Sumber : <<<Zulkarnain Zakaria>>>
Julai 18, 2025
CIK...BOLEH HANTAR SAYA BALIK KE RUMAH SAYA TAK?
Waktu itu pukul 1.00 pagi, saya baru saja mengambil seorang kawan di KLIA, yang pulang dari luar negara. Kemudian saya ikut jalan Salak Tinggi dan menghantar ke rumahnya di Kampung Sungai Buah, Dengkil, Selangor.
Kini saya memandu seorang diri untuk pulang ke rumah di Putrajaya. Tidak banyak kenderaan malam itu. Kiri dan kanan hanyalah belukar, ladang sawit dan rumah-rumah yang kebanyakannya sudah gelap.
Saya memandu ke arah Jenderam, dan sampai di suatu tempat lampu kereta saya menyuluh tubuh seorang wanita yang sedang berjalan sambil memimpin tangan seorang kanak-kanak. Mereka berada di sebelah kiri jalan dalam keadaan membelakangkan saya.
Terasa pelik juga melihat mereka berjalan dalam gelap pada waktu dinihari begitu. Tapi saya tidak hiraukan sebab yang ada di dalam fikiran ketika itu hanyalah mahu cepat sampai ke rumah.
Saya terus memandu, dan kira-kira 300 meter kemudian saya terkejut. Saya nampak wanita dan budak kecil itu. Kali ini mereka berada di sebelah kanan jalan.
Bertambah pelik, mereka sedang berjalan dalam arah bertentangan. Namun saya tidak dapat melihat wajah mereka kerana ia berlaku terlalu pantas. Yang saya nampak hanya bahagian sisi saja sebab kedua-duanya menundukkan muka. Lagipun suasana ketika itu benar-benar gelap dan cahaya lampu kereta saya tidak menyuluh tepat ke arah mereka.
Saya yakin, memang wanita dan kanak-kanak tersebut adalah orang yang saya lihat tadi, sebab pakaian mereka sama. Yang perempuan berbaju kurung kedah warna cokelat serta kain batik, manakala budak lelaki itu memakai kemeja-T putih dan seluar panjang hitam. Usianya lebih kurang lima tahun.
Siapa pulak yang berjalan gelap-gelap bawa anak ni. Tak takut ke? Hmm… lantaklah.
Kira-kira setengah kilometer kemudian saya melalui satu selekoh. Oleh kerana keadaan sekeliling yang begitu gelap, saya memperlahankan kereta agar tidak terlajak. Dan…!!!
Beberapa puluh meter di hadapan saya kelihatan wanita dan kanak-kanak tadi sedang berjalan berpimpinan tangan di atas garisan putih! Badan mereka membelakangkan saya, maknanya mereka berjalan ke arah yang sama.
Darah saya berderau. Kalau dua kali bertembung pun sudah pelik, ini kan pula tiga kali. Mereka berjalan kaki, saya pandu kereta, tapi macam mana mereka boleh berada di hadapan saya?
Kereta semakin hampir. Dada saya berdebar, takut kalau mereka memalingkan muka. Waktu itu saya terbayang wajah-wajah hodoh dan menakutkan.
Tetapi syukurlah, itu tidak terjadi. Namun rupa-rupanya apa yang saya lalui ini belum berakhir. Beberapa ratus meter kemudian sewaktu menghampiri sebuah jambatan, saya lihat ada dua bonggol jalan, dan… di tepi bonggolan itu sekali lagi saya nampak wanita serta kanak-kanak tersebut sedang berjalan berpimpinan tangan membelakangkan saya!
Allah… Tangan dan kaki saya menggigil. Saya tidak tahu apa yang perlu dibuat sebab saya tidak boleh pecut kereta kerana di hadapan saya ada garisan-garisan kuning dan dua bonggolan.
Saya mesti perlahankan kereta. Dalam hati saya berdoa janganlah wanita dan anaknya itu menunjukkan wajah mereka yang mengerikan, apatah lagi menahan kereta saya. Saya berdoa dan berdoa…
Sewaktu kereta saya dalam keadaan yang perlahan dan berada betul-betul di sebelah dua beranak itu, tiba-tiba terdengar bunyi `TAAPPP!”… seperti pintu kereta dibuka, dan kemudian BAMM!!… ia ditutup semula.
“Cik… boleh hantar saya balik ke rumah saya tak?” tiba-tiba terdengar suara seseorang dari kerusi belakang. Suara perempuan!
Pada waktu itu darah terasa kering, kalau muka saya ditoreh memang tidak berdarah. Saya tahu, di belakang saya ada wanita dan kanak-kanak tadi.
“Err… errr… rumah awak kat mana?” saya bertanya tanpa menoleh ke belakang. Suara saya tergagap-gagap.
“Kat depan sana… nanti saya tunjuk jalannya,” balas wanita berkenaan.
Kalau boleh memang saya hendak menjerit. Tapi saya tak mampu berbuat apa-apa kecuali membaca ayat-ayat suci al-Quran.
Dalam ketakutan itu tiba-tiba saya perasan yang suasana sudah berbeza. Kalau tadi jalan di hadapan saya gelap dan berbalam-balam, tapi kini terang-benderang. Bagaikan ada lampu limpah sedang menyuluh jalan di hadapan kami. Saya boleh melihat jauh ke hadapan.
Sepanjang perjalanan itu saya hanya mendiamkan diri. Bagaimana rupa wanita dan budak kecil itu? Saya tak tau sebab saya tidak berani menoleh ke belakang.
Sewaktu sampai di Jenderam Hulu, wanita itu bersuara lagi.
“Cik masuk simpang ke kiri tu, ya,” katanya.
Saya perlahankan kereta dan masuk simpang yang disebutkannya tadi. Ia jalan tanah merah, kecil dan berdebu. Di kiri dan kanan adalah ladang kelapa sawit, tetapi jalan yang saya lalui tetap terang-benderang.
Jalan itu berbelok-belok. Saya terus memandu hinggalah wanita berkenaan mengarahkan saya supaya memperlahankan kereta.
“Berhenti kat sini ya cik,” kata wanita itu.
“Kat mana rumah awak, saya tak nampak pun,” saya bertanya.
“Ada cik. Dekat sini aje,” jawabnya.
Saya berhentikan kereta di tempat yang diarahkan. Wanita itu mengucapkan terima kasih kerana membantunya. Dia membuka pintu, turun dan memimpin tangan kanak-kanak tadi melintas di hadapan kereta saya.
Sebaik saja mereka melintas, tidak semena-mena enjin kereta saya mati dengan sendiri. Lampunya turut terpadam. Sekeliling saya bertukar jadi gelap-gelita. Gelap segelap-gelapnya.
Ya-Allah, apa yang sedang berlaku ini? Bayangkan, saya ini perempuan, seorang diri dalam gelap di sebuah tempat yang saya tidak tahu di mana.
Saya cuba hidupkan enjin kereta, tidak berhasil. Berkali-kali mencuba, tetap gagal. Saya buka telefon bimbit supaya dapat membantu saya melihat sekitar, dan hubungi suami saya, sia-sia juga. Telefon bimbit saya pun tidak boleh dibuka!
Lampu picit… ya lampu picit! Saya meraba-raba di dalam dashboard. Nasib baik jumpa dan ia menyala.
Syukurlah dalam waktu yang kalut itu saya teringat pesanan ayah saya suatu ketika dahulu. Lantas saya buka pintu, turun, panjat bonet kereta Proton Wira saya itu dan…
ALLAHU AKBAR… ALLAHU AKBAR!!
ALLAHU AKBAR… ALLAHU AKBAR!!
Saya laungkan azan sebanyak tiga kali, ke tiga arah yang berbeza. Selesai azan saya masuk semula ke dalam kereta dan hidupkannya. Alhamdulillah, enjin kereta dapat dihidupkan.
Tanpa berlengah, saya memandu keluar dari tempat itu. Selepas beberapa kilometer barulah sampai ke jalan besar. Saya terus pecut kereta macam peluru… hinggalah sampai di rumah.
Kejadian itu saya ceritakan kepada suami. Malam itu saya sukar melelapkan mata. Banyak persoalan bermain di fikiran.
Lantas pagi esoknya saya pandu kereta seorang diri pergi ke tempat berkenaan. Saya masuk simpang jalan merah ladang kelapa sawit berhampiran Jenderam Hulu yang saya masuki malam tadi, hinggalah sampai di suatu tempat pembakaran sampah.
Saya yakin, di sekitar inilah tempatnya sebab malam tadi semasa berseorangan di dalam gelap, saya ada terbau benda terbakar. Tetapi wanita itu bukan turun di sini, saya perlu ke hadapan sedikit lagi, sampai bertemu satu jambatan.
Saya teruskan memandu dan benarlah seperti yang diduga, tidak jauh dari tempat pembakaran sampah itu ada sebuah jambatan. Ya, di sinilah wanita dan kanak-kanak itu turun dan enjin kereta saya tiba-tiba mati.
Saya berhentikan kereta dan memandang sekeliling. Tidak jauh dari situ saya lihat ada sebuah kubur lama yang agak pelik bentuknya. Ia hanya ditandakan dengan sekeping papan.
Apa tunggu lagi, saya undurkan kereta dan… cabut!
** (Diceritakan oleh Fairuz, Putrajaya. Kejadian ini berlaku pada 2017.)
No comments:
Post a Comment