengurut dada. Kata-kata wanita itu yang muncul tanpa diduga membuatkan saya rasa macam nak hilang nyawa.

“Isy, lu ni amoi… bikin saya terkejut. Saya ingat awak tidur, baring kat kerusi belakang saya. Awak jangan bikin ini macam lagi lah… boleh mati terkejut saya maaa…” kata saya dan terus ketawa.

“Mana ada saya tidur. Saya dari tadi duduk sini tempat, takkan encik tak nampak?” wanita Cina itu bertanya.

Eh, biar betul amoi ni. Kalau dia duduk di kerusinya itu, takkan saya tak nampak pula. Bila difikirkan semula, betul juga cakap amoi ini. Kalau dia hendak lelapkan mata sekalipun, duduk saja di tempatnya, iaitu di belakang kerusi penumpang hadapan. Tak perlu berpindah ke belakang saya. Satu lagi….

“Mana boleh tidur encik… dekat aja. Sungai Besi dengan HKL bukan jauh maa… belum sempat tidur sudah sampai,” kata wanita Cina itu, sekali lagi seolah-olah dapat membaca apa yang sedang saya fikirkan.

Biar betul amoi ni! “Lu ni macam boleh bacalah apa yang saya tengah fikir,” kata saya melepaskan apa yang terpendam.

“Ya ke? Malam semalam pun ada taxi driver cakap saya itu macam,” jawab wanita itu.

“Oo… semalam pun ada orang cakap itu macam, ya?” soal saya.

“Ya, lah…” jawab wanita Cina itu.

Saya mengangguk, kemudian bertanya kepadanya, “Aa… tadi tiba-tiba awak cakap keadaan dia teruk. Siapa yang cakap tu? Orang yang awak nak lawat ni ke?”

“Kembar saya. Tadi kan saya sudah cakap… dia kena tikam dengan ex-boyfriend dia,” balas wanita Cina berkenaan.

Saya bertambah pening. Bila masa pula dia cakap dengan saya perkara itu? “Saya tak dengar pun awak cakap itu macam,” kata saya.

“Tadi… lama tadi. Saya sudah cerita panjang sama encik, tapi saya tengok encik diam saja.”

Dia ada cerita dengan saya? Kalau ada, kenapa saya tak dengar? Ah, kenapa pelik sangat amoi yang saya bawa ini. 

“Kembar awak kena tikam?”

“Ya… tiga hari lepas. Dia tak mau kawin dengan itu lelaki sebab itu lelaki suka judi, suka minta duit. Kalau tak kasi duit, dia pukul. Saya punya kembar lari duduk rumah kawan dia, kemudian dia berkawan dengan lelaki lain. Itu Ex-boyfriend dia marah. Dia cari saya punya kembar sampai jumpa.”

Kata wanita Cina itu lagi, apabila sudah jumpa dan mendapat tahu kembarnya sudah mempunyai kekasih lain, lelaki tersebut berang. Dia masuk ke dapur rumah sewa tersebut dan kemudian mengambil sebilah pisau lalu menikam kembar wanita tersebut.

“Saya sedih sebab hari itu ialah hari jadi kembar saya. Dia pakai cheongsam merah dan mau celebrate birthday dengan kawan-kawan di rumah, tapi sudah kena tikam,” kata wanita berkenaan.

Saya menganggukkan kepala lagi. Kesian. Tapi, kenapa wanita itu kata dia sudah menceritakannya kepada saya dan saya hanya mendiamkan diri saja? Mustahil saya tak dengar.

Ah, lantaklah. Makin saya fikir, makin pening jadinya. Sudahlah amoi ini pelik orangnya, apa yang dicakapkannya pun pelik juga. Saya terus memandu, namun pertanyaan demi pertanyaan terus bermain di fikiran, hinggalah kami sampai di HKL.

“Nak turun di mana?” soal saya.

“Bilik mayat…” jawab wanita Cina itu, ringkas.

Bila dengar perkataan bilik mayat, saya bertambah bingung. Tadi dia kata mahu melawat kembarnya. Tidak pula disebutkan kembarnya itu sudah meninggal dunia, jadi saya sangkakan kembarnya itu sedang dirawat di ICU.  

“Jadi, awak punya kembar itu sudah mati lah?” soal saya.

“Hmmm….” jawab wanita Cina itu, ringkas.

“Dia mati di rumah ke, di hospital?”

“Hmmmm….”

Entah mengapa, jawapan ringkas wanita itu membuatkan dada saya berdebar. Apatah lagi suaranya agak berbeza daripada sebelum ini. Bagaikan ada sesuatu yang tidak kena dengannya, suaranya tiba-tiba kasar dan garau. Suhu di dalam teksi saya juga tiba-tiba terasa panas dan roma di tengkuk tidak semena-mena berdiri tegak.

“Sekarang awak nak tengok mayat dia, lah?” saya bertanya.

Senyap. Wanita itu tidak menjawab.

“Amoi… sekarang awak mau tengok mayat dia ke?”

Senyap juga. Tiada sebarang jawapan darinya. Saya segera melihat cermin panda belakang. Ya-Allah, amoi itu tiada! Segera saya perlahankan teksi dan menoleh ke kerusi belakang.

Sekali lagi saya terkejut. Wanita Cina itu masih di kerusinya. Dan dia tersenyum kepada saya. Tapi senyumannya kali ini sangat berbeza. Senyum yang amat menyeramkan. Renungan matanya juga begitu tajam!

Cepat-cepat saya memandang ke hadapan. Debaran di dada saya ketika itu tidak usah diceritakan. Tanpa berkata sepatah pun, saya terus memandu ke arah bilik mayat HKL. Sampai saja di depan pintu masuk bilik mayat, saya terus hentikan teksi.

“Okey amoi… dah sampai,” kata saya tanpa menoleh ke belakang dan menyebut jumlah tambangnya.

Senyap. Tiada jawapan. Pintu kereta pun tidak dibuka. Sekali lagi saya menoleh ke kerusi belakang. Kali ini saya benar-benar terkejut kerana tiada sesiapa. Kosong!

Saya melihat sekeliling, memang wanita Cina itu tiada. Yang ditinggalkan bukan lagi bau harum pewangi yang digunakannya, tetapi bau hanyir darah yang masih segar!

Saya lebih terkejut apabila melihat ada seorang perempuan bercheongsam merah berdiri di tepi bangunan bilik mayat itu. Dari cahaya lampu di sekeliling bilik mayat tersebut, saya dapat melihat tubuh wanita itu penuh dengan luka dan dipenuhi darah. Dan… wajahnya sama dengan wajah wanita Cina yang saya tumpangkan tadi!

Saya terpaku. Tangan saya menggeletar. Tanpa berlengah, saya terus pecut teksi balik ke rumah. Sepanjang jalan saya asyik memikirkan tentang kejadian itu.

Jadi, maknanya yang saya bawa tadi adalah jelmaan mayat perempuan Cina yang mati dibunuh? Mungkin dia hendak ceritakan kepada saya apa yang berlaku kepada dirinya. Mungkin dia belum dapat menerima hakikat dirinya sudah mati.

Dan mungkin juga rohnya tidak aman kerana mayatnya masih belum dituntut oleh keluarga dan belum disempurnakan mengikut adat kepercayaannya. Entahlah…

Esoknya saya cuti sebab demam!

Memang banyak peristiwa yang saya alami sepanjang lebih 25 tahun menjadi pemandu teksi. Namun peristiwa seram yang berlaku kira-kira 20 tahun lalu itu merupakan kejadian yang tidak akan saya lupakan sampai bila-bila.

Tambahan pula, apabila saya pergi semula ke taman perumahan berkenaan beberapa minggu kemudian, saya dapati tidak ada alamat seperti yang diberikan itu. Habis, rumah siapa yang saya lihat malam itu?

Bukan itu saja, malah Ina – operator radio kami juga menafikan ada menerima panggilan dari seorang wanita Cina, dan kemudian meminta saya untuk mengambil penumpang di alamat tersebut pada malam itu.

Catatan : Ab. Razzaq Ab. Hamid, Serdang, Selangor.