Tuesday, August 5, 2025

TAMAR JALIS :EP27 - MANUSIA TANPA KEPALA

 TAMAR JALIS

SIRI BERCAKAP DENGAN JIN

JILID 2



 TAMAR JALIS :EP27 - MANUSIA TANPA KEPALA


"Tidak. Sebelum wang kertas itu bertukar menjadi daun seperti asalnya, orang bunian isteri aku akan datang dan menukarkan wang yang betul pada penjual barang tersebut"

Saya menarik nafas panjang mendengar penjelasan datuk itu. Sebenarnya datuk bagaikan berahsia dengan diri saya tentang ilmu kepandaian yang ada pada dirinya. Dia hanya menunjukkan kebolehannya dalam waktu yang tertentu tanpa di duga atau dijangka oleh sesiapa. Berdasarkan pada itulah saya lebih senang mengikutinya walau ke manamana.

Dan majlis tahlil pun berlangsung di rumah lelaki itu. Lima belas orang telah hadir. Datuk sendiri jadi tukang masak dan membacakan doa. Bila acara majlis itu selesai, datuk memberitahu pada orang yang datang itu bahawa apa yang berlaku itu adalah petunjuk dari Allah untuk renungan manusia yang masih hidup.

"Jadikanlah ini sebagai contoh dan tauladan. Allah dapat menunjukan kebesaran dan kekuasaanNya pada bilabila masa”, nada suara datuk menurun.

Orang yang berada dalam rumah tertegun. Tumpukan perhatian pada cakap datuk.

”Jika kamu sayangkan isteri kamu, cuba elakkan atau kawal diri mereka dari jadi penderhaka pada kamu. Isteri yang derhaka pada suami, tidak akan mencium bau syurga”

"Tetapi, suami akan berdosa besar, kalau menggunakan taat setia seorang isteri untuk mencari kesempatan”, datuk mengakhiri cakapnya.

Bila semua tetamu malam itu pulang, saya dan datuk mengambil tempat di ruang hadapan untuk tidur. Lelaki itu tidur dalam bilik, manakala Uda Lodin tidur di rumah lain. Uda Lodin bimbang kalau dia tidur di situ, pengalaman ngeri yang dilalui akan terulang lagi. Lebih kurang pukul dua belas malam lelaki itu mengejutkan datuk. Saya secepat kilat bangkit dari baring.

"Ada apa?" tanya datuk.

”Bagaimana cara saya nak ampunkan isteri saya?"

"Hum..", datuk garu pangkal kening.

"Saya termimpikan dia menangis di atas tanah lapang”, ujar lelaki itu lagi.

Saya sandarkan badan ke tepi dinding. Datuk pun menyoal lelaki itu waktu bi‐la ia mengalami mimpi itu. Apakah masa dia mahu tidur tadi badannya bersih dan ada membaca ayatayat suci.

"Masa saya masuk tidur saya ada air sembahyang. Sebelum tidur saya membaca ayat al Kursi”, jelas lelaki itu.

"Isteri kau mengharapkan keampunan dari kau?"

"Apa yang mesti saya buat?" tanyanya lagi.

Datuk bangkit dari tidur. Datuk berjalan di kawasan ruang itu dua tiga kali. Suasana malam cukup sepi.

"Kau pergi ke kubur isterimu tujuh pagi. Bacakan surah Yassin. Setiap kali kau sembahyang subuh, berdoalah pada Allah minta dosa isteri kau diampun‐kan", itu nasihat datuk pada lelaki malang itu.

"Saya buat. Saya mahu rohnya tenang dan damai. Saya ampunkan dosanya”, kata lelaki itu.

Dia pun meninggalkan saya dan datuk di ruang hadapan. Malam itu tidur saya cukup nyenyak. Bila bangun pagi, badan terasa segar lebihlebih lagi bila mandi embun bersama datuk. Kulit badan terasa sejuk dan kelihatan kemerahmerahan. Pagi itu saya bersama datuk meninggalkan Kuala Terung menuju ke pekan Pekan Terung. Datuk terus menemui Uda Lodin yang memang menanti kedatangannya.

"Kita balik berasinganlah”, beritahu datuk pada Uda Lodin.

"Sebab?"

"Aku nak pergi ke pekan minggu di Changkat Jering. Aku nak beli parang"

"Bagaimana bayaran ubat menolong orang tu? Saya dah minta pada orang kampung tiga ratus ringgit. Mereka setuju bayar"

Dahi datuk bergerakgerak. Biji matanya macam berputarputar merenung muka Uda Lodin. Datuk terus memegang batang leher Uda Lodin.

"Kenapa ni?”, Uda Lodin terkejut.

"Ingat aku bukan cari makan dengan cara ini. Aku menolong orang kerana Allah, bukan niat aku nak buat harta dengan ilmu yang ada pada aku ni. Ilmu ini pemberian Allah untuk menolong orang. Aku nak hidup mesti berusaha cara lain. Lagi sekali kau cakap macam itu, aku patahkan batang leher kau”, cukup keras suara datuk.

Dua tiga orang yang lalu di situ berhenti. Mereka mendekati datuk dan Uda Lodin. Salah seorang daripada mereka menyangka datuk dan Uda Lodin ber‐gaduh, lalu menasihati datuk dan Uda Lodin supaya berdamai.

"Jangan campur, ini urusan kami”, ujar datuk pada orang itu.

Dengan wajah yang tersipusipu orang itu menjauhkan diri dari datuk dan Uda Lodin.

"Kau pergi beritahu pada orang yang kau cakapkan mahu wang, katakan apa yang aku buat itu semuanya percuma. Tak kena bayar satu sen pun”, datuk mengeluarkan perintah pada Uda Lodin.

Tanpa banyak cakap Uda Lodin terus naik bas yang memang menanti penumpang untuk pergi ke Kuala Terung. Datuk terasa lega.

"Kawan ni adakalanya jadi racun”, rungut datuk sebaik saja bas bergerak menuju ke Kuala Terung.

Datuk yakin Uda Lodin akan memberitahu pada orang tertentu dengan apa yang di katakan oleh datuk padanya. Saya dan datuk terus menahan teksi yang dipandu oleh pemuda berbangsa Cina menuju ke pekan minggu Changkat Jering. Memang, tujuan utama datuk ke situ untuk membeli sebelah parang panjang. Setelah membayar harga teksi tersebut, saya dan datuk terus masuk ke dalam gerai menjual buah-buahan kampung hingga ke gerai makanan, saya dengan datuk berjalan dalam suasana tenang.

Akhirnya, kami pun sampai ke gerai yang menjual golok serta parang ke‐punyaan Usman Rumba dari Sayong, Kuala Kangsar. Di samping menjual golok dan parang, Usamn Rumba juga menjual labu sayung atau labu air yang terkenal itu. Datuk memberi sebilah parang panjang berulukan tanduk kerbau serta tiga biji labu air. Setelah membayar harga barang yang kami beli, datuk pun mengajak saya pergi ke gerai kopi yang berhampiran dengan balai polis di situ.

Waktu mahu masuk ke gerai ter‐sebut, seorang angota polis lengkap dengan pakaian seragam dengan pistol terselit di pinggang, berlari ke arah datuk. Polis itu menepuk bahu datuk dari belakang. Darah saya tersirap. Apakah salah yang telah datuk lakukan? Kenapa datuk mesti di tangkap? Persoalan itu timbul dalam tengkorak kepala saya.

"Kau Atan”, ujar datuk sebaik saja matanya tertumpu ke wajah anggota polis yang berusia kira‐kira empat puluh tahun itu.

Anggota polis itu me‐nyatakan rasa kagumnya kerana datuk masih dapat mengingatinya, walaupun sudah hampir dua puluh tahun tidak bertemu. Anggota polis itu berasal dari Johor dan pernah bertugas di balai polis Pekan Bruas sekitar tahun 19431945. Awal tahun 1946 dia ditukarkan ke balai Polis Umbai, Melaka. Sejak itu hubungannya dengan datuk putus sarna sekali.

"Ini siapa?", tanya anggota polis itu pada datuk sambil merenung muka saya.

"Tamar cucu aku”, jawab datuk.

Anggota polis tersenyum. Dia memberitahu datuk bahawa anak sulungnya yang sebaya dengan saya sudah bekerja sebagai anggota polis dan ditempatkan di Kuala Terung juga. Kemudian Atan (anggota polis), mengajak saya dan datuk ke rumahnya. Barangkali ada tujuan yang ter‐tentu. Paling kurang, dia mahu menuntut ilmu dari datuk, fikir saya.

Memang tepat apa yang saya duga. Dia memang sudah lama mencari datuk untuk diajak ke Batu Pahat. Dia menyatakan hanya datuk seorang saja yang boleh menyele‐saikan masalah yang di hadapi oleh pihak keluarganya. Sudah banyak pawang dan dukun terkenal dipanggil ke tempatnya. Tetapi, mereka tidak berjaya mengatasi masalah yang yang menimpa keluarga anggota polis itu.

"Apa masalahnya?”, soal datuk.

"Kubur anak saudara saya berasap"

"Kuburnya berasap?" datuk terkejut.

"Biasanya kubur itu berasap pada sebelah pagi dan senja. Serentak dengan itu orang yang dekat tanah kubur terdengar suara orang menjerit minta tolong”, terang anggota polis itu.

Datuk terdiam. Datuk tidak jadi minum kopi yang di hidang oleh isteri anggota polis itu. Saya kira datuk terkejut dengan apa yang didengarnya itu. Lama juga datuk termenung. Dahinya berkerut. Belum pemah dia mendengar dan berhadapan dengan peristiwa semacam itu.

"Ada gambar anak saudara awak tu di sini Atan?", datuk renung muka anggota polis itu.

"Ada, nanti saya ambilkan”, anggota polis masuk ke dalam bilik dan keluar dengan sekeping gambar poskad ditangan. Gambar itu diserahkan pada datuk. Lama juga datuk merenung wajah anak saudara anggota polis tesebut. Tanpa mengucapkan sesuatu, datuk memulangkan gambar tersebut pada anggota polis yang berasal dari Johor itu.

"Saya boleh cuba”, pendek datuk memberikan jawapan.

"Terima kasih”, wajah anggota polis itu saya lihat berseriseri. Senyumnya tidak putusputus bermain dibibir.

"Bila kita akan pergi?”, tanpa sabarsabar anggota polis itu mendesak.

Datuk menggigit bibir sambil merenung ke wajah saya.

"Minggu depan, kita bertolak petang"

"Eloklah tu, saya boleh minta cuti"

"Cara nak pergi macam mana? Pergi bersama atau bersingan?”, datuk mengajukan pertanyaan.

"Kita pergi dengan kereta saya”, lega hati saya mendengar pengakuan dari anggota polis itu.

Saya tahu, kalau berasingan, datuk akan menunggang harimau peliharaannya waktu malam. Satu cara yang amat tidak saya sukai. Seram sejak badan saya memaut batang leher harimau, meskipun harimau itu jinak dan boleh diurut ekor dan kepalanya. Datuk terus memberi alasan kenapa dia terpaksa pergi ke

Batu Pahat minggu depan. Pertama dia mahu menemui isteri mudanya (orang bunian) sebelum berjalan jauh. Kedua, dia perlu menghubungi harimau belaannya untuk jadi pengiring ketika dia berada di sana.

Dan ketiga datuk perlu membuat persiapanpersiapan yang tertentu. Sementara menanti minggu depan, saya dan datuk pulang ke kampung. Sernasa berada di kampung boleh dikatakan setiap malam datuk memanggil harimau belaannya datang ke halaman rumah. Datuk memberi harimau itu makan tujuh biji bertih dan menyediakan air dalam bekas buluh gading. Datuk bermainmain dengan harimau di bawah cahaya bulan yang sedang mengambang dan datuk memberitahu pada harimau belaannya itu supaya pergi ke arah selatan tanahair.

Kadangkadang saya lihat datuk duduk atas belakang harimau dengan isterinya orang bunian menuju ke arah Bukit Kota. Anehnya, bila saya bangun dari tidur pada esok harinya, saya dapati datuk berada di rumah. Waktu bila dia pulang saya sendiri tidak tahu.

Pagi Selasa itu, sebuah kereta Austin 1100 bercat merah yang dipandu oleh Atan (anggota polis) datang ke rumah datuk. Mana barang yang difikirkan perlu dimasukkan ke dalam bahagian belakang kereta itu.

Tepat pukul sepuluh kami pun bertolak. Lebih kurang pukul empat petang kami pun sampai di Balai Polis Cheras, Kuala Lumpur. Kami singgah di rumah Kadir Khan, pangkat abang ipar kepada Atan (Kadir Khan baru saja ditauliahkan menjadi sarjan di Balai Polis tersebut). Balai polis Cheras kami tinggalkan setelah menunaikan sembahyang Maghrib.

Sepanjang perjalanan datuk tidak putusputus bercerita dengan Atan. Ternyata banyak yang datuk tahu tentang keluarga dan sanaksaudara Atan. Perjalanan yang amat membosankan itu saya isikan dengan tidur. Bila jaga saya akan melihat keluar. Pemandangan malam memang tidak menyenangkan hati saya.

Saya juga tidak pernah bertanya pada datuk, bandar atau pekan yang dilintasi oleh kereta yang saya naik itu. Buat apa bertanya, buat penat mulut saja. Tidak banyak kendaraan yang kami temui atau berselisih dengan kami sepanjang perjalanan. Badan terasa cukup sejuk. Bila saya melihat keluar, saya terasa takut melihat hutan dan bukit yang tertegun di kiri kanan jalan. Tiba‐tiba saya terasa Atan memperlahankan laju keretanya.

"Pukul berapa?", saya terdengar suara datuk.

Atan tidak tidak menjawab pertanyaan itu. Kereta bagaikan ditarik sesuatu dari belakang.

"Pukul dua”

"Kita dekat mana ni Atan?"

"Dekat Sungai Rambai, dah dekat sempadan Johor"

Saya terasa cukup resah. Saya yakin kereta yang saya naiki itu tidak bergerak. Walaupun Atan menekan minyak dan dan memutar setering. Saya panjangkan leher ke depan. Kepala saya hampir saja mahu menyentuh kepala Atan. Saya terkejut besar. Saya lihat muka Atan pucat. Matanya tajam merenung ke depan. Ada sesuatu yang tidak kena terjadi pada kami.

"Tok”, saya mecuit bahu datuk, ”kereta kita tidak berjalan tok”, tambah saya lagi.

Datuk anggukkan kepala. Secara mengejutkan saja, datuk menampar dahi Atan. Saya lihat Atan terpingapinga macam orang bangun tidur. Dia menyebutkan sesuatu mengenai kereta yang di pandunya tidak bergerak. Empat tayar kereta bagaikan terlekat pada sesuatu. Tidak ada sebuah pun kereta yang lalu untuk diminta pertolongan. Suasana cukup gelap. Datuk membaca sesuatu dan menghembus pangkal telinga Atan.

"Mengucap Atan”, kata datuk.

Atan pun mengucap dan datuk tahu bahawa Atan sudah pulih dari keadaan khayalan. Bila datuk bertanya pada Atan kenapa dia jadi demikian, Atan menyatakan yang dirinya berada di satu tempat lain yang indah, diapit oleh wanita sambil mendayung sampan.

"Kau diresapi syaitan penunggu”, bisik datuk ke telinga Atan.

Dengan pertolongan lampu kereta, saya melihat tubuh manusia tanpa kepala sedang menunggang basikal. Saya segera memberitahu pada datuk dan Atan. Rupanya mereka melihat apa yang saya lihat.

Tubuh manusia tanpa kepala yang naik basikal itu kian hampir pada kami dan berhenti betulbetul di hadapan kereta yang di pandu oleh Atan. Jentera kereta sertamerta mati. Datuk buka pintu kereta, saya dan Atan pun keluar sarna. Dada saya berdebar. Jalan raya itu terasa kosong benar. Tidak ada kenderaan yang lalu, tidak ada manusia yang berjalan. Dari hutan kecil di kiri kanan jalan raya terdengar bermacam-macam bunyi.

Ada bunyi air terjun, ada bunyi suara orang menyanyi. Hati saya jadi kecut, lembaga tanpa kepala itu turun dari basikal. Saya lihat batang lehernya berlubang penuh dengan uraturat yang bertuntai atas dada. Darahnya meleleh di seluruh badan.

"Syaitan”, jerit datuk.

Mulutnya membaca sesuatu. Datuk mengambil seketul batu lalu dilemparkannya ke arah lembaga tanpa kepala. Lembaga itu menjerit dan terus melompat ke atas basikal. Kami segera masuk kereta. Datuk menyuruh Atan mengekori lembaga itu. Bila sampai ke kawasan Sungai Kesang, lembaga tanpa kepala itu terus hilang. Sampai ke Batu Pahat hal itu diceritakan oleh Atan pada kawankawannya. Menurut kawan-kawan Atan, tubuh tanpa kepala itu memang selalu mengacau pemandu kendaraan. Menurut mereka tubuh tanpa kepala itu berasal dari tentera Gurkha yang di pancung oleh tentera Jepun dalam perang dunia yang kedua dulu.

Lebih kurang pukul sembilan pagi pada hari Isnin, kami pun sampai ke Kampung Jorak Ilahi. Atan memperkenalkan datuk dengan ayah saudaranya iaitu, Omari berusia lebih kurang enam puluh tahun, ada ladang kelapa dan kopi. Pada mulanya, datuk membuat keputusan untuk menginap di masjid berhampiran tanah perkuburan itu.

"Tidur di rumah saya. Masjid itu dikawal jin”, Omari memberitahu datuk.

Kemudian Omari pun bercerita tentang beberapa keanehan yang terjadi pada masjid itu. Datuk tidak begitu tertarik dengan cerita tersebut. Datuk hanya tertarik tentang kubur anak Omari yang berasap dan menjerit waktu senja dan pagi. Setelah berbincang dengan Omari dan Atan, datuk bersetuju melihat kawasan kubur yang di katakan itu. Bila bunga senja mula jatuh di seluruh Kampung Jorak Ilahi, datuk pun memakai seluar hitam dan baju hitam. Datuk ikat kepala dengan kain merah.

“Biar saya tinjau dulu dengan cucu saya”, beritahu datuk pada Omari dan Atan.

Kedua‐duanya anggukkan kepala tanda setuju. Omari menyerahkan pada datuk sebatang anak kopi berdaun tiga. Memang, datuk menyuruh Omari menyediakannya untuk tangkal. Waktu saya dan datuk sampai di pinggir jalan kawasan perkuburan, tengkok saya terasa seram. Ada bunyi suara burung murai batu dan puyuh tanah. Suasana sekeliling kelam dan samarsamar. Datuk dan saya berdiri tenang menghadapi batubatu nisan yang memenuhi tanah perkuburan.

Angin yang bertiup menolak dedaun di tanah perkuburan. Dedaun itu berlaga sesama sendiri dan melahirkan bunyi air ombak diselangseli dengan bunyi orang ketawa. Terdengar bunyi suara jampok dan burung hantu kubur mengkaiskais tanah. Secara mendadak saja saya memeluk tubuh datuk, bila saya terdengar bunyi suara orang menjerit dan minta tolong di tanah perkuburan dalam suasana senja yang bertambah gelap.

Tanpa banyak bercakap, datuk mengheret saya ke tengah kawasan perkuburan. Langkah kami mati bila berhadapan dengan sebuah kuburan yang mengeluarkan asap nipis dari rekahan tanah antara dua batang nisan. Datuk pun membakar liIin. Asap itu jelas kelihatan macam wap yang keluar dari ketul ais.

Suara orang minta tolong dan ampun menendang gegendang telinga saya. Suasana di kawasan perkuburan itu amat menakutkan saya. Saya masih dapat mengawal perasaan. Datuk pun memadamkan api yang membakar sumbu lilin.

Nyamuk mula menggigit cuping telinga dan muka. Dalam samarsamar senja itu datuk memandang wajah saya tepat-tepat.

"Kita balik saja”, kata datuk.

"Kenapa?"

"Jangan banyak soalan, ikut cakap aku"

"Tapi tok.."

"Jalan”, pekik datuk.

Saya lihat wajah datuk lain macam. Langkah datuk cukup cepat. Saya lihat tapak kakinya bagaikan tidak menyentuh bumi. Supaya tidak ketinggalan jauh darinya, saya terpaksa berlari tanpa memandang ke kiri dan ke kanan. Kemudian saya terdengar bunyi yang ganjil dari arah belakang, macam bunyi tapak kaki orang memburu saya. Bila di toleh ke belakang tidak ada suatu pun yang saya nampak kecuali dedaun rumput menutup bumi yang runduk kena pijak. Saya terdengar bunyi suara reriang rimba yang bertali-temali. Bunyi‐nya berubah dari satu pokok ke satu pokok. Bunyinya cukup nyaring dan memanjang pula. Kata nenek, kalau reriang rimba berbunyi dalam bunga senja dan bunyinya tidak putus, membawa alamat ada penghuni kampung yang akan meninggalkan kampung dan tidak akan kembali hingga hari kiamat.

"Siapakah yang akan mati?", timbul pertanyaan dalam hati kecil saya. Tentu saja pertanyaan itu tidak akan menerima jawapan dari sesiapa. Barangkali, kalau pertanyaan yang sama diajukan pada datuk kemungkinan menerima jawapannya cukup cerah. Sayang, saya tidak berani bertanya padanya. Datuk terus melang‐kah. Saya renung ke kiri. Pokok getah berdaun lebat tertegun kaku. Saya toleh ke kanan, pohon‐pohon koko yang berbuah rapatrapat tidak bergerak.

"Tok”, mendadak saja memanggil nama datuk dalam warna senja yang kian gelap itu.

Datuk berhenti. Entah macamana sepasang mata saya tertumpu pada sepasang kakinya yang tidak memijak bumi. Saya kedutkan kening dan dahi. Belum pernah saya melihat datuk dalam keadaan demikian. Hati saya mula raguragu. Apakah saya berhadapan dengan datuk atau dengan satu makhluk asing yang menyerupai datuk.

Bagi membuktikan apakah datuk yang wujud di hadapan saya itu datuk yang sebenar atau sebaliknya, saya segera menarik hujung bajunya dengan sekuat hati. Badan saya bagaikan ditarik oleh satu kuasa menyebabkan saya terdorong ke depan. Bahu sebelah kanan saya menyondol pangkal belikat datuk.

Kemudian saya terasa satu hentakan yang amat kuat mengenai pangkal telinga kanan saya. Seluruh badan terasa lemah. Saya tidak mendengar apaapa. Semuanya terasa sunyi dan sepi. Saya tidak tahu, berapa lama saya berkeadaan demikian.

Saya tersedar apabila badan saya digoyang oleh datuk beberapa kali. Telinga saya diasak dengan bacaan ayat-ayat suci. Bila saya membuka mata, saya lihat datuk tersenyum.

"Saya lihat datuk ber.."

"Aku faham”, datuk memotong cakap saya dan menyuruh saya bangun. Suasana sekeliling bertambah kelam. Bunyi suara burung kuangkuik cukup jelas kedengaran. Kata orang tuatua, burung itu berbunyi dari atas kepala harimau. Ada juga yang mengatakan burung itu jadi kepala jalan kepada hantu dan syaitan. Sering berbunyi waktu senja begini dan tengah malam menjelang subuh.

Saya tidak boleh bangun. Kedua belah sendi lutut saya terasa longgar, tidak mampu menahan badan saya agak gemuk ini. Bunyi suara burung kuangkuik semakin dekat. Saya cemas dan saya faham, kalau tidak kena caranya saya dan datuk akan jadi korban harimau.

"Kita dalam bahaya tok. Rumah Omari agak jauh tok"

"Tak apa. Sepatutnya kau tidak boleh menegur aku bila melihat aku dalam keadaan yang ganjil"

"Kenapa tok tak cakap tadi?"

"Aku terlupa”, kata datuk dengan wajah yang kesal. Tanpa diminta, datuk menerangkan pada saya bahawa, dia terpaksa berjalan atas angin untuk menghindarkan sebarang kejadian buruk. Menurut datuk jarak tapak kakainya dengan bumi lebih kurang satu kaki setengah ruang yang kosong antara tapak kaki dengan bumi akan dilalui oleh angin yang boleh me‐misahkan kuasa jahat dari meresap ke dalam tubunya.

"Apa dia kuasa jahat tu tok?", tanya saya.

"Jin tanah atau jembalang tanah"

"Ganjil benar bunyinya. Ini dah tahyul tok”, kata saya sambil tersenyum.

Belum pun datuk memberikan ja‐wapan pada pertanyaan itu, saya tercium satu bau yang agak ganjil.

Suara burung kuangkuik terdengar dari dahan pokok atas kepala. Datuk masih juga bertenang. Dia suruh saya berdiri tetapi saya tidak berdaya.

"Kalau aku berjalan memijak bumi tadi, tentu saja aku lumpuh semua badan. Tempat ini agak keras”, dengan mendadak saja datuk memberitahu saya.

Datuk juga menyatakan, sekiranya saya tidak menarik bajunya, perkara itu tidak berlaku pada diri saya. Sebabnya, ketika dia berjalan tadi semangat dan perasaannya sudah disatukan dengan semangat saya.

Datuk pun memicit buku lali kanan saya. Mulutnya terkumatkamit membaca sesuatu. Hari bertambah gelap. Bunyi reriang rimba tidak kedengaran lagi. Ternyata usaha yang datuk lakukan tidak dapat memberikan kejayaan. Saya tidak mampu berdiri dan saya rasa tempurung lutut sudah tidak wujud pada tempatnya.

"Kau tahu Tamar kenapa aku berjalan atas angin?"

"Tak tahu"

"Kau perlu belajar dan mengenal adat budaya dan kepercayaan nenek moyangmu yang tidak lari dari asas agama Islam"

"Maksud tok?"

"Manusia tidak dapat melarikan diri dari empat unsur ini iaitu, tanah, air, api dan angin. Begitulah yang

dikatakan oleh guruku"

"Sebab apa begitu tok?"

"Kalau tidak ada bendabenda ini, manusia tidak akan dapat bergerak atas alam ini"

"Maksud tok memang saya tak faham"

"Mudah saja. Manusia berasal dari tanah akan kembali ke tanah. Air pula mesti ada dalam tubuh manusia. Api yang bermaksud darah mesti ada dalam diri manusia. Begitu juga dengan angin, jika tidak ada angin manusia tidak akan boleh bemafas"

Saya terdiam mendengar keterangan dari datuk itu. Lalu dia menyatakan makhluk lain sama ada dari jin dan sebagainya juga bergantung pada perkaraperkara yang disebutkan itu.

"Pada zahirnya, engkau nampak kakiku tidak memijak bumi. Tetapi dari segi kebatinannya aku tidak terpisah dengan bumi, seluruh pancaindera bertaut rapat dengannya. Kerana itu aku tidak boleh bercakap atau mengerakkan tubuhku. Bila bergerak, kuasa jahat akan meresap ke tubuhku”, datuk pun memberikan penjelasan.


No comments: